© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Boycott: Antara Pro & Kontra

Boycott: Antara Pro & Kontra

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 13 July 2014


Sejak zaman-berzaman, pertelingkahan umat manusia berlaku disebabkan penguasaan nafsu dan sikap bertuhankan kepada material semata-mata. Sebagai contoh, gugatan terhadap kestabilan ekonomi sangat membimbangkan semua peringkat manusia. Kerana itu, antara faktor ramainya kaum Nabi Nuh a.s mengingkari kebenaran ajaran tauhid, adalah disebabkan khuatir ekonomi perniagaan mereka merundum akibat hasil jualan patung-patung berhala merosot. Penerimaan kaum manusia terhadap keesaan Allah, merupakan isyarat pemulauan (pemboikotan) yang wajib dilakukan terhadap ajaran berhala yang menjadi sumber ekonomi kaum yang ingkar ketika itu.

Pada zaman moden, pemboikotan menjadi sebuah tindakan sosial yang mampu membentuk kesepakatan, solidariti dan tunjuk perasaan antara kumpulan dengan kumpulan, bangsa dengan bangsa atau negara dengan negara. Pada tahun 1945 M, Sayyid Amin al-Husaini r.hm, mufti kerajaan Palestin mengarahkan pemboikotan ekonomi yang pertama apabila rejim Zionis merampas tanah Palestin. Fatwa tersebut menimbulkan banyak telahan umat Islam bahkan di kalangan ulama, ada yang sinis, tidak kurang juga yang melabelkan kumpulan yang cenderung melakukan aksi pemboikotan sebagai ekstremis agama.

Hubungan ekonomi bangsa Arab dan negara-negara umat Islam yang lain memang tidak pernah mewujudkan hubungan secara formal dengan rejim Zionis. Namun, hubungan tersebut wujud secara tidak langsung melalui premis-premis syarikat perniagaan yang menaungi Eretz Israel (Negara Israel). Sebagai contoh, Syarikat “Starbucks” yang secara terang-terangan memberikan bantuan ketenteraan kepada Amerika Syarikat, sekutu utama Zionis untuk menyerang Iraq pada 19 Mac 2003. Sebahagian orang berpendapat bahawa apabila pemboikotan dilaksanakan, ia boleh menyebabkan bertambahnya masalah pengangguran. Maka, boikot akan menyebabkan kerugian kepada para pekerja, ahli korporat dan perbendaharaan negara.

Dakwaan tersebut tidak dapat dinafikan, namun terdapat kekeliruan yang mesti diperbetulkan. Amalan boikot juga merupakan salah satu bentuk pengorbanan yang mampu meninggikan nilai dalaman umat Islam ke atas kerugiaan kebendaan. Tambahan pula, ketika sejarah Perang Dunia ke-II tindakan pemboikotan telah membuktikan ia sebagai senjata yang ampuh dan mampu memberikan kesan seperti yang dilakukan bangsa Yahudi terhadap kerajaan Adolf Hitler pada tahun 1933 M. Ketika propaganda ‘Holoucaust’ berleluasa, Kesatuan Yahudi Amerika (American Jewish Congress) dan Persatuan Buruh Yahudi (Jewish Labor Committee) telah mengisytiharkan boikot terhadap barangan buatan Jerman.

Pemboikotan itu dipengerusikan oleh Fiorello LaGuardia, Datuk Bandar New York sebagai juru cakap kepada komuniti-komuniti Yahudi tersebut. Beberapa demonstrasi yang meletuskan sentimen anti-Jerman merebak di daerah-daerah Amerika, menuntut supaya barangan Jerman dipulaukan. Gerakan Yahudi yang memboikot barangan Jerman turut mempengaruhi keseluruhan masyarakat Eropah selama 7 tahun. Bermula pada tahun 1939 M sehingga tahun 1945 M dan ia menjadi salah satu punca kekalahan Nazi Jerman. Bayangkan jika umat Islam bersatu melakukan pemboikotan barangan di premis-premis syarikat milik Zionis Israel, bagaimana kesannya?

Pemboikotan ini bukanlah satu peniruan tindakan Yahudi terhadap Nazisme, kerana hal sedemikian telahpun dimulakan oleh sahabat RasuliLlah s.a.w, bernama Thumamah bin Uthal r.a. Saat itu berlaku gencatan senjata akibat pengingkaran kaum musyrikin terhadap Perjanjian Hudaibiyah, kemudian Thumamah memutuskan untuk menghentikan perdagangan di hadapan mereka dengan perkataan yang tegas:
لاَ تَأْتِيكُمْ مِنَ الْيَمَامَةِ حَبَّةُ حِنْطَةٍ، حَتَّى يَأْذَنَ فِيهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Tidak ada satu butir gandumpun yang akan datang kepada kalian dari Yamamah sehinggalah Rasulullah s.a.w mengizinkannya. (Riwayat Ibn Hibban)

Peristiwa pemboikotan Thumamah r.a bukanlah arahan daripada Rasulullah s.a.w, tetapi tindakan beliau menjadi taqrir (tiada bantahan) Rasulullah s.a.w terhadap perbuatannya, dan taqrir Rasulullah s.a.w juga merupakan Sunnah untuk melawan kezaliman yang menimpa kaum Muslimin. Reaksi pemboikotan Thumamah r.a hampir-hampir membinasakan ekonomi musyrikin Makkah ketika itu, sehingga Abu Sufyan bertemu Rasulullah s.a.w dan merayu kepada baginda:
ألست تزعم أنك بعثت رحمة للعالمين؟ فقد قتلت الآباء بالسيف والأبناء بالجوع
Bukankah engkau (wahai Rasul Allah) mengaku diutus sebagai rahmat bagi semesta alam? Apakah engkau hendak membunuh kaum berkeluarga dengan pedang (akibat tekanan ekonomi) dan membunuh anak-anak dengan kelaparan?

Kemudian Allah menurunkan firman-Nya:
وَلَقَدْ أَخَذْنَاهُم بِالْعَذَابِ فَمَا اسْتَكَانُوا لِرَبِّهِمْ وَمَا يَتَضَرَّعُونَ
Dan sungguh kami telah menimpakan seksaaan kepada mereka, tetapi mereka tidak mahu tunduk kepada Tuhannya dan (juga) tidak merendahkan diri. (al-Mukminun: 76) – Riwayat al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah 4/133

Pemboikotan atau pemulauan, dalam bahasa Arab disebut “al-muqata’ah”, menurut definisi yang dikemukakan oleh Dr. Muhammad Abd al-Halim Umar iaitu salah seorang pimpinan Ikhwan al-Muslimin di Mesir bahawa;
عدم التعامل مع الغير؛ دولةً أو فردًا، اقتصاديًّا وسياسيًّا واجتماعيًّا، أو هي إحدى وسائل الضغط الجماعي، التي تقوم بها مجموعة لردِّ عدوان أو لتحقيق أهداف سياسية
Menolak segala urusan dengan pihak lain; negara atau individu, sama ada dari aspek ekonomi, politik, sosial atau ia salah satu cara tekanan yang dilakukan secara menyeluruh (kolektif) yang dijalankan oleh kumpulan-kumpulan yang bergabung untuk bertindak balas terhadap pencerobohan musuh agar tercapai matlamat politik.

Definisi tersebut menjelaskan tiga jenis pemboikotan di sini, iaitu:
  1. Pemboikotan Ekonomi: Pemulauan barang yang melibatkan proses import dan eksport, dan penolakan hubungan negara dengan syarikat pengeluaran yang mempunyai kaitan dengan pihak yang memusuhi Islam.
  2. Pemboikotan Politik: Sikap dingin politik antara negara dengan negara, seperti pemulauan duta-duta negara yang berpihak kepada musuh.
  3. Pemboikotan Sosial: Seperti larangan perkahwinan antara rakyat tempatan dengan rakyat negara luar yang dimusuhinya. Begitu juga penolakan segala upacara sukan, pendidikan, dan pertemuan yang melibatkan dengan negara tersebut.
Keabsahan tindakan pemboikotan di sini, bukanlah bermaksud kita mengabaikan perintah jihad yang dilakukan secara ketenteraan. Seorang pemimpin wajib membangunkan pasukan ketenteraan yang kuat dan mampu menangkis serangan musuh. Sebaliknya kita dapati bahawa bentuk jihad ‘pemboikotan’ ini disarankan kerana kedudukan umat Islam di wilayah-wilayah yang jauh daripada lokasi pertempuran. Pemboikotan dilakukan sebagai amaran kolektif umat Islam terhadap pihak yang sewenang-wenangnya membedil negara umat Islam yang lain. Di sinilah kita dapat melihat kepelbagaian momentum jihad itu dilaksanakan di setiap peringkat masyarakat Muslim sama ada pensyarah, peniaga, mekanik, guru sekolah, mahasiswa mahupun pesara. Rasulullah s.a.w bersabda;
جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُمْ
Berjihadlah menentang golongan musyrikin dengan harta, kekuatan dan lisan kamu. (Riwayat Abi Daud)

Jihad yang berorientasikan tekanan ekonomi ini pula, bukanlah aktiviti terus-menerus bagi jangka masa yang panjang atau selama-lamanya. Sekiranya pihak musuh telah menunjukkan perubahan positif, maka umat Islam boleh menarik semula keperluan memboikot kerana matlamatnya telah dicapai. Firman Allah:
وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-Anfal: 61)

Adapun masalah pemboikotan dalam perbincangan kita ini, masih berada di dalam perbahasan;
الدائر بين الوجوب والاستحباب
Proses yang berlaku antara perkara wajib dan perkara yang dianjurkan.

Pemboikotan menjadi wajib muqaiyad apabila pemerintah mengarahkan umat Islam untuk melakukannya. Pemboikotan juga menjadi wajib kifa’ie apabila umat Islam yang tidak berupaya mengangkat senjata tidak menemui jalan yang paling baik untuk menentang kebiadaban musuh-musuh Islam. Maka, dianjurkan (istihbab) untuk memilih produk-produk yang diusahakan oleh umat Islam sendiri untuk mengukuhkan ekonomi saudara seaqidah kita, bahkan produk mereka ini diyakini halal meliputi aspek zat (bukan bangkai, babi dan sebagainya) dan terjamin hasilnya (cara pemilikannya).

Hukum asal hubungan jual beli masyarakat Islam terhadap bukan Islam adalah harus selama urusniaga yang dilakukannya adalah bertepatan dengan syariat Islam. Oleh kerana itu, apabila Abu Sufyan merayu kepada Rasulullah s.a.w agar Thumamah mengembalikan aktiviti perdagangan dengan musyrikin Makkah, Rasulullah s.a.w pun mengizinkannya berasaskan kepada beberapa realiti:
  1. Menjatuhkan egoism musyrikin Makkah sehingga mereka terpaksa mendatangi Rasulullah s.a.w, padahal mereka adalah kaum yang sangat angkuh dan sombong.
  2. Meraih simpati masyarakat Quraish agar memeluk Islam.
  3. Memperlihatkan kekuatan dan kesatuan umat Islam yang sanggup berkorban demi sebuah kebenaran.
Ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w sendiri masih menjalankan transaksi ekonomi dengan kaum Yahudi dengan mencagarkan baju besinya. Justeru, pemboikotan dilakukan hanyalah sebagai tanda amaran daripada umat Islam di terhadap musuh yang melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap saudara seagamanya. Tanda amaran ini bukanlah perkara yang sia-sia, kerana itu Allah berfirman di dalam surah al-Taubah ayat 120;
لاَ يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلاَ نَصَبٌ وَلاَ مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلاَ يَطَؤُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلاَ يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَّيْلاً إِلاَّ كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ
Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan daripada pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Namun, apa yang mengecewakan setelah beberapa kali usaha boikot diisytiharkan, ia masih ditakuk lama atau dianggap sebagai tindakan tidak berkesan kaum Muslimin ke atas premis-premis perusahaan yang menyokong Zionis Israel. Antara faktor-faktor kelemahan tersebut ialah;
  1. Pemboikotan berlaku lebih berbentuk peribadi dan bukannya desakan kuasa kerajaan kepada pihak-pihak yang memerangi umat Islam.
  2. Masyarakat kurang maklumat tentang wawasan dan hakikat pemboikotan. Kelemahan ini berlaku kerana kegagalan menjelaskan fakta-fakta imperikal terhadap perusahaan yang didakwa milik Zionis Israel.
  3. Tidak menjaga disiplin dan ketelitian dalam menyenaraikan produk-produk perusahaan yang harus diboikot. Justeru yang terjadi ialah fitnah sehingga menyebabkan masyarakat tidak lagi peduli seruan pemboikotan selepas itu.
  4. Hanya menyenaraikan barangan yang perlu diboikot, tetapi tidak menyenaraikan barangan alternatif. Adakalanya terdapat masyarakat Muslim yang tidak mengetahui produk alternatif milik syarikat-syarikat Muslim.
  5. Kualiti produk alternatif belum teruji, tetapi harganya lebih mahal daripada produk yang harus diboikot.
Masih ada pemboikotan yang paling penting untuk umat Islam lakukan selain daripada pemboikotan ekonomi akibat aksi kejam Zionis Israel di Tebing Barat, Gaza iaitu pemboikotan dosa maksiat yang sering dilakukan oleh kita. Pemboikotan inilah paling asas, paling utama perlu dibanteras oleh umat Islam tanpa sebarang persoalan lagi. Ini kerana, Allah berfirman dalam surah al-Syura ayat 30; memperlihatkan bahawa apa jua kerugian yang menimpa umat manusia adalah kerana kesalahan yang dilakukannya sendiri:
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa).

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-