© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Isu-Isu Pergolakan Politik di Zaman Pemerintahan Ayyubiyah dan Mamluk

Isu-Isu Pergolakan Politik di Zaman Pemerintahan Ayyubiyah dan Mamluk

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 8 June 2017


Dinasti kerajaan al-Ayyubi yang dibina Sultan Salah al-Din al-Ayyubi (569 H - 588 H) pada kurun ke-6 (569 H - 663 H) sangat luas meliputi kawasan Utara Afrika Libya sehingga Semenanjung Arab ke Yaman. Dinasti ini mulai jatuh “sakit” akibat kaum kerabat Bani Ayyub bergelumang dalam perang saudara, perebutan wilayah untuk memperluaskan kuasa pemerintahan. Walaupun Salah al-Din al- Ayyubi berjaya membebaskan Madinah al-Quds, Palestin daripada kaum kafir, tetapi kemudian kerabatnya sendiri yang menyerahkan al-Quds secara “hormat” kepada Fredrick II, Raja Itali pada 626 H bersamaan 1229 M.

Keretakan yang berlaku di kalangan pemerintah Bani Ayyub ini menyebabkan mereka membeli golongan Mamluk sebanyak-banyaknya untuk dijadikan sebagai bala tentera. Najm al-Din Ayyub (645 H - 647 H/ 1247 M - 1249 M) adalah salah seorang sultan kerajaan al-Ayyubi yang paling banyak mengeluarkan perbendaharaan negara demi membeli golongan Mamluk untuk mengukuhkan kedudukan politiknya di Mesir. Perkara tersebut walaupun dapat menjamin pengukuhan kuasa Najm al-Din Ayyub, ia tetap mendapat reaksi kurang senang dari rakyatnya sendiri yang merupakan penduduk asal di wilayah negeri tersebut.

Mamluk atau jamak-nya “Mamalik” ini sebenarnya terdiri daripada kanak-kanak yang terdiri daripada orang-orang Turki, Caucasus, Kurdish dan pelbagai bangsa lain yang bahasa pertuturan mereka pada asalnya bukanlah bahasa Arab. Golongan Mamluk ini dibesarkan dalam lingkungan pihak kerajaan di samping mempunyai tempat yang istimewa dalam struktur pemerintahan sebagai barisan pertahanan. Namun, di sebalik itu tugas mereka yang paling utama ialah menjadi tentera peribadi (personal army) kepada sultan yang memerintah dan menjaga kedudukan serta keselamatannya jika berlaku pemberontakan.

Ketika terjadinya “game of thrones” di kalangan pemerintah-pemerintah Bani Ayyub, tentera-tentera yang berasal daripada para hamba ini mendukung penuh pentadbiran Sultan Najm al-Din Ayyub di Mesir sehingga berjaya menenggelamkan pengaruh kerabat-kerabat Bani Ayyub yang berada di Dimashq. Hal tersebut menyebabkan golongan Mamluk mendapat keistimewaan dalam banyak aspek di zaman pemerintahan Najm al-Din Ayyub, mereka ditempatkan berada di dalam kedudukan professional sehingga baginda sendiri berkahwin dengan hamba perempuan berasal dari Caucasus, Ismat al-Din Syajarat al-Durr (Syajar al-Durr/ Umm Ali).

Peralihan Kerajaan Bani Ayyub Kepada Mamalik

Setelah Najm al-Din Ayyub mangkat, balunya iaitu Syajar al-Durr mengambil alih pemerintahan sementara menunggu kepulangan anak tirinya dari Diyarbakir (Turki sekarang) sebagai pengganti takhta yang sah iaitu Turansyah. Walau bagaimanapun, perlantikan Turansyah sebagai pemerintah tidak disenangi oleh golongan Mamluk di Mesir kerana polisi pentadbirannya yang hanya memberi keistimewaan kepada kumpulan elitnya sahaja. Akhirnya Turansyah dibunuh oleh kumpulan Mamluk dalam peristiwa kudeta yang diketuai ‘Izz al-Din Aybaq dan Rukn al-Din Baybars, dan tempatnya sekali lagi diganti oleh Syajar al-Durr dengan mendapat sokongan penuh daripada panglima-panglima tentera Mamluk.

Terbunuhnya Turansyah maka berakhirlah kekuasaan Bani Ayyub di Mesir dan digantikan dengan kerajaan Mamluk. Namun, pelantikan Syajar al-Durr sebagai sultanah telah menimbulkan kontroversi di kalangan masyarakat Islam dan ia tidak dipersetujui oleh Sultan al-Ulama’, al-‘Izz Abd al-Sallam (557 H - 660 H) kerana ia bertentangan dengan prinsip kepimpinan dalam Islam. Pemerintah Bani ‘Abbasiyah yang berpusat di Baghdad ketika itu iaitu Sultan al-Mu’tasim mempersoalkan kedudukan Syajar al-Durr sambil mengeluarkan kata-kata sinis kepada masyarakat Mesir:
إن كانت الرجال قد عدمت عندكم، اعلمونا حتى نسير إليكم رجلا
“Jika laki-laki tiada di kalangan kalian, beritahu pada kami. Akan kami kirimkan laki-laki (menggantikan Syajar al-Durr).”

Untuk mengatasi kemelut, Syajar al-Durr mengambil inisiatif berkahwin dengan ketua tentera Mamluk iaitu ‘Izz al-Din Aybaq (al-Mu’izz) pada 647 H/ 1250 M. Tindakan tersebut secara tidak langsung telah menjadikan ‘Izz al-Din Aybaq sebagai pemerintah Mesir pertama di kalangan Mamluk. Perkahwinan tersebut pada awalnya bertujuan untuk menjadikan ‘Izz al-Din Aybaq sebagai “orang suruhan”-nya sahaja kerana Syajar al-Durr masih menyimpan cita-cita untuk memerintah, tetapi Aybaq mengambil langkah memperkemaskan kuasa politiknya dengan memonopoli pentadbiran kerajaan dan menjalankan hubungan baik bersama kerajaan-kerajaan Islam yang lain termasuklah keturunan Bani Ayyub di Syam.

‘Izz al-Din Aybaq yang disangka Syajar al-Durr sebagai lemah, tidak mempunyai kemahiran mentadbir dan tiada pengetahuan politik, rupa-rupanya mampu menguruskan sendiri pentadbiran kerajaannya dengan baik setelah jatuh Dinasti Bani Ayyub di Mesir. ‘Izz al-Din Aybaq menyedari bahawa dirinya cuba dipergunakan Syajar al-Durr, tetapi dalam diam beliau telah melakukan strategi politik yang halus apabila hubungan baik dengan permaisurinya itu tetap dipelihara tetapi pada waktu yang sama beliau mengumpulkan seluruh kepercayaan tentera kepada pemerintahannya dengan membentuk satu gabungan bernama “Mamalik al-Mui’zziyah”.

Apabila ‘Izz al-Din Aybaq merancang perkahwinan kedua dengan seorang puteri dari ahli keluarga keturunan Bani Ayyub (puteri Emir Badr al-Din Lu’lu) di Mosul (Iraq), hal ini mengundang peristiwa pembunuhan beliau oleh Syajar al-Durr pada 655 H/ 1257 M. Bagaimanapun putera ‘Izz al-Din iaitu “al-Mansur” Nur al-Din Ali Aybaq (Nur al-Din Aybaq/ Mansur Ali) menuntut bela dengan menangkap Syajar al-Durr dan menghukum ibu tirinya itu dengan bantuan “atabeg” ayahnya, Saif al-Din Qutuz. Setelah Syajar al-Durr dijatuhkan hukum sebagai penjenayah, beralihlah tampuk kekuasaan kepada Nur al-Din Ali Aybaq, tetapi kerana usianya yang masih terlalu muda (11 tahun } 15 tahun) beliau diminta secara baik agar jabatannya diambil alih oleh wazirnya, Qutuz.

Usaha Saif al-Din Qutuz Membawa Kestabilan Politik Era Mamluk

Wujud tuduhan-tuduhan negatif yang dilemparkan terhadap Qutuz bahawa beliau merampas secara “jahat” pemerintahan Nur al-Din Aybaq. Ada juga penulis sejarah yang menuduh Qutuz membunuh Nur al-Din Aybaq kerana tamak kuasa, padahal Nur al-Din meninggal dunia pada 700 H manakala Qutuz pula pada 658 H (rujuk al-Zahabi, Siyar a’lam al-Nubala’ 23/200), jadi bagaimana orang yang telah mati boleh membunuh orang yang masih hidup? Riwayat lain daripada Ibnu Iyyas di dalam “Bada’ie al-Zuhur” bahawa Nur al-Din Aybaq meninggal dunia di Burj al-Silsilah, Dumyat dan bukannya dibunuh oleh Qutuz. Tuduhan negatif itu sengaja direka-reka untuk memburukkan imej panglima Islam ini yang telah berjuang di Ayn Jalut.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah peralihan kuasa di antara Nur al-Din Aybaq kepada Qutuz berlaku secara musyawarah. Qutuz telah dipilih oleh sekumpulan ulama dan panglima-panglima tentera agar mempimpin rakyat Mesir menghadapi serangan Tatar. Selain itu, pemilihan Qutuz sebagai pemerintah Mesir yang berlaku kerana sejak kemangkatan ayah Nur al-Din iaitu ‘Izz al-Din Aybaq, Mughith al-Din Umar al-Ayyubi (keturunan Bani Ayyub) bercita-cita mahu mengambil alih tampuk pemerintahan di Mesir semula. Hasrat ini tidak dipersetujui seluruh rakyat Mesir kerana mereka mengenali personaliti tidak baik Mughith al-Din, kedatangannya hanya akan memburukkan lagi situasi politik Mesir.

Ketika Nur al-Din Aybaq memerintah (655 H - 657 H), Qutuz berjaya mengagalkan Mughith al-Din pada tahun 655 H dan 656 H daripada melakukan rampasan kuasa. Selain Mughith al-Din, terdapat juga panglima dari kelompok Mamluk Bahri iaitu Sanjar al-Halabi yang mahu mencabut pemerintahan Nur al-Din Aybaq. Kerana kestabilan yang sukar diwujudkan dan pergolakan yang sentiasa berlaku ketika “Sultan Muda”, Nur al-Din Aybaq memerintah maka Qutuz disaran agar menggantikan kedudukan sultan dengan gelaran “al-Muzaffar” supaya politik di Mesir tidak dipandang lemah oleh musuh. Berikut adalah pidato Qutuz ketika beliau dilantik menjadi sultan sehingga menyebabkan ulama’-ulama’ dan para panglima menangis;
يا أمراء المسلمين من للاسلام ان لم نكن نحن للاسلام
“Wahai pemimpin-pemimpin kaum Muslimin, siapa lagi yang akan membela Islam jika bukan kita yang akan mengorbankan diri untuk Islam.”

إني ما قصدت (أي ما قصدت من السيطرة على الحُكْم) إلَّا أنْ نجتمع على قتال التتر، ولا يتأتى ذلك بغير مَلِكٍ، فإذا خرجنا وكسرنا هذا العدوَّ، فالأمرُ لكم، أقيموا في السلطة مَنْ شئتم
“Sesungguhnya aku tidak bermaksud mahu mengambil alih pentadbiran kerajaan secara mutlak, tetapi apa yang aku inginkan dari jawatan ini hanyalah agar kita bersatu melawan Tatar. Urusan ini tidak mungkin dapat diselesaikan tanpa Raja (pemerintah). Apabila kita berjaya keluar dari masalah ini dan mengalahkan Tatar, urusan ini terletak di tangan kamu semua. Pilihlah sesiapa yang kamu kehendaki untuk menjadi pemerintah.”

Hubungan Syeikh a‘l-Izz Abd al-Sallam dengan Saif al-Din Qutuz sangat penting dalam tempoh pemerintahannya di Mesir. Syeikh al-‘Izz Abd al-Sallam berperanan sebagai penasihat kerajaan yang utama sehingga setiap fatwanya dijadikan sebagai polisi dalam pentadbiran Qutuz. Antaranya seperti arahan menjauhkan persengketaan puak, menjalankan hubungan dengan semua pihak Islam, dan mengarahkan para menteri menyerahkan segala kemewahan kepada Bait al-Mal sebelum kerajaan bertindak mengutip cukai rakyat. Perkara tersebut telah dibuktikan Qutuz dengan perbuatannya terlebih dahulu sebelum beliau mengarahkan pihak lain untuk melakukannya. Sejak dari itu, Qutuz dikenali sultan yang tidak mempunyai harta kecuali kuda dan peralatan perang sahaja.

Salah seorang penyair Arab ada berkata:
الملك بالدين يبقى، والدين بالملك يقوى
“Kekuasaan yang bergandingan dengan agama akan menjadi stabil, dan agama yang bergandingan dengan kekuasaan akan menjadi kuat.”

Ketika Qutuz menaiki takhta kerajaan Mesir, Baybars telah pergi mengasingkan diri ke Dimashq kerana beliau sebelum ini adalah penyokong kuat kepada Syajar al-Durr dan beliau kurang senang dengan kepimpinan pro-Aybaq (Mamalik al-Mui’zziyah). Namun Qutuz dengan lapang dada, tidak mahu golongan Mamluk berpuak-puak dan berpecah-belah lalu beliau telah memanggil Baybars ke Mesir dan melantiknya sebagai panglima pertama yang paling dipercayai. Pada bulan Ramaḍan tahun 658 H bersamaan 1259 M, telah terjadi perang Ayn Jalut di Nablus, Palestin. Dalam perang tersebut, kerajaan Mamluk yang dipimpin Qutuz telah meraih kemenangan tetapi berakhir dengan sejarah hitam pembunuhannya ditangan tentera sendiri.

Apa Selepas Ayn Jalut?

Qutuz memerintah Mesir hanya selama setahun iaitu pada tahun 657 H hingga 658 H (24 Oktober 1260 M). Sebagaimana yang direkodkan al-Maqrizi, pembunuhan Qutuz berlaku kerana beliau dituduh tidak menepati janji untuk memberikan wilayah Halab (Aleppo) kepada Baybars dan difitnah berkomplot dengan gerakan tentera untuk membunuh Baybars. Tuduhan-tuduhan ini direkayasa untuk meng“halal”kan si pembunuh membunuh Qutuz. Persoalan yang jelas ingin diutarakan di sini, wajarkah Qutuz dibunuh kerana desas-desus politik sedemikian? Bukankah Rasulullah ﷺ telah bersabda:
عَلَيْكَ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِي عُسْرِكَ وَيُسْرِكَ وَمَنْشَطِكَ وَمَكْرَهِكَ وَأَثَرَةٍ عَلَيْكَ
“Wajib atasmu mendengar dengan patuh serta mentaati baik (pemimpin) sama ada engkau dalam keadaan sukar ataupun lapang, juga baik engkau dalam keadaan rela menerima perintah itu atau dalam keadaan membencinya dan juga dalam hal yang mengalahkan kepentingan dirimu sendiri.” (Riwayat Muslim)

Ketika Syeikh al-‘Izz Abd al-Sallam mendapat berita kemangkatan Qutuz, beliau dengan sedih menyebut;
رحم الله شبابه، لو عاش طويلاً لجدد للإسلام شبابه. ما ولي أمر المسلمين بعد عمر بن عبد العزيز من يعادل قطز ـ رحمه الله ـ صلاحاً وعدلاً
“Allah menyayangi usia belianya, jikalau umurnya panjang pastilah agama ini bangkit diperbaharui dengan semangat kepemudaannya. Tiada penjaga urusan umat Islam selepas Umar bin Abd al-Aziz yang sebanding Qutuz - rahimahullah - dari aspek kesolehan dan keadilan.”

Apabila tampuk pemerintahan kerajaan Mamluk berpindah tangan kepada Rukn al-Din “Baybars” al-Bunduqdari (Sultan al-Zahir), Baybars berhasil memerintah wilayah-wilayah Islam dengan prestasi yang baik khususnya dalam mengukuhkan negara daripada ancaman musuh. Baybars yang berbangsa Kipchak ini menduduki takhta kerajaan Mamluk pada 658 H/ 1260 M sehingga 675 H/ 1277 M. Ramai sejarawan sependapat menyatakan Baybars merupakan ‘pendiri’ sebenar kekuasaan Mamluk di Mesir kerana Baybars dalam pemerintahannya telah menghidupkan semula sistem Khilafah dengan membai’ah Abu al-Qasim Ahmad bin Muhammad sebagai Khalifah ‘Abbasiyyah pertama di Kaherah pada 13 Rejab 659 H dengan gelaran “al-Mustansir”.

Baybars turut menghantar surat pengisytiharan pelantikan tersebut kepada seluruh wilayah Islam di bawah naungan Mamluk meminta agar nama Khalifah al-Mustansir dibaca di dalam khutbah Jumaat dan dicetak pada kepingan syiling. Meskipun perisytiharan khalifah tersebut hanyalah sebagai ‘simbol’ yang berfungsi sebagai ketua agama sahaja kerana kuasa mutlak masih berada dalam genggaman Baybars, namun sekurang-kurangnya dunia Islam pada ketika itu kembali semula berada di bawah satu panji Khilafah Islam ‘Abbasiyyah iaitu kerajaan Mamluk yang berpusat di Kaherah. Pewujudan sistem khilafah ini juga secara tidak langsung telah ‘mengesahkan’ kekuasaan politik Baybars secara rasminya.

Perkara ini menyebabkan penduduk-penduduk di Syam turut memberikan pengiktirafan kepada Kerajaan Mamluk di Mesir, malah menjemput Baybars untuk mengawal wilayah-wilayah yang terdapat di sana daripada ancaman musuh. Ketika Baybars memerintah, budaya ilmu masyarakat Islam juga kembali berkembang dengan pembentukan semula madrasah-madrasah dan kemunculan tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang terkenal kurun ke-6 seperti al-Farkah al-Fazari (mufti kerajaan Syam, anak murid al-Izz Abd al-Sallam dan guru Imam al-Nawawi, meninggal dunia pada 690 H), Ibnu Khallikan (608 H - 681 H), Ibnu Ata’illah al-Sakandari (658 H - 709 H), Ibnu Taimiyyah (661 H - 728 H) dan ramai lagi.

Imam al-Nawawi dan Sultan al-Zahir Baybars (Rukn al-Din Baybars)

Seorang pengarang kitab terkenal “Riyadh al-Salihin”, Imam al-Nawawi turut berada sezaman ketika pemerintahan Sultan al-Zahir Baybars. Nama sebenarnya Abu Zakaria Muhyi al-Din ibn Syaraf al-Nawawi (631 H - 678 H/ 1233 M - 1278 M) yang lebih dikenali dengan panggilan “Imam al-Nawawi”. Beliau adalah salah seorang ulama termasyhur di kota Dimashq. Melalui karyanya kitab “Riyadh al-Salihin”, Imam al-Nawawi  berjaya menyampaikan secara terperinci aspek-aspek pembangunan insan dengan penggunaan teknik penyampaian hadis yang baik sehingga kitab tersebut diakui mampu dijadikan asas bagi membentuk insan yang soleh.

Pun begitu, Imam al-Nawawi bukan sahaja seorang yang tenggelam dalam lautan ilmu bersifat “fardi” (peribadi) semata-mata, beliau juga seorang yang peka dalam menegakkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar kepada semua orang termasuk kepada politik penguasa. Beliau pernah menulis surat-surat yang ditujukan kepada pemerintah mengandungi nasihat dan teguran terhadap kemungkaran yang berlaku dalam urusan dan tata kelola kerajaan sehingga beliau diancam dengan ugutan sultan. Berikut adalah penyaksian Imam al-Zahabi berhubung sikap Imam al-Nawawi dalam menasihati kemungkaran yang berlaku di zamannya:
وكان يواجه الملوك والظلمة بالإنكار، ويكتب إليهم ويخوفهم بالله تعالى
“Beliau (Imam al-Nawawi) berdepan raja-raja dan kezaliman mereka dengan membangkangnya, beliau juga menulis kepada mereka dan menakutkan mereka terhadap keagungan Allah.”

Imam al-Nawawi pernah diundang oleh Sultan al-Zahir Baybars agar menandatangani persetujuan sebuah fatwa untuk mengharuskan kerajaannya mengutip cukai-cukai rakyat jelata demi kemaslahatan tentera dan pembiayaan jihad menentang Tatar yang masih berbaki di bumi Syam. Imam al-Nawawi menjawab cadangan Baybars itu melalui surat-suratnya bahawa beliau tidak bersetuju dengan perkara tersebut sehingga menyebabkan segala dana yang pernah diberikan kerajaan kepada Imam al-Nawawi sebelum ini ditarik balik oleh sultan. Baybars memperkirakan bahawa segala yang dilakukan itu demi jihad menentang kaum kafir. Lalu Imam al-Nawawi pergi bertemu dan berkata kepada Baybars:
أنا أعرف أنك كنت في الرق للأمير بندقدار، وليس لك مال، ثم مَنّ الله عليك وجعلك ملكاً، وسمعت أن عندك ألف مملوك كلهم عنده حياصة من ذهب، وعندك مئتا جارية، لكل جارية حق من الحلي، فإذا أنفقت ذلك كله، وبقيت مماليكك بالبنود الصوف بدلاً عن الحياصات الذهب وبقيت الجواري بثيابهن دون الحلي، أفتيتك بأخذ المال من الرعية، وإنما يُستعان على الجهاد وغيره بالافتقار إلى الله تعالى، واتباع آثار نبيه صلى الله عليه وسلم
“Aku mengetahui bahawa engkau (al-Zahir Baybars) dahulu adalah hamba milik Amir Bunduqdar, engkau dahulu tidak mempunyai sebarang kekayaan, lalu Allah memberikan engkau kekayaan dan dijadikan engkau seorang raja. Aku mendengar engkau mempunyai 1000 orang hamba lelaki yang mempunyai perhiasan yang diperbuat dari emas, engkau juga mempunyai 200 orang jariah (pembantu wanita) di mana setiap jariah itu memiliki barang perhiasan yang bernilai. Jika engkau menginfaqkan semua harta itu kepada Bait al-Mal, dan engkau biarkan hamba-hamba milik engkau berpakaian murah diperbuat dari kapas sebagai ganti, demikian juga engkau biarkan para jariyah hanya memakai pakaian tanpa perhiasan, maka aku bersedia memberikan fatwa harus kerajaanmu mengambil cukai dari rakyat. Adapaun bantuan jihad ini adalah dengan rasa (ubudiyyah) bersandar kepada Allah Taala, dan apabila kita mengikut apa yang ditinggalkan Nabi.”

Mendengar jawapan balas Imam al-Nawawi, Baybars menjadi berang dan menjerkahnya:
اخرج من بلدي
“Keluarlah dari negeriku (Dimashq).”

Imam al-Nawawi dengar dan patuh arahan Baybars itu untuk keluar dari Dimashq sesuai dengan kaedah Islam:
أن لا يترتب إنكار المنكر على المفسدة الأعظم
“Membangkang terhadap kemungkaran itu tidak boleh menimbulkan kerosakan yang lebih besar.”

Bahkan ia sebagaimana yang dinyatakan Nabi ﷺ ketika menjawab persoalan Huzaifah al-Yamani ra:
 يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لَا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ، وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي، وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ، قَالَ : قُلْتُ : كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ؟ قَالَ : تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلْأَمِيرِ، وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ، وَأُخِذَ مَالُكَ، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ
“Setelahku nanti akan ada pemimpin yang memimpin tidak dengan petunjukku dan mengambil sunnah bukan dari sunnahku, lalu akan datang beberapa orang lelaki yang hati mereka sebagaimana hatinya syaitan dalam rupa manusia. Aku (Huzaifah al-Yamani) berkata; saya betanya; Wahai Rasul Allah, bagaimana perlu aku lakukan jika aku mengetahui akan hal itu? Baginda menjawab; Dengar dan patuhilah pemimpinmu, walaupun ia memukulmu dan merampas harta bendamu, dengar dan patuhilah dia.” (Riwayat Muslim)

Apabila Imam al-Nawawi kembali ke perkampungannya di Nawa yang terletak di Selatan Syria sekarang, barulah Baybars menyedari bahawa orang yang dihalaunya keluar itu adalah ulama’ besar yang menjadi ikutan kepada ulama’-ulama’ lain di Dimashq. Kemudian Baybars mengizinkan agar Imam al-Nawawi dipanggil kembali ke Dimashq, tetapi beliau menolak dan berkata:
والله لن أدخلها و(الظاهر) فيها
“Demi Allah aku sama sekali tidak akan masuk ke sana (Dimashq) selagi Sultan al-Zahir (Baybars) masih ada.”

Lihatlah sikap Imam al-Nawawi, bahawa “dengar” dan “taat” kepada pemimpin sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas bukanlah bermaksud bersekongkol terhadap kezaliman pemerintah dengan membela segala tindakannya atau mengiyakan segala perbuatan zalim pemerintah, tetapi “dengar” dan “taat” dengan pendirian terus menyatakan sikap tidak bersetuju terhadap kemungkaran yang berlaku.

Kedudukan Imam al-Nawawi sebagai ulama yang “haq” tidak dapat disangkal lagi. Walaupun Baybars pernah mencabut semua keistimewaan material yang diberikan kepada ulama’ besar tersebut ketika beliau berada di Dimashq, karya-karya Imam al-Nawawi terus diistimewakan Allah sehingga ia ke hari ini dan menjadi panduan umat Islam sepanjang zaman. Imam al-Nawawi mendapat sanjungan dalam kalangan sarjana Islam sezaman dengannya dan para sarjana Islam berikutnya. Keagungannya dalam bidang keilmuan disokong oleh keperibadiannya yang berpihak kepada kebenaran walaupun ia pahit untuk diterima kehendak pemerintah.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-