© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Risalah “Berbilang Jemaah” Tuan Guru Abdul Hadi

Risalah “Berbilang Jemaah” Tuan Guru Abdul Hadi

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 20 July 2015


Persoalan tentang berbilang-bilangnya jemaah (ta’addud jamaah) suatu ketika dahulu agak hangat diperbahaskan di bumi Mesir. Maka, suka untuk saya memetik daripada sebuah buku karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 1993 lagi yang bertajuk Tafsir Surah al-Saff. Artikel ini bukanlah berniat untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya menjelaskan penyelesaian.

1
Alasan Menubuhkan Jemaah Baru

Terdapat di dunia ini bermacam-macam jemaah yang menamakan jemaah mereka sebagai gerakan Islam. Ia tertubuh walaupun gerakan Islam sudah sedia ada. Matlamat dan tujuannya sama sahaja. Maka akan terbentuklah jemaah yang berbilang-bilang. Selain itu, ia tertubuh disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah:-
  1. Gerakan Islam yang sedia ada didakwa telah kehabisan matlamat dan tujuannya sedangkan matlamat dan cita-cita untuk menegakkan Islam belum kesampaian. Maka, hasilnya ramai yang berjuang separuh jalan, kemudian mencari perjuangan lain, kerana bosan dengan gerakan yang sedia ada, tidak istiqamah dengan perjuangan tersebut.
  2. Gerakan Islam yang telah wujud didakwa tidak lengkap dan tidak menyeluruh, maka mereka menubuhkan jemaah lain, semata-mata untuk mempamerkan manhaj yang lengkap. Sedangkan mereka sepatutnya berusaha untuk melengkapkan gerakan yang sedia ada.
  3. Gerakan Islam yang sedia ada didakwa mempunyai kekeliruan. Maka, dengan mewujudkan jemaah lain akan menyelamatkan mereka daripada sebarang tuduhan dan kekeliruan tersebut. Mereka tidak yakin dengan perjuangan asal, lalu mereka menubuhkan jemaah baru kononnya mereka lebih yakini dengannya.
  4. Gerakan yang sedia ada didakwa telah banyak melakukan kesilapan, maka mereka menubuhkan jemaah baru kononnya untuk melepaskan diri daripada kesilapan tersebut. Walhal penubuhan jemaah baru itulah sebenarnya kesilapan dan mereka tergesa-gesa menghukum.
2
Persoalan

Di atas ini adalah antara alasan untuk menubuhkan jemaah baru, sedangkan gerakan yang sedia ada sudah tertubuh. Maka, persoalan yang dilontarkan di sini ialah;
  • Adakah pertubuhan baru tersebut telah mencapai matlamatnya?
  • Adakah pertubuhan baru ini berjaya melepaskan diri daripada sebarang tuduhan dan kecaman?
  • Adakah pertubuhan baru ini dapat melaksanakan dakwah dengan selesa setelah keluar daripada gerakan Islam asal yang penuh dengan dugaan?
  • Adakah pertubuhan baru ini benar-benar lengkap sepertimana yang diharapkan setelah keluar daripada gerakan asal?
Alasan-alasan untuk menubuhkan jemaah baru adalah penyebab hancurnya sistem berjemaah sepertimana yang telah disebutkan di dalam Surah al-Soff ayat 4;
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

3
Realiti Penubuhan Jemaah Baru

Penubuhan jemaah baru ini, pastinya tidak dapat berhadapan dengan realiti kerana beberapa perkara berikut:-
  1. Mereka menyangka kesalahan, tuduhan dan kecaman tidak akan mereka terima dengan tertubuhnya jemaah baru, sedangkan mereka lebih banyak menerimanya setelah penubuhan jemaah baru. Bahkan mereka tidak sedar, apa yang mereka tentang itu adalah Islam sendiri.
  2. Kesalahan yang mereka lihat pada Gerakan Islam yang sedia ada, lalu mereka menubuhkan jemaah lain, hakikatnya kesalahan tersebut terpalit kepada mereka pula. Bahkan mencetuskan perpecahan sesama umat Islam.
  3. Hasilnya, jemaah baru ini hanya mengulangi apa yang telah dilakukan oleh Gerakan Islam yang sedia ada, dan mereka baru sahaja memulakan langkah itu, sedangkan Gerakan Islam yang sedia ada sudah lama maju ke hadapan.
  4. Selain itu, pertubuhan-pertubuhan yang baru ini seolah-olah memberi gambaran buruk kepada masyarakat, meragui kemampuan Islam dalam menyelesaikan masalah ummah. Mereka melihat Islam mengajak kepada kesatuan, tetapi apabila melihat jemaah yang berbilang, mereka akan hilang kepercayaan terhadap Islam dalam menyatukan ummah.
4
Anologi Penubuhan Jemaah Baru

Contoh yang paling sesuai, apabila seorang doktor melihat klinik sahabatnya kekurangan tenaga pakar, peralatan dan kelengkapan, lalu doktor ini menubuhkan pula klinik baru di kawasan yang sama, dengan harapan kliniknya dapat menyediakan perkhidmatan yang lengkap, dan cukup dengan tenaga pakar.

Akhirnya doktor ini telah menyebabkan klinik milik sahabatnya itu akan terus dengan kekurangannya, dan klinik miliknya juga akan mengalami masalah yang sama. Bayangkan sekiranya doktor-doktor lain juga berfikiran yang sama sepertinya. Maka, semua klinik akan mengalami kekurangan tenaga pakar, disebabkan bilangan klinik melebihi bilangan tenaga pakar.

Maka, jalan yang sepatutnya ialah, doktor tadi perlu bergabung dengan sahabatnya untuk memperbaiki dan meningkatkan tahap kliniknya, sehinggalah kliniknya benar-benar pulih, barulah dia merancang untuk membuka cawangan sekiranya perlu, dan mempunyai kelengkapan yang cukup.

Telah kita sebutkan bahawa kita adalah penyambung perjuangan Nabi-nabi, dan kita bukanlah pencipta perjuangan yang baru. Kita perlu menggabungkan diri dengan perjuangan-perjuangan yang telah dilalui oleh mereka.

5
Memperbetulkan Keadaan

Untuk memperbetulkan sistem yang telah rosak disebabkan berbilangnya jemaah, maka perlunya kepada salah satu daripada dua penyelesaian ini. Iaitu:-
  1. Jemaah yang tertubuh atas dasar tidak puas hati, benci, kritikan, tuduhan atau sebagainya yang telah disebut sebelum ini, haruslah kembali kepada jemaah yang asal, dan sama-sama memperbetulkan kesilapan masing-masing untuk menghidupkan dan membina jemaah tersebut.
  2. Atau menjalinkan kerjasama dengan membuat penetapan atau persetujuan. Antara perkara-perkara yang perlu diperhatikan dalam membuat kerjasama ini ialah :
  • Setiap jemaah boleh mengekalkan undang-undang tubuh masing-masing secara berasingan, tetapi perlu bersedia mengubah cara bekerja dari semasa ke semasa.
  • Setiap jemaah hendaklah bertanggungjawab dalam memastikan anggotanya sentiasa tunduk dan patuh kepada pimpinan umum.
  • Setiap anggota jemaah hendaklah memberikan wala’ kepada pimpinan umum selagi mana ia bertindak mengikut peraturan dan etika yang telah dipersetujui.
  • Setiap anggota daripada setiap jemaah hendaklah tidak boleh sama sekali memberi bantuan, sokongan atau kerjasama kepada mana-mana pihak yang menjadi musuh pakatan ini.
  • Setiap jemaah haruslah tidak menyerang satu sama lain, malah hendaklah sama-sama mempertahankan jemaah yang disepakatinya ketika menghadapi serangan.
  • Bidang kerja setiap jemaah dan anggota hendaklah diselaras dengan baik.
  • Untuk menyelaraskan pentadbiran dan pengurusan pakatan ini, hendaklah diwujudkan jemaah kepimpinan mengikut persetujuan bersama.
Sekiranya ia terlaksana Islam pasti akan kembali bersatu. Semoga usaha ini dapat dilakukan bagi menyelesaikan konflik berbilang jemaah. Maka, lihatlah firman Allah swt di dalam ayat 4 Surah as Soff ini, Allah menyuruh umat Islam supaya bersistem dan berjemaah. Maka, kembalilah kepada sistem ini, dan gabungkanlah diri anda dengan gerakan Islam. Elakkanlah perbalahan dan perpecahan yang terhasil disebabkan berbilangnya jemaah.

Biodata Penulis

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil merupakan graduan Universiti al-Azhar di Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah. Melibatkan secara aktif dalam bidang dakwah dan memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-