© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Perjalanan Jihad dan Dakwah Khalid al-Walid di Ma’rakah Yarmouk

Perjalanan Jihad dan Dakwah Khalid al-Walid di Ma’rakah Yarmouk

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 19 July 2015


Kemenangan Islam di Yarmouk (dalam Battle of Hieromyax) pada 20 Ogos tahun 636 M, melibatkan pertembungan sengit umat Islam berdepan Rom Timur (Byzantine), salah satu empayar signifikan dalam sejarah dunia. Peperangan Yarmouk merupakan salah satu pertempuran yang tidak asing dalam sejarah Islam kerana ia menandakan kemasukan Islam ke Syam (Palestin dan Syria) dan Mesopotamia, di mana majoriti rakyatnya adalah penganut agama Kristian. Peperangan Yarmouk bukan sahaja menandakan kemerosotan empayar Rom di tanah Arab tetapi mengulangi kebenaran al-Quran tentang sejarah pertempuran Talut dan Jalut yang menunjukkan bahawa angkatan tentera yang besar tidak selalunya akan memenangi peperangan.

Firman Allah swt:
كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
“(Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah), ‘Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.” (al-Baqarah: 249)

Siri-siri pertempuran Islam dengan Rom telahpun terjadi di akhir kepimpinan Rasulullah saw lagi dalam peperangan Mu’tah. Seramai 3 000 orang tentera dikerahkan menghadapi 100 000 tentera Rom Byzantine sebagai tindak balas ke atas pembunuhan utusan Rasulullah saw. Tiga orang panglima Islam iaitu Zaid ibn Harithah, Ja’afar ibn Abi Talib dan Abdullah ibn Rawahah lantikan Rasulullah saw telah terkorban dalam peperangan tersebut, menyebabkan Thabit ibn al-Arqam yang bertindak menggantikan kepimpinan tentera Islam serta-merta memilih Khalid al-Walid (584 M-642 M) sebagai ketua panglima yang berpengalaman luas dalam medan pertempuran. Khalid berjaya bertindak menyelamatkan tentera Islam daripada terus diasak hebat oleh Rom, iaitu dengan mengundurkan tentera Islam kembali ke Madinah sedikit demi sedikit tanpa dikejar oleh tentera musuh. Dalam perang Mu’tah, sembilan pedang milik Khalid al-Walid telah patah sebagaimana yang dinyatakan dalam riwayat al-Bukhari;
لَقَدْ دُقَّ فِي يَدِي يَوْمَ مُؤْتَةَ تِسْعَةُ أَسْيَافٍ، وَصَبَرَتْ فِي يَدِي صَفِيحَةٌ لِي يَمَانِيَّةُ
“Telah remuk (dalam riwayat lain patah) sembilan bilah pedang yang telah digunakan dalam perang Mu’tah. Hanya yang tinggal padaku sebilah pedang lebar buatan Yaman.”

Menunjukkan sengitnya pertempuran yang berlaku di Mu’tah. Apabila tentera Islam sampai ke Madinah, mereka telah disambut taburan tanah daripada orang ramai sambil berkata:
يا فرار فررتم في سبيل الله
“Wahai orang-orang yang melarikan diri. Kamu telah lari daripada medan jihad di jalan Allah.”

Sambil mendokong anak-anak Ja’afar ibn Abi Thalib, Rasulullah saw membela Khalid al-Walid dan tentera Islam:
ليسوا بالفرار ولكنهم الكرار إن شاء الله
“Mereka bukanlah orang yang melarikan diri tetapi mereka adalah orang yang akan mengulangi peperangan, dengan izin Allah.”

Pengalaman berdepan dengan tentera Rom di Mu’tah menjadi pengajaran berguna kepada Khalid al-Walid untuk memimpin tentera Islam seterusnya menyebarkan Islam di wilayah-wilayah jajahan Rom. Di akhir pemerintahan Abu Bakr al-Siddiq ra dan permulaan pentadbiran Umar al-Khattab ra, Khalid al-Walid diberikan amanah menjadi ketua panglima Islam menentang Rom. Walaupun mendapat berita pertukaran pimpinan Abu Bakr-Umar di luar dari Tanah Arab, Khalid al-Walid memerintahkan tenteranya tetap taat dan setia kepada kepimpinan Khalifah Islam. Ketika itu Tentera Rom dipimpin oleh Vahan di bawah pemerintahan Theodore Trithyrius. Kerajaan Islam pada waktu itu telah mempertaruhkan sejumlah pasukan tentera yang jauh lebih kecil iaitu seramai 30 000 orang + 10 000 ekor kuda (ada riwayat mengatakan 36 000 tentera). Ada juga riwayat tentera Islam berjumlah 39 000 orang iaitu;
  •  21 000, jumlah tentera diketuai Abu Ubaidah bin al-Jarrah, Syurahbil bin Hasanah, Yazid binAbi Sufyan dan Amru bin al-‘As
  • 6 000, jumlah tentera diketuai I’krimah ibn Abi Jahl dan Qa’qa ibn ‘Amru
  • 9 000, jumlah tentera diketui Khalid ibn al-Walid
  • 3 000, jumlah tentera diketui Khalid Ibn Sa’id.
Walaupun terdapat banyak riwayat tentang bilangan sebenar tentera Islam, jumlahnya sedikit berbanding rejimen tentera Rom yang memiliki kekuatan berganda-ganda daripada tentera Islam, iaitu 240 000 orang. Namun, pasukan tentera Islam mampu memenangi perlawanan tersebut menentang pasukan Rom yang sangat besar jumlahnya. Terdapat juga kaum Muslimat yang menyertai perang di Yarmouk iaitu Juwayria binti Abi Sufyan. Peperangan Yarmouk membuktikan jumlah tentera yang ramai bukan elemen sebenar mengalahkan musuh. Kejayaan mestilah dibuktikan dengan keazaman, ketakwaan dan semangat jitu untuk menegakkan agama Allah dan menyebarkan dakwah Islam.

Pertempuran di Yarmouk juga merupakan salah satu kejayaan Khalid al-Walid ra yang paling gemilang selain peperangan menghadapi pengingkar-pengingkar zakat dan kaum murtad yang diketuai Musaylamah al-Kazzab. Medan Yarmouk mengukuhkan lagi reputasi Khalid al-Walid sebagai salah seorang komander skuadron yang hebat dan memiliki faktor kemenangan sehingga digelar Rasulullah saw sebagai Saifullah (pedang Allah);
إِنَّ خَالِدًا سَيْفٌ سَلَّهُ اللَّهُ عَلَى الْمُشْرِكِينَ
“Sesungguhnya Khalid adalah pedang Allah yang dihunuskan ke atas orang-orang musyrik.”

Manakala Abu Bakr al-Siddiq pernah menyentuh perihal kehebatan Khalid al-Walid:
والله لأُنسين الروم وساوس الشيطان بخالد بن الوليد
“Demi Allah, Rom akan dilupakan, mereka dihantui kesangsian dengan kelibat Khalid al-Walid.”

Di Yarmouk, Khalid al-Walid telah memimpin 36 rejimen tentera di mana setiapnya dipenuhi 1 000 skuadron. Setiap skuadron diperkuatkan dengan empat orang panglima yang dipilih Khalid untuk mengetuai di setiap bahagian ketenteraan. Turus tengah diketuai oleh Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan Syurahbil bin Hasanah, sayap kiri (left flank) diketuai Yazid bin Abi Sufyan, dan sayap kanan (left right) diketuai Amru bin al-As. Manakala di setiap pasukan masing-masing ditugaskan memegang panji yang jumlahnya sebanyak sembilan buah pasukan diatur memanjang sejauh 18 kilometer. Menurut Mahmoud Shith Khattab di dalam al-Islam wa al-Nasr, Khalid al-Walid bijak memanipulasi psikologi para tenteranya sehingga tentera Rom yang sangat ramai dianggap sedikit olehnya.

Antara khutbah Khalid kepada tenteranya:
أيها المسلمون، لا تسمحوا للضعف أن يَدُب فيكم، ولا للوَهْن أن يُسيطر عليكم، واعلموا أن المعونة تأتي من الله على قدْرِ النيَّة، وأن الأجر والثواب على قدر المشقة، وأن المسلم ينبغي له ألا يَكترِث بشيء مهما عَظُم ما دام الله في عونه
“Wahai kaum Muslimin, jangan biarkan kelemahan menghantui kalian, jangan biarkan penyakit cintakan dunia (al-wahn) menyelimuti kalian. Ketahuilah bahawa pertolongan Allah itu datang berdasarkan niat (keimanan kepada-Nya), ganjaran dan pahala pula dikira menurut kesusahan yang kalian dihadapi. Orang Islam itu mestilah tidak terlalu mempedulikan sesuatu imbuhan lain selama Allah mengurniakan pertolongan-Nya.”

Kepintaran Khalid al-Walid merancang strategi ketenteraan di Yarmouk telah menjadi buah mulut masyarakat Islam di seantero negeri termasuklah di wilayah-wilayah musuhnya. Khalid al-Walid telah mengendalikan strategi perang menentang Rom dengan cara tunggu dan lihat (defensif), setiap titik kelemahan dikenalpasti, kemudian serangan balas (counter attack) dilakukan dan akhirnya serangan secara habis-habisan dilakukan sehingga pasukan Rom berantakan. Kegeniusan Khalid al-Walid diagung-agungkan para tenteranya sehingga tugu peringatan dibina didekasikan kepada Khalid al-Walid. Tugu tersebut berbentuk hujung mata pedang. Justeru, ada riwayat berpendapat Umar al-Khattab mengambil keputusan memecat sepupunya iaitu Khalid al-Walid dari jawatan panglima perang kerana khuatir popularitinya disanjung-sanjung secara melampau sebagai punca kemenangan Islam.

“Islam tidak akan kalah dengan Khalid al-Walid...”
“Khalid al-Walid adalah punca kemenangan Islam...”

Pemecatan yang dilakukan Umar al-Khattab disambut penuh redha oleh Khalid al-Walid tanpa sebarang rungutan atau bantahan, atau apa jua aktiviti yang boleh mencetuskan perpecahan tentera Islam (seperti menubuhkan kumpulan atau parti baru), atau menuduh bahawa dakwaan-dakwaan itu adalah “cai” punya angkara, atau “mengoyak” baiah sebagai simbol tidak puas hati. Umar al-Khattab mengutuskan surat kepada umat Islam menjelaskan tindakannya memecat Khalid:
إني لم أعزل خالدًا عن سخطة ولا خيانة، ولكن الناس فتنوا به، فخفت أن يوكلوا إليه ويُبتلوا به. فأحببت أن يعلموا أن الله هو الصانع، وألا يكونوا بعرض فتنة
“Sesungguhnya aku melucutkan Khalid bukan kerana benci atau khianat, tetapi rakyat terlalu mengkaguminya. Aku khuatir pesona kepimpinannya memakan dirinya. Aku lebih suka kalian sedar bahawa Allah (jua) sumber yang menjadikan (memberi) kemenangan kepada Islam, bukan kekaguman kalian terhadap ketokohan individu.”

Apabila Khalid al-Walid mengetahui pembantunya, Abu Ubaidah bin al-Jarrah telah diangkat Umar al-Khattab untuk menggantikan kedudukannya, dengan penuh tawadhu’ dan kebesaran jiwanya beliau menuturkan;
وأما الآن، فإنك أنت أميري وقائدي، وأنا لك الجندي الأمين. سلني أُطِعك
“Adapun aku sekarang masih lagi seorang tentera, kamu (Abu Ubaidah) adalah ketuaku dan pimpinanku, dan aku menyerahkan diriku kepadamu sebagai tentera yang amanah. Pedangku terhunus mentaati (menanti perintah) mu.”

Dahulu di zaman Rasulullah saw, pernah sekali Khalid al-Walid ditugaskan baginda ke kabilah-kabilah Badwi untuk mengajak mereka memeluk Islam secara baik. Tetapi arahan itu telah berubah menjadi pertempuran berdarah sehingga yang telah memeluk Islam menjadi mangsa dalam pertempuran tersebut. Peristiwa tersebut berlaku di Ghuraisa pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijriah. Oleh kerana ia berlaku disebabkan salah faham, Rasulullah saw menugaskan Ali bin Abi Talib untuk memberikan diyat kepada keluarga mangsa. Abd al-Rahman bin ‘Auf menegur perbuatan Khalid al-Walid, sehingga menyebabkan pertikaian demi pertikaian berlaku serta mencetuskan kata-kata keras dan kasar. Rasulullah saw menghentikan pertelingkahan mereka dengan menegur perbuatan Khalid al-Walid terhadap sahabatnya;
ذَرُوا لِي أَصْحَابِي، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَوْ أَنْفَقَ مثل أُحُدٍ ذَهَبًا، لَمْ يُدْرِكْ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلا نَصِيفَهُ
“Jangan memaki sahabatku (wahai Khalid). Demi Allah, jika salah seorang kamu menginfaqkan emas sebesar bukit Uhud, kamu tetap tidak dapat mampu menyamai walaupun satu cupak infaq mereka, tidak juga separuhnya.”

Khalid al-Walid terdiam menyedari kesilapannya. Sehebat manapun gelaran “Pedang Allah Yang Terhunus”, ia tetap tidak memberikan ada apa-apa kelebihan. Peristiwa di Ghuraisa memberikan pengajaran yang sangat berharga kepada Khalid al-Walid. Kesilapan yang dilakukannya terhadap tugasan yang diberikan Rasulullah saw tidak diulanginya lagi. Di Yarmouk, selain melaksanakan tugas peperangan menentang musuh Islam, Khalid al-Walid turut menjalankan dakwah mengajak musuh kepada kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah saw. Akhlak dan dakwah tetap dipelihara sekalipun dalam saat-saat getir peperangan, sehingga membuatkan musuh-musuh yang menentang Islam menerima agama Allah ini dengan hati yang insaf.

Di dalam Futuh al-Syam, terdapat riwayat yang menceritakan seorang panglima angkatan Rom bernama Georgios (جرجة بن بوذيها) yang fasih berbahasa Arab, memeluk Islam setelah mendapat penjelasan dari Khalid al-Walid. Pada awalnya, Georgios ditugaskan Rom untuk mengetuai unit serangan sayap kanan tentera Islam, beliau meluru mara ke hadapan khemah tentera Islam dan melaung-laung nama “Khalid Saifullah”, seolah-olah ingin mencabarnya bersemuka satu lawan satu. Taktik itu digunakan Georgios sebagai peluang bertemu dan mengajukan beberapa persoalan kepada Khalid al-Walid;
يا خالد أخبرني فاصدقني ولا تكذبني، فإن الكريم لا يخادع، هل أنزل الله على نبيكم سيفًا من السماء فأعطاكه فلا تسله على أحد إلا هزمتهم
“Wahai Khalid, aku meminta kamu bercakap jujur dan jangan berdusta, kerana orang yang mulia tidak akan menipu daya. Adakah Tuhan telah memberikan kepada Nabi-mu sebilah pedang dari langit kemudian pedang itu diserahkan kepadamu sehingga (setiap pertempuran) kamu terselamat daripada tetakan musuh bahkan kamu-lah yang menewaskan mereka (dengan pedang itu).”

Jawab Khalid al-Walid, “Tidak.”

Khalid al-Walid meneruskan lagi;
إن الله بعث فينا نبيه فدعانا فنفرنا منه ونأينا عنه جميعا، ثم إن بعضنا صدقه وتابعه، وبعضنا كذبه وباعده، فكنت فيمن كذبه وباعده، ثم إن الله أخذ بقلوبنا ونواصينا فهدانا به وبايعناه، فقال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم: «أنت سيف من سيوف الله سله على المشركين» ودعا لي بالنصر، فسميت سيف الله بذلك فأنا من أشد المسلمين على الكافرين
“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan di kalangan kami Nabi-Nya menjalankan dakwah dan menyeru (Islam) kepada kami semua, sebahagian mereka mempercayai dan menjadi pengikutnya, sebahagiannya pula mendustakan dan memulaukannya termasuklah aku. Kemudian Allah memberikanku hidayah, lantas aku berbaiah masuk Islam. Rasulullah saw mengatakan kepadaku; Kamu (Khalid) adalah salah satu pedang daripada Pedang-pedang Allah yang terhunus di tengkuk kaum musyrikin. Rasulullah saw mendoakan (kepada Allah) kemenangan berpihak kepadaku, dan menggelarkan aku Saifullah (Pedang Allah), kerana itu aku menjadi di antara kaum Muslimin yang sangat kuat penentangannya terhadap kaum kafir.”

Georgios bertanya lagi, “Wahai Khalid, justeru apa sebenarnya misi kamu (dan kaum Muslimin) kepada kami?”

Jawab Khalid al-Walid;
إلى شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدًا عبده ورسوله والإقرار بما جاء به من عند الله عز وجل
“Supaya (kamu) bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan supaya (kamu) mengakui mempercayai bahawa segala apa yang dibawanya (Nabi Muhammad saw) merupakan ajaran daripada Allah Azza wa Jalla.”

Georgios bertanya lagi, “Bagaimanakah kedudukan orang yang memeluk Islam pada hari ini? Adakah ke-Islamannya sia-sia kerana tiada ganjaran pahala yang boleh dipersembahkan olehnya di sisi Allah?”

Khalid al-Walid menjelaskan;
إنا بايعنا نبينا وهو حي بين أظهرنا تأتيه أخبار السماء ويخبرنا بالكتاب ويرينا الآيات، وحق لمن رأى ما رأينا، وسمع ما سمعنا أن يسلم ويبايع، وإنكم أنتم لم تروا ما رأينا، ولم تسمعوا ما سمعنا من العجائب والحجج، فمن دخل في هذا الأمر منكم بحقيقة ونية كان له فضل كبير
“Kami berbaiah kepada Nabi ketika baginda masih hidup bersama umatnya, wahyu dari langit diutus kepadanya dan kandungan al-Quran dijelaskan kepada kami (semasa hayatnya), menunjukkan kepada kami tanda mukjizatnya. Sesiapa yang melihat apa yang kami lihat, mendengar apa yang kami dengar (tiada pilihan bagi kami) untuk menerima Islam dan berjanji taat setia kepada kebenaran ajaran baginda saw. Bagi kamu pula yang tidak melihat apa yang kami lihat, tidak mendengar apa yang kami dengar, tentang peristiwa-peristiwa hebat dan keterangan-keterangan (bukti kerasulan baginda saw), justeru sesiapa di antara kamu memilih untuk meyakini perkara ini dengan sebenar-benar ikhlas, ia menjadi kelebihan besar baginya.”

Georgios berpuas hati dengan jawapan Khalid al-Walid lantas menyatakan kesedian untuk memeluk Islam. Georgios dijemput ke khemah Islam, diajarnya “syahadatain”, berwudhu’ dan mengerjakan solat. Apabila tentera Rom mendapati Georgios tidak muncul-muncul dari khemah tentera Islam, mereka mengira bahawa panglimanya telah dibunuh oleh Khalid al-Walid lantas mereka melancarkan serangan-serangan mengejut terhadap pertahanan umat Islam. Serangan tersebut mengembalikan Khalid al-Walid dan Georgios ke posisi ketenteraan kaum Muslimin dan meneruskan pertempuran menentang angkatan Rom. Georgios yang baharu memeluk Islam, syahid terbunuh di medan perang. Mulanya dia tidak beriman, kemudian meyakini Islam dan mengakhiri hayatnya sebagai Syahid di medan juang.

Kisah ini mengenangkan kembali petikan hadis tentang satu ujian pertanyaan Rasulullah saw kepada para sahabatnya;
مَنْ أَعْجَبُ الْخَلْقِ إِيمَانًا
“Siapakah yang paling menakjubkan imannya?”

“Para Malaikat”, jawab sahabat.

“Apa mungkin mereka (para Malaikat) tidak beriman, sedang mereka sentiasa berada di sisi Allah”, Rasulullah saw mempersoalkan kebenaran jawapan mereka.

Para sahabat menjawab lagi, “Para Nabi.”

“Apa mungkin mereka (para Nabi) tidak beriman, sedang mereka menerima wahyu daripada Allah”, Rasulullah saw mempersoalkan lagi.

“Mungkin kamilah (para sahabat Nabi) yang paling menakjubkan imannya”, jawab para sahabat.

“Masakan tidak kamu tidak beriman, sedang aku hidup bersama kamu”, Rasulullah saw menyangkal lagi jawapan para sahabatnya.

Seterusnya jawab Rasulullah saw;
أَعْجَبُ النَّاسِ إِيمَانًا قَوْمٌ يَجِيئُونَ مِنْ بَعْدِي يُؤْمِنُونَ بِي وَلَمْ يَرَوْنِي، وَيُصَدِّقُونِي وَلَمْ يَرَوْنِي، فَأُولَئِكَ إِخْوَانِي
“Mereka (manusia) yang paling menakjubkan imannya ialah umatku yang hidup selepasku, mereka beriman (melaksanakan ajaranku) sekalipun tidak melihatku. Mereka membenarkan (ajaranku) sekalipun tidak melihatku. Merekalah saudara-saudaraku (yang paling menakjubkan imannya di kalangan umat beriman).” (riwayat al-Bazzar)

Maha Benarlah firman Allah swt:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (al-Ahzab: 23)

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-