Ananiah berasal dari bahasa arab iaitu
kata “ana” yang bererti “saya”. Adapun yang dimaksudkan dengan ananiah
adalah sikap mementingkan diri sendiri atau ego atau ingin menang
sendiri tanpa mempedulikan orang lain disekelilingnya. Sifat ini
sangat tercela, dan membahayakan di dalam pergaulan masyarakat. Ananiah
termasuk penyakit hati, apabila dibiarkan akan berkembang menjadi
sombong, kikir, takabur yang diiringi sifat iri dan dengki. Sifat
Ananiah akan mendatangkan kebinasaan bagi pemilik sifat tersebut dan
termasuk sifat tercela yang harus dijauhi oleh setiap orang mukmin sebab
dapat menjerumuskan manusia kepada sikap individualistik dan membuka
jalan kepada sikap permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia. Firman Allah;
وَلا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلا تَمْشِ فِي الأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Dan
janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan
janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah
tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (surah Luqman: 18)
Nabi Muhammad saw bersabda;
دَبَّ اِلَيْكُمْ دَاءُ الْاُمَمِ قَبْلَكُمْ الْبَغْضَاءُ وَالْحَسَدُ هِيَ حَالِقَةُ الدِّ يْنِ لاَحَالِقَةُ الشَّعْرِ
“Telah
menimpa kepadamu suatu penyakit umat-umat sebelum kamu iaitu benci
membenci dan dengki. Dialah pencukur agama, bukan pencukur rambut.” (riwayat al-Thabrani)
Semua
penyakit, pasti mendatangkan bahaya. Sifat ananiah akan mendatangkan
bahaya bagi dirinya sendiri dan orang lain. Bahaya ananiah bagi diri
sendiri ialah dimurkai Allah, dijauhi kawan-kawan, menyeksa diri
sendiri, orang lain enggan untuk menolongnya dan dibenci ramai orang.
Bahaya ananiah bagi orang lain pula ialah haknya berkurangan dalam
berkawan dan bergaul, hak orang lain untuk memperoleh bantuan akan
berkurangan dan orang lain akan merasa tergganggu ketenteram dan
keselesaan dalam hidupnya.
Cara
untuk menghindari sifat ananiah ini ialah kita harus sedar bahawa
ananiah akan berbahaya untuk dirinya sendiri dan orang lain. Ingatlah
bahawa ananiah adalah penyakit hati, tiada seorang pun yang dapat
menyembuhkan kecuali dirinya sendiri. Nabi saw bersabda;
اَلاَ وَاِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً اِذَا صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَاِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ اَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah,
di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila segumpal daging itu
baik, baiklah tubuh seluruhnya, dan apabila daging itu rosak, rosaklah
tubuh seluruhnya. Ketahuilah olehmu, bahawa segumpal daging itu adalah
qalbu (hati).” (riwayat al-Bukhari)
Kita
juga harus menyedari bahawa manusia mempunyai hak dan martabat yang
sama, menyedari bahawa perbuatan ananiah termasuk perbuatan dosa dan
kita perlu membiasakan diri untuk bersedekah.
Kerana
pada dasarnya, manusia adalah makhluk yang selalu hidup berdampingan
bersama dalam rangka untuk memenuhi keperluan hidupnya. Manusia tidak
dapat memenuhi keperluannya sendiri, melainkan selalu mahu untuk bekerja
sama dengan orang lain. Allah memerintahkan agar kita hidup untuk
saling tolong-menolong dan memiliki ambil berat terhadap orang lain
serta setiasa menyedari bahawa setiap manusia mempunyai kekurangan dan
kelebihan masing-masing. Sebagaimana Firman Allah;
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبَرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan
tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan
jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (surah al-Maaidah: 2)
Sikap
seperti ini sangat dilarang di dalam Islam kerana akan menimbulkan
bibit-bibit perpecahan di kalangan umat manusia, hingga Nabi Muhammad
saw bersabda;
أحب الناس إلى الله تعالى أنفعهم للناس
“Manusia yang paling disukai Allah ialah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.” (riwayat Muslim)
Riwayat lain menyebut;
خير الناس أنفعهم للناس
“Manusia yang baik adalah yang bermanfaat kepada manusia yang lain.” (riwayat al-Thabrani)
Serta dalam hadith lain menyebutkan;
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ، وَمَنْ
لَمْ يُصْبِحْ وَيُمْسِ نَاصِحًا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِكِتَابِهِ
ولإِمَامِهِ ولِعَامَّةِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa
tidak mementingkan urusan umat islam, maka tidaklah ia termasuk dari
golongan mereka itu. Dan barangsiapa yang dalam sehari-hari tidak
berlaku jujur kepada Allah, kepada rasul-Nya, kepada kitab-Nya, kemudian
kepada imam (pemimpin) mereka dan kaum Muslimin, tidaklah ia dari mereka.” (riwayat Muslim)
Sikap
ananiah sangat tidak patut dimiliki oleh manusia kerana bertentangan
dengan naluri manusia itu sendiri, akan tetapi realitinya di dunia ini
masih sahaja ada orang yang memiliki sikap ananiah. Mereka tidak peduli
terhadap orang lain bahkan orang lain dianggapnya hilang dalam
kehidupannya. Sifat ini juga sangat merugikan, baik dirinya sendiri
mahupun orang lain seperti sahabat, rakan taulan yang lazimnya kehidupan
sosial harus saling memahami, akan tetapi apabila salah satunya itu ego
atau mementingkan diri dan yang lain turut takut menegurnya dan hanya
berani bercakap di belakang, lalu timbul masalah dan ikatan sahabat itu
hancur menjadi bermusuhan secara tidak langsung kerana ego kita tidak
mempunyai kawan. Orang akan benci pada kita dan bahkan mungkin boleh
membuat putusnya hubungan silaturrahim. Kerana itulah Islam melarang
umatnya memiliki sifat dan perilaku ananiah. Islam menganjurkan untuk
saling mengambil berat dan tolong menolong antara satu sama lain.
Setiap
muslim harus mampu menghindari perilaku ananiah kerana ananiah adalah
sikap yang tidak terpuji, dapat mendatangkan merbahaya dan petaka bagi
diri sendiri dan juga orang lain. Perkara yang harus diperhatikan untuk
menghindari perilaku ananiah dalam kehidupan seharian kita ialah
tanamkan keimanan yang kuat agar tidak mudah tergoda oleh pujuk rayu
syaitan yang selalu berusaha menjerumuskan manusia ke jurang kesalahan
dan dosa. Banyakkan membaca dan belajar pelbagai ilmu pengetahuan, serta
bergaullah dengan orang-orang yang bijak, banyak ilmunya, mulia
akhlaknya, serta taat beribadah, sehingga kelak dapat meneladaninya
dalam kehidupan sehari-hari. Hindari pergaulan dengan mereka yang
memiliki sikap ego, suka mementingkan diri sendiri dan tidak memiliki
ilmu yang cukup. Justeru, kita perlu hindari sikap ananiah itu mulai
sekarang.
Biodata Penulis
Dr. Muhammad Faisal Ashaari merupakan pensyarah di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)