© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » PAS: Harakah Islamiah dan Parti Politik

PAS: Harakah Islamiah dan Parti Politik

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 23 July 2017


Sejarah kewujudan PAS bermula dengan gerakan pembaharuan Islam yang dipelopori oleh kaum muda yang kemudiannya mewujudkan Majlis Tertinggi Agama Se-Malaya (MATA) sebagai satu sayap agama dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 22 Mac 1947. Daripada penubuhan MATA ini lahirnya pula parti Islam pertama iaitu Hizbul Muslimin pada 24 Mac 1948. Terdapat tiga dasar utama yang telah digariskan oleh pertubuhan Islam ini. Pertama, untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, kedua untuk membentuk negara Islam sejagat dan ketiga untuk mewujudkan Tanah melayu sebagai sebuah Darul Islam.

Hizbul Muslimin telah bergerak ke seluruh negara melalui kegiatan sosio-politiknya, iaitu MATA dan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR). Parti ini menjadi lebih kuat lagi dengan mendapat sokongan daripada PKMM, parti kiri yang menjadi saingan Umno. Hizbul muslimin juga menjadi ancaman pada Umno sehingga Penubuhan Hizbul Muslimin sedikit sebanyak telah memberi tamparan kepada Umno. Pada tahun 1947 telah tersiar secara meluas kenyataan Dato’ Onn Jaafar yang memberi amaran bahawa bahaya akan turun dari gunung, “hubaya, hubaya dari gunung” (awas dan berjaga-jaga).

Hizbul Muslimin lantang menegaskan bahawa haram untuk berada di bawah penjajah dan menyeru umat Islam supaya bersatu mencapai kemerdekaan. Inggeris melihat tentang bahaya Hizbul Muslimin. Dato’ Onn YDP Umno bersetuju dengan British bagi mengharamkan Hizbul Muslimin yang dianggap sebagai Parti Islam Merah. Beliau menggelarkan Hizbul Muslimin sebagai “Bahaya Dari Gunung”. Berikutan dengan itu pengistiharan darurat pada 18 Jun 1948, pihak berkuasa British telah menahan pemimpin-pemimpin Hizbul Muslimin dan partinya diharamkan. Turut sama diharamkan ialah PKMM, Angkatan Wanita Insaf dan Pembela Tanah Air. Yang dibiarkan hidup hanya Umno.

Apabila Hizbul Muslimin diharamkan banyak di kalangan ahli dan pemimpinnya telah menyertai Bahagian Agama dan Pelajaran Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Melalui bahagian Agama dan Pelajaran Umno, para ulama’ telah mengadakan persidangan ulama’ Malaya di Muar pada 21 Feb 1950 dan persidangan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Dalam persidangan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 yang turut dihadiri oleh ulama’-ulama’ Hizbul Muslimin, usul penubuhan Persatuan Ulama’ Malaya telah diluluskan. Kemudian satu persidangan Ulama’ Malaya yang bertujuan untuk menubuhkan Persatuan Ulama’ Malaya telah diadakan di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951 tanpa penglibatan Bahagian Agama dan Pelajaran Umno.

Dalam persidangan ini nama Persatuan Ulama’ Malaya telah ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya, dalam tulisan jawi disebuat PAS. Dalam persidangannya di Kepala Batas pada 4 Januari 1953 PAS telah menetapkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara yang bercorak Islam. Adalah satu pembohongan seperti yang diucap oleh pemimpin Umno yang mengatakan PAS tidak mahu merdeka dan PAS adalah anak didik penjajah. Kata-kata Prof. Zulkifli Muhammad telah menjawab tuduhan ini:

“Salah besar hukumnya bagi orang Islam duduk di bawah penjajahan asing yang tidak seagama dengannya. Sebab itu umat Islam adalah diwajibkan oleh tuhannya memperjuangkan kemerdekaan bagi melepaskan dirinya dari ikatan penjajah. Nyatalah bahawa memperjuangkan kemedekaan itu bagi umat Islam, dan parti politik Islam, bukan sahaja merupakan kewajipan perintah agama, perintah Tuhan yang mesti dijunjung dan dilaksanakan.

Kelahiran PAS di negara ini satu proses yang panjang kerana sesuai dengan fitrah perjuangan Islam itu sendiri yang terpaksa melalui liku-liku perjuangan dan rintangan yang terpaksa dihadapi. Ia lahir bukan kerana tidak puas hati untuk mendapat habuan dunia, ia lahir bukan kerana kehendak mana-mana individu, ia lahir bukan kerana kalah mana-mana individu yang gagal merebut jawatan dalam mana-mana parti. Tetapi lahir atas sahutan untuk menyempurnakan arahan Allah yang perlu ada sebuah jama’ah yang mempunyai cita-cita untuk menegakkan Islam di atas muka bumi ini sesuai dengan seruan Allah Ta’ala yang berbunyi:
 وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Hendaklah ada di kalangan kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah Aali-Imran, ayat 104)

Untuk mencapai cita-cita bagi menegakkan “amar makruf” dan “nahyu anil munkar” ia tidak boleh dilaksanakan kecuali mempunyai kuasa politik (kerajaan), kerana kerajaan sahaja yang boleh melaksanakan perintah dan larangan apatah lagi untuk menguatkuasakan undang-undang Allah. Seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ ketika berada di Madinah. Baginda ﷺ tidak boleh melaksanakan “amar makruf” dan “nahyu anil munkar” dengan sempurna ketika berada di Makkah kerana Baginda ﷺ tidak mempunyai kuasa politik. Tidak cukup bagi PAS sebagai sebuah Harakah Islamiah hanya bergantung kepada ceramah dan kuliah sebaliknya ia memerlukan kuasa bagi memastikan bahawa tuntutan Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Justeru, kita bekerja untuk mencapai cita-cita menegakkan Negara Islam yang tunduk kepada undang-undang Allah hukumnya adalah wajib. Seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal 3. Dasar PAS ialah ISLAM. Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah Islam yang lengkap (syumul), merangkumi semua perkara sama ada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain yang merangkumi urusan hidup dan mati. PAS mahu memperjuangkan “al-Din wa Daulah” (agama dan negara). Di dalam Fasal 5 pula, Tujuan PAS ditubuhkan ialah untuk:
  1. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
  2. Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Di dalam Fasal ini jelas bahawa PAS berusaha untuk mewujudkan pemerintahan Islam (Negara Islam) sejak dari awal penubuhan lagi yang tidak pernah PAS berkompromi (bertolak ansur) untuk menggugurkan matlamat Negara Islam walaupun pimpinan PAS silih berganti. Fasal 6: Usaha-usaha PAS mengandungi misi:
  1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.
  2. Memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke-Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
  3. Memupuk dan memperkuatkan ukhwah Islamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
  4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.
  5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta intitusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat islam dan rakyat seluruhnya.
  6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ia mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
  7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi Negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan Bahasa al-Quran.
  8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.
  9. Memperjuangkan hak dan kepentigan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
  10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
  11. Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.
Maksud Harakah Islamiyah Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja (amal) massa (sya’biyy) secara berkumpulan (jama’ie) yang tersusun (munazzam) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan. Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata-kata atau tulisan dan buku walaupun ia juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan. Firman Allah Ta’ala:
وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ
“Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, Rasul-Nya dan orang- orang beriman akan melihat amalan kamu.” (Surah al-Taubah, ayat 105)

Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripada-Nya, bukan daripada manusia. Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya. Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.

Justeru, gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya. Perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung. Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’. Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja yang berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.

Kewajipan untuk bekerja secara berjama’ah ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu arahan Allah dan realiti amal Islami. Islam mengarahkan kerja dakwah mesti secara berkumpulan bukan secara persendirian. Seperti dalam sebuah hadis ada disebutkan:
الْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ، وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ
“Jama’ah itu rahmat, berpecah adalah musibah.” (martabat hadis: marfuk)

Adapun realiti amal Islami, sesuatu hasil itu tidak akan sempurna kecuali jika dilakukan secara bersama. Kerja yang besar tidak akan sempurna kecuali melalui usaha yang saling bergandingan. Firman Allah Ta’ala:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam satu saf yang tersusun seolah-olah mereka bagai sebuah bangunan yang kukuh.” (Surah al-Saff, ayat 4)

Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ia diterajui kepimpinan yang bertanggungjawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi. Mereka diikat dengan syura yang wajib didengari dan ditaati.

Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam. Sebenarnya ia tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebab-sebabnya:
  1. PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam Umno.
  2. PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajah yang dipelopori oleh para ulama’ sebelumnya. Para ulama’ yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Timur Tengah (Mesir).
  3. Dalam gerakan Islam, tarbiah dan fikrah diibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiah dan dakwah.
  4. Dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan dakwah semata-mata. PAS boleh bertanding di dalam pilihanraya untuk mendapat kuasa dan mendaulatkan Islam.
  5. Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwan al-Muslimun di negara-negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.
  6. Jika PAS hanya gerakan politik semata-mata sudah pasti PAS telah terkubur di Malaysia seperti apa yang dialami oleh parti-parti pembangkang di negara ini. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan. Maksud “Tajdid” (tajdid al-din) adalah satu istilah nabawi daripada hadis Rasulullah ﷺ:
إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
“Sesungguhnya Allah pasti akan mengutuskan untuk umat ini, di hujung setiap seratus tahun, orang yang akan memperbaharui (tajdid) untuk mereka akan agama mereka.” (Riwayat Abi Daud dan al-Hakim)

Walaupun kebanyakan ulama’ melihat bahawa kalimah ‘مَنْ’ itu merujuk kepada individu, tetapi beberapa ulama’ terkemuka seperti Ibnu al-Athir dan al-Hafiz al-Zahabi pula melihat ia bukanlah satu kemestian, bahkan ia mungkin bermaksud satu kumpulan ulama’ yang bersama-sama membawa tajdid agama. Dan, alangkah benarnya jika kumpulan ulama’ yang melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran dan amal yang tersusun dan saling bahu-membahu. Inilah syarah terhadap hadis di atas yang paling baik dan realiti (waqi’) untuk kebangkitan umat Islam hari ini mengikut pandangan Syaikh Yusuf al-Qaradawi.

Apakah yang perlu ditajdidkan? Tajdid yang perlu dilaksanakan oleh gerakan Islam hendaklah tertumpu kepada tiga perkara utama, iaitu:
  1. Membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; Iman yang mendalam, kefahaman yang jelas dan ikatan yang kukuh.
  2. Membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang menyokong pasukan Islam tersebut dan memberikan bantuan dan kasih sayang mereka kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan kekuatan mereka.
  3. Membentuk satu iklim sejagat yang mula menerima kewujudan dan hak umat Islam. Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang akan menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ia bertepatan dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.
Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar gerak kerja lebih padu dan tersusun. Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan tarbiah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlang yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.

Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang khianat kepada tangan mereka yang amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan dunia dan akhirat. Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang riba’ seterusnya menubuhkan syarikat-syarikat perniagaan dan yayasan-yayasan yang akan memajukan ekonomi umat. Selain itu, adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.

Medan-medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini. Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan. Pengabaian terhadap mana-mana lapangan amal tersebut akan memberikan ruang kepada musuh.

Syaikh Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa pemusatan yang perlu digerakkan kepada empat lapangan amal Islami yang paling penting untuk diterokai dengan jayanya iaitu:
  1. Di alam lapangan pemikiran hendaklah diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan fiqh al-jadid. Di antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialah fiqh al-awlawiyah, fiqh al-muwazanah, fiqh al-nusus dan fiqh al-maqasid.
  2. Di dalam lapangan dakwah hendaklah ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok perniagaan, bidang-bidang kewanitaan dan golongan akademik sebagai contoh adalah medan yang perlu dikuasai.
  3. Di dalam lapangan tarbiyah hendaklah ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu ke atas kelompok kepimpinan masa depan terutama di dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama. Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman Rasulullah ﷺ.
  4. Di lapangan politik hendaklah ditumpukan kepada kemajuan pemikiran dan praktikalnya di dalam politik hubungan dalam dan luar negara termasuk dengan non muslim agar dapat keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan maksud alamiah-nya Islam. Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik eksklusif dan politik taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau setidak-tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami untuk memimpin umat.
PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri-ciri gerakan hizbullah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah. Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.

Biodata Penulis

Susunan oleh Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad dan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-