© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Malaysia Tiada Gempa Bumi?

Malaysia Tiada Gempa Bumi?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 23 June 2015


Suatu ketika dahulu, kerapkali disebut orang bahawa negara kita aman, tiada gempa bumi, jauh daripada lingkaran gunung berapi. Itu tanda Allah redha kepada rakyat negara ini. Namun, bukan sesuatu yang luar biasa jika sesekali ibukota Kuala Lumpur dinaiki air bah, lokasi utama ditenggelami banjir, lalulintas menjadi lumpuh di era pengangkutan awam masih belum banyak seperti hari ini.

Namun tidak mengapa, kita menggali terowong pintar sepanjang 9.7 km yang terpanjang di Asia. Kecanggihan teknologi kejuruteraan ini mendapat liputan National Geographic dan Extreme Engineering dari awal hingga akhir, bahkan projek mega ini meraih anugerah UN Habitat Scroll of Honour Award.

Selain dijadikan laluan alternatif di waktu puncak kesesakan lalulintas, terowong ini juga berfungsi mengalihkan laluan air dari tengah bandar. Tujuan utama pembinaannya adalah bagi menyelesaikan masalah banjir kilat di ibu negara.

Maka diwar-warkan pula bahawa selepas ini tiada lagi bencana banjir di Kuala Lumpur. Benarkah begitu? Selepas saliran airnya mula beroperasi pada Januari 2007 dan laluan kenderaan mula dibuka pada 14 Mei tahun yang sama, didapati banjir besar masih berlaku dan melumpuhkan lalulintas. Benarlah firman Allah dalam Surah al-‘Alaq, ayat 6-8:
كَلاَّ إِنَّ الإِنسَانَ لَيَطْغَى. أَن رَّآهُ اسْتَغْنَى. إِنَّ إِلَى رَبِّكَ الرُّجْعَى
“Ingatlah! Sesungguhnya manusia itu tetap melampaui batas. Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Apabila manusia merasakan dirinya serba cukup, mereka akan melampaui batas dan seakan tidak memerlukan Tuhan dalam kehidupan ini. Dengan akal fikiran yang pintar, ilmu pengetahuan dan kemajuan teknologi, kewujudan Allah sebagai Pentadbir alam ini jarang dirasai melainkan bagi orang-orang yang benar keimanannya.

Semasa berlaku bencana gempa bumi di Nepal pada 25 April lalu, tidak dapat dijangkakan ianya akan menimpa negara kita di Ranau, Sabah. Kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu ini cukup menjadi pengajaran bahawa pengetahuan manusia dalam ilmu geologi sangat terbatas.

US Geological Survey mengatakan gegaran sedalam 10 km itu berpusat kira-kira 19 km dari Ranau dan 54 km dari Kota Kinabalu menyebabkan gegaran turut dirasai di Tambunan, Tuaran dan Kota Belud. Berbanding gempa bumi di Nepal yang berskala 7.9 skala Richter, ukuran 5.9 - 6.0 yang menimpa Ranau, Sabah masih dianggap berskala sederhana, namun telah mengakibatkan runtuhan besar di Gunung Kinabalu.

Entah apa nasib kira-kira 137 pendaki yang masih terperangkap. Sebelum ini tidak pernah dilaporkan bencana seumpama ini, bahkan Gunung Kinabalu adalah lokasi pendakian yang selamat. Kerugian harta benda yang dialami oleh penduduk di sekitar Ranau masih belum dapat dipastikan.

Di celah-celah kecemasan ini, saya terbaca komentar pakar-pakar ilmu kaji bumi yang menyatakan bahawa Sabah terletak di luar lingkaran gunung berapi di Lautan Pasifik yang kebiasaannya risiko gempa bumi berlaku di kedua negara jiran iaitu Filipina dan Indonesia. Namun, tidak mustahil Sabah atau mana-mana negeri di Borneo boleh mengalami bencana alam tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, ini kerana Ranau yang terletak di sebelah tenggara kawasan Eurasian menerima tekanan daripada tiga kuasa tektonik kerak bumi iaitu Filipina, Pasifik dan Eurasian. Ketiga-tiga kerak bumi ini mengalami pergerakan dengan kadar purata 10 cm setiap tahun. Kerana itu tidak mustahil Negeri di Bawah Bayu itu menerima gegaran daripada aktiviti di bawah permukaan bumi.

Apa pun pandangan pakar-pakar, intelektual, mereka masih juga manusia biasa yang tidak dapat melangkaui ilmu pengetahuan sekadar apa yang Allah kurniakan. Pandangan dan pendapat seperti ini boleh berubah-ubah sesuai dengan penemuan-penemuan terkini. Masih banyak fenomena alam ini yang belum dizahirkan oleh Allah S.W.T. Satu kajian di Amerika Syarikat juga membuktikan terdapat peningkatan gejala gempa bumi dalam tempoh 20 tahun yang lepas. Kita hanya perlu beriman dengan hadith Rasulullah saw:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ
“Tidak akan datang Kiamat sehinggalah ilmu akan ditarik (dilenyapkan) dan banyak berlaku gempa bumi.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jum'ah, Bab al-Istisqaq: hadith 983)

Menurut Imam al-Hafiz Ibnu Hajar r.h, “Telah banyak terjadi gempa bumi di negara-negara bahagian utara, timur dan barat, tetapi yang dimaksud oleh hadith ini ialah gempa bumi secara merata dan terus menerus.” (Fathul Bari 13: 87)

Dalam hadith yang lain, Rasulullah saw bersabda:
وَبَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ مُوتَانٌ شَدِيدٌ، وَبَعْدَهُ سَنَوَاتُ الزَّلَازِلِ
“Sebelum terjadinya hari Kiamat akan terdapat kematian-kematian yang mengerikan, dan sesudahnya akan terjadi tahun-tahun gempa bumi.” (Musnad Ahmad  4:104, disahihkan oleh Imam Al-Haitsami dalam kitab Majma' Az-Zawa'id 7:306)

Sesungguhnya kesemua ini sebagai petanda bahawa hari kiamat pasti berlaku dan alam ini pasti binasa. Hanya bagi mereka yang benar-benar percaya peringatan Allah akan sesuatu yang lebih dahsyat:
إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا. وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا. وَقَالَ الْإِنْسَانُ مَا لَهَا. يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا. بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا
“Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); Apa yang sudah terjadi kepada bumi? Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya; bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).” (al-Zalzalah: 1-5)


Biodata Penulis

Ustaz Imran bin Selamat pernah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat, Kuala Lumpur. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains dan Teknologi di Sana'a, Yemen. Melibatkan secara aktif dalam bidang dakwah dan memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-