© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Malas Bukan Akhlak Pejuang Islam

Malas Bukan Akhlak Pejuang Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 2 February 2017


Saydatuna Aishah r.a.h pernah ditanya oleh para sahabat Rasulullah ﷺ mengenai gambaran akhlak Baginda Nabi. Maka dijawab oleh Ummu al-Mukminin, “Akhlak baginda Nabi ialah akhlak al-Quran” {كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ}. Jawapan ini sudah menjelaskan kepada kita pengertian akhlak yang sebenar menurut ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Perkara ini perlu diperbetulkan oleh kerana ramai masyarakat hari ini keliru tentang pengertian akhlak. Sedangkan ciri-ciri akhlak itu mestilah bersifat syumul sebagaimana lengkapnya ajaran al-Quran.

Rasulullah ﷺ adalah sebagai contoh praktikal kepada akhlak Islam. Akhlak Baginda Nabi ﷺ adalah al-Quran sehingga ia dipuji oleh Allah Ta’ala sebagai orang yang memiliki akhlak yang tinggi. Akhlak berada di tahap yang tinggi dalam Islam. Bahkan ia adalah binaan asasi dalam Islam bersama Syariat dan Aqidah. Akhlak adalah syarat yang asasi untuk masuk ke dalam syurga dan jatuh dari api neraka. Bagaimanapun seseorang itu tidak cukup mengaku berakhlak jika seandainya menghayati dalam bentuk nisbi.

Kefahaman ini mesti dibetulkan, kerana masyarakat hanya faham akhlak menurut perspektif norma masyarakat. Misalnya, orang itu dipandang berakhlak kerana dia rajin berpuasa sunat sedangkan dia menentang perjuangan Islam. Ini tidak berakhlak. Tidak cukup dengan hanya solat dan puasa tetapi hubungannya dengan manusia tidak dijaga. Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ mengenai seseorang yang menunaikan solat dan berpuasa tetapi menyakiti jirannya dengan kata-katanya. Lalu Baginda ﷺ menjawab:
لا خَيْرَ فِيهَا، هِيَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ
“Tiada kebaikan dari perbuatannya, dia termasuk ahli neraka...”

Malas juga adalah sifat orang yang tidak berakhlak. Oleh itu sifat malas bukan satu sifat yang mulia menurut ajaran Nabi yang menekankan agar umatnya berusaha. Nabi mengajar di dalam doanya supaya sifat malas tidak menimpa umatnya:
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
“...Dan aku memohon perlindungan-Mu (Ya Allah) daripada sifat lemah dari malas...”

Hal ini kerana malas itu adalah sifat simbiotik dalam diri manusia. Kerana itu Rasulullah mengajarkan umatnya agar dilindungi daripada sifat malas khususnya dalam agenda yang lebih besar dalam mendaulatkan Islam. Sesungguhnya sifat manusia tidak pernah tetap dalam satu keadaan, tidak pernah merasa tenang dalam sesuatu suasana. Ia sentiasa terumbang-ambing oleh perkara baharu, bahkan gemar sekali berubah-ubah dalam seribu macam corak atau menampakkan diri dalam seribu juta ragam. Firman Allah:
وَإِذَا مَسَّ الإِنسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَائِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَّسَّهُ
“Di kala manusia itu ditimpa sesuatu bahaya ia lalu memohon kepada Kami, baik waktu tidur, duduk atau berdiri. Tetapi di kala Kami telah melepaskan kesukaran, ia lalu melakukan apa-apa yang seolah-olahnya tidak pernah bermohon kepada Kami untuk menghilangkan kesukarannya tadi.”  (surah Yunus, ayat 12 )

Dalam surah al-Ma’arij ayat 19-23 pula Allah berfirman:
 إِنَّ الإِنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا. إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا. وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا. إِلاَّ الْمُصَلِّينَ. الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلاتِهِمْ دَائِمُونَ.
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap (istiqamah) mengerjakan solatnya.”

Sifat malas tidak mendatangkan produktiviti yang baik sama ada untuk diri atau jemaah. Amat malang sekiranya ahli PAS atau pemimpin PAS yang malas untuk melaksanakan amanah parti. Hari ini keprihatinan mendesak ialah parti memerlukan ahli (termasuk pemimpin ) yang rajin bekerja untuk kepentingan Islam. Parti berhadapan dctigan ancaman daripada berbagai sudut maka memerlukan ahli yang rajin memikirkan gerak kerja supaya matlamat perjuangan tercapai.

Malulah kita, sebagai sebuah parti Islam yang bercita-cita untuk meneruskan perjuangan Nabi ﷺ tiba-tiba kita menjadi ahli dan pemimpin yang malas. Walaupun perjuangan kita suci, jika kita malas Allah tidak bantu untuk kemenangan. Kita mesti malu dengan pihak yang menyaingi kita, yang bekerja siang malam, walaupun perjuangan mereka untuk melawan kebenaran. Konspirasi musuh-musuh terhadap Islam dan ummahnya akan berterusan dan sesungguhnya ia akan berlanjutan sehingga Allah menentukan keputusannya. Pun begitu ia menuntut pejuang Islam untuk terus bekerja.

Pembelaan terhadap maruah kaum muslimin adalah suatu tugas yang wajib dan bekerja untuk mengembalikan semula maruah Islam ini dan kegemilangan ummahnya adalah suatu tugas wajib bagi setiap Muslim yang telah menyerah dan meletakkan ketaatannya kepada Allah dan Rasul. Firman Allah:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
“Dan hendaklah ada dari kalangan kamu suatu kumpulan umat yang menyeru kebaikan, mengajak kemakrufan dan mencegah kemungkaran...” (surah Aali-Imran, ayat 104)

Bekerja untuk kemenangan Islam hendaklah sentiasa dimuhasabah agar ia sentiasa selaras dengan tuntutan ilmu dan akhlak Islam. Demi menjamin keberkesanan gerakan dakwah dan perjuangan Islam, kerja yang tersusun dan berterusan dalam gerakan adalah merupakan faktor yang terpenting.

Ahli PAS masih beruntung, kerana mempunyai ikon tok guru yang gigih bekerja walaupun uzur dari segi fizikal tetapi mempunyai semangat yang sangat tinggi. Mereka bekerja mengalahkan orang muda. Kehidupan mereka adalah mewakafkan diri untuk perjuangan Islam. Inilah pemimpin yang berakhlak, laksana apa yang mereka kata. Terus berjihad dan bekerja tanpa jemu-jemu. Sabar menghadapi kritikan musuh dan karenah ahli.

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan bekas Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-