Allah Taala mengesahkan tentang betapa buruknya perangai kaum Bani Israel berpolitik sebagai pengajaran kepada seluruh manusia, khususnya umat Islam. Firman Allah Taala :
"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka; Bahawasanya Allah telah melantik Tholut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab; Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata;Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Tholut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya." (Al-Baqarah:247)
Kisah ini benar-benar berlaku di zaman dahulu, apabila bangsa Yahudi terhina dengan sehina-hinanya lantaran mereka meninggalkan kitab Taurat, sehingga mereka ditakluk oleh bangsa lain. Setelah beberapa generasi mereka hidup hina merempat, maka Allah mengutuskan seorang nabi mendidik mereka semula dengan kitab Allah. Akhirnya mereka sedar dan insaf, serta bersedia untuk berjuang, menegakkan negaranya semula. Mereka telah memohon petunjuk Allah melalui nabi agar dapat melantik seorang raja yang menjadi pemimpin negara mereka.
Tiba-tiba Allah menunjukkan seorang tokoh yang bernama Tholut supaya dilantik menjadi pemimpin mereka dalam perjuangan menegakkan semula negara namun begitu penyakit rohani masih ada dalam diri mereka, apabila kaum Bani Israel itu menolak dengan alasan raja yang dicadangkan tersebut bukanlah seorang yang kaya di kalangan mereka, Tholut yang dicadangkan itu bukanlah seorang kaya-raya. Nabi itu memberi tahu bahawa petunjuk Allah supaya melantik seorang yang berilmu dan gagah perkasa, Tholut adalah tokoh paling layak.
Kisah ini menunjukkan bahawa politik berteraskan harta menjadi penyakit bangsa yang Yahudi yang dimurkai Allah. Allah juga mendedahkan sifat kebendaan bangsa Yahudi dengan firman-Nya :
"Wahai Rasul! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya; Kami tetap beriman, padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendeta-pendeta palsu) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata; Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik. Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar." (Al-Maaidah:41)
Ini menunjukkan bahawa penyakit kebendaan telah merebak sehingga hilangnya perhitungan akal, lalu suka menerima berita bohong dan mengambil harta haram melalui rasuah dan lain-lain.
Cabaran keadaan yang sama juga dialami oleh para pemimpin Makkah dan pengikutnya. Rasulullah S.A.W menghadapinya apabila dihujahkan dengan kebendaan. Allah berfirman :
"(Dan mereka berkata) Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami."
"Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus."
"Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya."
"Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?"
"Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan; Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?"
"Katakanlah (wahai Muhammad); Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul."
"Katakanlah lagi; Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu; sesungguhnya adalah Ia Amat Mendalam pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-hamba-Nya." (Al-Isra':90-96)
Para ulama merakamkan kisah Rasulullah S.A.W ketika baginda menegaskan kepada Adi bin Hatim R.A. seorang pemimpin Arab terkenal sebelum Islamnya, sabda Rasulullah S.A.W, "Wahai Adi! Aku tahu mengapa kamu tidak mahu menerima Islam, kerana Islam dilihat bersama-sama dengan orang-orang yang lemah dan tidak ada kekuatan. Akan tetapi akan tiba masanya Islam mencapai kemenangan sehingga harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang mahu menerimanya."
Demikianlah politik wang atau matlamat kebendaan menjadi wabak yang merosakkan manusia sejak dahulu sehingga sekarang, hilangnya harga diri manusia yang dijadikan Allah berakal dan fikiran supaya dapat menilai benar dan salah serta menggunakan harta menjadi alat, bukan diperalatkan oleh harta yang tidak berakal.
Apabila harta menjadi matlamat, maka hilanglah nilai kemanusiaan yang mulia serta martabatnya yang tinggi jatuh lantas menjadi hina. Akhirnya menjerumuskan diri sendiri lebih hina dan menghinakan bangsa serta umat. Kerana pada masa itu segala pertimbangan akal dan petunjuk Allah ditolak apabila harta menjadi ukuran benar dan salah.
Bangsa Melayu bersama Umno ditarbiyah dan dididik dengan politik wang dan kebendaan. Penyakit yang membarah ini diakui sendiri oleh semua pemimpin UMNO dengan menyatakan bahawa ianya sudah menjadi penyakit yang membusukkan usus. Paling bahaya ianya juga telah merebak ke dalam jentera kerajaan dan rakyat Melayu apabila di setiap kali pilihanraya umum atau kecil.
Orang-orang Melayu di bawah Umno hilang jati diri, sehingga tidak mampu bertongkat dengan hak istimewa yang diberi nafas sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini masih berlaku walau pun UMNO menang majoriti paling besar dalam pilihan raya sejak beberapa dekad yang lalu.
Jumlah kerusi Melayu diagih untuk menjadi benteng pasir melindungi Umno. Hanya negeri Melayu kuat Umno ditambah kerusi pilihan raya. Ada pun negeri Melayu yang tidak memilih Umno tiada pertambahan kerusi walau pun penduduknya bertambah dalam dua kali kajian kajian persempadanan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Duit ditabur dengan sebanyak-banyaknya untuk membeli undi Melayu supaya tetap memilih Umno. Kepada yang tetap memilih Umno pula dibodohkan dengan media Melayu arus perdana bersama para penulis upahan, sehingga terus berkhayal dalam kejahilan dan kemiskinan dan tidak kenal perubahan yang berlaku dalam dunia terkini.
Allah menegaskan bahawa harta negara yang banyak tidak mampu membela seluruh rakyat dengan adanya penyakit tersebut. Ini kerana apabila harta negara yang boleh dianggap sebagai darah yang tidak mengalir ke dalam seluruh jasad kerana berlakunya senario orang-orang kaya tertentu yang berlegar di kalangan kamu.
Maka kekayaan negara dikikis atau dibocor oleh pemimpin yang kaya dengan rasuah atau menyalah gunakan kuasa untuk mendapat kekayaan bagi diri dan kroninya. Apatah lagi adanya orang-orang kaya yang mendapat peluang dengan rasuah atau sentiasa berpeluang kerana bersekongkol dengan pemimpin yang khianat terhadap rakyat dan harta negara. Puncanya apabila berpolitik kerana wang dan matlamat kebendaan, bukannya menunaikan amanah.
Allah telah menunjukkan contoh dalam al-Quran petunjuk sepanjang zaman di mana adanya tiga serangkai Firaun (raja), Haman (Perdana Menteri) dan Qarun (hartawan).
Rakyat termiskin dibantu dengan duit dan kemudahan sementara sahaja, tetapi tidak boleh membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan. Rakyat yang tidak memiliki tanah tempat kediaman diburu ketakutan peras ugut dengan milik sementara sepanjang masa, atau terpaksa meneroka tanah tanpa kebenaran rasmi dan dibiarkan supaya menjadi mangsa ugutan.
Setiap kali pilihan raya maka duit menjadi senjata kempen dengan bekalan daripada pemilik harta Qarun penyumbang tetap yang mendapat segala peluang tetap selepas pilihanraya, atau membocorkan peruntukan yang wajib ditunaikan bagi kemudahan rakyat. Maka berlakulah projek terbengkalai atau projek cacat yang meruntuhkan kerana tidak sempurna.
Setiap kali pemilihan kepimpinan Umno juga wang tetap digunakan, kerana kedudukan dalam parti akan dapat menjamin kehidupan dan segala kesempatan. Di sana pula tetap ada para Qarun yang bersedia menyumbang bagi memperjudikan diri masing-masing.
Penyakit ini pernah menjadi sebab bersejarah kejatuhan umat terdahulu dengan hina, termasuk kuasa besar yang paling kaya dengan tamadun kebendaannya. Semuanya dikisahkan oleh Al Quran supaya menjadi petunjuk kepada seluruh manusia di sepanjang zaman, termasuklah orang-orang melayu terkini.
Ketika bangsa lain berpolitik memilih parti yang menjaga bangsa masing-masing dalam persaingan masyarakat majmuk, tiba-tiba bangsa Melayu masih lagi bersama Umno. Ada lagi di antara kita yang memilih parti yang mengagihkan duit dan segala habuan segera. Maka tunggulah padah menimpa diri sendiri, jangan menyalahkan orang lain.
Akhirnya dengarlah pesanan Rasulullah S.A.W (bermaksud), "Ambillah pemberian, selagi sebenarnya pemberian yang berhak. Maka apabila sudah menjadi rasuah dalam perkara al-Din (agama dan cara hidup) maka janganlah kamu mengambilnya dan jangan pula meninggalkannya, nescaya menghalang kamu daripada menjadi fakir dan sentiasa berhajat. Ingatlah Islam sentiasa dalam pusingan (menang dan kalah, mulia dan dihina), maka kamu hendaklah sentiasa bersama Islam di mana sahaja keadaannya. Ingatlah, akan berlakunya pertelingkahan di antara kitab (al Quran) dan pihak yang berkuasa memerintah negara, kamu jangan sekali-kali berpisah daripada kitab al Quran. Ingatlah, akan adanya para pemimpin yang menghukum kerana diri mereka, bukan kerana menolong kamu." (Rujuk Mu'jam al Kabir li at-Tabarani Jilid 4 M/S:499)
Dalam hadith yang lain pula diharamkan kepada orang yang berada mengambilnya kecuali selepas itu diberi kepada orang yang sebenarnya memerlukan bantuan.
Wujudnya penyakit politik kerana harta pada hari ini adalah tanda kerasulan Nabi Muhammad S.A.W yang wajib diimani. Ingatlah maksudnya bahawa memilih parti politik wang atau kebendaan akibatnya bencana menimpa umat.