© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Karakter Munafik Dalam Surah al-Taubah

Karakter Munafik Dalam Surah al-Taubah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 22 July 2014


Surah al-Taubah merupakan surah Madaniyah, ia mengandungi 129 ayat. Surah ini diturunkan ketika peperangan terakhir yang dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w, iaitu “Perang Tabuk” di mana ketika itu jumlah tentera umat Islam sekitar 30’000 orang. Berbeza dengan surah al-Anfal (surah sebelum al-Taubah) yang intisari ayatnya mengenai “Peperangan Badar”, perang pertama disertai Nabi dan jumlah tentera umat Islam ketika itu 313 orang.

Terdapat beberapa hikmah mengapa surah yang dimulakan (بَراءَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عاهَدْتُمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ) tidak dimulakan dengan basmalah, sedangkan dalam sebuah hadis menyebut (كُلُّ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَا يُبْدَأُ فِيهِ بِبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَهُوَ أَبْتَرُ  ); “Setiap perkara yang dilaksanakan tanpa dimulakan dengan basmalah maka ia terputus (cacat atau tidak sempurna).”

Antara hikmah yang disenaraikan oleh para ulama mufassirin;
  1. Menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada zaman dahulu, apabila ada di antara mereka melakukan perjanjian bertulis maka mereka memulakan ayat memuja-memuji Tuhan. Tetapi jika ingin membatalkan perjanjian ( نَقْضُ الْعَهْدِ ) tersebut, mereka tidak meletakkan pujian tersebut.
  2. Ketika penulisan mushaf dimulakan di zaman Khalifah Uthman al-Affan, para sahabat berselisih pendapat bahawa surah al-Taubah merupakan lanjutan daripada surah al-Anfal, yakni satu surah daripada bahagian yang sama; (بَرَاءَةٌ وَالْأَنْفَالُ سُورَةٌ وَاحِدَةٌ)
  3. Ibnu Abbas r.a pernah bertanya kepada Ali bin Abi Talib r.a, mengapa “basmalah” tidak ditulis di permulaan surah al-Taubah, lalu beliau menjawab; (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ أَمَانٌ، وَبَرَاءَةُ نَزَلَتْ بِالسَّيْفِ، لَيْسَ فِيهَا أَمَانٌ); “(Dibaca) basmalah adalah ketika aman, sedangkan surah al-Taubah turun ketika peperangan yang dipenuhi situasi pertempuran (tidak aman).” 
  4. Pandangan yang terpilih ialah ketika surah al-Taubah dibacakan Jibril a.s kepada Baginda s.a.w, beliau tidak membaca basmalah.
Selain daripada surah al-Munafiqun yang khusus membicarakan kaum munafiq, surah al-Taubah, surah al-Anfaal dan surah al-Baqarah adalah antara surah-surah yang paling banyak membicarakan perihal manusia bermuka dua ini. Oleh kerana itu, surah al-Taubah turut dikenali sebagai salah satu (سورَةُ كَشْفُ أَسْرَارِ الْمُنَافِقِينَ) – surah yang menyingkap konspirasi kaum munafik.

Daripada Said bin Jubayr r.a;
قُلْتُ لِاِبْنِ عَبَّاس سورة التوبة؟ قَالَ: التوبةُ هِيَ الفَاضِحَةُ، مَا زَالَت تَنْزِلُ: وَمِنْهُمْ، وَمِنْهُم، حَتَّى ظَنُّوا أَنَّهاَ لَم تبقِ أحداً مِنْهُمْ إِلَّا ذِكْرُ فِيْهَا
“Aku bertanya Ibnu Abbas tentang surah al-Taubah. Beliau menjawab, ia merupakan surah “al-Fadihah” iaitu surah yang menceritakan keaiban. Firman Allah (mengenai kaum munafik) turun tidak henti-henti sehingga mereka menyangka tiada seorangpun di kalangan kami melainkan diceritakan rahsia dalam surah itu.”

Menurut syarak, perkataan “munafik” memberikan maksud:
إظهار الإسلام والخير وإبطان الكفر والشر
“Memperagakan (menzahirkan) Islam dan kebaikan dan menyembunyikan kekufuran dan kejahatan.”

Kata Imam al-Jarjani r.hm:
النفاق إظهار الإيمان باللسان وكتمان الكفر بالقلب
“Sifat nifaq itu ialah menzahirkan iman melalui percakapan dan menyembunyikan kekufuran dalam hati.”

 Di dalam surah al-Nisa’ ayat 143;
مُذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَٰلِكَ لَا إِلَىٰ هَٰؤُلَاءِ وَلَا إِلَىٰ هَٰؤُلَاءِ
“Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman).”

Lazimnya bila menyebut perihal munafik, gambaran yang sering terbayang dalam fikiran umat Islam ialah tokoh yang bernama Abdullah bin Ubay. Dalam ayat-ayat al-Quran segala pengajaran diambil secara umum (العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب). Maka, sebaiknya kita bersikap seperti Umar al-Khattab r.a, ketika beliau bertemu Huzaifah al-Yamani r.a (صاحب السر), beliau tidak tanya adakah orang itu, ini munafik, sebaliknya bertanya kepada Huzaifah, adakah aku munafik?

Mudah-mudahan tadabbur kita terhadap surah ini mengislah diri kita semua, termasuk juga diri saya yang dipenuhi kekurangan dan kelemahan.

Terdapat beberapa ciri kaum munafiq yang ada di dalam surah al-Taubah, antaranya;
غاية المنافق هي المنافع الدنيوية الزائلة وليست المبادئ السامية التي تهون أمامها المصاعب
Keterangan: “Matlamat kaum munafiq adalah manfaat dunia yang sementara dan mereka tidak memiliki prinsip yang tinggi, lemah apabila berhadapan dengan cabaran-cabaran”

Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 42;
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاَّتَّبَعُوكَ وَلَكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, satu perjalanan yang tidak begitu jauh, nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan berkata; “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikut Nabi).”

Ayat ini mengenai arahan perang Tabuk, peperangan terakhir yang dipimpin Nabi s.a.w menentang tentera Rom Timur (Byzantine) di tanah Syam. Arahan perang itu berlaku sejurus turunnya firman Allah di dalam surah al-Taubah ayat ke-123;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قَاتِلُوا الَّذِينَ يَلُونَكُمْ مِنَ الْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا فِيكُمْ غِلْظَةً
“Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; supaya mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu.”

Sebahagian ulama sirah mengatakan, arahan perang ini dilakukan kerana ucapan perlecehan orang-orang Yahudi terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Kata mereka;
إِنْ كُنْتَ صَادِقًا أَنَّكَ نَبِيُّ اللَّهِ فَالْحَقْ بِالشَّامِ، فَإِنَّ الشَّامَ أَرْضُ الْمَحْشَرِ وَأَرْضُ الْأَنْبِيَاءِ
“Kalau betullah engkau Nabi yang diutus Allah sepatutnya engkau (mengarahkan tentera) ke Syam, kerana Syam itu adalah bumi yang terbentang luas dan para Nabi terdahulu pernah menjejakinya.”

Sebelum perang di Tabuk, umat Islam pernah berperang dengan tentera Rom dalam perang Mu’tah. Walaupun tentera Islam tidak menang dalam perang Mu’tah, tetapi keangkuhan Rom tercalar apabila 3000 tentera umat Islam berjaya memalukan 200’000 tentera Rom. Dalam “Fiqh al-Sirah” karangan Syeikh Muhammad al-Ghazali r.hm menyebutkan, arahan perang di dalam perang Tabuk adalah arahan yang sangat berat kerana;
  1. Kekuatan tentera Rom yang terkenal memiliki segala kelengkapan perang. Mereka bangsa yang sering menjajah, setelah wilayah semakin lemah akibat dijajah, diperah segala hasil buminya, mereka menjajah pula ke tempat lain. Costantinople dan Acre adalah antara kubu Rom yang terkuat.
  2. Musim panas, perjalanan jauh di padang pasir hanya dilakukan pada waktu malam dan pada waktu siangnya pasti keletihan (waktu berehat).
  3. Musim memungut hasil tanaman. Kebun-kebun kurma yang memakan masa untuk ranum, pada waktu itulah masing-masing teruja untuk melihat hasil tanaman mereka setelah melalui saat perang yang panjang sebelum ini.
Orang-orang yang munafik pasti merasa terbeban dengan arahan perang, bebanan tersebut terasa lebih berat apabila Rasulullah s.a.w bukan sahaja mengarahkan perang, tetapi juga arahan supaya menginfaqkan harta ke jalan Allah;
مَنْ جَهَّزَ جَيْشَ الْعُسْرَةِ، غَفَرَ اللَّهُ لَهُ
“Siapa yang menyediakan kelengkapan perang (ketenteraan) dari barang dagangannya, Allah ampuni dosanya.”

Arahan infaq dijalan Allah disambut para sahabat RasuliLlah s.a.w antaranya ialah Abu Bakar al-Siddiq r.a yang terkenal dalam peristiwa perang Tabuk ini apabila beliau meng-infaq-kan seluruh hartanya. Begitu juga kepada Ulbah bin Zayid r.a, sungguhpun beliau tidak mempunyai harta untuk di-infaq-kan, namun Allah menerima doanya di tengah keheningan malam sebagai infaq di jalan Allah.

Ada juga sahabat-sahabat RasuliLlah s.a.w yang hanya mampu menyedekahkan segenggam tamar sehingga disindir oleh kaum munafik. Allah membalas sindiran kaum munafik, sebagaimana firman-Nya;
الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“(Kaum munafiq itu) iaitu orang-orang yang mencela orang-orang beriman yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak mampu (untuk disedekahkan) melainkan sekadar kesanggupannya, maka orang-orang munafiq itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka, dan untuk mereka azab yang pedih.” (al-Taubah:79)

Inilah antara ciri-ciri lain kaum munafiq, iaitu mereka suka mempersenda orang-orang yang beriman.

Ciri-ciri munafik yang berikutnya ialah:
الكذب والحلف عليه
Keterangan: “Berdusta dan bersumpah atas pendustaannya (untuk meyakinkan orang lain akan penipuan mereka)”

Firman Allah;
اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّهِ
“Mereka itu menjadikan sumpah sebagai topeng (perisai), lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah.” (al-Munafiqun:2)

Melakukan sumpah-sumpah palsu adalah perangai yang diwarisi oleh kaum munafik, sedangkan janji Allah yang “pasti” kepada mereka adalah neraka jahannam dan mereka kekal di dalamnya.
وَعَدَ اللَّه الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا هِيَ حَسْبُهُمْ وَلَعَنَهُمُ اللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّقِيمٌ
“Allah menjanjikan orang-orang munafiq lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka; dan Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal.” (al-Taubah:68)

Dalam ayat ini Allah memulakan kaum munafiq sebelum kaum kafir, sebagai isyarat bahawa dahsyatnya kedudukan mereka di akhirat kelak.

Ciri-ciri berikutnya;
السعي لهدم الصف المسلم بالفساد والتفرقة
Keterangan: “Mereka berusaha untuk menghancurkan kesatuan kaum Muslimin dengan kerosakan dan perpecahan.”

لَوْ خَرَجُواْ فِيكُم مَّا زَادُوكُمْ إِلاَّ خَبَالاً ولأَوْضَعُواْ خِلالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ
“Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan mereka menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.” (al-Taubah:47)

Selain itu, kaum munafik merasa sedih dengan kemenangan kaum Muslimin dan gembira jika kegagalan menimpa mereka;
الحزن بنصر المسلمين والفرح بانكسارهم وشدتهم
Keterangan: “Sedih dengan kemenangan mahupun kejayaan kaum Muslimin, sebaliknya gembira dengan kegagalan yang menimpa mereka.”

Firman Allah Taala;
إِن تُصِبْكَ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكَ مُصِيبَةٌ يَقُولُواْ قَدْ أَخَذْنَا أَمْرَنَا مِن قَبْلُ وَيَتَوَلَّواْ وَّهُمْ فَرِحُونَ
“Jika engkau beroleh kebaikan, (maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati; dan jika engkau ditimpa bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telahpun mengambil keputusan sebelum ini”, dan mereka berpaling (meninggalkanmu) sambil mereka bergembira.” (al-Taubah:50)

Ciri seterusnya;
الكسل في إتيان الصلاة، والإنفاق عن غير طيب نفس
Keterangan: “Malas mengerjakan solat, dan bersedekah dalam keadaan dirinya tidak rela.”

Firman Allah;
وَلاَ يَأْتُونَ الصَّلاةَ إِلاَّ وَهُمْ كُسَالَى وَلاَ يُنفِقُونَ إِلاَّ وَهُمْ كَارِهُونَ
“Mereka tidak mengerjakan solat melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan harta melainkan dengan perasaan benci.” (al-Taubah:54)

Orang munafik ini malas mengerjakan solat, Maka solat kita mestilah khusyuk supaya kita tidak tergolong di kalangan orang yang disebut dalam surah al-Ma’un ayat 4-5 (فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ. الَّذِينَ هُمْ عَن صَلاتِهِمْ سَاهُونَ). Jika mereka bersedekah pula mereka mengira adakah sedekah mereka itu nanti akan dapat pulangan dunia.

Tidak dapat dinafikan kekhusyukan di dalam solat merupakan perkara yang sangat sukar dicapai dalam ibadah. Benarlah firman Allah;
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk” (al-Baqarah:45)

Sebuah hadis menyebutkan;
أول شيء يرفع من هذه الأمة الخشوع، حتى لا ترى فيها خاشعا
“Perkara pertama yang mula-mula ditarik daripada umat ini ialah khusyuk, sehingga tidak kamu dapati mereka yang benar-benar khusyuk.”
Ada ulama mengatakan bahawa (الصلاة معراج المؤمن) – solat itu pengembaraan kita yang lebih tinggi menemui Allah. Maka untuk menampung amalan fardhu kita yang cacat disebabkan faktor tidak khusyu’, maka wajiblah kita lakukanlah amalan-amalan sunat untuk menampal kelompongan yang berlaku dalam ibadah harian kita demi mencapai redha Allah pada kita. Menginsafi diri kita yang dipenuhi segala kelemahan dan kekurangan.

Ini kerana, sikap kaum munafik terhadap pelaksanaan ibadah semata-mata mengharapkan pujian manusia, tujuan politik agar disanjung, dijunjung dan dilaung-laung di setiap paparan yang boleh menjadi alatnya, bukannya mengharap keredhaan dan rahmat Allah Taala. Mereka hanya percaya pada ganjaran yang terpampang di hadapan mata, bukan sekadar ucapan verbal semata-mata, (يحرصون على إرضاء الناس ولا يحرصون على إرضاء رب العالمين).

Terdapat kisah perang Tabuk di dalam surah ini yang turut akan mengingatkan kita kepada keikhlasan Ka’ab bin Malik r.a ketika beliau dihukum Rasulullah s.a.w dengan hukuman pemulauan. Hukuman yang dikenakan terhadap Ka’ab bin Malik menyebabkan dunia yang luas merasa sempit. Yang lebih membimbangkan ialah jika beliau ditaqdirkan Allah menemui ajal, pasti Nabi s.a.w tidak akan mengimami solat jenazahnya. Begitu juga jika Baginda s.a.w wafat, pasti tempoh pemulauan yang dikenakan ke atas Ka’ab bin Malik berterusan sehingga ke akhir hayat.

Ketika Ka’ab bin Malik dikenakan hukuman tersebut, ada suara-suara yang memujuk dan mengajaknya agar berpaling tadah dari kumpulan Rasulullah s.a.w. Pujukan itu berupa tawaran-tawaran kedudukan, kemuliaan yang bakal diberikan oleh seorang raja dari wilayah Ghassan, Syam yang beragama Nasrani. 

Tetapi, bagi pemuda yang dididik dan diasuh dengan tarbiyah Rasulullah s.a.w ini, bukan tawaran dunia yang menjadi pilihannya, sebaliknya tawaran Rasulullah s.a.w yang paling diutamakan dalam kehidupan Ka’ab bin Malik. Kerana itu, di akhir surah ini ia ditutup dengan ayat yang cukup padu, yang mampu merintihkan perasaan sayu kita kepada Rasulullah s.a.w.
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), sangat berat (peka) sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (al-Taubah:128)

Benar, surah ini tidak diawali dengan “basmalah”, tetapi ia diakhiri dengan ingatan kepada Nabi s.a.w yang penuh kasih kepada umatnya, melebihi kasih ibu ayah kepada kita sendiri.

Dalam perjalanan tafsir kita yang ringkas ini, sungguhpun lebih menumpukan kepada beberapa sikap kaum munafik, di dunia ini kita tetap menghukum mereka sebagai seorang Muslim walaupun di akhirat Allah menghukum mereka sebagai seorang yang kafir. Inilah amalan politik Rasulullah s.a.w, baginda tidak pernahpun mengambil tindakan undang-undang terhadap kaum munafik disebabkan mereka munafik, selama mereka menampakkan ke-Islaman dan menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim. 

Hal itu kerana Allah tidak menyandarkan hati manusia kepada manusia. Apa yang terkandung dalam hati manusia itu adalah milik Allah semata-mata, dan Dia-lah yang akan menghisab dan menilainya di hari kemudian. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqallani r.hm menyebut;
نحن قوم نحكم بالظاهر والله يتولى السرائر
“Kami adalah kaum yang berhukum kepada perkara-perkara yang zahir, kepada Allah diserahkan (segala hukuman) melibatkan perkara-perkara batin (yang melibatkan hati).”

Allah tidak menjadikan syariat dan hukum kepada manusia berdasarkan firasat. Kerana itu, Rasulullah s.a.w hanya menyenaraikan nama-nama golongan munafik kepada Huzaifah al-Yamani r.a sahaja dan melarang laporan itu disensasikan.

Begitu juga sekalipun surah ini secara keseluruhan menggambarkan ancaman kepada kaum kafir, tetapi hubungan yang baik bersama mereka tetap berlaku berdasarkan prinsip keadilan dan penghormatan. Kerana itu tugas utama kita di muka bumi ini ialah menyampaikan dakwah dengan sebaik-baiknya.
وَلَوْ شَاء رَبُّكَ لآمَنَ مَن فِي الأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُواْ مُؤْمِنِينَ
“Jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkah engkau hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” (Yunus:99)

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-