PENDAHULUAN
Negara Madinah Al-Munawwarah semakin stabil pentadbiran politiknya setelah ditadbir oleh Rasulullah S.A.W. Terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam terdiri daripada suku kaum Aus dan Khazraj digelar sebagai Ansar dan orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Mekah digelar Muhajirin. Orang-orang Yahudi di Madinah ketika itu mempunyai banyak kumpulan antara yang terbesar ialah Yahudi Bani Qainuqa’, Quraizhah dan Nadhir.
Sebelum ketibaan Rasulullah S.A.W, orang-orang Ansar daripada suku kaum
Aus dan Khazraj sentiasa bergaduh dan berperang sesama mereka sejak zaman
berzaman lagi. Untuk mententeramkan keadaan gawat serta mensejahterakan
kedudukan Madinah sebagai sebuah Negara berdaulat, Rasulullah S.A.W membuat
perjanjian dengan seluruh penduduk di Madinah dan menulis satu piagam
negara Islam pertama yang disebut sebagai Shahifah Madinah.
DASAR KEUTAMAAN PIAGAM
Piagam Madinah merupakan undang-undang tertinggi di Madinah yang
meletakkan wahyu Allah S.W.T sebagai dasar rujukan dalam semua aspek. Terdapat
dasar umum yang ditetapkan oleh piagam iaitu:
1)Wahyu Allah yang disampaikan kepada Nabi Muhammad S.A.W merupakan
sumber utama undang-undang Negara. Hal ini sebagaimana dalam Fasal 23 ;
وأنكم مهما اختلفتم فيه من شيء فإن مرده إلى الله عزوجل وإلى محمد صلى الله
عليه وسلم
“Bahawa apabila berlaku
perselisihan diantara kamu terhadap sesuatu masalah hendaklah kembali kepada
Allah dan kepada Nabi Muhammad S.A.W”
2)Rasulullah S.A.W sebagai Ketua Negara Madinah yang wajib dipatuhi dan
dihormati sebagaimana peruntukan dalam Fasal 23. Segala masalah besar antara
penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara
untuk diselesaikan. Walaubagaimanapun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk
menyelesaikan masalah kaum mereka secara yang difikirkan berpatutan;
3)Seluruh penduduk Madinah hendaklah hidup sebagai satu Ummah yang tidak
terpengaruh dengan apa-apa unsur yang tidak baik daripada luar sebagaimana dinyatakan
dalam Fasal 1 dan Fasal 2;
هذا كتاب من محمد النبي بين المؤمنين والمسلمين من قريش وأهل يثرب ومن
تبعهم فلحق بهم وجاهد معهم
“Inilah piagam bertulis dari
Muhammad (Nabi) antara orang-orang mukmin dan muslimin kalangan Quraisy dan
ahli Yathrib serta orang-orang yang mengikuti mereka, mempersatukan diri dan
berjuang bersama-sama mereka”
Fasal 2 ada menyebut:
أنهم أمة واحدة من دون الناس
“Bahawa mereka adalah satu
umat, bebas daripada mana-mana pengaruh dan kekuasaan orang lain”
4)Seluruh penduduk diberi kebebasan mengamalkan agama masing-masing, dan
tiada gangguan serta paksaan dalam hal keagamaan sebagaimana dalam nas Sahifah
Fasal 25;
وأن يهود بني عوف أمة مع المؤمنين لليهود دينهم وللمسلمين دينهم
“Bahawa orang-orang
Yahudi Bani Auf adalah satu umat dengan orang-orang mukmin. Bagi penganut
Yahudi mengamalkan agama mereka dan bagi penganut Islam beramal dengan agama
mereka”
5)Keselamatan penduduk adalah terjamin selama mereka mematuhi
perlembagaan tersebut. Sekiranya ada pengkhianatan maka tindakan undang-undang
akan diambil sebagaimana dinyatakan dalam Fasal 22 ;
وأنه لا يحل لمؤمن أقر بما في هذه الصحيفة وآمن بالله واليوم الآخر أن ينصر
محدثا أو يؤويه وأن من نصره أو آواه فإن عليه لعنة الله وغضبه يوم القيامة ولا
يؤخذ منه صرف أو عدل
“Bahawa seseorang yang
beriman yang telah mengakui isi piagam ini dan percaya kepada Allah dan hari
kiamat, tidak dibenarkan membantu pelaku kejahatan atau membelanya. Bahawa
barangsiapa yang membantu serta melindunginya, dia akan mendapat kutukan dan
kemurkaan Allah pada hari kiamat dan tidak ada sesuatu tebusan atau pengadilan
sewajarnya yang dapat diterima”
AGENDA PENYATUAN UMMAH MELALUI PIAGAM
Menariknya, Piagam Madinah telah menempatkan
non muslim sebagai komuniti yang diberi jaminan keamanan dan keselamatan dalam
sebuah Negara Islam. Mereka diiktiraf sebagai rakyat Madinah yang mempunyai hak yang sama dengan orang Islam. Mereka bebas mengamalkan
agama dan menjalankan adat resam tanpa menganggu ketenteraman dan kemuliaan
Islam sebagai agama negara. Bahkan Piagam Madinah sangat mengutamakan penyatuan ummah dan
menggesa agar penduduk saling hidup tolong-menolong dalam perkara kebaikan
sekalipun berbeza anutan agama. Antara
beberapa peruntukan dalam perlembagaan Madinah yang menyatakan wajibnya
masyarakat Madinah hidup bertaawun antara satu sama lain:
Fasal 15 Perlembagaan Madinah:
وأن ذمة الله
واحدة يجير عليهم أدناهم وأن المؤمنين بعضهم موالي بعض دون الناس
“Bahawa jaminan Allah itu satu, Dia melindungi
yang lemah antara mereka. Bahawa orang-orang yang beriman itu hendaklah saling
tolong-menolong antara satu sama lain tanpa dipengaruhi orang lain”
Sementara dalam Fasal 45 dinyatakan secara
jelas agar umat Islam hendaklah memberi keutamaan dalam membentuk muwafakat dan
penyatuan walaupun sebelum ini mereka yang menuntut muwafakat adalah musuh.
وأنهم إذا دعوا إلى صلح يصالحونه ويلبسونه فإنهم يصالحونه ويلبسونه وأنهم
إذا دعوا إلى مثل ذلك فإن لهم على المؤمنين إلا من حارب في الدين
“Bahawa apabila mereka
diajak berdamai yang dapat menjalinkan perdamaian dan mententeramkan suasana,
maka orang-orang yang beriman wajib menyambutnya untuk berdamai serta
mententeramkan suasana kecuali orang-orang yang memerangi agama”
Konsep Ta’aawun
Siyasi yang
dicernakan dizaman Rasulullah S.A.W adalah
dasar yang membentuk kesatuan dan mengelakkan perpecahan sesama sendiri bagi
memudahkan laluan untuk menegakkan hukum Allah. Oleh kerana itulah para ulama
mengharamkan perpecahan yang berlaku akibat kerakusan nafsu dan pemikiran
manusia yang tidak merujuk kepada nas agama.
Dalam Fatwa Lajnah Al-Dai’mah dinyatakan:
كل فرقة من هؤلاء فيها خطأ وصواب، فعليك بالتعاون معها فيما عندها من
الصواب، واجتناب ما وقعت فيه من أخطاء ، مع التناصح، والتعاون على البر والتقوى
“Setiap
kelompok manusia itu pada mengemukakan agenda mereka adanya kesilapan dan ada
yang betul. Maka hendaklah kamu saling tolong-menolong bersama kelompok mereka
jika ada agenda kebenaran yang dibawa. Dan hendaklah dijauhi daripada segala
kesalahan dengan mengemukakan nasihat dan saling tolong-menolong diatas
kebaikan dan takwa”
Islam
menyuruh umatnya melakukan ta’aawun dalam perkara Birr dan Taqwa.
Dalam Tafsir Zhilal Al-Quran, Al-Birr membawa makna segala
perbuatan yang baik. Sementara dalam Tafsir Al-Alusi bermaksud; semua
perkara baik yang membawa kepada ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah
SWT. Dalam mentafsirkan ayat 2 Surah Al-Maidah, berkata Imam Ibnu Kathir:
يأمر الله تعالى عباده المؤمنين بالمعاونة على
فعل الخيرات وهو البر ، وترك المنكرات وهو التقوى ، وينهاهم عن التناصر على الباطل
والتعاون على المآثم والمحارم
“Allah
SWT menyuruh hamba-Nya dikalangan orang beriman agar sentiasa bantu membantu
melaksanakan agenda kebaikan iaitulah al-Birr disamping meninggalkan perkara
mungkar iaitu dinamakan takwa. Allah juga melarang mereka dari memberi
pertolongan dalam perkara batil dan berta’aawun diatas agenda yang membawa dosa
dan perkara haram”. (Tafsir Ibnu Kathir)
Ulama
kontemporari yang dianggap sebagai mufassir bertaraf mujtahid iaitu Imam
Sya’rawi pula ada mentafsirkan ayat Ta’aawun ini dengan katanya:
هذه الآية تجعل قضية الإيمان قضية عالمية وكلمة
تعاون على وزن تفاعل والتفاعل يأتى من اثنين مثل تشارك أو تقاتل ، وهو أمر لكل
جماعة أن تتعاون على الخير، وليعلم كل إنسان أن الدين طلب منا أن تكون كل حياتنا
للخير ....وقد جاء التعبير عنه بصيغة الأمر وذلك يعني أن التعاون واجب على
المسلمين
“Ayat ini menjadikan persoalan iman sebagai
persoalan yang bersifat meluas dan keantarabangsaan. Kalimah Ta’aawun diatas
wazan tafaa’ul dan tafaa’al mesti datang daripada dua pihak seumpama perkataan
berkongsi atau saling berbunuhan. Ia adalah arahan kepada setiap jamaah saling
membantu diatas perkara kebaikan. Setiap manusia perlu tahu bahawa agama
menuntut kita agar melaksanakan kebaikan dalam kehidupan....Pada ayat tersebut
didatangkan dengan sighah Amar ini membawa erti bahawasanya Ta’aawun adalah
wajib keatas sekalian muslimin”. (Tafsir Sya’rawi)
PENUTUP
Model penyatuan Islam yang digarapkan dalam
Piagam Madinah perlu diperbincangkan secara mendalam bagi menggali semula
hikmah yang hilang dalam kalangan umat Islam khasnya dalam menerajui sebuah
pentadbiran Negara. PAS sebagai sebuah parti Islam perlu memacu ummah ke
arah penyatuan yang bersifat ‘Alamiyah
demi untuk memertabat Islam sebagai agama persekutuan. Penulis mencadangkan
agar model pentadbiran Rasulullah S.A.W turut dijadikan silibus tetap dalam
agenda pendidikan dan pentarbiahan umat Islam terutamanya dalam Ijtima’, Kuliah
Haraki dan Liqa’ Fikri PAS.
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم
Disediakan oleh:
Mohd Asri Mat Daud
Setiausaha Dewan Ulamak Pas Pusat