Pemuda adalah mesin penggerak yang bertanggungjawab mengaktifkan seluruh organ parti agar tidak sekadar berfungsi tetapi mampu mencetus gerakkerja berkesan, menumbuh kesedaran ahli, meraih sokongan pengundi dan membawa pulang 'tropi' kemenangan.
Jentera pemuda menjadi sandaran parti dan harapan ummah yang mahukan agenda perubahan berjaya dilaksanakan dengan baik. Pendek kata, sebahagian dari faktor kemenangan parti dalam pilihanraya bergantung kepada sejauh mana keupayaan dan kemampuan jentera melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan amanah dan istiqamah.
Apa yang paling penting, ia turut bergantung kepada tahap prestasi diri setiap individu pemuda, apakah ia menepati piawaian jentera yang ikhlas, taqarrub Ilallah, soleh, benar dan sebagainya yang mampu meraih redha Allah Taala sehingga turun nusrah atau mau'nahNya.
Syarat Menang Mestilah Berjuang
Saya mengharapkan Jentera Pemuda dapat melaksanakan tanggungjawab ini (berjuang dan menang) dengan penuh dedikasi dan 'memberi' yang terbaik. Tampil dengan himmah yang tinggi, syaksiyyah yang solehah dan perwatakan yang meyakinkan sebagai duta parti.
Ingatlah, bahawa kita menyertai perjuangan ini bukan kerana tuntutan demokrasi jauh sekali untuk beriman dengan demokrasi, tetapi kita menyertainya justeru ia adalah amanah untuk membawa risalah perjuangan suci yang kita dokong selama ini dan mendaulatkannya iaitu syariat Islam dan seluruh syiarnya.
Ertinya kita mesti bekerja gigih dan tekun, serta teliti tanpa peduli apa halangan yang terpaksa kita hadapi sebagaimana kita bekerja keras dan rajin, serta tegas tanpa menghiraukan apakah keputusan yang akan kita perolehi, menang atau kalah.
Berkali telah saya tegaskan bahawa perjuangan kita tidak syarat menang, tetapi untuk mencapai kemenangan syaratnya mestilah kita berjuang. Sekurang-kurang perkara yang perlu dilakukan oleh Pemuda ialah :
- Spiritual Yang Akrab
Janganlah kerana tugas kononnya, kita abaikan tanggungjawab asas kita sebagai seorang hamba Allah dan menjarakkan hubungan kita denganNya. Sebagai contoh, mengabaikan solat 5 waktu dan meringan-ringankan solat berjamaah atas alasan keletihan setelah berjaga malam dengan kerja dan tugasan yang banyak.
Konsisten dengan munajat dan solat hajat adalah suatu yang sentuhan terbaik jika dilakukan oleh jentera sendiri berbanding orang lain tanpa menafikan orang lain juga perlu terus bermunajat.
- Akhlak Mahmudah
Saya percaya, pemuda antara orang yang paling letih dan penat sepanjang tempoh perjuangan ini. Kekadang mereka tidak sempat makan dan tidak cukup tidur demi memastikan segala urusan dan gerak kerja berjalan lancar mengikut jadual. Waktu-waktu beginilah emosi mudah terganggu dan kesabaran mudah tercabar.
Pemuda mesti tabah dan berjiwa besar. Bekerjalah dengan tenang dan sentiasa bertindak sambil mengorak senyuman yang menggamit damai setiap orang yang berurusan dengan jentera pemuda. Sabarlah menghadapi karenah orang ramai yang pastinya pelbagai ragam. Anggaplah segalanya adalah ujian dan kita tanganinya dengan hikmah dan sakinah.
Tambahan pula berdepan provokasi musuh, pemuda mestilah bijak mengawal keadaan dan awasi situasi agar tidak terperangkap.
- Dengar dan Taat
Laksanakan tugas atau arahan sebaik mungkin dengan hati yang mengharapkan redha Allah Taala dan mengharapkan keputusan yang positif serta hasil kerja yang terbaik. Jangan sekali-kali melaksanakan tugasan secara sambil lewa atau sekadar melepaskan batuk ditangga.
Bekerja dan berjuanglah dengan rasa bangga bukan rasa bersalah meskipun kita berhadapan dengan penguasaan musuh. Selesaikan tanggungjawab sebagaimana yang diharapkan semampu mungkin sekalipun kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri seperti masa, wang ringgit, tenaga malah darah dan nyawa jika perlu.
- Faham dan Ikhlas
Pemuda mestilah faham matlamat dan objektif sesuatu tanggungjawab yang digalaskan kepadanya dan laksanakannya kerana Allah swt bukan kerana manusia atau lainnya. Setiap masaalah yang timbul mestilah segera dirujuk kepada pihak yang berhak membuat keputusan.
Lantaran ikhlas kita kepada Allah swt , maka kerja yang kita lakukan jangan mengharap imbuhan apalagi pujian manusia. Saya tidak nafi bahawa setiap kerja perlukan peruntukan kewangan, namun kita menyedari bahawa peruntukan tidak semesti cukup dan memadai. Kita memerlukan pengorbanan untuk berjaya dalam perjuangan ini.
- Tindakan berasaskan Musyawarah
Mungkin sesuatu keputusan itu tidak menepati selera dan kemahuan kita. Maka kita mestilah bertanggungjawab dengan keputusan tersebut dan laksanakan amanah tanpa sebarang rasa ralat di dalam hati.
Contohnya : Isu penetapan calon yang bertanding dalam pilihanraya. Besar kemungkinan calon yang diputuskan oleh pimpinan kelak bukanlah calon favourite kita, maka kita tidak perlu gundah jauh sekali berpaling tadah meninggalkan jamaah atau tutup pos sebagai protes.
Kita berjuang kerana Allah bukan kerana calon dan bukan kerana sesiapa. Keputusan syura in sya Allah akan membawa kebaikan kepada kita, jamaah dan perjuangan Islam itu sendiri.