© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Kisah Abdullah bin Salam, Sahabat Nabi Yang Dikucilkan Bangsa Sendiri

Kisah Abdullah bin Salam, Sahabat Nabi Yang Dikucilkan Bangsa Sendiri

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 16 June 2017


Orang-orang  Yahudi dan Nasrani sebenarnya telah maklum tentang kedatangan Nabi akhir zaman yang akan lahir ke dunia dan akan berhijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka menunggu-nunggu kemunculan Nabi tersebut sehingga sebahagian besar mereka berhijrah dan menetap di sekitar kawasan Yathrib.

Antara orang alim dikalangan Yahudi yang berhijrah kerana meyakini perihal kedatangan Nabi akhir zaman tersebut ialah Ibnu al-Haiban (ابن الهيبان).  Ketika akhir hayatnya, Ibnu al-Haiban menjelaskan kepada kaumnya tentang apakah sebab beliau berhijrah ke Yathrib. Kata Ibnu al-Haiban:
يا معشر يهود، ما ترونه أخرجني من أرض الخمر والخمير، إلى أرض البؤس والجوع؟
“Wahai orang-orang Yahudi, apa yang kamu fikirkan apabila aku meninggalkan bumi yang kaya dengan sumber makanan dan kekayaan (Syam), ke bumi yang kering-kontang dan kebuluran (Yathrib)?”

Kaumnya menjawab, “Kami tidak tahu wahai Ibnu al-Haiban.”

Jawab Ibnu al-Haiban:
والله ما أخرجني إلا النبي الذي سيبعث في هذه البلاد، ويهاجر إلى هذه القرية، وهذا وقت خروجه، فإن بعث فلا تدعوا أحدا يسبقكم إليه.
“Demi Allah, aku tidak keluar (dari bumi yang kaya segala sumber) kecuali kerana pengetahuanku bahawa seorang Nabi akan dibangkitkan di negeri ini, dan Nabi itu akan berhijrah ke perkampungan ini. Sekarang adalah waktu kemunculannya, dan jika benar ia telah bangkit janganlah kamu biarkan seorangpun terlebih dahulu menemuinya (agar Nabi akhir zaman itu mendapat perlindungan dan tidak diancam).”

Ibnu al-Haiban meninggal dunia, 2 tahun sebelum kenabian Baginda Muhammad ﷺ. Namun, Ibnu al-Haiban sempat mengajarkan kepada kaum Yahudi berhubung tanda-tanda kebenaran yang ada pada Nabi akhir zaman tersebut menurut ajaran kitab Taurat.

Pada waktu itu, orang Yahudi selalu melaung-laung perkhabaran tentang kebangkitan Nabi akhir zaman ini kepada bangsa Arab khususnya kepada puak ‘Aus dan Khazraj, kerana mereka menyangka Nabi tersebut akan lahir dari bangsa Yahudi. Kata mereka:
إنه قد تقارب زمان نبي يبعث الآن نتبعه فنقتلكم معه قتل عاد وإرم.
“Sesungguhnya sekarang telah hampir saat tiba kebangkitan Nabi akhir zaman yang kami (bangsa Yahudi) akan mengikutnya dan memerangi kamu bersamanya sebagaimana hancurnya kaum ‘Ad dan Iram.”

Bahkan mereka berdoa sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi:
اللهم ابعث هذا النبي الذي نجده مكتوبا عندنا حتى نغلب المشركين ونقتلهم.
“Ya Allah, utuslah Nabi akhir zaman ini yang kami dapati termaktub di dalam kitab kami (Taurat), sehingga nanti kami boleh mengalahkan dan membunuh orang-orang penganut pagan (Arab).”

Yahudi Buat “U-Turn”, Tidak Percaya Nabi Muhammad Rasul Akhir Zaman


Apabila Nabi akhir zaman ini muncul di kalangan bangsa Arab, lalu bangsa Yahudi mula mengingkari kebenaran Nabi akhir zaman ini, bahkan menyimpan perasaan dengki terhadap bangsa Arab kerana Nabi itu bukanlah dari bangsa mereka.

Terdapat tiga kumpulan Yahudi yang berada di Madinah ketika itu, iaitu Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizhah. Setiap kumpulan mempunyai pemimpinnya masing-masing. Salah seorang pemuda dari Bani Quraizhah berkata kepada kaumnya apabila dia melihat Nabi Muhammad ﷺ tiba di Madinah:
يا بني قريظة، والله إنه للنبي الذي عهد إليكم فيه ابن الهيبان.
“Wahai kaum Bani Quraizhah, demi Allah sesungguhnya dialah Nabi akhir zaman yang dijanjikan kepada kamu sebagaimana yang diceritakan Ibnu al-Haiban.”

Tetapi apabila kaum Yahudi mendengar hal itu, mereka segera mengingkari sekeras-kerasnya bahawa Nabi akhir zaman itu bukanlah Nabi Muhammad yang dimaksudkan Ibnu al-Haiban. Allah Taala menempelak sikap kaum Yahudi ini sebagaimana firman-Nya;
وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَابٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ
“Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (al-Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan al-Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 89)

Sekalipun kebencian kaum Yahudi terhadap bangsa Arab begitu membara, tetapi di kalangan mereka ada juga yang memeluk Islam dan meyakini ajaran yang dibawa Nabi Muhammad ﷺ. Di antaranya ialah al-Hushain  (الحُصَيْن) bin Salam bin al-Harith (Ibnu al-Harith), yang dikenali Abdullah bin Salam.

Abdullah bin Salam, Ahli Kitab Yang Beriman


Abdullah bin Salam sangat dihormati oleh kaum Yahudi kerana beliau mempunyai hubungan geneologi dengan Yusuf bin Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim ‘alaihimussalam. Apabila al-Hushain memeluk Islam, Rasulullah ﷺ memanggilnya Abdullah bin Salam. Beliau juga dikenali dengan panggilan Abu Yusuf.

Abdullah bin Salam juga sangat dihormati oleh masyarakat Arab di Yathrib kerana beliau memang seorang yang memiliki akhlak dan peribadi yang baik. Sebelum beliau memeluk Islam, beliau merupakan Rabai (pendeta) di kalangan Bani Qainuqa’ yang memiliki banyak pengetahuan mengenai ajaran Taurat.

Abdullah bin Salam sering mengajar di “synagogue” dan menjadi rujukan kepada kaum Yahudi setelah kematian Ibnu al-Haiban. Setelah memeluk Islam, beliau menjadi salah seorang sahabat Nabi bukan berbangsa Arab dan di antara orang yang awal memeluk Islam.

Keteguhan iman Abdullah bin Salam dinyatakan Allah di dalam beberapa ayat al-Quran, iaitu di dalam surah al-Ahqaf ayat 10 dan surah al-Ra’du ayat 43 yang turun berhubung keyakinannya kepada ajaran Islam yang dibawa Nabi ﷺ. Berikut adalah ayat-ayat tersebut:
قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِن كَانَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَكَفَرْتُم بِهِ وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى مِثْلِهِ فَآمَنَ وَاسْتَكْبَرْتُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Katakanlah; Bagaimana fikiran kamu jika al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, padahal ada seorang saksi dari Bani Israel memberi keterangan, mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti al-Quran, lalu dia percayakannya (Muhammad adalah Rasul Allah), sedang kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (degil dalam kekufurannya).” (Surah al-Ahqaaf, ayat 10)

وَيَقُولُ الَّذِينَ كَفَرُواْ لَسْتَ مُرْسَلاً قُلْ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ وَمَنْ عِندَهُ عِلْمُ الْكِتَابِ
“Berkatalah orang-orang kafir; Kamu (Muhammad) bukan seorang yang dijadikan Rasul. Katakanlah; Cukuplah Allah menjadi saksi antara aku dan kamu, dan antara orang yang mempunyai ilmu al-Kitab (Iaitu ahli kitab yang memeluk Islam).” (Surah al-Ra’du, ayat 43)

Nabi Muhammad ﷺ Sampai ke Madinah


Pada awal ketibaan Baginda ﷺ ke Madinah dalam peristiwa hijrah, Abdullah bin Salam ketika itu berada di kebun memanjat pokok kurma. Apabila beliau menyedari kedatangan Nabi dari jauh, beliau melaung keriangan sambil makciknya, Khalidah binti al-Harith menunggu di bawah pohon tersebut.

Kata Abdullah bin Salam:
والله هو أخو موسى، نبي مثله، بشر به موسى وعيسى هو النبي الذي ننتظره.
“Demi Allah! Nabi yang datang (berhijrah ke Madinah) itu adalah saudara Musa (alaihissalam). Dia juga seorang Nabi seperti Musa, Dia adalah Nabi yang telah dikhabarkan oleh Musa dan Isa bahawa dialah Nabi yang ditunggu-tunggu (Nabi akhir zaman).”

Abdullah bin Salam pantas bergegas pergi ke tempat perhentian Baginda Nabi ﷺ. Sejurus selepas Abdullah bin Salam tiba ke tempat pertemuan masyarakat Madinah dengan Nabi ﷺ, lantas beliau mendengar nasihat pertama daripada Baginda Nabi ﷺ;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ
“Wahai sekalian manusia, sampaikanlah salam, berilah makanan (kepada yang memerlukan) dan lakukan solat ketika manusia sedang tidur (qiyamullail) nescaya kamu dimasukkan ke syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sambil mendengar perkataan-perkataan Rasulullah ﷺ yang menjadi pesanan kepada masyarakat di Madinah, Abdullah bin Salam merenung wajah Baginda ﷺ dalam-dalam, lalu berkatalah beliau di dalam hatinya:
والله إن هذا الوجه وجه صادق ليس بوجه كذاب. هو العالم بالدين الخبير بالتوراة وتعاليم الأنبياء، هذه والله صفته وهذا كلامه لأن التوراة تقول ؛ كلامه أحسن الكلام وإنه محمد العظيم.
“Demi Allah! Sesungguhnya wajah ini (Baginda ) adalah wajah orang yang bersikap jujur bukannya wajah pendusta. Dia seorang yang mengetahui hal ehwal agama, menyampaikan pesanan Taurat, dan mewarisi ajaran Para Nabi. Demi Allah! Inilah sifat Nabi akhir zaman dan perkataan yang diungkapkan membuktikan kerasulannya kerana di dalam Taurat menyebutkan;  Perkataannya sebaik-baik perkataan dan sesungguhnya dia memiliki kepujian (dialah Muhammad) yang mempunyai peribadi unggul.”

Tiga Soalan Abdullah bin Salam Kepada Nabi


Kerana keterujaan Abdullah bin Salam terhadap Rasulullah ﷺ, beliau mempersiapkan diri untuk bertemunya dengan hasrat untuk mengajukan beberapa persoalan yang membuktikannya adalah Nabi akhir zaman. Hal tersebut dinyatakan di dalam Sahih al-Bukhari menerusi hadis yang agak panjang:
إِنِّي سَائِلُكَ عَنْ ثَلَاثٍ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا نَبِيٌّ فَمَا أَوَّلُ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ وَمَا أَوَّلُ طَعَامِ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَمَا يَنْزِعُ الْوَلَدُ إِلَى أَبِيهِ أَوْ إِلَى أُمِّهِ؟
“Sesungguh aku bertanya kepadamu (wahai Rasul Allah) tentang tiga hal yang sesiapapun tidak mengetahuinya kecuali seorang Nabi. Apakah awal tanda datangnya kiamat? Makanan apakah yang pertama dimakan penduduk syurga? Dan apakah yang menyebabkan anak serupa dengan ayah atau ibunya?”

Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda:
أَخْبَرَنِي بِهِنَّ جِبْرِيلُ آنِفًا
“Baru sebentar tadi Jibril memberitakan jawapan kepadaku (tentang tiga perkara tersebut).”

Abdullah bin Salam berkata, “Jibril?!”

Baginda ﷺ menjawab, “Ya benar.”

Baginda ﷺ menambah lagi:
ذَاكَ عَدُوُّ الْيَهُودِ مِنْ الْمَلَائِكَةِ فَقَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ (مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِجِبْرِيلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَى قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ).
“(Jibril) itu adalah kalangan Malaikat yang dimusuhi kaum Yahudi, sambil Bagindamembacakan ayat 97 dari surah al-Baqarah yang bermaksud:- Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan al-Quran ke dalam hatimu (Nabi Muhammad) dengan izin Allah.”

Seterusnya Nabi ﷺ menjawab persoalan Abdullah bin Salam tersebut:
أَمَّا أَوَّلُ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ فَنَارٌ تَحْشُرُ النَّاسَ مِنَ الْمَشْرِقِ إِلَى الْمَغْرِبِ، وَأَمَّا أَوَّلُ طَعَامِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَزِيَادَةُ كَبِدِ الْحُوْتِ، وَإِذَا سَبَقَ مَاءُ الرَّجُلِ مَاءَ الْمَرْأَةِ نَزَعَ الْوَلَدَ، وَإِذَا سَبَقَ مَاءُ الْمَرْأَةِ نَزَعَتْ.
“Adalah awal tanda hari kiamat itu apabila munculnya api yang menghimpunkan manusia dari Timur ke Barat. Manakala makanan pertama penghuni Syurga adalah lebihan yang melekat pada hati ikan. Apabila memancar air mani lelaki mendahului wanita maka anak yang lahir serupa dengan ayah, sebaliknya jika air mani wanita mendahului pula maka anak yang lahir serupa dengan ibu.”

Setelah mendengar jawapan tersebut lalu Abdullah bin Salam berkata:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ
“Aku bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa engkaulah Pesuruh Allah.”

Kemudian Abdullah bin Salam kembali menemui kaum keluarganya serta mengajak mereka memeluk Islam, agama yang benar dibawa oleh Baginda ﷺ. Bagaimanapun ke-Islaman Abdullah dan kaum keluarganya telah dirahsiakan dari pengetahuan orang-orang Yahudi yang menjadi jiran-jiran mereka.

Abdullah bin Salam Membongkar Sikap Sebenar Kaum Yahudi

Abdullah bin Salam berterus terang kepada Rasulullah ﷺ tentang perangai kaum Yahudi:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ الْيَهُودَ قَوْمٌ بُهُتٌ وَإِنَّهُمْ إِنْ يَعْلَمُوا بِإِسْلَامِي قَبْلَ أَنْ تَسْأَلَهُمْ يَبْهَتُونِي
“Wahai Rasul Allah, sesungguhnya kaum Yahudi adalah bangsa yang gemar mengada-adakan kebohongan. Jika mereka mengetahui ke-Islamanku sebelum diberitakan kepada mereka, pasti mereka akan membuat kebohongan ke atas diriku.”

Abdullah bin Salam bersama Nabi ﷺ pergi bertemu kaum Yahudi untuk bertanya pendapat mereka berkenaan Ibnu al-Harith (Abdullah bin Salam). Lalu kaum Yahudi menjawab:
خَيْرُنَا وَابْنُ خَيْرِنَا وَسَيِّدُنَا وَابْنُ سَيِّدِنَا
“Dia adalah orang yang baik di kalangan kami, datang dari salasilah generasi yang baik di kalangan kami, dia juga seorang pemimpin di kalangan kami, datang dari generasi yang memimpin kami.”

Kemudian itu Rasulullah ﷺ mengajukan persoalan lagi:
أَرَأَيْتُمْ إِنْ أَسْلَمَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ
“Bagaimana pendapat kamu, jika Abdullah bin Salam masuk Islam?”

Lalu kaum Yahudi menjawab:
أَعَاذَهُ اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ
“Allah melindunginya (Abdullah bin Salam) dari perbuatan itu.”

Kemudian Abdullah bin Salam pun mengaku tentang ke-Islamannya kepada kaum Yahudi di hadapan Rasulullah ﷺ. Berubah wajah kaum Yahudi ketika itu lalu mereka memaki dan mengherdik Abdullah bin Salam dengan kata-kata berikut:
شَرُّنَا وَابْنُ شَرِّنَا وَانْتَقَصُوهُ
“Kamu ini yang terburuk, anak lelaki terkeji dan kamu tidak tahu membeza mana yang betul mana yang salah.”

Mereka terus memaki hamun Abdullah bin Salam tanpa henti sehinggalah beliau dan Baginda Nabi ﷺ berlalu pergi. Ketika itu Abdullah bin Salam memberitahu kepada Rasulullah ﷺ:
فَهَذَا الَّذِي كُنْتُ أَخَافُ يَا رَسُولَ اللَّهِ
“Inilah yang aku khuatirkan (mengenai bangsaku) wahai Rasul Allah.”

Walaupun kaum Yahudi ini telah tahu akan kebenaran Nabi akhir zaman yang telah diberitakan di dalam Taurat, mereka mengingkari dan mereka terus mendustakan hal mengenai Nabi Muhammad ﷺ.

Abdullah bin Salam di Zaman Khulafa’ al-Rasyidin

Abdullah bin Salam kekal memeluk Islam sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Madinah pada tahun 43 H, iaitu ketika beliau berada di zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan ra. Beliau termasuk generasi sahabat terbaik di sisi Rasulullah ﷺ yang dijamin syurga.

Ketika hidupnya, Abdullah bin Salam sering memberi nasihat kepada kaum Muslimin agar mereka tidak jatuh ke lembah kebinasaan seperti mana kaum Yahudi. Beliau juga adalah antara golongan sahabat yang mendokong Uthman bin Affan ra dan Ali bin Abi Talib ra ketika berlakunya konflik politik di zamannya.

Abdullah bin Salam pernah memberi nasihat kepada Khalifah Uthman bin Affan supaya menahan diri daripada memerangi orang yang memberontaknya kerana hal itu akan mengundang keperitan fitnah yang jauh lebih besar ke atas dirinya. Kata Abdullah bin Salam:
الكف الكف؛ فإنه أبلغ لك في الحجة
“Bertahanlah, bertahanlah (wahai Uthman), kerana hal itu akan menjadi hujjah bagimu.”

Khalifah Uthman bin Affan berpegang dengan pesanan Abdullah bin Salam itu sehingga akhir hayatnya kerana Rasulullah ﷺ pernah berpesan dalam sabdanya berhubung kematian Abdullah bin Salam diterima Allah sebagai “husnu al-khatimah”:
يَمُوتُ عَبْدُ اللَّهِ وَهُوَ آخِذٌ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى
“Abdullah (Abdullah bin Salam) akan meninggal dalam keadaan memegang tali yang kuat (Islam).” (Riwayat Muslim)

Apabila Abdullah bin Salam mendengar khabar pembunuhan Uthman bin Affan radhiallahu anhu pada tahun 35 H, beliau sambil menangis berkata:
اليوم هلكت العرب
“Hari ini binasalah bangsa Arab.”

Di zaman pemerintahan Ali bin Abi Talib pula, Abdullah bin Salam pernah menasihati Khalifah Ali agar beliau tidak keluar dari Madinah dan kekal menyelia pentadbirannya di sana:
الزم منبر رسول الله، فإن تركته لا تراه أبدًا
“Tetaplah di mimbar Rasulullah ﷺ, kerana jika engkau mula meninggalkannya engkau tidak lagi akan melihat selamanya.”

Mendengar nasihat Abdullah bin Salam itu, lalu Ali bin Abi Talib berkata:
إنّه رجل صالح منا
“Sesungguhnya beliau (Abdullah bin Salam) adalah lelaki yang soleh di kalangan kami.”

Teguran dan nasihat tersebut disebut kerana Abdullah bin Salam mengetahui daripada sejarah bangsanya sendiri bahawa umat ini akan menuju ke arah kecelakaan apabila mereka sering bertelingkah dan berbantah-bantah.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-