© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM

Belajar Dari Arakan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 26 November 2016


Rohingya adalah etnik yang tergolong dalam masyarakat Indo-Aryan yang tinggal di wilayah Rakhine, Myanmar Barat. Sebelum dikenali sebagai Rakhine, ia disebut Arakan di mana masyarakat Islam di sana telah wujud sejak tahun 1430 M lagi di bawah Dinasti Mrauk-U. Kerajaan Islam pertama di sana telah dipimpin oleh Sultan Sulaiman Shah (1430 M – 1434 M).

Situasi Arakan ketika pemerintahan Islam berlangsung begitu makmur dan damai walaupun wilayah tersebut telah pun didiami masyarakat multi-etnik dan kumpulan-kumpulan yang berbeza agama, Buddha dan Muslim. Zaman tersebut dikatakan sebagai zaman keemasan dalam sejarah Arakan terutama sekali ketika Mrauk-U dipimpin Sultan Zabuk Shah (1531 M – 1553 M).

Kerajaan Mrauk-U telah memerintah kota Arakan sehingga ia menjadi salah satu bandar terkaya di Asia dalam hal perdagangan dengan Timur Tengah, Asia dan Eropah. Mrauk-U turut terkenal sebagai salah satu kerajaan kuno yang penting dari segi artifaknya khususnya ketika pemerintahan Zabuk Shah. Setelah Zabuk Shah mangkat, berlaku konflik perbalahan kuasa yang menyebabkan Mrauk-U sentiasa dalam kancah peperangan.

Krisis yang berlaku di zaman Sultan Salim Shah (1593 M – 1612 M), Sultan ke-14 Mrauk-U telah membuka peluang kepada Portugis untuk mengkhianati rakan “tahaaluf”-nya itu kerana sebelum ini mereka telah mengadakan kerjasama dalam soal politik dan ketenteraan. Kerajaan Mrauk-U tidak hanya bertembung dengan Kerajaan Portugis dan Burma, tetapi juga berdepan kerajaan Islam seperti Moghul.

Pertembungan di antara Mrauk-U dan Moghul terjadi kerana perebutan kuasa ke atas wilayah Benggal (kini Bangladesh). Konflik itu dimenangi oleh Kerajaan Moghul apabila berjaya menguasai Benggal pada tahun 1576 M. Akibatnya, ketika zaman pentadbiran Sultan Salim Shah II (1612 M – 1638 M), berlaku kelaparan berpanjangan kerana kerahan rakyat untuk berperang sepanjang tahun tersebut untuk merebut wilayah.

Benarlah dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah ﷺ bersabda bahawa Allah Taala berfirman;
يَا مُحَمَّدُ إِنِّي إِذَا قَضَيْتُ قَضَاءً فَإِنَّهُ لَا يُرَدُّ وَإِنِّي أَعْطَيْتُكَ لِأُمَّتِكَ أَنْ لَا أُهْلِكَهُمْ بِسَنَةٍ عَامَّةٍ وَأَنْ لَا أُسَلِّطَ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ سِوَى أَنْفُسِهِمْ يَسْتَبِيحُ بَيْضَتَهُمْ وَلَوْ اجْتَمَعَ عَلَيْهِمْ مَنْ بِأَقْطَارِهَا أَوْ قَالَ مَنْ بَيْنَ أَقْطَارِهَا حَتَّى يَكُونَ بَعْضُهُمْ يُهْلِكُ بَعْضًا
“Wahai Muhammad, sesungguhnya Aku bila menentukan ketetapan ia tidak pernah berubah, sesungguhnya Aku memberikan umatmu agar mereka tidak dibinasakan dengan kekeringan berpanjangan, dan Aku tidak akan memberi musuh berkuasa menyerang mereka selain diri mereka (umatmu) sendiri saling menyerang antara sesama mereka (terlebih dahulu), walaupun musuh mengepung dari segenap penjuru, sehingga akhirnya sebahagian mereka (umatmu) membinasakan sebahagian yang lain.” (Riwayat Muslim)

Perpecahan sesama umat Islam menjadi peluang kepada musuh untuk menindas umat Islam apabila mereka berada di dalam posisi yang sangat lemah. Ia adalah senario yang sama berlaku dalam peristiwa kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam yang lain, iaitu kerana perpecahan sesama sendiri.

Pada tahun 1784 kemerdekaan Arakan telah dicabut serta-merta oleh Raja Burma, Boddawphaya. Sultan Thammadaraza (1782 M – 1785 M) adalah pemerintah Islam yang terakhir dalam Kerajaan Mrauk-U. Kejatuhan Mrauk-U menyebabkan Arakan buat pertama kali dijajah kuasa asing iaitu Boddawphaya dan kemudian menjadi bahagian dari wilayah “Republik Sosialis Burma” yang kini dikenali sebagai Myanmar.

Dalam tragedi itu, tentara-tentara Burma telah menghancurkan masjid, termasuklah tempat-tempat kebudayaan di wilayah kerajaan Islam tersebut. Masyarakat Muslim Rohingya yang menduduki Arakan berhadapan “pembersihan etnik” oleh Boddawphaya dengan pelbagai ancaman seperti dibunuh, dipulau dan diejek sebagai pendatang haram (pelarian).

Ramai sejarawan-sejarawan yang menulis tentang sejarah Arakan dengan sikap bias. Jacques P. Leider contohnya mengatakan di zaman kegemilangan Arakan hanya ada seorang sahaja pemerintah yang Muslim, selainnya adalah Buddha. Nama-nama sultan di zaman Dinasti Mrauk-U juga diubah dengan nama-nama etnik Burma, sehingga kita tidak menyedari nama Salim Shah ditukar menjadi “Cho Lim Shya”, Sulaiman Shah ditukar menjadi “Narameikhla”/ “Mong Saw Mon”, dan banyak lagi.

Kebanyakan sultan-sultan yang pernah memerintah di Arakan diubah namanya supaya sejarah pemerintahan Islam di wilayah berkenaan seolah-olah tidak pernah wujud. Istilah Arakan turut diubah sedangkan ia dikatakan berasal dari Bahasa Arab dan Parsi yang memiliki erti yang sama iaitu rukun-rukun, yang menggambarkan prinsip “lima rukun Islam”.

Sejak jajahan Boddawphaya di Arakan, pemerintah Burma itu telah melancarkan program “Burmanisasi” iaitu pengambil-alihan tanah-tanah non-Buddha khususnya rakyat Muslim untuk kaum Buddha. Situasinya saling tidak tumpah dengan kezaliman Zionis Israel merampas tanah milik rakyat Palestin. Demi mengelabui masyarakat dunia tentang kewujudan Arakan, nama wilayah Arakan  ditukar kepada perkataan Rakhine.

Apabila Kerajaan Myanmar diperintah sistem junta yang diketuai Jeneral Ne Win pada tahun 1962. Ne Win memperkenalkan undang-undang nasionalis-rasisme untuk meng“halal”kan perbuatan apartheid terhadap masyarakat Islam di sana. Ne Win menjalankan beberapa operasi ketenteraan yang mensasarkan kaum Rohingya dan yang termasyhur ialah “Operasi Raja Naga” (Naga Min) yang berlaku pada 6 Februari 1978.

Orang Islam di Arakan pula, digelar “Rohingya” agar timbul rasisme di kalangan rakyat Myanmar. Wilayah Rakhine kini menjadi salah satu kawasan yang bernaung dibawah Kerajaan Myanmar. Umat Islam di Rakhine selalu dicurigai oleh masyarakat Myanmar, mereka dibunuh atas alasan yang paling teruk iaitu kerana tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah. 

Diskriminasi perkauman di Myanmar tidak berakhir bahkan terus meningkat sejak “Burma Citizenship Law of 1982” diperkenalkan. Akibatnya masyarakat Islam Rohingya terpaksa hidup secara diaspora di negara-negara lain seperti, Bangladesh, Thailand dan Malaysia dengan cara meredah lautan ganas di Teluk Andaman semata-mata mencari kehidupan yang baik.

Usaha penghapusan masyarakat Islam (Rohingya) di Arakan telah lama terjadi, namun tiada sebarang tindakan daripada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Apa yang menyedihkan, pemuka-pemuka agama Buddha di sana yang turut “mengizinkan” atau menyetujui penyingkiran dan penghapusan kaum Muslimin secara kejam.

Walaupun ikon “demokrasi” Myanmar, Aung San Su Kyi menerajui arus politik negara tersebut tetapi pihak tentera masih mengekalkan cengkamannya. Selain dari maksud jahat puak anti-Islam ini yang menekan kerana kelemahannya, secara umumnya umat Islam sendiri juga bertanggungjawab atas apa yang mereka alami. Allah Taala berfirman;
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat (perbuatan) mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (al-Rum, ayat 41)

Allah telah menciptakan manusia dan melantiknya sebagai khalifah-Nya di muka bumi supaya ditegakkan Din-Nya (Islam sebagai cara hidup yang dikehendaki-Nya) dan memperjuangkannya supaya mengatasi semua cara hidup dan ideologi yang dicipta oleh manusia. Pendakwah-pendakwah pelbagai mazhab, bersatu dan berkorban atas nama kepentingan Islam dalam menyebarkan ajaran Allah di bumi Arakan.

Para pendakwah ini memikat manusia supaya beriman kepada Allah bukan kerana lagak dan cara hidup yang serba hebat, pidato yang berapi-api, tetapi melalui keluhuran akhlak budi yang mencerminkan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Begitu ramai yang memeluk Islam sehingga menjadi bangsa majoriti di wilayah Arakan yang merdeka selama beberapa abad dan membolehkan mereka menegakkan sistem pemerintahan tanpa halangan.

Apabila masa berlalu, sikap menyeleweng dari jalan Islam yang sebenar mula timbul. Penyebaran dakwah Islam kepada rakan-rakan senegara dilupakan kerana sibuk merebut kemewahan dalam urusan duniawi. Ajaran Islam pula hanya dianggap sebagai kepercayaan yang disimbolkan dengan pembinaan masjid-masjid yang megah sahaja. Umat Islam lupa bahawa Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna yang boleh membimbing manusia dan menyelesaikan berbagai-bagai masalah termasuk urusan politik mereka.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-