© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Sengketa Kuasa di Somalia : Sebuah Renungan

Sengketa Kuasa di Somalia : Sebuah Renungan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 15 July 2013


Ibu kota Somalia, Mogadishu di zaman kegemilangannya pernah mendapat jolokan “Mutiara Putih di Lautan Hindi” - “Pearl of the Indian Ocean”. Perkataan Mogadishu diambil daripada “Maq’ad Shah” yang bermaksud “Singgahsana Putera Raja”. Sejak zaman Firaun, ia merupakan satu pusat yang sangat penting bagi perdagangan dengan tamadun dunia yang lain. Kedudukannya yang bersempadan dengan Djibouti, Kenya, Yaman, Laut India dan Ethiopia tanpa disedari ia adalah negara terhebat yang pernah dikuasai empayar kerajaan Islam.

Vasco da Gama, yang pernah melalui Mogadishu pada abad ke-15 mencatatkan bahawa kota Mogadishu adalah satu bandar yang besar dengan rumah yang mempunyai empat atau lima tingkat ketinggian dan istana-istana yang besar yang mana ditengah-tengahnya terdapat menara-menara yang berbentuk silinder. Selain hubungan dagang dengan Mesir, Syria, Greece, Mozambique, Mombasa di Kenya, Tanzania, Selat Hormuz, India, China (ketika empayar Ming) dan Republik Demokratik Congo, ibu kota Somalia itu juga memiliki hubungan dagang dengan Melaka pada abad ke-15 Masihi.

Majoriti penduduk di Somalia adalah “Muslim Sunni” dan disebabkan oleh hubungan persaudaraan dengan Dunia Arab, Somalia diterima sebagai ahli “Liga Arab” pada tahun 1974. Bukan sahaja Somalia itu merupakan sebuah negara Muslim, negara tersebut juga merupakan salah sebuah negara pengasas Pertubuhan Persidangan Islam (Organisation of Islamic Cooperation - OIC) dan juga merupakan ahli PBB dan NAM. Somalia pernah dijajah British dan Itali dan mendapat kemerdekaan pada tahun 1 Julai 1960.

Statistik kependudukan Somalia pada tahun 2011, ia dihuni lebih daripada sembilan juta orang penduduk. Malangnya sehingga kini sebahagian besar daripada mereka ialah golongan pelarian yang terpaksa menghuni khemah-khemah sementara yang disediakan oleh Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (International Committee of the Red Cross - ICRC). Pusat pemerintahan yang penuh kegemilangan di Mogadishu kini berubah fungsi menjadi kem-kem pelarian. Sungguh ironi apabila kem pelarian bercantum dengan tembok istana presiden.

Kadar pelarian penduduknya begitu ramai, sehingga boleh dikatakan semua warga Somalia adalah golongan pelarian. Mereka telah berpindah selama bertahun-tahun ke negara lain antaranya Mesir dan Sudan, sehingga tidak mahu pulang ke kampung halaman masing-masing. Keputusan tersebut dibuat kerana tiada pekerjaan yang mampu dilakukan akibat keadaan negaranya kering kontang akibat kemarau yang berpanjangan. Apa yang menyedihkan kemarau tersebut bukanlah masalah fenomena alam semata-mata, tetapi adalah disebabkan pengurusan negara yang tidak berjalan dengan baik.

Kemarau berpanjangan yang melanda wilayah tersebut memburukkan keadaan ekonomi mereka kerana pertanian yang menjadi sumber utama penduduk Somalia terjejas teruk akibat kekurangan air yang tidak dapat disalirkan ke ladang. Menurut beberapa pertubuhan bantuan kemanusiaan, setiap hari angka kematian mencapai sehingga 6 000 orang. Beberapa penyakit berbahaya seperti malaria, TBC, kolera, jangkitan kuman pada saluran pernafasan dan kekurangan gizi adalah penyakit yang sudah merebak.

Krisis ini menyebabkan wajah Somalia pada kaca mata masyarakat dunia dibayangi wajah-wajah lesu anak pelarian berperut buncit, bertubuh kurus tanpa pakaian terlantar dihurung lalat dan langau sambil menunggu bantuan makanan tiba yang dibawa oleh sukarelawan. Hakikatnya di sisi lain, kelihatan anak muda berpakaian celoreng tentera dengan wajah bengis menyandang AK-47 menaiki trak separuh uzur sambil meninjau musuh yang bersembunyi di celah-celah bangunan lusuh ibu kota Somalia itu.


Pemerintahan pusat di Somalia sentiasa bertukar ganti sehingga pada suatu ketika tiada langsung kerajaan yang memerintah angkara pergolakan sesama sendiri untuk mentadbir kerajaan. Sengketa, pembunuhan, kematian dan kebuluran adalah antara realiti yang melatari bumi gersang di tanah tandus Afrika Timur ini. Tidak hairanlah dunia mengenali Mogadishu sebagai tanah konflik yang menumpahkan darah sebagaimana nasib yang menimpa wilayah Afrika lain yang turut bergelut dengan perang dan kebuluran, seperti Addis Ababa (Habsyah), Khartoum (Sudan) dan Kigali( Rwanda).

Perang saudara Somalia adalah konflik bersenjata yang bermula pada tahun 1988. Ia berpanjangan sehingga ke hari ini, mengakibatkan situasi huru-hara dan kekerasan meningkat. Perlu diketahui, Somalia merupakan kawasan yang kaya dengan hasil komoditi buminya seperti minyak dan emas. Namun, kerana konflik yang belum berpenghujung, kekayaan alam itu tidak dapat diterokai dengan baik. Kepincangan pengurusan minyak dan emas di negara tersebut menatijahkan punca sebenar kebuluran dan kemelaratan yang melanda wilayah di Somalia.

Seperti daerah-daerah Somalia yang lain di Lower Shabelle, Middle Shabelle, Oddur dan Merca, sebenarnya bukanlah berpunca daripada fenomena alam, wilayah tersebut memiliki sumber kehidupan yang baik dan boleh dikongsikan kepada masyarakat di wilayah sekitarnya, tetapi konflik persengketaan yang berpanjangan antara puak dan kumpulan yang mempunyai kepentingan serta agenda tersendiri menyebabkan prasarana penduduknya terbantut.


Perang saudara yang berlaku antara pihak yang merebut kuasa telah mengakibatkan penduduknya menjadi pelarian seumur hidup dan sengketa  lebih tertumpu kepada satu kumpulan tentera yang dikenali sebagai “Al Shabab” yang anti-Barat dengan Kerajaan Persekutan Transisional (Transitional Federal Government - TFG) yang ditaja oleh Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS). Penglibatan negara Barat, khususnya Kesatuan Eropah (NATO) dan AS dalam menentukan hala tuju Somalia menyebabkan bercambahnya organisasi serta kumpulan etnik yang tidak berpuas hati dengan campur tangan kuasa luar dalam pentadbiran negara itu. Oleh itu, tentangan demi tentangan terus berlaku di Somalia.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-