© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia

Prakata

Kewujudan laman web berkonsepkan tarbiyah, dakwah dan siyasah milik Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) adalah sebuah impian yang begitu lama terpendam, ia sentiasa segar dan tidak pernah berhenti mengharapkan kepada Allah agar menjadi kenyataan. Pembangunan laman web ini memiliki asas yang kukuh iaitu Tarbiyah Islamiyah. Matlamatnya, mempersembahkan segala isu-isu berkaitan tarbiyah agar menjadi inspirasi dan kekuatan kepada setiap belia muslim yang beriman kepada Allah swt, di samping membina jati dirinya menjadi segagah agamanya juga. Justeru laman web ini sentiasa menjadi temannya, pengawalnya dan kekasihnya.

Kandungan dan isi-isi yang dipaparkan di dalamnya adalah padat dan sarat dengan adab dan dakwah, agar setiap dari kita menjadi insan yang bersedia menghiasi dirinya dengan kelebihan-kelebihan yang dianjurkan Islam melalui pengajaran Allah dan Rasulullah saw. Tarbiyah Islamiyah adalah dendangan Para Nabi, mereka dihadirkan Allah dengan ilmu hakiki berupa wahyu ilahiyah dan hikmat nabawiyah yang mesti diketahui dan dimiliki oleh setiap umat manusia. Ilmu tersebut perlu disuburkan agar menjalar di setiap ruang dan anggota diri, menumbuhkan ranuman amal dan kelopak akhlak yang menghiasi alam kehidupan.

Ilmu yang hakiki hanya bertunas di hati yang bersih dan suci dari noda kesangsian terhadap kemenangan Islam. Ibaratnya seperti tanah subur yang dibajai benih-benih terbaik, ia mekar dan tumbuh lalu bercabanglah turus dahannya yang kukuh dan kuat. Kemudian ia memikat segala makhluk-makhluk di bumi sama ada kepada teduhan pepohonnya atau bebuahnya yang enak. Begitulah ajaran agama ini yang menjadikan hati adalah tumpuannya selepas akal. Akal yang disinari ilmu samawi yang hakiki, kemudian ia mesti menuju kepada hati untuk proses penyempurnaannya. Itulah tujuan dan hikmah agama Islam diturunkan melalui Para Rasul, bukan melalui Malaikat atau sesiapapun daripada kalangan makhluknya agar diterima umum oleh umat manusia.

Dunia ini sentiasa sukar buat kebaikan, ia penuh tipu daya yang tidak pernah diam daripada musuh dan jenteranya. Ramai yang menjadi korban, ramai juga yang gugur di perjalanan jihad membebaskan diri daripada perangkap duniawi itu. Mengapa terjadi demikian? Individu gugur. Institusi keluarga hancur. Masyarakat rosak dan negara hilang arah tuju terjerumus ke lembah kebinasaan. Islam adalah sebaik-baik jawapan. Ia menjawab dan ia menyelesaikan permasalahan umat. Rasulullah saw bekerja keras menjinakkan hati dan membersihkannya daripada kekotoran duniawi. Baginda mengajar umat manusia dengan kata-kata dan qudwah hasanah agar manusia mampu membentuk kemampuan akal dan kekuatan hati seiring dengan makna Khalifah yang dikehendaki oleh Allah swt.

Sudah pasti proses ini panjang dan sukar kerana halangan kemanusiaan yang dipenuhi kepentingan diri dan perebutan kuasa. Apakah kekuatan Islam seterusnya buat memikul amanah kubra ini? Ya, semuanya terpadu di dalam maksud Tarbiyah Islamiyah. Tarbiyah luas rangkumannya. Di dalam gerakan Islam seperti PAS contohnya, kita berharap setiap ahli memahami perkara ini dengan baik dan sentiasa menghulurkan diri untuk melaksanakan agenda tarbiyah. Kelak segala yang payah akan menjadi mudah. Itu janji Allah apabila segala usaha disucikan matlamatnya kepada-Nya. Sekarang, laman web Tarbawi kita luncurkan bukan sekadar untuk tatapan dan bacaan. Kita mengimpikan lebih daripada itu. Kita mahu mengikat hati-hati kita agar menjadi satu.

Laman web Tarbawi cuba memberi tumpuan khas kepada aspek-aspek pembinaan diri seorang Muslim agar setiap kita memperolehi sesuatu yang membantunya mempertingkatkan kefahaman dan mujahadah di dalam membina syakhsiah diri dan menjadi qudwah kepada semua peringkat manusia. Harapan kami, laman web ini menjadi panduan para du'at dan amilin di jalan dakwah yang istiqamah dan berjaya. Aspek tarbiyah adalah sangat penting di dalam perjuangan menegakkan agama, amat luas ruang dan cabangnya, dan besar sekali pengaruhnya ke atas setiap pejuang. Apatah lagi apabila ia menceburi daerah politik dan persaingannya yang sentiasa getir yang memerlukan peribadi pejuang yang gagah sekali rohaninya. Ia adalah bekalan yang akan menjadi penyelamat daripada penyelewengan dan kegelinciran di perjalanan.

Cuma, oleh kerana ia bersifat pembinaan diri dan tidak menampakkan hasilnya yang jelas dan cepat, maka sudut tarbiyah sering dialpakan. Maka berlakulah kesalahan dan kegagalan yang begitu mudah dan berulang-ulang yang mencacatkan dan merencatkan kelajuan dakwah. Justeru dakwah kepada tarbiyah diri dan jamaah hendaklah sering disuarakan dan tidak dipandang sepi oleh setiap pejuang di mana sekali-pun kedudukan mereka. Kerana PAS adalah sebuah gerakan dakwah yang berusaha membawa agenda yang syumul ini iaitu Islam. Medannya seluas capaian Islam dan matlamatnya setinggi matlamat Islam. Kejayaannya begitu bergantung kepada keupayaan merealisasikan tuntutan Allah di dalam al-Quran agar mereka menjadi hizbuLlah yang berjuang menegakkan ajaran agama-Nya yang agung.

Justeru seluruh aktivis PAS, khususnya Para Pemuda mestilah meletakkan tarbiyah sebagai tumpuan utama. Ia akan sentiasa membantu dan berguna di saat senang atau susah, menang atau kalah, sempit atau luas. Program dan aktiviti tarbiyah sekalipun tidak menarik sokongan politik dan undi masyarakat, tetapi ia akan memperkasakan penampilan para pejuang di medan perjuangan. Melalui tarbiyah, kita akan sering diperingatkan dengan kewajiban untuk menjadi duta terbaik yang memperkenalkan Islam. Laman web Tarbawi berusaha menjadi pembantu di medan tarbiyah dan perjuangan. Tanpa sokongan kalian, ia mungkin berjalan perlahan. Justeru sentiasalah menyokong laman web ini.

Ustaz Nik Mohammad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
Pengerusi Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-2013
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia