© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Menjana Istiqamah

Menjana Istiqamah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 31 August 2015


Allah Taala berfirman dalam surah Aali-Imran, ayat 179 yang berbunyi;
مَا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى مَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ حَتَّى يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى الْغَيْبِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَجْتَبِي مِنْ رُسُلِهِ مَنْ يَشَاءُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَإِنْ تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيم
“Allah tidak sekali-kali membiarkan orang-orang yang beriman itu di atas kedudukan yang ada selama-lamanya (tanpa ujian penapisan), sehingga Allah mendedahkan perbezaan di antara yang buruk dikeluarkan daripada yang baik. Allah tidak menampakkan kamu perkara yang ghaib, tetapi Allah memilih sesiapa yang Dia kehendaki di kalangan para Rasul-Nya (dengan pendedahan tersebut). Maka beriman (percayalah) kepada Allah dan para Rasul-Nya. Dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka Allah kurniakan kamu ganjaran yang sangat besar.”

Sebab nuzul (turun) ayat-ayat ini bersempena peristiwa Uhud yang berlaku di bulan Syawal tahun ketiga hijrah. Apabila Rasulullah saw bermusyawarah dengan para sahabat ra.anhum setelah mengetahui kedatangan musuh dari musyrikin Makkah, mereka sudah berada di Uhud 6 Syawal tahun ketiga hijrah, bala tentera yang besar jumlahnya 3 000 orang, bersenjata lengkap untuk menyerang Madinah.

Dalam mesyuarat itu Rasulullah saw mencadangkan supaya bertahan di Madinah, menunggu musuh datang menyerang, di mana pihak Islam boleh bertempur di lorong dan berkubukan bangunan. Cadangan ini disokong oleh Abdullah bin Ubai, pemimpin munafik dengan niat yang jahat, memudahkannya menyembunyikan diri.

Cadangan kedua pula daripada kalangan para sahabat, supaya keluar menyerang musuh di luar daripada kota Madinah, ke tempat mereka sedang berkhemah berhampiran bukit Uhud. Langkah ini lebih strategik dan menyelamatkan kota Madinah yang menjadi benteng terakhir. Cadangan ini disokong kuat oleh Saidina Hamzah ra dan lain-lain, khususnya para sahabat yang tidak sempat ke Badar.

Akhirnya Rasulullah saw memilih cadangan kedua, iaitu keluar Madinah menentang musuh yang sudah berada di Uhud. Apabila melihat Rasulullah saw memakai pakaian perang untuk keluar, kalangan yang membawa cadangan ingin menarik balik cadangan mereka, kerana sangat bersimpati kepada Rasulullah saw terhadap cadangannya, serta tidak mahu mengecewakan kalangan munafik. Tiba-tiba Rasulullah saw menegaskan bahawa sifat seseorang Rasul itu tegas dengan keputusan masyuaratnya.
لَا يَنْبَغِي لِنَبِيٍّ إِذَا أَخَذَ لَامَةَ الْحَرْبِ، وَأَذَّنَ فِي النَّاسِ بِالْخُرُوجِ إِلَى الْعَدُوِّ أَنْ يَرْجِعَ حَتَّى يُقَاتِلَ
“Tidaklah patut bagi seorang Nabi jika telah memakai baju perangnya, dan telah memberi izin (mengarahkan) manusia untuk keluar menemui musuh supaya kembali (ke kampung halaman) sebelum berperang.”

Dalam perjalanan ke Uhud pula Abdullah bin Ubai menarik pengikutnya berundur dengan alasan cadangan yang disokongnya dalam mesyuarat telah ditolak dan dikecewakan. Dia berjaya manarik satu pertiga anggota yang berjumlah hanya seribu orang, dan menjadikan bakinya 700 anggota. Berbanding dengan musuh yang lebih besar berjumlah 3 000 anggota. Dalam keadaan ini juga Rasulullah saw menolak pasukan tentera kaum Yahudi Madinah, rakan tahaaluf yang datang untuk memberikan bantuan kepada tentera Islam. Rasulullah saw hanya sudi menerima bantuan Yahudi yang beriman sahaja.

Apabila sampai di Uhud, Rasulullah saw mengatur kedudukan tentera Islam secara terperinci dengan kedudukan masing-masing. Sebahagiannya berada di markaz operasi, bersama Rasulullah saw, sebahagian lagi ialah pasukan pemanah, ditugaskan berada di atas puncak anak bukit, mengawal dan menjadi pelindung daripada serangan yang mungkin datang daripada belakang, mereka diberi arahan tidak dibenarkan meninggalkan tempat dalam semua keadaan. Adapun sebahagian yang lain menyerang musuh yang besar jumlahnya menerusi jalan darat (infantri/ tentera pejalan kaki).

Pada awal peperangan tentera Islam telah mencapai kemenangan yang pertama, sehingga musuh berundur meninggalkan banyak harta yang dibawa untuk menjadi semangat kepada mereka. Apabila pasukan pengawal anak bukit meninggalkan kedudukan mereka, ralit dengan harta peninggalan musuh tanpa peduli kepada arahan Rasulullah saw. Maka, datanglah kemalangan yang tidak dijangka, tentera berkuda musuh mengambil kesempatan menyerang daripada arah belakang, menjadikan markaz besar terdedah dan diserang hebat. Tentera musuh yang telah melarikan diri tadi berpatah balik menyerang balas, menjadikan tentera Islam dan Rasulullah saw berada dalam keadaan kritikal kerana terdedah kepada serangan dan kepungan musuh.

Bagaimanapun Rasulullah saw berjaya mengambil langkah defensif iaitu berkubu di bukit Uhud, sehingga musuh tidak berani meneruskan serangan bahkan mereka berundur pulang ke Makkah dalam ketakutan. Tetapi ramai di kalangan sahabat gugur syahid sehingga 70 para sahabat Nabi termasuklah Saidina Hamzah ra, bapa saudara kesayangan baginda gugur di medan peperangan. Ramai yang mendapat luka, termasuklah Rasulullah saw patah giginya, darahnya berlumuran di wajah suci baginda, menjadikan semua sahabat dalam kesedihan. Lalu turunlah ayat-ayat Allah seperti yang dibicarakan di atas tadi;
مَا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى مَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ حَتَّى يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى الْغَيْبِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَجْتَبِي مِنْ رُسُلِهِ مَنْ يَشَاءُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَإِنْ تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيم
“Allah tidak sekali-kali membiarkan orang-orang yang beriman itu di atas kedudukan yang ada selama-lamanya (tanpa ujian penapisan), sehingga Allah mendedahkan perbezaan di antara yang buruk dikeluarkan daripada yang baik. Allah tidak menampakkan kamu perkara yang ghaib, tetapi Allah memilih sesiapa yang Dia kehendaki di kalangan para Rasul-Nya (dengan pendedahan tersebut). Maka beriman (percayalah) kepada Allah dan para Rasul-Nya. Dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka Allah kurniakan kamu ganjaran yang sangat besar.” (Aali-Imran: 179)

Allah menurunkan wahyu di atas, menegaskan bahawa peristiwa itu ditetapkan-Nya sendiri, dalam ilmu dan kebijaksanaan-Nya, Yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan. Allah mengkehendaki kepada generasi awal Islam agar “Istiqamah” kepada perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan. Islam yang ditegakkan itu wajib berlaku adil terhadap semua, membawa rahmat Allah, kepada seluruh alam. Kemenangan yang tidak sama dengan ciptaan manusia yang lemah. Layak diberi Allah hanya kepada mereka yang beristiqamah dengan iman, berilmu dan budiman dengan ikhlas hati. Iman dan ikhlas hati adalah perkara ghaib yang tersirat di luar kemampuan pandangan manusia dan hanya nyata dalam ilmu Allah.

Maka, berlakulah penapisannya dengan tarbiyah secara langsung daripada Allah, bagi menjana istiqamah dan menyingkirkan kalangan yang tidak istiqamah dan tidak ikhlas. Tegasnya, Allah menyingkirkan kalangan munafik dengan cara mereka menolak keputusan mesyuarat kerana cadangan mereka ditolak, atau merasakan Islam tidak akan menang kerana menolak cadangan mereka, serta mengira Islam akan lemah kerana tidak menerima bantuan “pihak luar” Yahudi. Ketewasan juga berlaku kerana adanya kalangan yang lemah iman kerana mengejar habuan sebelum kemenangan sehingga meninggalkan kawalan tanpa peduli kepada arahan Rasulullah saw yang memimpin mereka.

Namun, ada di kalangan yang beriman insaf dan bertaubat setelah peristiwa ini. Allah berfirman;
إِنَّ الَّذِينَ تَوَلَّوْا مِنْكُمْ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ إِنَّمَا اسْتَزَلَّهُمُ الشَّيْطَانُ بِبَعْضِ مَا كَسَبُوا وَلَقَدْ عَفَا اللَّهُ عَنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ
“Sesungguhnya mereka yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.” (Surah Ali-Imran: 155)

Berlakunya tidak Istiqamah kerana tidak beriman atau tidak ikhlas atau jasad dan rohnya tidak berakhlak. Perkara roh dan hati hanya berada dalam ilmu Allah, ada juga yang menzahirkan kesalahannya, dan ada yang tidak terzahir sifat buruknya, Allah sahaja yang Maha Mengetahui.Ada kalangan yang beristighfar kembali ke pangkal jalan dan ada yang berdegil sehingga menemui ajalnya.

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Sa’id Hawwa, Profesor Muhamad al-Wakeel serta Dr. Abdul Satar al-Qudsi.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-