© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM

Wahdatul Fikr dan Wahdatul Amal dalam Konteks Amal Islami

Dalam gerakan dakwah, malah dalam apa jua organisasi terutamanya yang mempunyai misi yang besar, kesatuan pemikiran dan tindakan dalam kalangan pengikut dan pemimpinnya amat diperlukan agar semua tindakan dapat dilakukan secara terarah. Walau pun kesatuan ini seringkali disebut dan difahami kepentingannya, namun secara realitinya banyak organisasi termasuk gerakan dakwah sukar untuk mencapai tahap kesatuan yang maksimum. Tidak sukar difahami sekiranya ia masih berlaku dalam gerakan dakwah, kerana komitmen yang diberikan kepada gerakan ini berdasarkan kepada tahap keyakinan dan keimanan kepada Allah. Orang yang mempunyai tahap keyakinan dan keimanan yang tinggi sanggup mengorbankan segala kepentingan peribadinya demi mencapai matlamat gerakan dakwah. Realitinya, tidak semua ahli gerakan dakwah mempunyai tahap kefahaman dan keyakinan yang sama apatah lagi sekiranya keanggotaannya terdiri dari pelbagai latar belakang.

Oleh sebab itu, kesatuan ini perlu dipupuk dan diperingatkan dari masa ke semasa bagi menjamin semua anggota mempunyai kesatuan itu direalisasikan. Dalam sebuah organisasi yang besar dan keanggotaannya yang ramai apatah lagi dari latar belakang yang pelbagai, perbezaan pandangan tidak dapat dielakkan. Namun, perbezaan itu perlulah diurus dengan baik. Ia mestilah di bawah ruanglingkup bagi mencapai matlamat organisasi dan berdasarkan kepada pendekatan yang telah ditetapkan. Artikel ini akan membincangkan tentang cara untuk merealisasikan kesatuan fikir dan kerja dalam organisasi dakwah.

Kesatuan Fikir

Kesatuan cara berfikir merujuk kepada kesatuan matlamat dan pendekatan operasi sesebuah organisasi. Dalam bahasa pengurusan sekarang, ia mestilah mempunyai misi dan visi yang jelas dan difahami malah dihayati oleh semua mereka yang berada di dalam organisasi itu. Visi merupakan matlamat akhir yang ingin dicapai oleh sesebuah organisasi manakala misi pula merupakan tugas yang perlu dilakukan untuk mencapai visi berkenaan. Manakala objektif atau matlamat pula ialah sasaran-sasaran perkara yang ingin ditingkatkan dari masa ke semasa sehingga mencapai tahap yang dikehendaki. Ia adalah hasil daripada kita mengenal kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang yang ada.

1.    Visi Gerakan Islam
1.1    Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
1.2    Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Penjelasan
(a).    Visi utama bagi sesebuah gerakan Islam ialah mengajak dan menyeru manusia untuk memastikan akidah Islam diyakini oleh seramai yang boleh dan merealisasikan pelaksanaan syariat Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Gerakan Islam bergerak atas landasan akidah Islam yang meletakkan asas kebenaran hanyalah berdasarkan kepada al-Quran dan hadis manakala segala fahaman dan agama yang lain tersasar dari kebenaran.
(b).    Akidah ini menuntut usaha dakwah dilakukan untuk memastikan agama Islam tersebar luas. Matlamat tauhid dan dakwah ini sangat jelas disebutkan di dalam banyak ayat al-Quran berkaitan dengan matlamat pengutusan para rasul yang semuanya bermotifkan dakwah.

2.    Misi Gerakan Islam
Mempergiatkan usaha dakwah menerusi jalur politik dengan berusaha mencapai kemenangan di dalam pilihanraya bagi menegakkan sebuah negara Islam yang meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber perundangan yang tertinggi.

Penjelasan
(a).    Pelaksanaan Islam yang syumul tidak dapat dilakukan tanpa menerusi gerakan politik kerana usaha melaksanakan Islam akan berhadapan dengan sang penguasa. Sifat Islam itu sendiri yang membawa perubahan menyeluruh kepada masyarakat menyebabkan mereka tidak selesa kerana banyak kepentingan mereka akan terkorban. Oleh sebab itu, para rasul terdahulu berhadapan dengan penguasa di zaman mereka seperti Nabi Ibrahim dengan Namrud dan Nabi Musa dengan Firaun. Ini adalah resam perjuangan yang akan dihadapi oleh semua gerakan Islam.
(b).    Semata-mata kemenangan bukanlah misi gerakan Islam kerana Islam tidak menggunakan prinsip matlamat menghalalkan cara. Penglibatan dalam sistem politik kepartaian perlu menggunakan prinsip yang betul dan tidak melanggar perintah Allah.
(c).    Kemenangan yang dicapai itu pula, mestilah memastikan dakwah dan Islam dapat dilaksanakan. Berdasarkan kepada sejarah para rasul terdahulu, ada di kalangan mereka yang membawa misi dakwah itu sehingga dapat mengalahkan sang penguasa dan memegang tampuk pemerintahan seperti Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Nabi Muhammad SAW. Namun, ada pula yang tidak berjaya mengalahkan sang penguasa seperti Nabi Isa dan Nabi Zakaria. Dalam pada itu, mereka terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka untuk menyebarkan dakwah Islam. Ini bermakna ukuran kejayaan bukan kejayaan dalam pilihanraya atau mengalahkan pemerintah tetapi ukurannya ialah usaha yang telah digembeleng untuk menyebarkan dakwah Islam. Hal ini penting untuk ditekankan kerana ramai yang memberi ukuran kejayaan kepada gerakan dakwah itu berdasarkan kemenangan mengalahkan sang penguasa. Kalaulah itu sebagai ukurannya, maka ramai para rasul yang tidak berjaya lantaran belum dapat mengalahkan sang penguasa. Allah memberikan pahala bukan disebabkan kemenangan, tetapi berdasarkan kepada usaha yang telah dilakukan.

3.    Matlamat
3.1    Menyebarkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat menerusi segala medium yang ada
3.2    Menyampaikan mesej Islam kepada orang bukan Islam menerusi segala medium yang ada
3.3    Berusaha mempertahankan dan mengisi kemenangan bagi negeri yang telah dimenangi
3.4    Berusaha menghasilkan kemenangan bagi negeri yang belum dimenangi

Penjelasan
(a).    Melaksanakan Islam merupakan usaha yang mencabar kerana usaha yang baik tidak semuanya disukai. Ia akan berhadapan dengan nafsu manusia yang mempunyai keinginan yang tidak terbatas. Sifat nafsu yang tidak mahu dikongkong dan dibebankan dengan tanggungjawab menyebabkan manusia cenderung menolak kebenaran yang tidak sejajar dengan nafsu dan keinginannya. Malah ia turut menjadi cabaran kepada ahli gerakan sendiri dan keluarganya untuk melenturkan nafsu kepada apa yang Allah perintah. Justeru, gerakan Islam dan dakwah tidak dapat dipisahkan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para rasul yang terdahulu.
(b).    Usaha dakwah penting untuk dilakukan kepada semua manusia terutamanya kepada non-Muslim kerana asas hubungan dengan mereka ialah dakwah. Mereka perlu diberikan kefahaman Islam yang betul dengan dengan cara yang terbaik, tidak sampai tahap memaksa mereka.
(c).    Mencapai kemenangan merupakan suatu usaha yang perlu dibuat kerana pelaksanaan Islam dan dakwah akan lebih mudah apabila dapat memegang tampuk kuasa.
(d).    Mempertahakan kemenangan bagi negeri yang dimenangi adalah suatu kewajipan. Ia adalah lebih sukar dari usaha mencapai kemenangan kerana manusia akan memerhatikan bagaimana gerakan Islam mengisi kemenangan. Pelaksanaan Islam berteraskan kepada siyasah syariyyah perlu lebih diteliti dengan baik dan usaha membuat penyelidikan perlu diteruskan bagi mengeluarkan hukum dan hasil penyelidikan berteraskan kepada nas.

Kesatuan Amal
Kerja untuk merealisasikan negara Islam yang terlaksana di dalamnya perundangan Islam dan pelaksanaan prinsip Islam di dalam pentadbiran merupakan tugas yang berat yang tidak dapat dilaksanakan secara individu. Ia perlu dilakukan secara berkumpulan dalam bentuk yang lebih tersusun. Justeru; 
  1. Pembentukan ahli dan pimpinan melalui tarbiyyah dan perkaderan (takwin) perlu dilakukan secara berkala dari masa ke semasa.
  2. Perancangan gerak kerja yang strategik perlu dirancang dan difahami dengan baik oleh semua lapisan organisasi.
  3. Penyusunan sistem organisasi yang tersusun perlu dibuat dengan baik.
Halangan-halangan kepada kesatuan fikir dan amal
Terdapat beberapa halangan seperti:-
  1. Kelemahan dan kelembapan takwin.
  2. Kemasukan unsur-unsur fikrah yang pelik seperti post-modernisme.
  3. Munculnya berbagai firqah dan aliran dalam jamaah.
  4. Kelesuan kepimpinan (qiyadah) dalam memimpin dan kelemahan ahli pendokong (jundiyyah) untuk mengikuti perancangan dan arahan.
  5. Perencanaan yang spontan dan perlaksanaan yang kucar kacir.
Kesimpulan

Wahdatul fikri bermaksud kesatuan fikiran dalam meletakkan matlamat, halatuju, sikap dan pandangan dalam jama’ah. Wahdatul amal bermaksud kesatuan tindakan dalam menjayakan perancangan, penyusunan kerja dan tenaga ke arah mencapai matlamat bersama dalam jama’ah. Kedua-dua tema ini menjadi misi pembangunan laman web tarbawi iaitu menjadikan aktivis PAS memiliki wahdatul fikr dan wahdatul amal dalam melunaskan gerak kerja jamaah.
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-