© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Memahami Konsep Ahli Kiblat

Memahami Konsep Ahli Kiblat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 6 December 2017


Keimanan kepada Allah tercermin dalam akidah yang lurus, bebas dari segala kesyirikan serta ibadahnya benar-benar berdasarkan perintah Allah dan tuntunan Rasulullah ﷺ. Dalam masa yang sama keimanan itu membentuk peribadi yang terpuji sehingga menjadi dasar dalam pergaulan kemasyarakatan. Tokoh Islam terkemuka di nusantara iaitu Hamka pernah diminta agar beliau mengimami solat jenazah Presiden Pertama Indonesia, Sukarno. Sebahagian pihak cuba melarang Hamka melaksanakan solat jenazah tersebut dengan dakwaan bahawa Sukarno itu munafik dan Allah menegah Rasulullah ﷺ melakukan solat ke atas orang munafik sebagaimana dalam Surah al-Taubah, ayat 84:
وَلاَ تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلاَ تَقُمْ عَلَىَ قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُواْ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُواْ وَهُمْ فَاسِقُونَ
“Dan janganlah sekali-kali kamu melaksanakan solat (jenazah) seseorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.”

Lantas Hamka menjawab akur dan sayu, “Rasulullah itu diberitahu siapakah di kalangan manusia yang munafik di sisi Allah, sedangkan aku pula tidak tahu apakah Sukarno itu benar-benar telah jatuh munafik secara hakikinya sehingga menjatuhkan dia kepada kekufuran ataupun tidak.”

Sejurus pendapatnya itu diutarakan, beliau pun mengajak jemaah melaksanakan solat jenazah Presiden Pertama Indonesia itu. Demikianlah sikap ulama yang soleh, mereka sedar bahawa label-label yang menggambarkan iman dan kufur seseorang itu merupakan hak prerogatif Allah. Ciri-ciri munafik yang disebutkan dalam al-Quran seharusnya membuatkan kita mengawasi diri dari perbuatan-perbuatan nifak, bukan digunakan untuk menyerang sesama Muslim dengan tudingan-tudingan bersifat “judgemental” yang berpaksikan kepada sangkaan, andaian apatah lagi kebencian.

Huzaifah al-Yamani radhiallahu anhu adalah salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang digelar (صاحب سر رسول الله) “Penjaga Rahsia Rasulullah ﷺ”, kerana sungguhpun Huzaifah pernah dihebahkan Rasulullah ﷺ nama-nama orang munafik di zamannya, namun Huzaifah tidak pernah sama sekali membocorkan informasi tersebut meskipun beliau pernah didesak oleh Umar al-Khattab, walaupun ia mungkin boleh dijadikan alasan demi kemaslahatan masyarakat Islam tentang bahaya kaum munafik ketika itu.

Umar al-Khattab radhiallahu anhu yang ketika itu menjadi khalifah pula tidak pernah sama sekali memerintahkan umat Islam agar melaksanakan solat jenazah hanya jika Huzaifah melaksanakannya bersama-sama mereka. Belajarlah kita dari sikap insan-insan soleh ini.

Pernah di zaman Rasulullah ﷺ, seorang lelaki dihukum kerana meminum arak. Setelah selesai hukuman dijalankan lalu sebahagian kaum Muslimin ketika itu melemparkan kata-kata kepada lelaki yang telah dihukum tersebut, “Allah telah menghina kamu”.

Lalu Rasulullah ﷺ menegur perkataan tersebut:
لَا تَقُولُوا هَكَذَا لَا تُعِينُوا عَلَيْهِ الشَّيْطَانَ وَلَكِنْ قُوْلُوا: الّلهُمَّ اغْفِرلَهُ، الَّلهُمَّ ارْحَمْهُ
“Janganlah kamu berkata sedemikian kerana perbuatan itu seolah-olah kamu membantu saudara kamu kekal menuruti langkah syaitan. Akan tetapi doakanlah kepadanya, semoga Allah mengampunimu dan merahmatimu.” (Riwayat al-Bukhari)

Bagi kaum Muslimin, memahami kejahatan dan kesesatan termasuk hal dasar dalam masalah agama kerana setiap hari dalam solat kita wajib berdoa agar dijauhkan dari jalan orang-orang yang dimurkai Allah (الْمَغْضُوبِ) dan juga jalan orang-orang yang sesat (الضَّالِّينَ). Jalan yang sesat adalah jalan yang menyimpang dari jalan yang lurus. Bagaimanapun tanggungjawab seorang Muslim dalam menghadapi golongan-golongan yang tersasar ini adalah dengan melaksanakan jihad dan dakwah, sama ada menerusi teknologi persenjataan mahupun hujah ilmu, bukan hanyut dalam senario maki-hamun, kafir-mengkafir dan seumpamanya. Jihad dan dakwah inilah yang akan mengangkat martabat akhlak dan kemuliaan kita di sisi Allah Ta’ala sesuai dengan akidah yang kita imani.

Turunnya wahyu al-Quran kepada Nabi Muhammad ﷺ sebagai panduan beragama terangkum padanya persoalan akidah tauhid terhadap Allah Ta’ala. Menerusi wahyu inilah Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat sedikit demi sedikit hingga tertanam kukuh anutan akidah dalam diri masing-masing. Surah-surah Makkiyyah yang diturunkan sepanjang 13 tahun memuatkan persoalan akidah kepada Allah, meresap ke dalam jiwa para sahabat sehingga mereka mampu membangunkan diri untuk berhadapan arus jahiliyyah.

Fasa pertembungan antara iman dan kufur, iman dan nifaq, melalui fasa seterusnya yang lebih mencabar khususnya selepas kewafatan Rasulullah ﷺ. Kewafatan Rasulullah ﷺ telah menimbulkan fitnah perselisihan sebagai suatu ketetapan Allah (Sunnatullah) yang mesti ditempuhi oleh umat Islam dengan penuh hikmah dan keinsafan. Perselisihan bukanlah pilihan pertama dalam ajaran Islam kerana Islam sentiasa menganjurkan penyatuan dalam semua aspek. Walaupun pada mulanya berselisih, akhirnya umat Islam pasti boleh bersatu lantaran penyatuan itu dianjurkan al-Quran.

Kembali kepada Allah dan Rasul adalah kaedah utama menangani perselisihan tersebut. Ertinya perselisihan berlaku disebabkan ada kalangan umat Islam yang mengutamakan pendapat sendiri dan mengenepikan petunjuk Nabi ﷺ. Lanjutan hal itu timbullah perselisihan yang tidak berkesudahan. Tegasnya, perselisihan berpunca daripada sebahagian umat ini berpegang kepada nas yang ada sementara yang lain cuba mentakwilkan nas tersebut selaras dengan kehendak nafsu. Akibatnya, muncullah fenomena menuding tuduhan munafik, kafir dan sesat secara liar sesama masyarakat Muslim.

Idea dan budaya label-melabel sesama umat Islam ini berlanjutan sehingga kini kerana kurangnya keinsafan terhadap nasib yang pernah menimpa sejarah umat Islam terdahulu. Dalam kitab “Aqidah al-Thahawiyah” yang menjadi pegangan ulama salaf telah mengingatkan kita semua:
ولا ننزل أحدا منهم جنة ولا نارا، ولا نشهد عليهم بكفر ولا بشرك ولا بنفاق، ما لم يظهر منهم شيء من ذلك، ونذر سرائرهم إلى الله تعالى
“Kami tidak menentukan seseorang (dari kalangan ahli kiblat) itu masuk syurga (kerana amal baik) atau neraka (kerana amal maksiat), kami juga tidak menyatakan seseorang itu sebagai orang kafir, musyrik, atau munafik selama tidak kelihatan secara lahirnya mereka seperti itu, kerana itu kami menyerahkan urusan hati (yang tidak boleh ditafsirkan secara zahir) kepada Allah Ta’ala.”

Begitulah berhati-hatinya para ulama salaf menilai status keimanan orang lain. Apa yang nampak secara lahir bahawa mereka mendirikan solat, berpuasa Ramadhan, menunaikan zakat, melaksanakan haji maka cukuplah mereka dihukumi secara zahirnya sebagai Muslim. Maka, wajarlah hak dan kewajiban sebagai sesama Muslim terhadap mereka dipenuhi seperti menjawab salam, memenuhi jemputan, bertakziyah, mensolatkan jenazah dan menguburkan mereka. Masalah hati mereka, apakah ibadah mereka benar-benar kerana Allah itu hanya Dia yang tahu.

Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ فَلَا تُخْفِرُوا اللَّهَ فِي ذِمَّتِهِ
Siapa yang melaksanakan solat seperti solatnya kami, menghadap kiblat kami, dan memakan sembelihan kami, maka dia itu adalah Muslim yang menjadi tanggungan Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah kamu meremehkan Allah dalam tanggungannya itu (kerana dia adalah Muslim, baginya hak dan kewajiban seorang Muslim).” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini para ulama mengatakan bahawa seseorang itu masih dihukumi sebagai seorang Muslim walaupun mereka termasuk di kalangan ahli bida’ah dan ahli maksiat selama ia tidak mendustai kebenaran yang telah dibawa dalam perutusan Rasulullah ﷺ kepada umatnya. Sebagai contoh, jika ada orang mengatakan bahawa berzina dihalalkan Allah dalam keadaan dirinya menyedari bahawa hal itu suatu pendustaan terhadap Rasulullah ﷺ, maka hal itu adalah kekufuran kepada-Nya, tetapi hal tersebut berbeza dengan orang yang melakukan perzinaan namun masih meyakini bahawa berzina itu diharamkan dalam ajaran Islam. Orang seperti ini telah berbuat maksiat dan berdosa besar meskipun dia dihukum sebagai Muslim. Perkara ini menerbitkan suatu prinsip yang disebut sebagai:
لا تكفر أحدا من أهل القبلة

Apabila tuduhan kafir ini hendak dijatuhkan kepada individu tertentu yang disyaki, maka wajiblah terlebih dahulu menyelidiki kedudukan dan sikap orang yang disifatkan dengan hukuman ini. Umpamanya dengan cara bertemu, bertanya dan berbincang dengannya sendiri sehingga benar-benar terbukti hujah dan ternafi segala syubhat supaya tidak ada ruang yang membolehkan keputusan dianggap sebagai sebuah andaian atau sangkaan semata-mata.

Imam al-Ghazali rahimahullah juga telah mengingatkan kita semua dalam kitabnya “Bidayah al-Hidayah” berhubung perkara ini:
ولا تقطع بشهادتك على أحد من أهل القبلة بشرك أو كفر أو نفاق؛ فإن المطلع على السرائر هو الله تعالى، فلا تدخل بين العباد وبين الله تعالى، واعلم أنك يوم القيامة لا يقال لك: لِم لمَ تلعن فلانا، ولم سكت عنه؟ بل لو لم تعلن ابليس طول عمرك، ولم تشغل لسانك بذكره لم تسأل عنه ولم تطالب به يوم القيامة. وإذا لعنت أحدا من خلق الله تعالى طولبت به...
“Janganlah engkau menuduh syirik, kafir atau munafik kepada seseorang ahli kiblat (orang Islam) kerana yang mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati manusia hanyalah Allah Ta’ala. Jangan pula engkau ikut campur dalam urusan hamba-hamba Allah dengan Allah Ta’ala. Ketahuilah, bahawa pada hari kiamat kelak engkau tidak akan ditanya; Mengapa engkau tidak mahu mengutuk si fulan sekian-sekian? Mengapa engkau diam sahaja tentang dia? Bahkan seandainya engkau tidak pernah mengutuk Iblis pun sepanjang hidupmu, dan tidak menyebut tentangnya sekalipun, engkau tidak akan ditanya dan tidak akan dituntut oleh Allah nanti di hari kiamat. Tetapi jika engkau pernah mengutuk seseorang makhluk Allah, kelak kau akan dituntut (pertanggungjawabannya oleh Allah).”

Istilah ahli kiblat dalam penggunaan tajuk tulisan ini merujuk kepada kaum, puak atau kumpulan manusia yang menjadikan Kaabah sebagai simbol kiblat agung dalam pemikiran dan peribadatannya.

Kiblat menurut Ibnu al-Athir bermakna al-jihah (الجهة) atau arah, manakala Raghib al-Isfahani menjelaskan kiblat pada asalnya adalah nama bagi suatu keadaan yang kepadanya dihadapkan seperti duduk dan berdiri. Manakala pada takrifnya pula menjadi nama bagi tempat bertentangan yang dihadapkan kepadanya seperti dalam solat.

Ahli Kiblat adalah satu istilah dalam Ilmu Kalam. Ahli Kiblat dapat diertikan sebagai umat yang berpegang kepada akidah dan syariat Islam. Imam al-Thahawi menyebut ahli kiblat seperti berikut:
ونسمى أهل قبلتنا مسلمين مؤمنين، ما داموا بما جاء به النبي صلى الله عليه وسلم معترفين، وله بكل ما قاله وأخبر مصدقين
“Dan kita namakan Ahli Kiblat kita itu sebagai kaum Muslimin lagi Mukminin selama mereka mengiktiraf apa yang dibawa oleh Nabiserta membenarkan seluruh apa yang diucapkannya serta dikhabarkannya.”

Ahli Kiblat ini tidak boleh dihukumkan sebagai kafir walaupun mereka berlainan ikutan mazhab dan sokongan.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-