© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Kestabilan Mesir Terus Diganggu

Kestabilan Mesir Terus Diganggu

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 12 July 2013


Dunia terkini telah berubah kepada zaman di mana rakyat mendesak supaya suara mereka didengari dan hak mereka diberikan dengan adil. Manakala zaman kuku besi di mana sesebuah kerajaan berlagak Tuhan, rakyatnya diperhambakan pula hampir dilupa dan diletakkan dalam lipatan sejarah.

Islam yang dibawa para Rasul adalah pendukung menentang kezaliman di sepanjang zaman. Mesir adalah bumi bersejarah berlakunya pertembungan di antara Fir’aun yang zalim berlagak Tuhan. Fir’aun itulah yang berlagak sebagai penentu rezeki rakyat, bermegah dengan pembangunan hebat, bangunannya tersergam menjadi tarikan pelancong sehingga kini. Semua pembangunan dan monumen hebat yang dibina oleh penzalim seperti Fir’aun telah dilupakan bahawa semuanya dibina di atas mayat rakyat yang di hamba-abdikan, banyaknya darah yang mengalir dan air mata yang dicurah.

Nabi Ya’akob dan puteranya Nabi Yusuf A.S. dikumpulkan di Mesir, daripada zuriatnya ramai para anbiya’, maka Mesir dinamakan bumi para anbiya’. Allah juga telah mengutuskan Rasul-Nya Musa a.s untuk melakukan Islah di bumi Mesir. Sebagai satu hikmah dari Allah, Rasul itu menjadi anak angkat yang dibesarkan di bawah mahligai Fir’aun, untuk berdepan secara langsung dengan Fir’aun paling zalim dan ganas.

Akhirnya Fira’un dan kerajaannya tamat riwayat bersama amal zalimnya dengan khatimah buruk dilaknat mengikut perhitungan Islam, celaka dunia dan neraka di akhirat. Fir’aun inilah yang dijulang oleh golongan nasionalis Mesir sebagai tokoh tamadun yang dibanggakan.

Kedatangan Rasul akhir zaman juga membawa perubahan besar kepada Mesir sehingga menjadi pusat ilmu Islam dan gerakan Islam menentang penjajah. Kedudukannya yang berada di tempat paling penting dalam peta hubungan antarabangsa dan benua, menjadikannya sasaran kezaliman antarabangsa. Bu,I Mesir menjadi rebutan kuasa besar timur dan barat, sejak sebelum Islam, sehinggalah perang salib, zaman penjajahan, dan menjadi medan dua perang dunia dan perang dingin.

Ketika era perang dingin ramai pemimpin gerakan Islam Ikhwan Muslimin gugur syahid di medan perang Palestin. Ketika berlakunya penubuhan negara haram Israel dan seterusnya rampasan kuasa tentera di Mesir, kalangan Ikhwan Muslimin terus menerus diburu dan dihukum. Sejarah hitam berdarah ini sedang diulangi sekali lagi.

Semua negara kuasa besar dan sekutunya tidak memberi perhatian terhadap seluruh negara dunia seperti perhatian khusus mereka terhadap apa yang berlaku di Mesir. Perubahan telah berlaku di negara bekas komunis dan sosialis lainnya, tetapi kepentingan kuasa besar terhadap geo-politik Mesir tentunya tersangat penting untuk mereka biarkan berlaku begitu sahaja. Mereka mengkaji dengan serius apabila Mesir menerima perubahan kepada demokrasi yang memberi hak kepada rakyat.

Mereka memandang secara tajam dan ganas, apabila Mesir berubah setelah dicengkam regim diktator kuku besi tentera sejak beberapa dekad. Negara Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetap mengiktiraf diktator zalim dan paling tajam kuku besinya di Mesir sejak beberapa dekad. Semuanya kerana kepentingan strategik kuasa besar terhadap sumber tenaga dan kedudukan sekutu rapat mereka negara haram Israel. Akhirnya, perubahan berlaku di Mesir mengikut musim perubahan dunia sehingga tidak mampu dihalang, sehingga Presidennya terpaksa meninggalkan kerusi dan terdedah segala jenayah dan salah laku yang terselindung dilakukan ketika berkuasa.

Apabila demokrasi dihidupkan, pilihanraya dilaksanakan dengan adil dan telus. Bermulalah era media menjadi saksi yang adil yang diberi peluang kepada semua parti politik dan rakyat mendapat maklumat daripada semua pihak. Maka rakyat memilih kerajaan dan Presidennya secara langsung, sehingga kumpulan saki bagi penipu besar gagal menyekat pilihan rakyat. Tiba-tiba kumpulan sekular yang didokong oleh negara luar kalangan kuasa besar dan daripada kalangan negara Arab serantau, sebangsa, seagama, menolak pilihan rakyat Mesir kerana kemenangan berpihak kepada kumpulan Islam.

Rakyat Mesir pernah menjadi mangsa penipuan ketua negaranya ketika kalah perang menghadapi negara haram Israel 1967 yang memalukan, apabila ketua cawangan Parti Sosialis dan ketua kampung (JKKK) diperintah supaya mengerah  rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi dan bersedih tidak bersetuju Presidennya meletakkan jawatan kerana malu kalah perang. Kerahan dilakukan sebelum Presiden menyampaikan lagi ucapannya, satu lakonan menipu rakyat  dan seluruh dunia.

Akhirnya terkini, diulangi lagi penipuan terbuka yang diketahui umum tanpa maruah dan rasa malu. Kali ini rakyat miskin dan bodoh dikerah lagi dengan duit upah dan kenderaan percuma, dengan  sumbangan duit negara minyak Arab yang sanggup menyumbangnya. Rakyat yang begitu sifatnya dihimpunkan di Medan Tahrir menunjuk perasaan kerana Presiden Morsi yang baru setahun dilantik tidak berjaya menyelesaikan masalah yang diadakan oleh kerajaan yang lalu sejak enam puluh tahun. Bantahan disertakan dengan kononnya jutaan tanda tangan kalangan yang sebahagiannya buta huruf dan buta akal.

Protes itu berlaku terhadap masalah yang berakar umbi selam enam puluh tahun warisan kerajaan diktator terdahulu. Protes yang dirancangkan dengan rapi dan tersembunyi tangan ghaib kuasa besar dan negara Arab sekitarya hanyalah mengenai masalah yang belum dapat diselesaikan dalam masa setahun pemerintahan Presiden Morsi, itupun dalam keadaan Presiden dan kerajaannya yang masih baru, tidak dibenarkan bertindak terhadap saki baki penyangak dan penyamun lama yang masih berakar umbi dalam jentera kerajaan dan institusinya.

Seluruh dunia menyaksikan lakonan atau drama terbuka di tengah padang di waktu siang hari yang nyata, kononnya menyokong kehendak rakyat. Malangnya ada kalangan ulama dan pemimpin agama yang menjadi pelakon tambahan, ada pula negara Arab yang mengucap tahniah mengiktiraf drama bohong ini adalah benar dan adil, sehingga lupa serban di kepala dan lupa berada paling hampir dengan Ka’abah. Sedang negara Barat sendiri masih hati-hati membuat kenyataan.

Maka berlakulah pesanan Rasulullah s.a.w (mafhumnya), “Akan datang masanya manusia berdepan dengan tahun-tahun yang mengelirukan (musimnya tidak menentu), pelakunya dibenarkan (dipercayai) pembohong, dibohongi orang yang benar. Diberi amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, Orang-orang yang bebal (Ruwaibidhoh) bercakap.”

“Lalu ditanya apakah maksudnya (Ruwaibidhoh)?”


Sabdanya, “Orang-orang yang terlalu jahil bercakap dalam perkara yang besar.”

Berlakunya yang disabda Rasulullah s.a.w menjawab soalan Malaikat Jibril, “Apakah tanda-tanda hampirnya Hari Kiamat (yang membinasakan seluruh alam).”

Sabdanya, “...Dan apabila kamu melihat adanya orang-orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut), bertelanjang, yang terlalu miskin, tiba-tiba (kaya raya) berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi.”
Banyaklah sejarah latar belakang negara kaya raya hasil minyaknya, bagaimana mereka dahulunya dan bagaimana sekarang?

Segala yang berlaku menandakan fajar kemenangan Islam, mereka yang ditarbiyah oleh penjajah berbangga dengan sejarah Fir’aun dan melupai sejarah Nabi Musa dan para Rasul akan menerima nasib Fir’aun dunia dan akhirat.

Islam mustahil dapat dihapuskan dengan kekalahan pilihanraya dan paksaan kerajaan tentera paling besar dan zalim. Firman Allah Taala :

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).”
 
“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

 
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Ali-Imran:137-139)

Malangnya ada kalangan yang berbahasa Al Quran mengucap tahniah bersama pemimpin negara haram Israel kerana kejayaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Mesir daripada kumpulan Islam yang dipilih rakyat secara demokrasi, ada juga yang munafiq, menunggu dan lihat untuk berpihak kepada siapa sahaja yang menang dalam pertarungan yang berlaku.

Demikianlah Allah membahagikan manusia kepada tiga kumpulan sahaja :
  1. Beriman dan beramal soleh;
  2. Kufur menentang Islam secara nyata dan;
  3. Munafiq yang berpura-pura.


Biodata Penulis

Y.A.B Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah memangku jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Qudsi.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-