© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Khutbah: Wajib Membantu Palestin

Khutbah: Wajib Membantu Palestin

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 11 July 2014


Hari yang penuh kemuliaan ini, Marilah kita pertingkatkan ketakwaan kepada Allah Jalla wa A’la, Tuhan yang mencipta kita sekaligus membekalkan segala nikmat yang tidak ternilai buat kita. Ketakwaan di sini dengan maksud tunduk dan patuh kepada ketetapan syariat Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, iaitu ketakwaan yang memposisikan kita sebagai hamba yang taat dan soleh, seterusnya layak untuk menduduki syurga-Nya. Ketakwaan yang menjadi benteng kukuh menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa kepungan jahiliyyah moden. Ketakwaan yang merangsang semangat juang untuk mempertahankan syariat Ilahi dan sunnah al-Nabawi, di saat rata-rata umat Islam hari ini tidak lagi mempedulikan syariat dan sunnah dalam kehidupan mereka.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Umat Islam dewasa kini sedang menghadapi kepungan jahiliyah moden di seluruh dunia. Belumpun reda penderitaan dan kesengsaraan umat Islam di Iraq, Syria, Afrika Tengah, Myanmar dan seumpamanya, Palestin pula kembali menjadi tempat persinggahan tetap bagi tragedi peperangan dan penindasan yang dilakukan oleh Zionis Israel. Palestin sering menjadi mangsa terjahan Zionis Israel melempiaskan kebencian dan kesumatnya terhadap Islam. Rakyat Palestin menjadi mangsa penindasan kerana mereka tidak mengiktiraf negara haram Israel. Inilah yang telah ditegaskan Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 217:
وَلاَ يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ
Dan sentiasalah mereka (golongan musyrikin) memerangi kamu sehingga mereka memalingkan kamu daripada agama kamu jika mereka mampu berbuat demikian.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Menjadi satu kewajipan bagi kita untuk turut merasai penderitaan dan keperitan yang dialami oleh saudara kita di Palestin, serentak dengan itu kita haruslah menghulurkan bantuan berupa doa dan harta benda yang ada pada kita. Sabda Rasulullah s.a.w:
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ وَمَنْ أَصْبَحَ وَهَمُّهُ غَيْرَ اللهِ فَلَيْسَ مِنَ اللهِ
Siapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam maka ia bukanlah daripada golongan umat Islam, dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah, maka bukanlah dia daripada golongan yang diredhai Allah. (Riwayat al-Tabarani)

Selama lebih 70 tahun, umat Islam di Palestin hidup di medan peperangan. Mereka berada di tengah-tengah kekejaman penjajah durjana bernama Zionis Israel. Mereka ditindas dan dizalimi tanpa belas dan simpati. Orang-orang tua diusir keluar dari tanahair, kaum lelaki mereka dikelar dan ditembak mati, wanita diperkosa dan dibelah perutnya, kanak-kanak dibunuh dan dicuri organ-organnya, manakala rumah kediaman dihancurkan dan dibakar sejak sekian lama.

Para Pemimpin dan ulama’ besar Palestin seperti Syeikh Izzudin al-Qassam, Syeikh Ahmad Yassin, Dr. Abdul Aziz al-Rantisi  dan lain-lain telah menemui syahid dihujung senjata Zionis Israel yang kejam. Para mujahid dan pemuda-pemuda Islam yang mahu hidup mereka merdeka, ditangkap dan dikurung puluhan tahun lamanya, dalam bilik kurungan yang sempit dan serba gelap itu mereka diperlakukan laksana binatang, bahkan binatang lebih berhati perut berbanding Zionis. Demikianlah firman Allah berbunyi:
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُواْ
Nescaya kamu akan dapati, manusia yang sangat tinggi kadar permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah kaum Yahudi dan orang-orang yang menyekutukan Allah. (al-Maidah: 82)

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Isu Palestin bukanlah isu baru bagi dunia Islam dan masyarakat antarabangsa. Bahkan ia turut menjadi isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira agama, bangsa, dan negara. Hal ini kerana isu Palestin melibatkan isu hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dewasa kini, kebanyakan umat Islam sudah tidak memahami dan kurang arif terhadap isu-isu berkaitan dengan Palestin yang membabitkan umat Islam dan kepentingannya kepada dunia Islam. Situasi ini termasuklah konflik antara Palestin dan regim Israel. Ramai yang mengatakan bahawa ia hanya satu konflik politik dunia Arab. Ada yang mengatakan bahawa ia soal perkauman, apartheid, soal agama, pembersihan etnik dan lain-lain.

Selain itu, masyarakat menganggap bahawa isu Palestin sebagai isu perjuangan agama Islam dan isu penduduk Palestin sahaja. Bahkan terdapat juga umat Islam yang langsung tidak mengetahui dan mengambil peduli mengenai Palestin. Keadaan ini menggambarkan seolah-olahnya Palestin adalah dunia yang asing dan tidak pernah wujud di muka bumi ini. Sedangkan konflik di Palestin itu melibatkan isu tanah, isu kemerdekaan, isu kedaulatan dan isu keperibadian sesebuah bangsa, isu keadilan dan kemanusiaan sejagat. Oleh yang demikian, mimbar merasakan umat Islam perlu diingatkan semula kepentingan Palestin kepada umat Islam.

Oleh kerana peperangan yang berlanjutan saban tahun, saban bulan bahkan saban minggu di Palestin, maka tahap pengangguran telah meningkat ke peringkat yang sangat membimbangkan. Makanan dan keperluan harian kian berkurangan. Termasuklah keperluan ubat-ubatan di hospital-hospital jelas tidak mencukupi. Segalanya adalah ekoran kepungan ekonomi yang dikenakan oleh Zionis Israel dan sekutunya, Amerika dan Eropah ke atas Palestin.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi telah mengusulkan kepada negara-negara umat Islam agar membantu umat Islam di Palestin, khususnya kerajaan HAMAS yang dipilih secara demokratik. Beliau telah mengeluarkan fatwa yang menegaskan, wajibnya umat Islam menghulurkan bantuan kepada Palestin.

Justeru itu sidang Jumaat sekalian, melalui suara mimbar yang mulia ini saya melancarkan infaq fi sabilillah untuk saudara sumbangkan buat saudara seagama kita di Palestin. Berbekalkan kesedaran dan keinsafan yang tinggi untuk mengangkat martabat Ummah di mata dunia, demi membebaskan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel, demi kedaulatan syiar dan syariat Allah di bumi Palestin dan pastinya jua, demi menyelamatkan insan beriman daripada kesengsaraan dan penderitaan yang berterusan, maka pastikan tiada seorang pun muslimin sidang jumaat hari ini, meninggalkan masjid tanpa menyumbang dan menghulurkan infaq fi sabilillah.

Firman Allah:
وَمَاذَا عَلَيْهِمْ لَوْ آمَنُواْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقَهُمُ اللَّهُ وَكَانَ اللَّهُ بِهِم عَلِيمًا
Dan apalah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? (Ingatlah) Allah sentiasa mengetahui akan keadaan mereka. (al-Nisa’: 39)

Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat Islam seluruhnya ialah dengan memboikot barangan buatan Israel dan Amerika Syarikat bagi menunjukkan rasa sokongan kepada rakyat Palestin yang telah dizalimi Zionis dan sekutunya. Hal demikian kerana dengan cara memboikot produk dan segala perkhidmatan mereka, ekonomi musuh mampu dilumpuhkan sekiranya semua masyarakat Islam melakukannya secara konsisten dan berterusan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Meskipun negara-negara Islam mempunyai pertubuhannya sendiri seperti OIC dan Liga Arab. Mereka masih lagi berada di bawah pengaruh Amerika Syarikat serta tidak mempunyai semangat kerjasama yang kukuh antara negara Islam. Hal ini demikian kerana semasa pencerobohan Zionis ke atas Palestin, umpamanya Mesir telah menyekat bantuan kemanusiaan di sempadan Palestin dengan menutup pintu yang menghubungkan kedua-dua negara. Bahkan Mesir hanya bersetuju untuk membuka sempadannya sekiranya diberi keizinan oleh Israel. Lebih parah lagi sejak Presiden Mesir yang sah, Mohamad Mursi digulingkan dan diganti oleh pemerintahan rejim al-Sisi.

Sungguhpun keupayaan kerdil dimiliki oleh kita, marilah kita tunaikan hak persaudaraan terhadap saudara kita di Palestin dalam setiap ruang dan peluang yang mampu kita salurkan, sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Perumpamaan orang-orang beriman dalam berkasih sayang mereka, hubungan naluri mereka dan persaudaraan mereka seperti satu jasad. Apabila satu anggota terasa sakit, maka seluruh anggota turut berjaga dan terasa sakit (demam). (Riwayat Muslim)

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Bekas Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-