Muslihat pada umumnya sering kali didengar, ia bukan sahaja dalam medan peperangan, tetapi juga dalam arena kehidupan. Daripada kata tersebut manusia selalu berfikir tentang hal-hal yang negatif berhubung dengan muslihat. Namun dalam Islam, muslihat mempunyai kaedahnya yang dibenarkan sama ada bersifat strategi ataupun taktikal. Semua itu bergantung kepada alternatif yang dibenarkan oleh syara'.
Di dalam al Quran sendiri, terdapat banyak kalimah seerti dengan muslihat - makar - “tipu daya” ataupun “perencanaan helah” yang bukan sahaja dinisbahkan kepada musuh-musuh Islam, tetapi juga dinisbahkan kepada Allah Taala. Begitupun maksud ayat-ayat tersebut adalah Allah mengatur kesemua urusan hamba-Nya kerana Dia merupakan Pemilik Yang Mengurus dan tiada satu pun pengurus berada di luar pengurusanNya. Dalam erti kata lain, segala muslihat musuh-musuh-Nya mampu dikalahkan dengan perencanaan Allah Yang Maha Agung.
Allah Taala berfirman :
"Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (tipu daya terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak." (Al Ra'd:42)
Ayat ini menegaskan bahawa “pengaturan holistik” adalah milik Allah Taala dan pengurusan mereka yang lain semuanya tidak akan mampu mengatasi perancangan Ilahi. Justeru ia bertujuan memotivasikan Baginda Rasulullah S.A.W dan umat Islam tentang ketidakupayaan musuh-musuh Islam menghapuskan Islam kerana bakal berhadapan dengan kebijaksanaan Allah untuk mematahkan setiap perancangan jahat mereka.
Sebahagian mufassirin menghuraikan ayat di atas berikutan kisah Nabi Isa A.S yang dikhianati oleh pengikutnya bernama Judas. Termasuklah juga orang-orang Yahudi merencana pelbagai tuduhan dan tipu daya terhadap Baginda Isa A.S. Berbagai macam cara mereka lakukan, bermula dengan menuduh ibunya, Maryam berzina dengan bekas tunangnya, Yusuf an-Najjar padahal Maryam adalah wanita suci. Selanjutnya menuduh Nabi Isa A.S melakukan khurafat serta memfitnahnya kepada penguasa bahawa Nabi Isa mahu menggulingkan kerajaan Rom.
Kaum kafirin merancang perbuatan jahat sehingga ke tahap merencana niat busuk yang terselubung matlamat membunuh Nabi Isa A.S. Namun, Allah juga merancang tipu daya-Nya, tetapi tipu daya Allah dengan tujuan yang baik yakni menghalang rencana jahat yang dirancang oleh mereka itu. Lalu wajah Judas diserupakan dengan wajah Nabi Isa sehingga tentera-tentera Rom menyangka Judas adalah Isa yang sebenar, ditangkap dan kemudian disalibnya.
Demikianlah Allah membalas makar atau tipu daya mereka, memang Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya. Allah Taala berfirman di dalam surah Al-Anfal ayat 30;
"Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya."
Ayat di atas, para mufassirin menggambarkan pula perancangan tokoh-tokoh kaum Musyrikin Makkah di balai Dar an-Nadwah, yakni beberapa hari sebelum peristiwa Hijrah. Mereka merancang untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W dengan tujuan membendung dakwah Islamiyah. Namun, rencana busuk mereka dipatahkan oleh Allah Taala.
Allah Yang Maha Mengetahui itu melakukan pula rencana-Nya membalas tipu daya dan gagallah semua makar (tipu daya) yang mereka rencanakan itu. Dalam hal ini, bukanlah bererti Islam membenarkan pula umat Islam melakukan tipu daya ataupun helah secara mutlak. Akan tetapi, umat Islam boleh melakukan kaedah muslihat dalam hal mencapai kebaikan sekalipun dalam medan peperangan.
Justeru dalam peperangan yang dipenuhi tipu muslihat musuh, maka Rasulullah S.A.W turut mengizinkan umatnya melakukan hal yang sama dengan syarat menjaga janji, memelihara jaminan dan menunaikan tawaran. Larangan itu terdapat di dalam surah Al Anfal ayat 56;
"(Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu)."
Selain muslihat yang dibicarakan di dalam Al-Quran, hadis-hadis juga menemukan kita tentang muslihat yang diperbolehkan oleh Islam. Di antaranya menerusi riwayat at-Tirmizi di dalam Sunannya bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Berbohong itu tidak halal (tidak dibenarkan) kecuali dalam tiga perkara (iaitu) suami pada isterinya agar mendapat redha isterinya, bohong dalam peperangan, dan bohong untuk mendamaikan di antara manusia.”
Muslihat Rasulullah S.A.W Menentang Perikatan Ahzab
Di dalam sebuah hadis yang redaksinya juga hampir sama dengan hadis di atas ialah hadis daripada Jabir Ibnu Abdillah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda (maksudnya), "Peperangan itu adalah muslihat (tipu daya)."
Jika kita merujuk hadis di atas, Baginda Nabi S.A.W menyatakan bahawa peperangan itu adalah tipu daya demi memperoleh kemenangan sekali gus mengalahkan lawan. Nabi S.A.W menuturkan kaedah muslihat seperti dalam peristiwa peperangan Khandak, iaitu ketika Baginda Rasulullah mengutuskan Nu'aim ibn Mas'ud al-Asyja’ie R.A untuk menimbulkan kekacauan antara golongan Quraish dengan golongan Yahudi bani Quraizah.
Nu’aim ibn Mas’ud merupakan orang kepercayaan kaum kafir Quraish termasuklah golongan Yahudi terutamanya daripada kaumnya sendiri, bani Ghothofan. Beliau memeluk Islam tanpa pengetahuan kaumnya dan berhasrat untuk membantu Rasulullah S.A.W dengan cara bertemu golongan Yahudi bani Quraizah yang telah membatalkan perjanjian dengan kaum Muslimin. Beliau menggunakan tipu muslihatnya untuk menggesa bani Quraizah supaya tidak terlibat dalam peperangan.
Nu’aim mengatakan bahawa kumpulan Yahudi yang lain seperti bani Qainuqa’ dan bani Nadhir telah diusir, dan harta benda serta tanah mereka telah dirampas manakala orang-orang Quraish dan Ghothofan pula akan pulang ke negeri masing-masing sekiranya tidak berpeluang mengalahkan Muslimin.
Nu’aim mencadangkan agar bani Quraizah mendapatkan beberapa orang pembesar Quraish dan kabilah bani Ghothofan sebagai tawanan supaya mereka tidak meninggalkan bani Quraizah sendirian menghadapi peperangan. Pemuka bani Quraizah memandang baik cadangan tersebut.
“Engkau telah memberikan pendapat yang amat baik,” kata para pemimpin Yahudi bani Quraizah tanpa curiga. Mereka tidak tahu Nu'aim ibn Mas'ud telah menjadi memeluk Islam.
Nu'aim kemudiannya berjumpa dengan Abu Sufyan dan pemimpin-pemimpin Quraish yang lain. Nu'aim menceritakan bahawa bani Quraizah menyesal terhadap tindakan mereka membatalkan perjanjian dengan Muhammad dan ingin menculik beberapa orang pemimpin Quraisy untuk diserahkan kepada Muhammad untuk mematerikan semula perjanjian yang telah dibatalkan.
Nu’aim juga sempat berpesan agar mereka tidak menyerahkan seorang pun pada mereka. Kemudian beliau berjumpa kabilahnya dari bani Ghothofan dan menceritakan apa yang telah diceritakan kepada kaum Quraish.
Selepas itu Abu Sufyan menghantar utusannya berjumpa bani Quraizah mengajak mereka melancarkan serangan keesokan harinya. Bani Quraizah enggan dan mengatakan bahawa mereka tidak akan berperang sehinggalah kaum Quraish dan Ghothofan menyerahkan orang-orang mereka sebagai tawanan. Kaum Quraish dan Ghothofan menyangka apa yang disampaikan oleh Nu’aim ibn Mas’ud itu benar. Akibatnya kesatuan perikatan Ahzab berkecai dan mereka saling meragui sesama mereka.
Muslihat Qutuz Menentang Monggol
Imam az Zahabi R.A menyebut peribadi Sultan Saifuddin Qutuz di dalam Siyar A’lam an Nubala’, "Beliau adalah pemerintah yang mendapat (pahala) syahid, beliau merupakan pahlawan yang berani, berpegang kuat dengan agama dan mencintai rakyatnya. Beliau menewaskan Tatar dan membersihkan tanah Syam di hari peristiwa Ayn Jalut. Moga-moga Allah menerima usaha jihadnya. Ketika beliau menghembuskan nafasnya, beliau masih muda belia."
Sewaktu Monggol berusaha untuk menjajah Mesir, Sultan Kerajaan Mamluk ketika itu Sultan Saifuddin Qutuz telah mengarahkan para panglimanya agar menghantar setiap pasukan tentera keluar berperang ke Ayn Jalut, Palestin. Tujuannya adalah supaya jika ditaqdirkan tentera Islam tewas di Ayn Jalut, maka mereka masih mempunyai peluang di Mesir untuk mengatur strategi memerangi pasukan Tatar.
Antara panglima-panglima hebat yang diarahkan ke Ayn Jalut ialah Ruknuddin Baybers termasuklah Sultan Saifuddin Qutuz sendiri. Manakala Farisuddin Aqtai, salah seorang panglima kerajaan Mamluk yang berpengalaman diminta bertahan di kota Mesir. Setiap pasukan diarah untuk berdepan dengan Monggol secara peringkat demi peringkat. Ketika pasukan pertama yang dipimpin oleh Ruknuddin Baybers, Sultan Saifuddin Qutuz mengarahkan agar Baybers dan tenteranya berundur dan berpura-pura lemah.
Muslihat itu adalah helah yang sama digunakan oleh tentera Islam di dalam peperangan Nahawand, ketika tentera Islam di zaman Saidina Umar al Khattab membuka Parsi. Muslihat ini kemudiannya digunakan untuk menarik tentera Tatar yang sudah keletihan masuk ke tengah-tengah kepungan. Ia bukanlah taktik yang mudah. Ia memerlukan satu perkiraan yang tepat. Terlalu cepat akan menyebabkan musuh menyedari taktik tersebut. Terlalu lambat akan menyebabkan kematian tentera Islam.
Strategi ini divariasikan lagi dengan kemasukan pasukan gendang di medan perang. Para pasukan gendang memainkan rentak yang memberikan isyarat-isyarat tertentu kepada tentera Mamluk.
Isyarat tersebut hanya mampu difahami oleh tentera Mamluk. Setiap pergerakan tentera akan ditentukan oleh gendang tersebut. Maka, gendang-gendang dipukul itu bukanlah sekadar menjentera semangat, tetapi ia dipalu termasuk di dalam strategi peperangan yang digunakan agar tentera-tentera Mamluk sama ada pasukan berkuda, pasukan memanah, pasukan tombak, tahu tindakan-tindakan yang seterusnya dilakukan.
Setiap pasukan tentera juga membawa "runk". Di dalam bahasa Parsi, runk memberikan maksud warna panji, syiar ataupun simbol yang menunjukkan kewujudan ketua bagi setiap runk. Qutuz mengarahkan setiap pasukan memegang runk yang bermacam-macam warnanya. Ada yang warna hijau, putih, merah, biru, kuning untuk memperlihatkan kepada pasukan Tatar pada waktu itu bahawa kumpulan tentera Islam ramai, berbagai kabilah dan masing-masing bersatu untuk berperang.
Muslihat ini telah berjaya menggerunkan pasukan Tatar terutamanya Katabgha Khan yang ketika itu mengetuai strategi serangan angkatan tentera Tatar.
Muslihat Tun Perak Terhadap Tentera Siam
Dalam sejarah Melayu yang direkodkan dari kitab Sulalatus Salatin ada juga menceritakan kebijaksanaan Tun Perak mengatur muslihat peperangan iaitu dengan menambat puntung api pada pokok-pokok yang berada di sepanjang sungai sebagai helah untuk menunjukkan angkatan Melaka mempunyai bilangan anggota yang ramai.
Tun Perak telah diberi tanggungjawab mengetuai angkatan perang Melaka menyekat kemaraan angkatan perang Siam. Angkatan Siam berkampung di Batu Pahat. Bagaimanapun Tun Perak berhasrat untuk mengelakkan berlaku pertempuran (peperangan) antara kedua-dua angkatan tersebut dengan cara menebang setiap pokok yang berada di sepanjang tebing sungai dan menambat di sekelilingnya dengan puntung api. Cahaya api yang begitu banyak dapat dilihat dengan jelas di seberang sungai.
Hal tersebut menyebabkan orang-orang Siam menyangka angkatan Melaka sangat besar, mempunyai bilangan yang ramai. Keadaan seperti ini tentu menunjukkan angkatan Melaka sangat kuat kerana lazimnya setiap puntung api dipegang oleh seorang hulubalang.
Akhirnya angkatan tentera Siam membatalkan rancangan menyerang Melaka kerana menyangka angkatan Melaka sangat besar dan kuat berbanding dengan kemampuan mereka. Mereka tidak menyangka muslihat yang dilaksanakan Tun Perak mengaburi mata orang-orang Siam itu.
Helah Tun perak yang mengetuai angkatan perang Melaka dapat mengelakkan berlaku pertempuran berdarah dan menyelamatkan Melaka dari ancaman Siam.
Setelah diutarakan pelbagai kaedah muslihat dalam peperangan, perlulah difahami bahawa muslihat bukanlah kaedah yang terpakai untuk semua keadaan, apatah lagi jika tujuannya untuk menipu, berbohong dan melakukan pengkhianatan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya), “Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Yang bercakap benar, akan ditulis benar, yang berbohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu akan membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”
Para ulama' sepakat mengatakan bahawa muslihat di medan peperangan harus dilakukan asalkan tidak merosakkan janji atau jaminan yang sudah diberikan, kerana tipu daya dalam perjanjian adalah haram hukumnya.
Dalam satu peperangan, Umar al Khattab R.A pernah mengutuskan surat kepada salah seorang tenteranya. Di dalam surat itu menyebut, "Telah sampai ke pengetahuanku, ada seorang lelaki yang memohon rawatan. Lelaki tersebut seorang kafir dan juga bukan berbangsa Arab. Ketika itu salah seorang tentera Islam menenangkannya dan memberi jaminan untuk memulihkan kesakitan yang dialami oleh lelaki tersebut. Tetapi tawaran itu cuma helah, ia tidak ditunaikan bahkan lelaki kafir itu dibunuh. Demi jiwa ragaku di tangan-Nya (Allah), jangan ada seorangpun tentera Islam yang boleh melakukan penipuan seperti ini kecuali pasti akan ku penggal lehernya."