© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Benarkah Khalifah Umar “Tangguhkan Hudud”?

Benarkah Khalifah Umar “Tangguhkan Hudud”?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 3 December 2016


Kali ini saya ingin menjelaskan keraguan dan penyelewengan hujah yang paling banyak dilaungkan di sana-sini. Mereka menjadikan hujah yang sepatutnya dipakai pada masa-masa tertentu, digunakan secara umum, meluas dan pada setiap masa dan keadaan. Dalam keghairahan menolak pelaksanaan hukuman jinayah syar`iyah, golongan yang mengambil ‘maqasid’ secara separuh masak selalunya kagum dengan hujah ini; bahawa Khalifah Umar bin al-Khattab r.a sendiri pernah ‘menangguhkan’ pelaksanaan hukuman hudud! Siapakah kita hendak menentang ijtihad Khalifah Islam yang kedua itu?

Bukan ‘Ditangguhkan’, Sebaliknya ‘Digugurkan’

Saya lebih suka menggunakan perkataan “digugurkan” kerana itulah yang disebutkan oleh kebanyakan para ulama dan fuqaha apabila syarat-syarat untuk menjatuhkan hukuman hudud tidak mencukupi. Ini tanpa mengira keadaan darurat, kemarau atau peperangan, bahkan dalam keadaan biasa pun hukuman hudud digugurkan apabila terdapat keraguan dan kesamaran pada setiap kes yang diadili (bukan di zaman Khalifah Umar r.a sahaja).

Apabila kita menyebut ‘digugurkan’, bukan bermaksud hukuman itu tidak berjalan atau dihapuskan, cuma tidak dijatuhkan hudud dalam kes-kes tertentu yang tidak memenuhi syarat-syarat (lalu dihukum takzir), namun hukuman hudud itu tetap dikenakan kepada pesalah yang memenuhi syarat-syaratnya. Saya bimbang perkataan “ditangguhkan” itu sangat mudah untuk dimanipulasi. Kadang kala istilah ‘ditangguhkan’ itu boleh sampai kepada makna ‘dihapuskan’ dari segi praktik oleh golongan yang melaungkannya. Apatah lagi atas nama ‘maqasid’ yang disalah guna.

Hukuman Hudud Digugurkan Dengan Sebab Keraguan

Tindakan Khalifah Umar r.a ketika tahun berlakunya kemarau, beliau menggugurkan hudud pada tahun itu hanyalah kerana keraguan yang menolak pelaksanaannya iaitu keperluan (orang-orang yang lapar). Bukanlah sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang bahawa beliau telah membatalkan hukum hudud demi maslahah atau pendapat peribadi yang difikirkannya (al-Syeikh Ahmad al-Gharib, Falsafah al-Hudud baina Jamal al-Tasyri’ wa `Adalah al-Tathbiq, 1433H/2012M, hal.69)

Menurut al-Imam Ibnu Qudamah (620H): “Tiada hukuman potong tangan semasa berlaku tahun kebuluran. Yakni, sekiranya orang yang memerlukan mencuri apa yang dimakannya, maka tidak boleh dipotong tangan.” (al-Mughni, 12/462)

Menurut al-Syeikh Manna’ al-Qatthan (1420H): “Khalifah Umar r.a berpendapat bahawa sekiranya seseorang individu itu mencuri ketika berlakunya kebuluran yang menyeluruh, itu adalah satu keraguan pada barang yang dicurinya. Ini kerana seseorang yang terdesak harus mengambil harta yang bukan miliknya tanpa izin bagi memenuhi keperluan daruratnya. Dalam hal ini, Khalifah Umar r.a tidak berijtihad dengan menyanggahi nas syarak.” (Mu’awwiqat Tathbiq al-Syari`ah, hal.99)

Maka tujuan dalam perkara ini ialah sesungguhnya Khalifah Umar r.a menggugurkan hudud kerana keraguan, bukan menghapuskannya seperti sangkaan sebahagian mereka. Jauh sekali Khalifah Umar r.a hendak melakukan demikian (Falsafah al-Hudud baina Jamal al-Tasyri’ wa ‘Adalah al-Tathbiq, hal.70)

Salah Guna Dalil dan Hukum

Selalunya sesiapa yang menyebut hujah ini (bahawa hudud boleh ditangguhkan), mereka berdalilkan tindakan Khalifah Umar r.a pada tahun kemarau dan mereka menyangka bahawa beliau telah menggugurkan hukuman hudud secara keseluruhan, kita telah pun menolak dakwaan ini. Ini kerana suasana itu adalah satu jenis keraguan yang boleh menggugurkan hukuman hudud. Akan tetapi, apa yang zahir ditunjukkan ialah sekiranya boleh kita sampaikan kepada mereka cara berdalil yang betul; sesungguhnya dalil mereka (tentang musim kemarau) itu hanya khusus dalam kes kecurian dan hukuman mencuri tanpa melibatkan kesalahan hudud yang lain.

Bagaimana mereka boleh menggunakan dalil yang bersifat terhad (juz’i) kepada isu yang bersifat menyeluruh (kulli)? Dengan makna lain, jika betul pun cara mereka menggunakan dalil untuk menggugurkan hukuman hudud dalam kes mencuri, bagaimana itu menjadi dalil untuk menggugurkan keseluruhan hukuman hudud yang lain?

Contoh-contoh berikut adalah lebih jelas: “Jika kita gugurkan hukuman hudud bagi kesalahan mencuri, bagaimana kita hendak menggugurkan hukuman hudud bagi kesalahan qazaf (menuduh zina) sebagai contoh? Jika kita gugurkan pula hukuman qazaf, maka kita juga telah mencuaikan hak dan maruah orang yang dituduh berzina? (Adilkah begitu?)”

Kesahihan Riwayat dan Memahami Konteksnya

Kata al-Marhum al-Syeikh Muhammad bin Utsaimin (1421H): “Apa yang diriwayatkan tentang Khalifah Umar r.a, bahawa beliau telah menggugurkan hukuman hudud pada tahun berlakunya kebuluran (`Am al-Maja`ah) perlu dilihat dari dua sudut :-
  1. Kesahihan riwayat. Kita menuntut sesiapa yang mendakwa demikian agar membawa riwayat yang sahih sampai kepada Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a.
  2. Sesungguhnya Khalifah Umar r.a tidak menghukum hudud kerana keraguan yang berlaku. Kerana orang ramai sedang dalam kelaparan. Kemungkinan ada orang yang mengambil sesuatu kerana darurat bukan kerana hendak memuaskan dirinya. Sudah maklum, bahawa orang yang terdesak kepada makanan, maka wajib kaum Muslimin memberinya makan. Khalifah Umar r.a bimbang si pencuri itu dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan makanan sedangkan dia terhalang. Lantas terbuka peluang, lalu dia mencuri.
Inilah alasan yang munasabah berlaku kepada Khalifah Umar r.a sekiranya benar kisah yang disandarkan kepadanya dalam kes beliau menggugurkan hukuman hudud atau tidak menjatuhkannya: iaitu hukuman ke atas pencuri pada tahun kemarau.

Para pemimpin kita pada hari ini, tidak terikat dengan agama mereka, yakni kebanyakan mereka tidak meyakini agama mereka, tidak terikat dengan nasihat (agama) untuk kepentingan umat. Jika dibuka ruang, kebanyakan mereka itu; yakni sebahagiannya akan berkata: Pelaksanaan hudud pada zaman ini tidak sesuai; ini kerana musuh-musuh kita dari kalangan orang-orang kafir akan memberi tohmahan bahawa kita ini tidak bertamadun (barbaric) dan kejam lagi buas.

Kononnya kita menyanggahi hak-hak asasi manusia yang sepatutnya kita pelihara. Kemudian dengan dukacitanya, hudud tidak dilaksanakan secara keseluruhan (bukan hanya hukuman mencuri) sebagaimana realiti di majoriti negara-negara orang Islam pada masa kini. Di mana hukuman hudud telah dihapuskan demi menjaga perasaan musuh-musuh Allah. Oleh sebab ini, tatkala dihapuskan hukuman hudud, lalu berlakulah banyak jenayah. Sehingga orang ramai termasuklah para pemimpin yang mengikut kehendak orang-orang kafir itu berada dalam kehairanan, apa yang mereka nak buat (untuk menangani) jenayah-jenayah ini?” (Fatawa Ulama’ Balad al-Haram, hal.483-484)

Ironinya, mereka yang berhujah dengan tindakan Khalifah Umar r.a, tidak hanya menggugurkan hukuman potong tangan bagi pencuri, bahkan mereka menafikan keseluruhan hukuman hudud tanpa berkecuali?

Tempoh Berlakunya ‘Tahun Kebuluran dan Kemarau’

Menurut ahli sejarah, terdapat dua pendapat berkenaan tempoh berlakunya tahun kebuluran (al-Maja’ah) dan kemarau (Al-Ramadah) tersebut pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a.

Pertama: Pada tahun ke-18 Hijrah setelah orang ramai pulang daripada mengerjakan haji. Tempoh kemarau yang memusnahkan hidupan, ternakan dan tanaman ini berlarutan selama 9 bulan (Rujuk: Ibn Sa’ad (230H), Al-Tabaqat al-Kabir, 3/288, Ibn Khayyath (240H), al-Tarikh, hal.76, Ibn Jarir al-Thabari (310H), Tarikh al-Rusul wal-Muluk, 4/99, Ibn Hibban (354H), Kitab al-Tsiqat, 1/192, Ibn al-Atsir (630H), al-Tarikh, 2/555, al-Zahabi (748H), Tarikh al-Islam, 2/65, Ibn Katsir (774H), al-Bidayah wal-Nihayah, 7/82).

Kedua: Peristiwa itu berlaku pada tahun ke-17H (sehingga awal tahun ke-18H) (Rujuk: Jalaluddin Al-Suyuthi (911H), Tarikh al-Khulafa’, Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi (1434H), Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah wal-Khilafah al-Rasyidah, hal.358)

Menurut Dr. Abdullah Taha Abdullah Nasir al-Salmani, pendapat yang paling kuat ialah musim kebuluran dan kemarau itu berlaku pada tahun ke-18H dan hanya berlalu selama 9 bulan sahaja. Ini yang disepakati oleh para ahli sejarah dan ahli hadith yang lebih awal berbanding pendapat yang terkemudian (Lihat: Azmah ‘Aam al-Ramadah al-Iqtisadiyyah 18H/639M min Khilafah Umar ibn al-Khattab, Universiti al-Mosul, Iraq, hal.6).

Dalam tempoh 9 bulan itulah, jika dikatakan Khalifah Umar r.a tidak menjalankan hukuman hudud ke atas pencuri dan bukan pula digugurkan keseluruhan hukuman hudud!

Adakah Semua Wilayah Islam Terjejas?

Dalam tempoh itu juga, Khalifah Umar r.a menulis surat kepada Amru bin al-Ash r.a di Mesir, Saad bin Abi Waqqas di Kufah, Abu Musa al-Asyari di Basrah dan Muawiyyah bin Abi Sufyan di Syam agar menghantarkan bantuan makanan dan pakaian ke Madinah (Lihat: Abdul Salam Ali `Isa; Al-Nawahi al-Maliyyah fi Khilafah Umar, hal.349-354)

Khalifah Umar r.a juga menulis kepada pegawai-pegawainya di wilayah-wilayah yang kaya, iaitu yang memiliki hasil tanaman, industri pembuatan dan perdagangan. Beliau memohon bantuan dan pertolongan mereka. Beliau telah menulis kepada setiap orang yang dilantik bertugas di wilayah Syam, Iraq dan Parsi (Lihat: Al-Shalabi, Sirah Amir al-Mu’minin `Umar ibn al-Khattab, hal.213)

Imam Ibnu Jarir al-Thabari (310H) menyatakan bahawa bantuan yang paling awal tiba di Madinah telah dihantar oleh Abu Ubaidah al-Jarrah r.a dari Damsyik. Iaitu bantuan yang dipikul oleh 8000 haiwan tunggangan (Lihat: Tarikh al-Rusul wal-Muluk, 4/100)

Ini menunjukkan bencana kemarau bukan berlaku menyeluruh di wilayah-wilayah Islam. Jika wilayah-wilayah lain turut terkesan dengan kemarau buruk yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kekurangan makanan serta hasil tanaman, tidak mungkin Khalifah Umar r.a sanggup meminta gabenor-gabenor tersebut menghulurkan bantuan.

Secara nyata, jika kebuluran dan kemarau dijadikan alasan untuk menggugurkan hukuman hudud, maka adakah wilayah-wilayah lain yang tidak berkenaan juga dibenarkan ‘menangguhkan’ hudud?

Dari satu sudut pula, adakah mereka yang telah memperolehi bantuan makanan masih terlepas daripada hukuman mencuri?

Hukuman potong tangan (mencuri) digugurkan dan hukuman sebat (minum arak) diteruskan.

Khalifah Umar bin al-Khattab r.a telah menghentikan hukuman (potong tangan) ke atas pencuri pada tahun kemarau. Ini bukanlah bermakna menghapuskan hukuman hudud itu sebagaimana yang ditulis oleh sebahagian orang, ini kerana syarat-syarat pelaksanaannya tidak dapat dipenuhi.

Seseorang yang memakan makanan milik orang lain dengan sebab terlalu lapar dan sukar untuk mendapatkan makanan, dia tiada pilihan lain malah dia tidak bermaksud untuk mencuri (Lihat: Dr.Abdullah al-Salmani, Azmah ‘Aam al-Ramadah al-Iqtisadiyyah 18H/639M, hal.17)

Khalifah Umar r.a berpendapat, Allah berkehendak menahan hujan dan berlakunya kemarau yang kering kontang menimpa bumi dan manusia adalah berpunca kerana mereka meninggalkan perintah Allah.

Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a (Gabenor di Damsyik) telah menulis surat kepada Khalifah Umar r.a untuk mengadu tentang orang-orang Islam yang meminum arak. Lalu Khalifah Umar r.a membalas suratnya mengarahkan agar mereka itu ditanya tentang hukum arak. Jika mereka menjawab halal, maka hendaklah dibunuh mereka itu. Jika mereka menjawab haram, maka hendaklah mereka itu disebat dengan 80 kali sebatan. Kemudian Abu Ubaidah r.a melaksanakan arahan Khalifah Umar r.a, lalu mereka ditanya di hadapan khalayak ramai tentang arak, mereka menjawab hukumnya haram. Maka mereka disebat sebanyak 80 kali sebatan.

Orang ramai telah melaksanakan hukuman ini, mereka menyesal kerana menganggap meminum (arak) dibolehkan kerana memenuhi keperluan. Sejak itu peristiwa itu disebut-sebut oleh penduduk Syam. Peristiwa yang berlaku pada tahun kemarau (Lihat: Al-Thabari, Tarikh al-Rusul wal-Muluk, 4/96)

Ini menunjukkan bencana kemarau yang berlaku menguatkan lagi pendirian Khalifah Umar r.a supaya berpegang teguh dengan syariah selagi mampu dan bukan menjadi alasan untuk melucutkan hukum-hukum Allah! Sepatutnya antara keraguan yang boleh menggugurkan hukuman hudud pada waktu kemarau itu ialah kesalahan meminum arak.

Kemungkinan Khalifah Umar r.a mengarahkan hukuman hudud tetap dilaksanakan kerana wilayah lain-lain tidak terlibat dengan kedahsyatan kemarau sebagaimana di Hijjaz (sekitar Mekah dan Madinah).

Hukuman Sebatan Dalam Pindaan RUU 355

Sekiranya ini dijadikan hujah, bermakna sekiranya kita terhalang daripada melaksanakan hukuman potong tangan (dengan alasan menyanggahi Perlembagaan Persekutuan), sepatutnya mereka perlu juga mengambil hujah bahawa Khalifah Umar r.a tetap komited dengan hukuman hudud lain yang mampu dilaksanakan seperti hukuman sebat terhadap peminum arak, penzina dan penuduh zina. Ini tiada kena mengena dengan kebuluran dan kemarau.

Jika demikian, ini adalah menepati keperluan pindaan Akta 355 yang sedang heboh dibicarakan oleh warga Malaysia; sama ada yang berilmu atau yang jahil. Hanya ambil riwayat yang dhaif dan mendiamkan yang sahih. Walaupun para fuqaha menyebut tentang pengguguran hukum hudud pada zaman kemarau itu (18H), sebenarnya riwayat-riwayat tentangnya tidak sahih dan kuat. Ia bersumberkan beberapa riwayat Ibn Abi Syaibah yang dinukilkan oleh Abdul Razaq dalam kitabnya al-Musannaf dengan banyak kecacatan pada sanad dan perawinya.

Selain itu, kisah ini hanya disebut dalam buku-buku sejarah yang tidak mempunyai kekuatan sebagaimana sumber-sumber syarak seperti Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Bahkan semasa hayat Rasulullah ﷺ di Madinah pernah juga ditimpa dengan suasana kekurangan makanan dan kelaparan. Namun, tiada satu pun riwayat bahawa hukuman Allah telah digugurkan kerana sebab itu.

Jika mereka itu jujur untuk mencontohi zaman pemerintahan Khalifah Umar r.a sebagai pedoman, kenapa hanya sebut riwayat ketika zaman kemarau (yang diperselisihkan oleh para ulama)? Mengapa tidak disebarkan riwayat-riwayat yang sahih bahawa Khalifah Umar r.a menghukum dengan Hudud dan Qisas?

Riwayat-Riwayat Sahih Tentang Khalifah Umar r.a Melaksanakan Hukum Syariah

Imam Muslim meriwayatkan hadith dari Ali bin Abi Talib r.a ketika beliau mengarahkan Abdullah bin Ja’far menghukum sebat orang yang meminum arak:
فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ قُمْ فَاجْلِدْهُ. فَجَلَدَهُ وَعَلِيٌّ يَعُدُّ حَتَّى بَلَغَ أَرْبَعِينَ فَقَالَ أَمْسِكْ. ثُمَّ قَالَ جَلَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ وَهَذَا أَحَبُّ إِلَي. رواه مسلم في كاتب الحدود، باب حد الخمر
Maka berkata Ali bin Abi Talib r.a: “Wahai Abdullah bin Ja’far, bangunlah dan sebat dia!” Lalu dia menyebat (orang yang minum arak itu) sedangkan Ali bin Abi Talib mengira bilangannnya hingga cukup 40 kali lalu dia berkata: “Cukup”. Kemudian dia berkata lagi, “Nabi telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan, Khalifah Abu Bakar r.a telah menyebat 40 kali sebatan juga dan Khalifah Umar r.a telah menyebat 80 kali sebatan, semuanya itu adalah sunnah (Rasulullah ) dan ini yang lebih aku sukai (iaitu hanya 40 sebatan).” (Sahih Muslim, Kitab al-Hudud, Bab Had al-Khamr, no.4554)

Mengapa Khalifah Umar r.a menghukum sebatan sehingga 80 kali? Para ulama menyebutkan ijtihad Khalifah Umar r.a itu kerana Rasulullah ﷺ menghukum sebatan bagi peminum arak sebagai 40 kali dengan menggunakan 2 batang pelepah tamar.

Pada zaman beliau, apabila orang semakin lalai tentang pengharaman arak, maka Khalifah Umar r.a telah menggunakan hanya sebatang kayu namun digandakan pukulan dua kali ganda menjadi 80 kali sebatan. Maka itu menyamai 40 sebatan dengan dua batang kayu.

Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik r.a, katanya:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِرَجُلٍ قَدْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَجَلَدَهُ بِجَرِيدَتَيْنِ نَحْوَ أَرْبَعِينَ. قَالَ وَفَعَلَهُ أَبُو بَكْرٍ فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ اسْتَشَارَ النَّاسَ فَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ أَخَفَّ الْحُدُودِ ثَمَانِينَ فَأَمَرَ بِهِ عُمَرُ. رواه مسلم في كاتب الحدود، باب حد الخمر
“Sesungguhnya Nabitelah didatangi seorang lelaki yang meminum arak, lalu baginda menghukum sebat dengan dua batang pelepah tamar sebanyak 40 kali.” Katanya lagi, “Begitu juga dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar r.a. Ketika zaman Khalifah Umar r.a, beliau telah meminta pandangan orang ramai. Lalu berkata Abdul Rahman r.a; bilangan paling minimum adalah 80 sebatan (dengan sebatang kayu). Lalu Khalifah Umar r.a melaksanakannya.” (Sahih Muslim, Kitab al-Hudud, Bab Had al-Khamr, no.4549)

Khalifah Umar r.a pernah menegaskan pelaksanaan hukuman rejam bagi penzina yang sudah berkahwin dan beliau bimbang akan ada orang yang mendustakannya di kemudian hari.

Khalifah Umar r.a telah berkata dalam khutbahnya:
إنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ فَكَانَ مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ آيَةُ الرَّجْمِ، فَقَرَأْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا، رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ، فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ وَاللَّهِ مَا نَجِدُ آيَةَ الرَّجْمِ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ، وَالرَّجْمُ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى إِذَا أُحْصِنَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ، إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ أَوْ كَانَ الْحَبَلُ أَوْ الاِعْتِرَاف
“Sesungguhnya Allah Taala telah membangkitkan (mengutus) Nabi Muhammad dengan sebenarnya dan menurunkan kepadanya Kitab (al-Quran). Maka adalah di antara ayat-ayat yang diturunkan itu ialah ayat rejam. Kami telah membacanya, memahaminya dan menghafalnya. Rasulullah S.A.W telah merejam orang yang berzina dan kami juga telah menjalankan hukuman rejam selepas kewafatannya. Sesungguhnya aku sangat takut setelah berlalunya zaman, nanti andainya ada orang berkata; hukuman rejam itu tidak ada di dalam Kitab Allah (Al-Quran), maka dengan itu mereka menjadi sesat kerana meninggalkan kefarduan yang telah diturunkan Allah. Hukuman rejam adalah benar terhadap sesiapa yang berzina, lelaki dan perempuan apabila dia telah berkahwin (muhsan), Iaitu dilaksanakan apabila ada penyaksian (4 orang lelaki) atau perempuan yang mengandung (tanpa suami) atau ada pengakuan (daripada penzina).” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Muharibin, Bab Rajm al-Hubla min al-Zina, no.6830, Sahih Muslim, Kitab al-Hudud, Bab Rajm al-Tsaib fi al-Zina, no.4513)

Bukan hanya ditegaskan oleh Khalifah Umar r.a, bahkan hukuman rejam ini telah diriwayatkan dalam hadith-hadith secara mutawatir dalam kitab-kitab sahih dan sunan. Bahkan telah menjadi ijmak di kalangan para ulama (Lihat: al-Mabsuth ( 9/37 ), Mughni al-Muhtaj (4 / 146), Fath al-Qadir (4 / 121), al-Muntaqa ‘ala al-Muwattha’ (7 / 132), Nail al-Authar ( 7 / 86 ), al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hal.354)

Banyak lagi riwayat-riwayat lain yang sahih bahawa Khalifah Umar r.a melaksanakan hudud berbanding riwayat yang menyebutkan beliau menggugurkannya. Memadailah sekadar yang telah disebutkan di atas.

Persoalan-Persoalan Bagi Penangguhan Hudud

Kepada sesiapa yang masih tegar dengan hujah bahawa boleh menangguhkan hukuman hudud kerana Khalifah Umar r.a juga tidak melaksanakan hudud ketika kemarau, wabak penyakit, peperangan dan hujah-hujah yang semisal itu, di sini saya tinggalkan 10 persoalan :-
  1. Adakah tempoh ‘penangguhan’ itu berpanjangan selama puluhan tahun?
  2. Adakah sebelum dan selepas tahun kemarau itu Khalifah Umar r.a langsung tidak pernah melaksanakan hudud?
  3. Adakah kemarau di Madinah dan wabak taun di wilayah Syam dan Iraq pada tahun yang sama (18H) menyebabkan hukum hudud dihentikan serta merta di seluruh wilayah pemerintahan Islam yang lain?
  4. Adakah suasana kebuluran seperti itu berlaku secara menyeluruh di negara kita sekarang sehingga semua orang terpaksa mencuri untuk hidup?
  5. Adakah ketika ‘ditangguhkan’ hudud itu, turut digugurkan hukuman berzina, qazaf (menuduh zina), murtad, mencederakan orang dan membunuh?
  6. Adakah pada zaman Khalifah Umar r.a sudah tiada lagi kemiskinan?
  7. Adakah tiada orang-orang kafir (ahli zimmah) di dalam negara Islam ketika itu dan Khalifah Umar r.a perlu minta izin untuk menegakkan hukum Islam?
  8. Adakah Khalifah Umar r.a menyanggahi hak-hak asasi manusia?
  9. Adakah ketika berlaku ‘penangguhan’ itu, para penjenayah bebas tanpa sebarang hukuman dan undang-undang?
  10. Ketika ‘ditangguhkan’ hudud itu, adakah Khalifah Umar r.a melaksanakan undang-undang British sebagai hukuman ‘takzir’?

Penutup

Sebagai penutup, saya titipkan ayat-ayat al-Quran ini hanya pedoman untuk orang-orang yang beriman:
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ? إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ مَنْ يَضِلُّ عَنْ سَبِيلِهِ ? وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-An’am: 116-117)

وَإِنَّ كَثِيرًا لَيُضِلُّونَ بِأَهْوَائِهِمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ ? إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِالْمُعْتَدِينَ
“Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.” (al-An’am: 119)

Biodata Penulis

Ustaz Imran bin Selamat (Imran al-Malizi) pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains dan Teknologi di Sana’a, Yemen. Kini di Yarmouk University | جامعة اليرموك, Irbid – Jordan. Melibatkan secara aktif dalam bidang dakwah dan memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-