© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Membongkar Kegiatan Memanipulasi Tokoh Antarabangsa Melekehkan Usaha Pengkanunan Enakmen Jenayah Syariah di Malaysia

Membongkar Kegiatan Memanipulasi Tokoh Antarabangsa Melekehkan Usaha Pengkanunan Enakmen Jenayah Syariah di Malaysia

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 29 August 2015


Antara hikmah kebijaksanaan Islam sebahagiannya terkandung dalam ungkapan لكل مقام مقال yang memberikan maksud “setiap tempat itu ada bicaranya”. Kaedah ini sangat tepat apabila kita berbicara tentang perjuangan menegakkan undang-undang Syariah di tempat-tempat yang berbeza situasi dan realiti masyarakatnya seperti antara Tunisia atau Turki dengan Malaysia. Ada pihak yang sengaja meng“import” pemain-pemain luar (tokoh-tokoh antarabangsa) untuk tujuan berkempen secara songsang memperkecilkan usaha PAS sejak 25 tahun lalu bagi merealisasikan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan. Dibawanya tokoh-tokoh politik dari bumi Tunisia sebagai satu kempen secara halus meninggalkan perjuangan tersebut dengan hujah kononnya itulah kaedah perjuangan yang sepatutnya dirintis oleh rakyat Muslim Malaysia.

Setelah PAS maju selangkah ke depan dalam usaha menegakkan Syariat Islam selepas kemenangan 1990 di Kelantan, maka datang seruan untuk mundur ke belakang. Atas nama inginkan kemenangan semata-mata, kuasa politik dan bimbangkan sokongan bukan Islam terjejas maka seruan ini cuba dirasionalkan atas nama hujah beragama dengan cara mengekploitasi tokoh-tokoh ulamak luar negara. Kenyataan mereka diselewengkan dan perbezaan situasi antara negara mereka dengan negara kita tidak diterangkan secara saksama. Ini jelas suatu jenayah akademik!

Kerja yang sebelum ini dilakukan oleh rejim parti pemerintah, telah diwarisi oleh serpihan-serpihan PAS dengan dokongan bekas rakan kerjasama politik PAS. Tindakan songsang mereka ini walaupun dijenamakan atas nama sarjana Islam, ia adalah sangat pelik. Mereka lupakah dengan kaedah Islam yang menegaskan; الحكم على الشيء فرع عن تصوره yang bermaksud, “pengadilan terhadap sesuatu itu adalah cabangan daripada gambaran sebenar terhadap sesuatu.”

Adakah “pemain import” tersebut diberikan kefahaman yang tepat dan terang tentang realiti dan situasi rakyat muslim di Malaysia? Termasuklah situasi perundangan negeri, negara dan perlembagaannya serta tahap pengamalan Islam serta usaha dakwah bertahap yang telah digarap oleh PAS sejak sekian lama? Jika tidak, ia merupakan satu tindakan yang tidak adil, jenayah ilmu dan memperalatkan seseorang untuk kepentingan politik songsang yang tidak menyumbang untuk kebaikan Islam.

Realiti di Tunisia atau Turki sekalipun, masih menebal jiwa rakyatnya terhadap amalan-amalan sekular, sama ada dalam perundangan dan perlembagaannya, amalan Islam majoriti rakyat mereka yang jauh daripada sunnah al-nabawiyyah. Realiti kehidupan masyarakat di Tunisia mahupun Turki masih kabur pengamalan Islamnya, tentulah sangat berbeza dengan negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kuasa melaksanakan Islam yang ada pada setiap kerajaan negeri, juga pengamalan beragama masyarakatnya yang telah dididik menerusi sistem pendidikan rasmi negara dan juga institusi pendidikan rakyat.

Kembalilah kepada kaedah “أهل مكة أدرى بشِعابها” bermaksud, “penduduk Mekah lebih tahu segala lorong-lorongnya”. Ia bermaksud sarjana Islam setempat lebih memahami realiti di negara sendiri bagi menilai kaedah dan pendekatan dakwah dalam menegakkan Islam.

Dalam pertemuan saya dengan Syeikh Rasyid Ghannousi selaku pemimpin tertinggi parti al-Nahdhah, saya jelaskan tentang wujudnya bekas pimpinan Parti Islam Semalaysia (PAS) yang ingin menubuhkan parti baru dan digazetkan juga sebagai parti Islam. Antaranya atas semangat tidak bersetuju kerjasama politik dengan parti sosialis diputuskan. Mereka pula mengajak dan menghasut ahli PAS menyertai mereka dan meninggalkan parti PAS. Respon spontan Syeikh Rasyid Ghannousi, “هذا التشويش”, maksudnya “ini gangguan (cubaan untuk mengelirukan).”

Saya membawa surat khas perutusan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS kepada Syeikh Rasyid Ghannousi yang menjelaskan keadaan terkini Parti PAS dan hubungan kerjasama politik dengan parti-parti yang tidak memperjuangkan politik Islam yang diputuskan dan sebab-sebabnya. Juga suasana terkini politik tanah air Malaysia. Saya sendiri menjelaskan ada pihak yang secara sengaja atau tidak, telah menjemput pimpinan Nahdhah ke Malaysia untuk berbicara tentang perjuangan menegakkan Syariah Islam termasuk undang-undang jenayah Islam. Barangkali tujuannya untuk dilihat bahawa perjuangan tersebut tidak sesuai di Malaysia. Juga barangkali sebagai isyarat kononnya tindakan menubuhkan parti baru dengan “mencuri” ahli-ahli PAS ada sokongannya daripada gerakan Islam di Timur Tengah.

Jika anda tersesat janganlah pula cuba menyesatkan yang lain! Sekian.

Biodata Penulis

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri dilahirkan pada tahun 1973 di Kg. Baru, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Beliau merupakan anak sulong dari 16 orang adik-beradik. Mendapat pendidikan di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin (Atas) Batu Buruk, Kuala Terengganu 1988-1992 (SPM 1990) kemudian melanjutkan pelajaran ke University of Jordan (B.A Bahasa Arab & Kesusasteraan 1992-1996), Aal al-Bayt Univ. Mafraq, Jordan M.A Bahasa Arab & Kesusasteraannya (1996-2000). Beliau merupakan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat. Tulisan ini seusai pertemuan dengan Syeikh Rasyid Ghannusi, Presiden Parti Nahdhah, Tunisia pada hari Isnin, 9 Zulkaedah 1436 H bersamaan 24hb Ogos 2015.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-