© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Memahami Peringkat-peringkat Maslahah Seiring Makna Istiqamah Sehingga Kemenangan

Memahami Peringkat-peringkat Maslahah Seiring Makna Istiqamah Sehingga Kemenangan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 29 August 2015


Ilmu Islam itu berkait langsung dengan dua sumber utamanya iaitu al-Quran dan al-Sunnah Nabi Muhammad saw. Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang diturunkan mempunyai sebab-sebabnya yang dinamakan di dalam ilmu al-Quran dengan asbabun nuzul, misalnya surah al-Ahzab diturunkan bersempena dengan peristiwa al-Ahzab dan lain-lain lagi. Dalam Sunnah Nabi saw pula disebut asbabul wurud, merujuk kepada hadis tersebut mewakili sebab atau peristiwa yang berlaku di sebaliknya. Contohnya hadis “إنما الأعمال بالنيات”, bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan itu mestilah berdasarkan kepada niat”, di mana hadis ini bersempena dengan peristiwa Hijraturrasul.

Maka di atas roh itulah Ucapan-ucapan Dasar yang disampaikan oleh Yang di-Pertua atau Presiden PAS daripada dahulu sehingga kini, bahawa di sana ada sebab-sebab di sebaliknya. Jika dilihat pada era 80-an, tajuk-tajuk Ucapan Dasar ketika itu banyak menjurus kepada perkara serangan pemikiran dan idealogi yang mengancam aqidah umat Islam. Contohnya berkait dengan bahayanya isme-isme (ideologi) sekularisme, nasionalisme, sosialisme dan sebagainya serta memerangi dan meruntuhkan perkara yang disebut sebagai fahaman kebendaan (materialisme/ maddiyah), di mana semua itu adalah cabaran dihadapi oleh umat Islam pada zaman itu.

Seterusnya pada era 90-an, PAS mengorak langkah menterjemahkan Islam yang diperjuangkan melalui kuasa dimiliki khususnya di Kelantan dan Terengganu dengan mengangkat tema “Membangun Bersama Islam”, “Maju Bersama Islam” dan seterusnya. Kemudian di era millenium, kejayaan PAS bertahaluf siyasi dengan parti-parti lain telah berjaya meruntuhkan tembok antara PAS dengan bukan Islam, justeru Ucapan-ucapan Dasar yang dipilih berkisar kepada keterbukaan PAS dengan masyarakat bukan Islam dan antara yang mutakhirnya ialah yang bertajuk “Rahmat Untuk Semua”.

Perubahan tersebut juga dapat dilihat kesannya kepada persekitaran masyarakat dan lawan politik PAS, misalnya dalam isu berkaitan hudud. Tiada lagi kenyataan daripada pimpinan-pimpinan beragama Islam khususnya daripada Umno yang menghina, mencaci hukum hudud sepertimana era 80-an dulu dan semakin surut di era 90-an. Malah, stigma kebimbangan masyarakat kepada hudud semakin mengecil termasuk penerimaan positif daripada kalangan bukan Islam. Situasi itu membawa PAS berjaya menjalinkan tahaluf siyasi bersama dengan PKR, Barisan Alternatif dan kerjasama di luar parti bersama DAP.

Landskap Tahaluf Siyasi

PAS mengukuhkan lagi tahaluf siyasi di dalam Pakatan Rakyat, di mana natijahnya terlihat kejayaan pada sudut dakwah dengan orang bukan Islam. PAS berjaya meruntuhkan tembok pemisah dengan bukan Islam sehingga dapat bergaul erat dengan golongan itu. Sebelum itu masyarakat bukan Islam dimomokkan dengan bermacam-macam kebimbangan; Islam ini menindas, ekstrem dan seumpamanya. Bila PAS bersama, mereka melihat akhlak ahli-ahli PAS, sehinggalah kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ahli PAS yang bergerak dalam parti pasti mengalami pengalaman seumpama ini, khususnya dalam kerja-kerja pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum di mana PAS bersama-sama PKR dan DAP yang di kalangan mereka itu terdapat petugas bukan Islam. Misalnya bila tiba masuk waktu solat, anggota PAS menangguhkan tugas untuk solat terlebih dahulu, sebelum disambung kembali segala kerja buat. Mereka lihat akhlak ahli PAS dan merasa kagum hingga ada di kalangan mereka yang memeluk Islam.

Paling kurang mereka tidak bermusuh dengan Islam dan PAS melihat kewujudan DHPP memberi kesan daripada krisis dalaman yang berlaku di antara PAS dan Pakatan Rakyat. Ucapan Dasar ketika itu “Rahmat Untuk Semua” telah menggambarkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS bukan sahaja untuk orang Islam, tetapi juga untuk orang bukan Islam. Negara Berkebajikan, meluaskan kebajikan yang PAS hendak laksanakan bukan hanya untuk orang Islam, tetapi juga untuk orang bukan Islam. Dan ini dilaksanakan oleh PAS di negeri-negeri yang diperintah secara bersama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat iaitu di Kedah, Selangor dan Perak.

Akan tetapi PAS telah diuji dalam tahaluf siyasi sebagaimana yang telah diketahui umum sehinggalah ucapan-ucapan beberapa tahun kebelakangan ini banyak menjurus kepada usaha untuk memastikan ahli-ahli PAS supaya meneguhkan aqidah perjuangan. Memelihara agar tidak terkesan dengan unsur-unsur luar akibat daripada tahaluf siyasi PAS dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat. Kemuncaknya, pada dua Ucapan Dasar terkini, telah dibawa tema ‘Istiqamah’ setelah melihat wujud kegoyahan pendirian di kalangan ahli dan pimpinan PAS.

Tiga Sudut Pandangan

Secara umumnya, terdapat tiga golongan atau kategori ahli PAS kesan daripada kemelut yang belaku antara PAS dan Pakatan Rakyat:-
  1. Golongan Pertama; ialah mereka yang melihat bahawa PAS mestilah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat sekiranya mahukan kemenangan menawan Putrajaya iaitu hanya dengan Pakatan Rakyat sahaja impian itu mampu dicapai;
  2. Golongan Kedua; ialah mereka yang melihat PAS mesti bersama-sama dengan Pakatan Rakyat demi kepentingan dakwah Islam; dan
  3. Golongan Ketiga; ialah mereka yang melihat PAS mesti bersama-sama Pakatan Rakyat dengan meletakkan kepentingan prinsip dan politik Islam mengatasi kepentingan-kepentingan lain.
Pertama, mereka yang menganggap PAS tidak boleh menang tanpa Pakatan Rakyat, maka untuk mencapai cita-cita politik menawan Putrajaya, PAS mestilah melakukan apa sahaja walaupun terpaksa menggadaikan prinsip perjuangannya. Hanya mencari kemenangan dalam pilihan raya tanpa menilai kesannya kepada dasar Islam yang diperjuangkan PAS. Hinggakan terikut-ikut rentak dan dakwaan serta mesti menuruti pelbagai kajian yang kononnya resepi atau strategi kemenangan. Misalnya apabila DAP mengeluarkan kenyataan yang lantang berkenaan hudud, terdapat di kalangan pimpinan dan ahli PAS turut senada menyatakan hudud bukan keutamaan, boleh diketepikan dan PAS perlu menang dahulu. Hakikatnya matlamat PAS bukan sahaja untuk menang dalam pilihan raya, PAS juga mahu memastikan Islam dapat dibawa bersama. Tiada erti kemenangan tetapi PAS tidak boleh melaksanakan Islam, apatah lagi perkara yang menyentuh atau mengancam hak-hak orang Islam di dalam negara ini.

Kedua, mereka yang berpandangan PAS mesti bersama dengan Pakatan Rakyat demi untuk kepentingan dakwah dan Ketiga berpandangan demi menjaga prinsip dan kepentingan politik Islam.

Ketiga-tiga jalur pemikiran ini tidak satupun yang menafikan kepentingan tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat apatah lagi bekerjasama dengan Umno-BN sebagaimana yang dimomokkan oleh sesetengah pihak. Akan tetapi tahaluf siyasi yang dijalankan ini mestilah meletakkan Islam di hadapan dan memberikan keuntungan kepada Islam dan umat Islam.

Memahami Maslahah

Di sini terdapat pertembungan antara maslahah-maslahah di atas; di mana sebenarnya ketiga-tiga ini ada maslahahnya. Maslahah hendak menang, maslahah hendak dakwah dan maslahah kepentingan politik. Dalam Islam, ada tiga maslahah berdasarkan syariat Islam :-

Pertama, maslahah mu’tabarah iaitu maslahah yang berlandaskan kepada syariat Islam di mana dalam maslahah ini, sama ada logik atau tidak logik, ia wajib diterima. Menerima ketetapan halal dan haram adalah maslahah yang mesti diterima walaupun logik akalnya tidak boleh diterima. Sebagai contoh hukum berniaga arak diharamkan oleh Islam hendaklah diterima kerana ia satu maslahah walaupun logik akalnya ia sangat baik kerana memberikan keuntungan kepada ekonomi peniaga. Di sana ada maslahah-maslahah yang akal manusia tidak mampu capai tetapi wajib diterima.

Termasuk dalam perkara berkait dengan hukum hudud, ini perkara yang banyak akal manusia tidak mampu capai, tetapi wajib kena terima. Masalah hari ini ialah fahaman ataupun serangan pemikiran baru mempengaruhi minda umat Islam yang boleh disebut golongan al-aqliyyun. Golongan ini mengikuti akal hingga mengenepikan syariat iaitu ikut logik semata-mata.

Kedua, maslahah mulghah iaitu maslahah yang terbatal. Contohnya ialah, bermuamalat dengan riba untungnya satu maslahah. Tetapi ia maslahah yang mulghah.

Ketiga, maslahah mursalah. Ia tidak akan tercapai dan dapat dilihat hanya oleh golongan tertentu, iaitu mereka yang mempunyai ilmu mendalam berkait syariat Islam terutama dari sudut memberikan ijtihad-ijtihad. Contohnya, semasa zaman Abu Bakar ra, apabila diberikan cadangan oleh Umar al-Khattab ra supaya ditulis dan dibukukan al-Quran. Abu Bakar tidak setuju lalu berkata (maksudnya), “Bagaimana aku akan setuju hal yang Nabi tidak lakukan.” Lalu Umar berkata “Ini satu maslahah.” Kerana pada ketika itu ramai Sahabat yang hafal al-Quran mati syahid. Jadi untuk memastikan generasi akan datang mempunyai sumber al-Quran yang teguh, hendaklah ditulis supaya tidak lupa. Akhirnya pandangan Umar al-Khattab itu diterima dan dilaksanakan.

Dalam konteks memahami maslahah-maslahah kebersamaan PAS dalam tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat ramai di kalangan ahli-ahli PAS berada dalam keadaan dilema untuk menilai maslahah manakah yang patut didahulukan. Adakah maslahah untuk menang atau maslahah da’wah mengatasi maslahah politik Islam? Di sinilah para ilmuwan Islam meletakkan satu ilmu yang dinamakan dengan Fiqh al-Awlawiyyat dan Fiqh al-Muwazanah untuk menilai perkara-perkara di atas dengan adil berlandaskan nas syara’ bukannya semata-mata dengan akal dan logik. 

Misalnya maslahah dakwah penting, dalam masa yang sama maslahah kepentingan politik Islam juga penting. Maka perlu kepada penilaian mendahulukan perkara yang mesti didahulukan. Atas kepentingan dakwah dipertahankan Pakatan Rakyat kerana dahulu tidak boleh menyampaikan dakwah Islam, tetapi sekarang boleh, maka tidak mungkin diabaikan begitu sahaja.

Ada yang memilih untuk meletakkan kepentingan politik Islam mengatasi kepentingan-kepentingan lain hatta kepentingan dakwah sekalipun. Kalau dilihat pada sirah Nabi Muhammad saw, dalam beberapa peristiwa Baginda mendahulukan kepentingan politik Islam daripada kepentingan dakwah.

Antaranya ialah, Nabi Muhammad saw berdakwah selama 13 tahun di Makkah. Berdakwah kepada Musyrikin siang dan malam, menemui individu-individu dengan ziarah, dialog dan seumpamanya. Tetapi Baginda tinggalkan Makkah walaupun ada kepentingan dakwah di situ kerana ada kepentingan politik Islam. Iaitu diizinkan kepada Nabi saw untuk membina sebuah negara yang berasaskan kepada Islam. Ada kuasa untuk tegakkan Islam, kerana itu Baginda saw tinggalkan kepentingan dakwah dan mengambil kepentingan politik Islam.

Ditambah lagi kepentingan politik Islam boleh melindungi kepentingan dakwah. Jika diambil dakwah sahaja tanpa kuasa, pasti akan berakhir begitu sahaja. Boleh diteruskan dakwah, tetapi kesannya hanya berlegar di sekitarnya sahaja. Tetapi apabila memiliki kuasa politik Islam, ia akan melindungi kepentingan dakwah.

Posisi Gerakan Islam PAS

Di sinilah dapat dilihat PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, keutamaannya adalah politik Islam. Di sana ada kumpulan-kumpulan Islam yang meletakkan keutamaannya pada sudut ekonomi Islam, dakwah Islam, membentuk rohani dan sebagainya. Sebagai Gerakan Islam, walaupun tanpa kuasa PAS boleh berdakwah, boleh buka kedai berniaga ikut ekonomi Islam, boleh membersihkan diri rohani masing-masing di rumah. Tetapi bila ada kuasa, semua kepentingan ini akan terpelihara dan terjaga.

Sebab itulah musuh-musuh Islam takut apabila orang Islam ada kuasa kerana mereka tidak mahu lihat sistem Islam diamalkan dalam pemerintahan. Sekiranya orang Islam ada kuasa, sistem ekonomi akan jadi Islam, sistem perundangan akan jadi Islam, sistem pendidikan akan jadi Islam, sistem masyarakat akan jadi Islam, memberikan banyak kebajikan pada masyarakat dan seumpamanya. Tetapi segala yang berlaku dalam PAS bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat telah menyebabkan ahli-ahli menjadi keliru antara kepentingan dakwah dan kepentingan politik Islam.

Misalnya isu Projek IC (kad pengenalan) di Sabah di mana tercatat dalam Buku Jingga, sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU Ke-13 yang lepas, isu itu akan diselesaikan. PAS tidak bersetuju hingga di kalangan pimpinan dan ahli PAS ada yang marah mempertikai pendirian itu. Mereka cenderung kepada maslahah menjaga keharmonian Pakatan Rakyat dengan PAS menerima segala yang disebut dalam Buku Jingga itu tanpa sebarang bantahan. Sedangkan pendirian PAS adalah kerana maslahah politik Islam. Benar mereka yang dapat IC di Sabah itu dimanipulasikan oleh Umno-Barisan Nasional. Tetapi mereka itu kebanyakannya adalah orang-orang Islam. PAS menjaga maslahah saudara-saudara se-Islam.

Contoh kedua ialah isu Ketua Menteri Negeri Sarawak. Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jika Pakatan Rakyat menang, akan dilantik Baru Bian. PAS menolak hingga terdapat kalangan pimpinan dan ahli yang marah melihat ia sebagai perbalahan. Sedangkan ini juga berkait maslahah politik Islam. PAS tegas dalam masalah ini dan mereka yang berpegang kepada kepentingan untuk menang tidak bersetuju. Mereka yang berpegang kepada kepentingan dakwah juga sama tidak bersetuju atas alasan ia mengguris hati dan perasaan orang bukan Islam. Dalam perjuangan ini, mesti letak ke tepi soal emosi, rasional perlu ikut syarak.

Contoh ketiga, isu kemelut Menteri Besar Negeri Selangor. Semasa Datuk Seri Anwar hubungi Presiden PAS untuk bertemu, PAS wakilkan Setiausaha Politik, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertemu Anwar. Turut sama ketika itu Rahim Gouse, Rafizi Ramli dan Saifudin Nasution. Mereka mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukar untuk menjadikan Selangor sebagai model seperti Erdogan di Turki. Erdogan mula-mula menjawat Datuk Bandar Istanbul, bergerak selangkah demi selangkah hingga menjadi Perdana Menteri. PAS menolak sebab tidak ada alasan dari segi syarak yang membolehkan untuk menukar Tan Sri Khalid daripada kedudukan Menteri Besar untuk digantikan dengan orang lain. Kemelut isu MB Selangor ini berpanjangan sehingga hampir setahun. Dan hari ini terbukti pendirian yang diambil oleh PAS ini betul dan tepat.

Erti Istiqamah

Ucapan Dasar baru-baru ini “Beristiqamah Hingga Kemenangan” adalah ubat merawat ribut dan kemelut yang melanda. Terdapat di sana tiga jalur pemikiran ahli PAS. Pertamanya, kemelut PAS dengan Pakatan Rakyat; mestilah kembali kepada asas iaitu istiqamah dengan dasar perjuangan Islam.

Istiqamah ialah satu kalimah Arab atau lafaz Arab yang berasal daripada “qawama” ataupun “qama” yakni berdiri, sebagaimana dalam kamus. Dalam bahasa Arab, apabila satu kata perbuatan yang didahulukan dengan dengan huruf iaitu “alif sin tha”. Maka ia memberi maksud diminta untuk melakukan perbuatan itu. Kalimah “kharaja” yakni keluar, bila disebut “istakhraja” maknanya orang itu meminta untuk dikeluarkan sesuatu. Kalimah “qama” yakni berdiri, bila dimasukkan “alif sin tha” menjadi “istaqama” seterusnya kata masdarnya ialah “istiqamah” memberi maksud diminta untuk berdiri teguh tegak. Dari segi istilah pula ia memberi maksud “suluku assirat al-mustaqim”, melalui jalan yang lurus. Iaitu dengan melakukan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya, lalu kekal dalam keadaan demikian selama-lamanya. Ini maksud al-Istiqamah.

Dalam al-Quran dan juga hadis Nabi saw disebut istiqamah ini dalam beberapa bentuk dan gambaran. Ada disebut dalam bentuk doa, ini yang dilihat dalam surah al-Fatihah. Disebut dalam bentuk doa, memohon;
اهدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
“Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan yang Engkau beri nikmat kepada mereka.”

Disyarah dalam ayat yang lain, iaitu Nabi-nabi, orang-orang yang benar. “Bukan jalan mereka yang Engkau murkai ke atas mereka dan bukan jalan orang yang sesat.”

Kedua ialah Allah Taala sebut dalam bentuk memuji dan menjanjikan orang yang istiqamah;
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata tuhan kami ialah Allah kemudian mereka istiqamah, mereka tidak takut dan mereka tidak bersedih.” (surah al-Ahqaf: 13)

Allah Taala sebut mereka adalah ahli-ahli Syurga; kekal di dalamnya hasil daripada perbuatan yang mereka lakukan semasa hidup di atas muka dunia ini. Ini disebut dalam bentuk Allah Taala memuji dan menjanjikan.

Ketiga, kalimah istiqamah disebut dalam bentuk perintah. Nabi sebut dalam satu hadis;
قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ، ثُمَّ اسْتَقِمْ
“Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian hendaklah kamu istiqamah.” (riwayat Muslim)

Istiqamah dengan melaksanakan perkara yang disebut tadi. Ulama-ulama menyebut bahawa istiqamah ini memerlukan kepada beberapa tuntutan.

Pertama, tuntutannya ialah ma’rifatu tariqi istiqamah. Tuntutan pertama hendak jadi orang yang istiqamah, dalam konteks ahli PAS mestilah tahu dan kenal jalan istiqamah, maksudnya menuntut ilmu. Jalan istiqamah Islamlah yang diperjuangkan berlandaskan kepada al-Quran dan Sunnah Nabi. Maknanya kita mestilah mempunyai ilmu pengetahuan. Sebab itulah ulama menyebut “al-imu qabla amal”, “ilmu sebelum daripada amal”. Orang muda orang yang bersemangat, semangat ini dituntut, semangat itu satu kemestian. Tetapi semangat sahaja tidak boleh, mestilah dipandu dengan ilmu pengetahuan. Masalah yang berlaku pada hari ini di kalangan umat Islam kerana kekurangan ilmu. 

Jahil tentang ilmu, buat sesuatu kerana semangat bukan ilmu. Bukan sahaja dalam masalah perjuangan, hatta dalam masalah ibadah sekalipun. Sebab itu Nabi beri peringatan dalam satu hadis, bila Nabi dengar tiga Sahabat bercakap. Seorang kata hendak sembahyang sepanjang malam tidak tidur. Sahabat kedua kata hendak berpuasa sepanjang tahun dan Sahabat ketiga kata hendak beribadah kepada Allah tidak mahu berkahwin. Lalu Nabi menegur mereka sambil bersabda; aku adalah sebaik-baik manusia, aku bangun sembahyang malam dan bila tiba mengantuk aku akan tidur, aku berpuasa, bila tiba masa berbuka aku makan dan aku berkahwin dengan perempuan-perempuan. Ini dalam masalah ibadah sahabat-sahabat tadi semangat tinggi, tetapi hendak buat tidak berlandas pada ilmu.

Dalam perjuangan pun begitu, jangan kira semangat hendak menang sahaja, tetapi ilmu Islam entah ke mana. Perlu pandu semangat ini dengan ilmu Islam. Ada di kalangan anak muda yang bersemangat untuk berjihad sehingga menolak masuk pilihan raya. Hakikatnya, duduk dalam PAS ini sudah berjihad, kerana jihad ini bukan maksudnya semata-mata dengan angkat senjata, konsep jihad ini sangat luas.

Dari sudut ilmu politik Islam, iaitu dalam PAS meletakkan institusi Majlis Syura Ulama sebagai institusi paling tinggi, walaupun PAS adalah parti politik. Politik PAS berteraskan kepada demokrasi iaitulah demokrasi Islam yang diperjuangkan. Kerana itulah dalam muktamar bila usul daripada Dewan Ulamak kata mesti diputuskan hubungan dengan DAP dan riuh sehingga perwakilan kata mesti bahas, Datuk Mustafa Ali menjelaskan bahawa tahaluf siyasi ini diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak. Ia dibincangkan dengan ilmu berasaskan kepada kaedah-kaedah ilmu Islam di mana al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias dengan diistinbatkan hukum dan diharuskan untuk bertahaluf siyasi, maka yang boleh membatalkan tahaluf siyasi ini adalah Majlis Syura Ulamak.

Ada yang kata ini tidak demokrasi kerana sepatutnya dibahas dalam muktamar. Sebab itulah demokrasi yang PAS ikut adalah demokrasi Islam. Britain ada cara demokrasi dia, Amerika ada cara demokrasi dia. Maka Islam yang diperjuangkan oleh PAS ada demokrasi cara sendiri. Soal hukum syarak tidak boleh dibincangkan secara umum begitu. Tidak oleh diundi, tidak boleh lari daripada prinsip Islam. Dalam demokrasi suara yang paling tinggi, suara yang paling banyak dikira menang, kena ikut walaupun bercanggah dengan syariat Islam, PAS tidak begitu. Hal ini jelas dinyatakan dalam al-Quran;
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِن يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ
“Sekiranya kamu mentaati berdasarkan majoriti (pendapat ramai di kalangan manusia) di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu, mereka tiada menurut kecuali sangkaan (bukan mengikut neraca wahyu).” (surah al-Ana’am: 116)

Dalam Islam yang penting kebenaran itu adalah al-Quran dan Sunnah Nabi walaupun 99% tidak setuju. Di sinilah PAS bincang isu tahaluf siyasi dengan Majlis Syura Ulamak kerana itulah institusi yang paling layak untuk dibincangkan dari sudut hukum-hakam syarak, melibatkan aslahah jangka masa pendek, jangka masa panjang dan seumpamanya. Sehinggalah Majlis Syura Ulamak mengeluarkan keputusan terbatalnya tahaluf siyasi dengan DAP, tetapi kekal dengan Pakatan Rakyat dan bersama-sama dengan PKR.

Oleh itu, ilmu politik Islam ini sangat penting dan institusi Majlis Syura Ulamak adalah institusi yang mengolah ilmu politik Islam untuk dikeluarkan ijtihad-ijtihad sebab ia boleh menjadi landasan kepada Parti Islam Se-Malaysia, PAS.

Kedua, setelah tahu mesti beramal. Orang istiqamah tidak boleh tahu sahaja kemudian tidak beramal. Alhamdulillah ahli-ahli PAS tahu dengan belajar dalam usrah, belajar dalam tamrin dan beramal dalam tindakan mereka.

Ketiga, adalah “al-jihadu biha”, “berjihad berjuang untuk menegakkannya”. Bukan sahaja beramal untuk diri dan keluarga tetapi juga di luar masyarakat, bergerak dengan masyarakat di bandar di kampung untuk menegakkan Islam yang diperjuangkan. Di sinilah Allah sebut dalam ayat 14 surah al-Kahfi;
وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا
“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata; Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Ashabul Kahfi adalah label yang digolongkan oleh Allah sebagai golongan yang diteguhkan hati-hati mereka, bila mereka bangun mereka tidak bangun sahaja tetapi mereka bergerak, lalu mereka berkata tuhan kami Allah. Di sinilah ahli PAS, yang aqidah perjuangannya ialah Islam, bangun dan gerakkan masyarakat, itu jihad mereka. Manakala terakhirnya adalah teguh dengan jalan istiqamah. Di sinilah tajuk ucapan dasar baru-baru ini terus beristiqamah kerana mahu istiqamah di dalam jihad ini menjadi amalan dan ilmu yang dijadikan sebagai teras berlandaskan kepada al-Quran dan sunnah Nabi saw.

Itulah yang disebut terus beristiqamah dengan segala macam ujian dan cabaran yang dilihat hari ini daripada dalam dan luar. Termasuklah juga daripada musuh-musuh Islam pada konteks lebih luas hendak terus beristiqamah dan in’sya-Allah, walaupun PAS melalui pelbagai ujian dan cabaran pada hari ini; PAS akan terus beristiqamah.

Istiqamah dengan dasar perjuangan Islamnya, istiqamah dengan pendekatan wasatiyah, istiqamah dengan perjuangan Islam dalam konteks negara Malaysia yang demokrasi dan mempunyai masyarakat majmuk. Juga mempunyai teras-terasnya dari sudut Islam sebagai agama persekutuan, dari sudut hak-hak orang Islam, dalam masa sama menjaga hak-hak orang-orang bukan Islam, termasuk dari sudut muwajahah silmiyyah yang PAS gunakan.

Biodata Penulis

Penulisan ini disusun oleh Saudara Izwan Abdul Halim daripada ucapan Ustaz Muhamad Khalil Abdul Hadi pada pembentangan pada Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak di PASTI al-Irsyad, Piasau, Miri, Sarawak.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-