Mukaddimah
Perjalanan tarbiah dalam PAS menitik
beratkan berkaitan dengan pengisian dan kefahaman yang tulen selaras dengan
Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Di peringkat Dewan Pemuda PAS Malaysia
pada sesi ini meletakkan objektif secara khusus untuk mengkaderkan setiap ahli
dewan pemuda diseluruh Malaysia dengan tema ‘Mengkaderkan 12 Ribu Amilin’. Asas
angka 12 ribu ini diambil secara zahir berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan
dalam kitab hadis dan sudah pasti mempunyai rahsia yang tersendiri kerana ia
disebutkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang dianugerahkan dengan
mukjizat sebagai bukti kenabian diutuskan kepada umat akhir zaman.
Lafaz Hadis adalah seperti berikut :
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ الصَّحَابَةِ أَرْبَعَةٌ ، وَخَيْرُ السَّرَايَا أَرْبَعُ مِائَةٍ ، وَخَيْرُ الجُيُوشِ أَرْبَعَةُ آلَافٍ ، وَلَا يُغْلَبُ اثْنَا عَشَرَ أَلْفًا مِنْ قِلَّةٍ.
أخرجه الترمذي في جامعه (
21/1069 برقم 1546 ) وابن خزيمة في صحيحه (
9/439 برقم 2336 ) وابن حبان في صحيحه (
49/428 برقم 4803 ) والحاكم في المستدرك (
17/75 برقم 1573 و 20/135 برقم 2444
) والدارمي في سننه ( 19/826 برقم 2413
) وعبد بن حميد في مسنده (
1/114 برقم 654 ) وأبو يعلى الموصلي في مسنده (
1/109 برقم 2533 و 1/109 برقم 2653
) والطحاوي في مشكل الآثار (
0/71 برقم 477 و 0/71 برقم 478 و 0/71 برقم 479
) والبيهقي في السنن الكبير (
58/944 برقم 16951).
Maksud Hadis :
Daripada Ibnu Abbas R.A berkata : telah bersabda Rasulullah
S.A.W “Sebaik-baik berteman (ketika bermusafir) adalah seramai empat orang, dan
sebaik-baik tentera khas seramai empat ratus orang, dan sebaik-baik tentera
adalah sebanyak empat ribu orang, dan tidak akan dikalahkan apabila jumlah
tentera sampai 12 ribu tentera kerana sedikit. Hadis riwayat Imam At-Tirmizi
(1546) dalam sunannya dan juga dalam kitab-kitab hadis yang lain.
Huraian Ringkas Hadis Dan Kaitannya Dengan Perang Hunain
Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W ini
mengikut perbincangan para alim ulamak adalah berkaitan peperangan menentang
golongan kuffar pada zaman Rasulullah S.A.W secara khusus. Dalam hadis ini juga
menjamin dengan adanya 12 ribu tentera umat Islam ketika berhadapan dengan
pihak musuh tidak akan dikalahkan kerana jumlah tersebut sudah dikira ramai dan
memadai untuk mencapai kemenangan.
Hadis ini juga dikaitkan dengan angka tentera
Islam yang terlibat secara lansung dalam peristiwa perang hunain yang berlaku
selepas peristiwa pembukaan kota Mekah pada 6 Syawal tahun 8 Hijrah
bersama-sama tentera muslimin terdiri daripada 10,000 umat islam yang yang
menyertai ketika pembukaan kota Mekah dan 2,000 lagi adalah mereka yang baru
sahaja memeluk islam setelah pembukaan kota Mekah.
Dengan jumlah tentera islam yang terdiri
daripada bilangan yang ramai ini, ada di antara mereka mengatakan: “Di
hari ini kami tidak akan dikalahkan”. Namun, pada peringkat awal ini
mereka para sahabat tidak menyedari bahawa jumlah yang ramai itu bukanlah
satu-satunya faktor utama penentu kepada kemenangan tetapi adalah kualiti
sebagaimana peperangan yang sebelumnya tentera umat Islam lebih sedikit
berbanding musuh.
Pada peristiwa inilah Allah telah menurunkan ayat
Al-Quran sebagai peringatan kepada umat islam pada waktu tersebut di dalam
surah At Taubah dengan menyebutkan hal ini menegur sikap mereka pada waktu itu.
Allah S.W.T berfirman :
لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ (25) ثُمَّ أَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنزَلَ جُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ (26)
Maksudnya :
‘Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan
dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu
merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai
itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa)
bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur
melarikan diri.
Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada
RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang
kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan
kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi
orang-orang yang kafir’. Surah At-Taubah ayat 25 & 26.
Walaupun diuji oleh Allah pada awal peperangan ini
tetapi setelah diuji akhirnya dalam peperangan ini dimenangi juga oleh umat
Islam. Semoga selawat tercurahkan kepadamu wahai Rasulullah, juga kepada para
sahabatmu yang mulia dari kaum Ansar dan Muhajirin. Semoga Allah berkenan
menghimpun kami di bawah panjimu yang mulia dan menjadikan kami beserta
orang-orang yang akan menemuimu di telaga pada hari kiamat.
Hikmah Perang Hunain
Dalam peperangan Hunain inilah kita dapat
lihat akan kesilapan yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam perang kerana
merasa yakin dengan bilangan mereka dan dengan jumlah yang ramai ini
menyebabkan mereka berbangga dengan kekuatan mereka. Ini ditambah lagi dengan
baharu sahaja mengecapi kejayaan umat islam dalam menakluk dan membuka kota
mekah daripada tangan musyrikin.
Perang Hunain ini adalah satu bentuk tarbiah yang
diberikan oleh Allah. Kerana sayangnya Allah kepada hambaNya, maka diberikan
kekalahan pada peringkat awal dalam peperangan ini. Allah menjadikan bumi yang
kelihatan luas ini sempit pada pandangan umat islam kerana sifat jahiliyah yang
tersorok dalam hati mereka.
Imam Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa Allah
memberikan kekalahan supaya mereka (tentera islam) merasa akan kepahitan
kekalahan kemudian barulah diberikan kemenangan supaya kepala yang ditegakkan
kerana kemenangan menakluk Mekah dapat ditundukkan supaya malu di hadapanNya.
Agar mereka tidak dapat mengatakan: “kemenangan ini kerana bilangan kami”.
Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama
dalam perjuangan kita iaitu tarbiah imaniyyah. Kerana ini adalah pendorong yang
dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaiman firmannya:
Maksudnya :
“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan
orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128).
Allah S.W.T juga berfirman yang maksudnya :
“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi
Allah” (An-Nisaa:78)
Kita berusaha dalam menyediakan keperluan lain
seperti fizikal, senjata dan tenaga manusia. Namun sumber kekuatan yang paling
utama adalah iman dan taqwa kerana itulah yang kekal di sisiNya. Segala
ketentuan dan keputusan akan terpulang padaNya untuk memberikan kepada siapa
yang dikehendakiNya. Persiapan harta dan fizikal tidak kekal, motivasi yang
datang dari sumber yang tidak kekal juga tidak kekal. Harta dunia akan hilang,
senjata akan patah namun iman yang bersinar akan terus bersinar dan datang
darinya kekuatan yang memberi kemenangan dalam perjuangan Rasulullah beserta
para sahabat.
Peristiwa Perang Hunain tersebut seharusnya
menjadi teladan (Ibrah) bagi kita bahawa perjuangan menegakkan kebenaran dan
keadilan ini tidak cukup hanya dengan jumlah pengikutnya saja. Tetapi juga
harus diikuti dengan kualiti yang baik kepada setiap dikalangan pengikutnya.
Kualiti yang baik hanya dapat diperolehi dengan mempersiapkan atau membentuk
kekuatan dalam diri kaum Muslimin.
Kekuatan yang dimaksudkan adalah antaranya
kekuatan akidah (quwwatul 'aqidah), ibadah (quwwatul 'ibadah), dan kekuatan
jiwa (quwwatul nafs). Kekuatan akidah akan menghindarkan seseorang dari
perbuatan syirik, takabur, dan merendahkan orang lain. Kekuatan ibadah
menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT dalam setiap
langkah perjuangan. Ini bererti pertolongan Allah akan selalu datang,
mengiringi setiap langkah kaum Muslimin. Disamping itu, kekuatan jiwa akan
mendorong seseorang untuk bersungguh-sungguh membela kebenaran. Dengan
kekuatan-kekuatan inilah yang Allah menganugerahkan kemenangan kepada siapa pun
yang diinginkan olehnya.
Alangkah besarnya faedah yang kita dapat ambil
dari kisah yang hebat ini, juga dari Nabi kita dan para sahabat. Hendaklah
setiap dikalangan kaitan menjadikan iktibar kepada kita selaku yang
menjalankan kerja dakwah mewarisi perjuangan baginda Nabi S.A.W Allah di muka
bumi.
Perang Hunain ini merupakan pelajaran yang sangat
penting tentang aqidah Islamiyyah dan perihal asbab dan musabbab (segala
perkara adalah ditentukan oleh Allah) yang menyempurnakan pelajaran dari perang
Badar.
Jika diperhatikan pada perang Badar Allah telah
menetapkan kepada kaum Muslimin bahawa jumlah mereka jauh lebih sedikit
dari tentera kuffar Mekah, namun para sahabat tidak sedikit pun merasa gentar
dan takut, sebaliknya mereka terus thabat, bersabar dan bertaqwa dalam menempuh
segala ujian yang berat pada waktu tersebut. Manakala dalam peperangan Hunain
ini pula, Allah menegaskan kepada kaum Muslimin bahawa bahaya jumlah yang
ramai, akan tetapi tidak dapat memberi manfaat apabila mereka tidak bersabar
dan bertaqwa.
Oleh yang demikian kesimpulan yang boleh diambil
daripada hadis yang dibincangkan diawal mukaddimah yang menyebutkan angka 12
ribu tentera dengan perang badar dan perang hunain ini hakikatnya bukanlah
angka sesuatu kumpulan itu yang dinilai kekuatan, tetapi kekuatan yang sebenar
adalah dari kekuatan keimanan, kefahaman dan amalan terhadap Agama itulah yang
dinilai kekuatan hakiki yang perlu dimiliki oleh setiap dikalangan kita para
pemuda khususnya.
Sejarah menyaksikan kebangkitan Islam dan kekuatan
ummah apabila meletakkan barisan pemuda di hadapan. Golongan ini mempunyai
kekuatan fizikal dan mental, ketinggian semangat, dan mempunyai cita-cita dan
idealisme. Runtuhnya zaman jahiliah pada zaman Nabi Muhammad SAW hasil sokongan
padu golongan pemuda yang menyahut seruan dakwah Baginda SAW. Kejayaan ini
dapat dilihat di awal kebangkitan Islam di Makkah. Utuhnya benteng negara
Pemuda adalah kelompok yang terbesar dalam menerima dakwah Nabi Muhammad SAW
dan disayangi Baginda SAW. Nabi SAW dilantik menjadi rasul dan nabi ketika
berumur 40 tahun, iaitu puncak kematangan umur seorang pemuda.
Semasa di Makkah, Baginda SAW dikelilingi
orang muda yang tidak berbelah bagi dalam memberi sokongan kepada Baginda SAW.
Rakan terdekat dengan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar berusia 38 tahun, Saidina
Umar ketika memeluk Islam berumur 27 tahun, Talhah bin Ubaidillah berusia 16
tahun, Mus’ab bin Umair berusia seawal 20an. Manakala al-Arqam bin Abi Arqam
berumur 16 tahun. Begitulah juga sebahagian besar nama besar sahabat yang lain
adalah pejuang muda yang hidup dengan penuh suka dan duka bersama Nabi Muhammad
SAW, seperti Ali Bin Abi Talib Ammar bin Yassir dan Khabab al-Arrat. Golongan
muda ini berhadapan dengan Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian bin Harb, Umayyah
bin Khalaf, Syaibah bin Rabiah dan lain-lain adalah golongan tua yang angkuh
dan sombong yang menjadi pemimpin Makkah. Usamah bin Zaid juga antara panglima
muda dalam usia 20-an diberi kepercayaan memimpin angkatan tentera Islam
bersama sahabat yang lebih dewasa. Keadaan yang sama juga berlaku di Madinah.
Golongan pemuda jugalah yang membela Nabi Muhammad SAW dan Islam. Merekalah
yang membawa panji Islam dalam medan peperangan. Kekuatan, kejayaan dan
keagungan umat terdahulu adalah disebabkan tenaga pemuda yang membarisi barisan
hadapan, menjadi tonggak kekuatan negara dan menjadi generasi harapan. Semua
ini bertitik tolak daripada pemantapan akidah yang jitu dan amalan syariat yang
konsisten.
Zaman pemuda adalah zaman penilaian diri,
penentuan identiti dan tempoh pembentukan diri. Ini bermakna jika tersilap
langkah, masa depan mereka terlalu sukar untuk dibentuk. Justeru, pemuda hari
ini perlu dipupuk potensi dan kekuatan dan kecemerlangan diri agar terarah
mengikut apa yang disyariatkan Islam. Roh al-Islam adalah kekuatan yang
tercetus dalam diri seseorang mukmin, yang hati nurani, akal, budi dan seluruh
peribadinya sudah diwarnai dan diresapi oleh ajaran Ilahi. Sehinggalah segala
tindak tanduknya dikendalikan oleh iman dan takwa yang melahirkan sifat
keikhlasan, ketulusan, dan sanggup berkorban demi agama.
Dengan kekuatan ruhaniyyah inilah Bilal bin
Rabah menjalani derita seksaan Quraisy, kekuatan inilah yang mencetuskan
kecekalan hati pemuda Ali bin Abi Talib yang sanggup menerima pelawaan Nabi SAW
sekalipun nyawa menjadi taruhan. Kekuatan inilah juga yang menjadi faktor
kemenangan tentera Islam di medan Badar, bilangan 300 berhadapan dengan 1000 tentera
kuffar. Keagungan roh al-Islam juga dapat dilihat dalam peristiwa pemecatan
Khalid bin al-Walid oleh Khalifah Umar al-Khattab. Khalid al-Walid adalah
panglima berjasa yang tidak pernah tewas dalam mana-mana peperangan, panglima
yang belum ada tandingan dalam sejarah yang menjadi harapan kepada seluruh umat
Islam. Di saat beliau berhempas pulas bertarung nyawa demi mempertahankan Islam
beliau diarahkan oleh khalifah agar meletakkan jawatan. Hati mana yang tidak
terguris, perasaan mana yang tidak tercalar. Namun, peristiwa ini sedikit pun
tidak menjejas perasaan Khalid al-Walid, beliau tidak pernah meratapi ke atas
pangkatnya yang digugurkan, malah kepatuhannya penghormatan kepada Khalifah
Umar al-Khattab semakin tinggi. Semua pihak menerima tindakan ini dengan tenang
di atas dasar semangat ketakwaan dan keimanan kepada-Nya semata-mata untuk
mendapat ibtigha mardhatillah.
Kesimpulannya angka 12 Ribu itu hanyalah sebagai
angka tetapi yang perlu diambil perhatian adalah pengisian dalaman kepada
pemuda itu yang perlu ditekankan dan dilakukan secara berterusan sehinggalah
kita mampu melahirkan pemuda harapan agama Islam yang sebagaimana yang
diharapkan.
Disediakan oleh
Ustaz Mohamad Hanif Bin Haron
Ketua Pengarah Akademi Tarbiah (AKTAR)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sesi 2019-2021.