Cukupkah kita hanya menjadi Muslim yang baik dengan Allah Ta’ala, tetapi membiarkan kefasadan yang melanda di dalam masyarakat. Orang Islam mempunyai tanggungjawab terhadap Islam dan membela Islam di atas muka bumi ini. Haram kita membiarkan Islam dipermainkan dan dihina. Islam tidak iktiraf manusia yang membisu seribu bahasa dan beriktikaf di dalam masjid tanpa mengambil peduli apa yang berlaku sekelililngnya. Kehadiran kita sebagai manausia, bukan diminta, tetapi semuanya adalah takdir Allah Yang Maha Mengetahui apakah hikmah yang tersurat dan tersirat.
Yang jelas kewuduan manusia di atas muka bumi sebagai khalifah Allah Ta’ala untuk memakmur dan menguruskan bumi ini dengan petunjuk agama. Tidak ada sesiapa yang terlepas daripada tanggungjawab ini di hadapan Allah Ta’ala. Mungkin di dunia, dia dapat melepaskan diri dan lari, tetapi tidak di akhirat nanti tiada satu pun ruang dan tempat untuk mereka bersembunyi. Sabda Rasulullah ﷺ:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤول عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Semua kamu adalah pemimpin, dan semua kamu adalah bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis daripada Ibnu Umar radhiallahu anhu ini sebagai satu pernyataan umum kepada kita bahawa semua manusia yang mukallaf bertanggungjawab atas kehidupannya ketika berada di dunia. Mereka boleh memberi berjuta alasan ketika berada di atas dunia, tetapi di akhirat medannya sudah berlainan. Waktu itu amalan yang menjadi saksi atas pebuatan mereka.
Muslim Haraki ialah ahli Pas yang telah berjanji setia dan akur kepada Perlembagaan Parti dan disiplin parti selagi tidak bertentangan dengan syariat. Mereka bersedia untuk melaksanakan amanah parti yang produktif dan mempunyai nilai tambah kepada parti. Mereka bukan ahli yang jumud dan tidak memberi manfaat kepada orang ramai di dalam rangka untuk membina masyarakat Islam dan negara yang berpandukan kepada syariat Allah.
Kita mesti menjadi muslim Haraki, kerana ini merupakan sunnah Para Rasul yang terdahulu sehingga terpaksa mengorbankan diri mereka semata-mata untuk melihat dakwah subur di atas muka bumi ini. Nabi Muhammad ﷺ tidak akan berhijrah ke Madinah jika Baginda ﷺ merupakan orang yang mempunyai kepentingan diri. Baginda ﷺ boleh selamatkan diri jika Baginda mahu. Sebagaimana tawaran dunia yang cukup lumayan, bukan Jusa A atau Turus. Pembesar Quraish menawarkan:
يَا ابْنَ أَخِي، إنْ كُنْتَ إنَّمَا تُرِيدُ بِمَا جِئْتَ بِهِ مِنْ هَذَا الْأَمْرِ مَالًا، جَمَعْنَا لَكَ مِنْ أَمْوَالِنَا حَتَّى تَكُونَ أَكْثَرَنَا مَالًا، وَإِنْ كُنْتَ تُرِيدُ بِهِ شَرَفًا سَوَّدْنَاكَ عَلَيْنَا
“Wahai Anak Saudaraku (Muhammad) jika kamu bawa agama kerana hendak harta kekayaan, maka kami akan mengumpul kekayaan sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya di kalangan kami. Jika engkau bawa agama ini untuk hendak menjadi ketua, Maka kami akan tabal kamu menjadi pembesar di Makkah.” (Sirah Ibnu Hisham)
Kesemuanya ini ditolak. Kerana apa? Semuanya ialah kerana Baginda ﷺ bukan hendak menjaga kepentingan diri, tetapi untuk maslahah umum. Jika Baginda mempunyai kepentingan diri, Baginda ﷺ tidak perlu meninggal kampung halaman Baginda. Baginda ﷺ boleh melepaskan diri dengan membiarkan pengikutnya terseksa. Baginda ﷺ juga boleh menyelamatkan diri sendiri, kerana keluarga Baginda ﷺ adalah golongan kenamaan. Kerana menjadi adat di dalam masyarakat jahiliah cukup menghormati darjat dan keturunan. Mereka malu untuk membuat sebarangan terhadap batang tubuh Baginda ﷺ.
Muslim haraki mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam masyarakat. Kehadiran mereka dirasai dan ketiadaan mereka dirindui. Mereka mengembelingkan tenaga mereka di tengah-tengah masyarakat dengan menjual produk Islam kepada orang lain sehingga terasa Islam itu rahmat untuk semua. Mereka mesti menjadi juara kepada ummah, bukan sahaja kepada kelompok tertentu sahaja. Mereka begitu sensitif terhadap perkembangan semasa yang membabitkan akidah, ekonomi, politik dan moral. Muslim haraki bukan sahaja pandai berbicara tetapi tidak melaksanakan. Bukan Muslim Haraki jika hanya pandai mengkritik tetapi tidak membawa penyelesaian. Muslim haraki bukan sahaja pandai menghukum, tetapi mesti pandai menjinakkan mad’u (sasaran).
Di dalam dunia hari ini orang sudah tidak mahu “talk no action” (bercakap tetapi tidak bertindak). Jangan kita marah jika masyarakat jauh dengan perjuangan kita jika kita hanya berteori tetapi tidak melaksanakan. Jangan kita rasa pelik masyarakat akan mendekatkan diri dengan ideologi lain lantaran kita tidak menjadi Muslim haraki yang menunjukkan suri teladan yang baik. Muslim haraki mesti buktikan mereka adalah amanah kepada harta rakyat apabila diberi amanah.
Firman Allah Taala dalam Surah al-Saff, ayat 14:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ فَآمَنَت طَّائِفَةٌ مِّن بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَت طَّائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa Putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia; Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Pengikut-pengikutnya yang setia itu berkata; Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan yang lain kafir; lalu Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, sehingga mereka menjadi orang-orang yang menang.”
Dalam arus kebangkitan Islam, angkatan Muslimin mestilah bersatu cita-cita dan matlamat menggemblengkan tenaga untuk mengembalikan umat Islam kepada siratulmustaqim berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Tetapi amat malang sekali, jalan dan cara yang berbeza untuk merealisasikannya gagal untuk mencapai matlamat hakiki harakah Islamiyah kerana menumpukan kepada aspek- aspek tertentu sahaja, contohnya: golongan tasawuf dengan perjuangannya, golongan salafiah dengan perjuangannya sehingga adakalanya berbalah antara satu sama lain. Sedangkan Imam Hassan al-Banna berusaha menggabungkan keseluruhan elemen ini demi memperjuangkan agama Allah.
Akhirnya mereka lupa membentuk angkatan pelopor yang beriman sebagai asas binaan daulah Islamiyah dan tanzim haraki untuk bakal pendokong dakwah yang meneruskan perjuangan hingga sampai ke matlamatnya. Maka hiduplah mereka sebagai panglima yang berapi-api memberikan strategi dan arahan tanpa angkatan tentera yang teratur dan tersusun. Justeru itulah kesinambungan tarbiyah dan harakiah adalah suatu kemestian berdasarkan matlamat dan cara yang sahih demi meneruskan risalah Ilahi sebagai satu tuntutan yang wajib dilaksanakan.