Ukhuwah merupakan rukun Baiah ke-9
daripada 10 Rukun Baiah. Berkata Imam Hassan Al-Banna
واريد بالأخوة ان ترتبط القلوب والأرواح برباط العقيدة والعقيدة أوثق
الروابط وأغلاها والأخوة أخت الإيمان
والتفرق أخ الكفر وأول القوة قوة الوحدة ولاوحدة بغير حب وأقل الحب سلامة الصدر
وأعلاه مرتبة الإيثار
Bermaksud:
“Dan aku kehendaki berkaitan Ukhuwah
ialah kamu mengikat hati-hati dan roh-roh dengan ikatan Aqidah. Ikatan Aqidah
itu amat kukuh dan mahal. Ukhuwah saudara kepada iman manakala perpecahan
saudara kepada kufur. Kekuatan yang utama ialah kekuatan kesatuan, tiada
kesatuan tanpa kasih sayang. Serendah kasih sayang ialah berlapang dada
manakala martabat paling tinggi ialah ithar (mengutamakan orang lain).”
Kekuatan umat Islam sepertimana yang
disebutkan oleh Imam Hassan Al-Banna Rahimahullah ini terletak pada kekuatan
kesatuan dan perpaduan.
Asas kekuatan inilah yang cuba
dihancurkan oleh musuh-musuh Islam dengan pelbagai perancangan yang dibuat dan
sebahagiannya telah membuahkan hasil. Memecahkan umat Islam berasaskan kepada
puak, kaum, keturunan, mazhab dan aliran adalah jarum-jarum mereka khususnya
sepanjang mereka menjajah negara-negara umat Islam.
Satu peristiwa tatkala suatu masa,
Imam Hassan Al-Banna memasuki sebuah masjid di Mesir dalam bulan Ramadhan, para
Jemaah bertengkar untuk melaksanakan solat terawih sama ada 8 rakaat atau 20
rakaat. Lalu Imam Hassan Al-Banna bertanya, apakah hukum solat yang menjadi
pertikaian. Jawab mereka, “Sunat”. Beliau bertanya lagi “Apakah hukum menjaga
kesatuan ummah?” Jawab mereka, “Wajib”. Kata Imam Hassan Al-Banna, “Jika
begitu, kenapa kalian mendahulukan yang sunat atas yang wajib.”
Selepas umat Islam kehilangan
khilafah yang ditumbangkan, maka munculnya gerakan-gerakan Islam mengambil alih
peranan mengumpul kekuatan umat Islam yang bermatlamat mengembalikan khilafah
Islam seumpama Ikhwan Muslimin tahun 1928. Namun, kekuatan umat Islam yang cuba
bangkit selepas kejatuhan khilafah seringkali dipecahkan dengan isu-isu
khilafiyah dan remeh-temeh sehingga mereka melupakan matlamat utama.
Oleh itu, jika kita kembali merenung
kepada peristiwa agung iaitu Hijratul Rasul Sallallahu ‘alaihi wasallam maka tindakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi
wasallam menyatukan Ansar dan Muhajirin antara tindakan awal yang dilakukan
oleh Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam setibanya Baginda di
Madinah. Perbalahan antara dua kabilah terbesar yang mendiami bumi Yathrib
sebelumnya suatu yang kritikal berlarutan selama 120 tahun secara langsung
memberikan kekuatan kepada bangsa minoriti, Yahudi yang sentiasa mencari
peluang untuk mengapi-apikan agar dua kabilah ini tidak bersatu. Sepanjang 120
tahun berperang, beberapa siri peperangan menyaksikan ada ketika Aus menang dan
Khazraj menang. Tetapi, perang terakhir antara Aus dan Khazraj, Perang Bu’ath
yang berlaku kira-kira 5 tahun sebelum Hijrah Rasulullah mengorbankan banyak nyawa
di kedua-dua pihak tidak dimenangi sama ada Aus atau Khazraj. Pihak yang paling
bergembira ialah golongan Yahudi.
Ini kerana penyatuan dan perpaduan
Aus dan Khazraj mengancam ekonomi dan penguasaan Yahudi di Yathrib selama ini. Sumber
air dari Telaga Rumah, gandum dan tanaman tamar dimonopoli dan dikuasai oleh
golongan Yahudi. Justeru, permusuhan antara Aus dan Khazraj perlu berlarutan
agar Yahudi dapat mengecapi penguasaan yang berterusan di Yathrib.
Majlis taakhi antara Ansar dan
Muhajirin ini diadakan di rumah Anas Bin Malik Radhiyallahu ‘anhu dihadiri oleh
90 orang kalangan sahabat, 45 orang dari golongan Muhajirin dan bakinya dari
Ansar.
Persaudaraan ini dibuktikan oleh
Abdul Rahman Bin ‘Auf dan Sa’ad Bin Rabi’ Radhiyallahu ‘anhuma tatkala dipersaudarakan
oleh Rasulullah, berkata Saad, “Aku adalah orang yang kaya di kalangan Ansar,
maka aku ingin bahagikan harta aku kepada dua bahagian, aku mempunyai dua orang
isteri maka kamu pilihlah siapa yang kamu berkenan aku akan ceraikan, selepas
tamat ‘iddah maka kahwinilah dia.”
Abdul Rahman Bin ‘Auf menjawab,
“Semoga Allah berkati harta dan keluarga kamu. Tunjukkan kepadaku di mana
pasar?. Jawab Saad, “Pasar Qainuqa’ ”.
Firman Allah SWT Bermaksud:
“Dan orang-orang Ansar yang mendiami
negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang berhijrah
ke negeri mereka (Muhajirin) dan tidak ada pula di dalam hati mereka perasaan
berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu, mereka
mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih dari diri mereka sendiri
sekalipun mereka dalam kekurangan. Dan ingatlah sesiapa yang memelihara dirinya
dari dipengaruhi sifat bakhil maka mereka orang yang berjaya.”
(Surah Al-Hasyr Ayat 9)
Himpunan Penyatuan Ummah yang
berlangsung tanggal 14 September 2019 lalu akan tercatat dalam lipatan sejarah
negara betapa dua parti orang Melayu terbesar dalam negara, PAS dan UMNO berada
di satu pentas dalam satu majlis dengan termetrinya piagam yang membentuk
Muafakat Nasional. Siapa terbayang, selepas 60 tahun berkhilaf dalam arena
politik tanah air, PAS-UMNO melupakan persengketaan demi Islam. Mereka yang
hadir di dalam Dewan Merdeka PWTC atau di luarnya, mereka yang berada di atas
pentas atau di bawah, hampir kesemua mengalirkan air mata melihat detik
bersejarah ini. Di awal majlis lagi, tatkala Qari jemputan membacakan ayat suci
Al-Quran dari Surah Ali-Imran yang memerintah supaya berpegang teguh dengan
tali Allah, maka dapat disaksikan beberapa saf kepimpinan sudah mengalirkan air
mata. Mungkin inilah apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi
wasallam golongan yang mendapat “halawatul iman” (kemanisan iman).
Daripada Anas Bin Malik Radhiyallahu
‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda “Tiga perkara jika
diperolehi maka akan merasai kemanisan iman: Dia mengasihi Allah dan Rasul
lebih dari segala-galanya, dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah dan dia
membenci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia tidak mahu dicampak ke
dalam api neraka.”
(Hadis
riwayat Imam Muslim)
Sudah tentu penyatuan ini digeruni
dan dicemburui oleh musuh. Inilah yang berlaku apabila seorang Yahudi bernama
Syas Bin Qais yang cuba mencetuskan api permusuhan. Syas Bin Qais seorang
Yahudi dari kabilah Bani Qainuqa’ yang terkenal dengan pembuatan senjata.
Ternyata, permusuhan antara Aus dan Khazraj selama ini telah memberi manfaat
yang besar kepada Yahudi khasnya dari sumber kewangan. Lalu setelah Aus dan
Khazraj dipersaudarakan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang
membentuk golongan Ansar maka manfaat ini sudah tidak mereka perolehi. Ini
kerana Syas Bin Qais seorang pengusaha senjata mengalami kerugian tatkala Aus
dan Khazraj menamatkan persengketaan. Inilah yang Yahudi mahukan kerana mereka
mempunyai kepentingan apabila Aus dan Khazraj bersengketa.
Lalu, Syas Bin Qais menemui qabilah
Aus dan berkata, “Wahai Aus, apakah kalian lupa apa yang dilakukan oleh Khazraj
kepada kalian?.” Begitu juga dia menemui qabilah Khazraj mengapi-apikan dengan
mengungkit cerita lama. Ternyata api yang dinyalakan itu benar-benar membakar
kembali permusuhan sehingga masing-masing mula mengangkat dan menghunuskan
pedang sambil melaungkan kembali nama qabilah. Aus melaung “Wahai Khazraj!” dan
berkata Khazraj “Wahai Aus!”. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar
menemui mereka sambil bersabda “Apakah dengan seruan jahiliyyah kalian laungkan
sedang aku masih bersama kalian setelah Allah memberikan kepada kalian petunjuk
dan menyelamatkan kamu dari kegelapan.” Lantas para sahabat mula menyedari
mereka kembali ke kancah peperangan sebelum disedarkan oleh Rasulullah Sallallahu
‘alaihi wasallam. Mereka mencampakkan pedang masing-masing lantas berpelukan
sambil menangis. Usaha Yahudi untuk memecahbelahkan kesatuan Ansar-Muhajirin
gagal.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Berpegang teguhlah kamu dengan tali
Allah dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu
ketikamana kamu bermusuhan maka Allah menyatukan hati-hati kamu maka jadilah
kamu semua bersaudara dengan nikmat-Nya. Kamu pada ketika itu berada di jurang
api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikian Allah
menjelaskan kepada kamu ayat keterangan Allah agar kamu mendapat petunjuk.”
Oleh itu, suara-suara yang mahu
melihat penyatuan ummah ini menemui kegagalan hakikatnya talibarut kepada
musuh-musuh Islam yang bersifat membenci dan memusuhi kesatuan umat Islam.
Melabelkan penyatuan ummah “pengisytiharan perang kepada orang bukan Islam” dan
“ala-Taliban” adalah tuduhan jahat lagi melampau.
Justeru, ucapan Dato’ Seri Tuan Guru
Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS sewaktu menyampaikan Ucaptama di Himpunan
Penyatuan Ummah lalu yang mengumpamakan suara-suara anti penyatuan ummah
sebagai “anjing yang menyalak bukit” amat tepat.
Yakinlah, kesatuan dan penyatuan ini
bukanlah mahu mengejar pangkat, kuasa dan kedudukan namun semuanya ‘Demi
Islam’.
Disediakan oleh:
Muhammad Abdul Malik Abdul Karim
Pengarah AKTAR Pemuda PAS Kelantan