© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Muhasabah Ramadan

Muhasabah Ramadan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday, 2 June 2017


Kehadiran Ramadan pastinya disambut girang oleh insan yang beriman. Ungkapan “Ramadan Karim” jelas membuktikan betapa riangnya para mukminin dan mukminat dengan kehadiran bulan Ramadan yang diberkati. Ramadan menjadi satu bulan yang akan menyuntik stamina dalaman dan membekalkan energi yang maksima kepada spiritual seorang Muslim serta menjauhkan dirinya daripada api neraka Allah.

Rasulullah ﷺ bersabda:
ما مِنْ عَبْدٍ يَصُومُ يَوْماً فِي سَبِيلِ اللهِ إلّا بَاعَدَ اللهُ بِذَلِكَ الْيَومَ وَجْهَهُ عَنِ النّارِ سَبْعِينَ خَرِيفاً
“Tidaklah seseorang hamba berpuasa satu hari di jalan Allah, melainkan dengan puasa sehari itu, Allah menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (Muttafaqun Alaihi)

Justeru, kesempatan Ramadan ini mestilah diraikan dengan penuh persediaan khususnya dari aspek kerohanian untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa di bulan ini ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan organ seperti mata, telinga, hati, dan fikiran turut sama berpuasa bersama-sama perut. Dengan ini akan mengelakkannya dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan pengabdian kepada Allah Taala.

Hikmah Ramadan

Ramadan bukan sahaja berhubung kait soal fadhilat dan amalan-amalan sunat, tetapi ia adalah proses untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan sepenuh-penuh pengabdian. Di dalam bulan ini kita akan melalui satu program untuk menjadi bekalan kepada bulan-bulan berikutnya. Sebagaimana yang disebut oleh Maulana Abu A’la al-Maududi, “...it is a battery charging session”. Dengan berpuasa, seorang dilatih secara tabi’e (natural) agar memahami betapa besarnya nikmat Allah ke atas dirinya.

Said Hawwa pula mengatakan bahawa permulaan hari umat Islam berpuasa adalah semacam memasuki “hadhanah” (tadika) dan hari terakhir seperti kita melalui alam graduasi dari sebuah universiti. Kedatangan Ramadan mesti merubah akhlak kita secara syumul, jika sebelum ini buruk, berhijrahlah kepada yang baik. Puasa ini pula bukanlah bersifat peribadi (personal affair) sahaja, yakni lapar dan dahaga semata-mata. Tetapi sekaligus mengubah (reformed) suasana masyarakat umum (public life) secara tidak langsung kepada yang lebih baik.

Hal ini bermakna, kita tingkatkan amal ibadah bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi seharusnya memberi kesan terhadap masyarakat, budaya organisasi dan tata kelola negara. Islam bukanlah sebuah “agama peribadi” macam agama-agama lain. Kalau kita hebat bertarawih dan bertahajjud pada bulan Ramadan, tetapi tidak peduli nasib masyarakat, itu tidak betul! Islam sangat prihatin terhadap amalan kebajikan bermula dari diri sehingga kepada pembinaan negara. Kata Hassan al-Hudaibi, mursyid al-am Ikhwan al-Muslimin ke-2:
أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم، تقم لكم في أرضكم
“Tegakkan Negara Islam dalam diri kamu, nescaya ia akan tertegak di tanah air kamu.”

Justeru, puasa ini harus ada kesan yang menyeluruh terhadap setiap penjuru hidup kita (give and take), keluarga, politik, masyarakat, ekonomi, pengurusan jabatan dan negara. Contohnya sebagai ayah atau ibu, kita harus menjadi “role model” kepada anak-anak. Anak-anak pula mestilah menjauhi dari perkara-perkara yang boleh menyakiti kedua-dua orang tuanya. Sebagai orang yang diamanahkan dalam jabatan atau organisasi pula, pastikanlah segala tugas dilaksanakan dengan berintegriti dan jujur dan majikan pula janganlah bersikap suka menindas.

Bekal Ke Alam Akhirat

Sesungguhnya Bulan Ramadan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke alam sana. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. Umat Islam mesti memahami prioriti ibadahnya. Amat buruk sekali apabila wujud umat Islam apabila menjelang Ramadan mereka berpuasa, tetapi mereka meninggalkan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga, tetapi tidak bersedia meluangkan masa untuk mengerjakan solat.

Hal ini kerana, di antara bentuk-bentuk kebaikan yang terdapat daripada hikmah berpuasa itu adalah bahawa orang yang berpuasa melatih dirinya untuk merasa selalu diawasi oleh Allah Taala dan diperhatikan-Nya. Jadi dia akan meninggalkan sesuatu yang dilarang-Nya meskipun dia memiliki kemampuan untuk melakukan perbuatan buruk tersebut, kerana percaya bahawa Allah sentiasa melihat akan amal perbuatannya. Dalam masa yang sama, pohonlah kepada Allah agar semua amal kebajikan diterima di sisi-Nya serta tidak bersifat ujub pada diri sendiri.

Waspadailah sifat dan janganlah terpedaya dengan penyakit hati ini kerana kita sendiri tidak tahu adakah amal ketaatan yang dilakukan itu diterima Allah atau tidak. Boleh jadi ada kelompongan dan cacat cela, boleh jadi dicemari dengan penyakit riyak dan ujub. Sifat ujub itu membinasakan amalan dan merosak ketaatan. Kata Ali bin Abi Talib r.a:
سَيِّئَةٌ تَسُوءُكَ خَيْرٌ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ حَسَنَةٍ تُعْجِبُكَ
“Keburukan yang membuatkanmu sakit masih lebih baik daripada kebaikan yang membuatmu ujub.”

Waspada Sikap Ujub

Ibnu al-Mubarak ditanya apakah makna ujub, lalu beliau menjawab:
أن ترى أن عندك شيئًا ليس عند غيرك
“Iaitu engkau melihat sesuatu yang ada padamu tidak ada pada selainmu.”

Manakalah kata Ibnu Ata’illah al-Sakandari di dalam al-Hikam:
ربما فتح لك باب الطاعة وما فتح لك باب القبول وربما قضى عليك بالذنب فكان سبباً في الوصول
“Boleh jadi Allah membuka pintu ketaatan kepadamu tetapi belum tentu Dia membuka pintu penerimaan amal-amal kamu, dan boleh jadi engkau ditakdirkan berlaku maksiat, tetapi maksiat tersebut membuatkan engkau mencapai kesedaran (dekat kepada Allah dan diterima taubat).”

Oleh kerana itu, Abu Bakr al-Siddiq r.a  walaupun posisi beliau sangat rapat dengan Baginda Nabi ﷺ, beliau sering merenung kehidupan di alam akhirat kerana itu beliau merasakan kelebihan-kelebihan yang dimilikinya itu bukanlah jaminan amal diterima Allah. Kata Abu Bakr al-Siddiq r.a:
والله لا آمن مكر الله، ولو كانت إحدى قدمي في الجنة
“Demi Allah, aku tiada merasa aman dari perencanaan Allah sekalipun salah satu kakiku berada di syurga.”

Benarlah firman Allah Taala di dalam surah al-A’raf ayat 99:
أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ
“Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.”

Justeru, berpuasalah dengan tabiat merenung alam akhirat. Kita berpuasa bukan kerana mahu seronok beraya, bukan kerana semua orang puasa, bukan juga kerana habuan yang berbentuk fizikal semata-mata. Apabila kita sering memerhatikan alam akhirat, sentiasalah kita bersikap mengharap kepada rahmat Tuhan, takut akan azab-Nya walau sebanyak mana amal ketaatan yang telah dilaksanakan. Dengan sikap ini, barulah kita tidak menjadi hamba kepada “musim” Ramadan tetapi hamba kepada Tuhan Yang Maha Menciptakan.

Semoga Ramadan yang dilalui menjadi saksi dan bekal syafaat dalam perjalanan akhirat kita kelak.

Penyunting

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-