© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » » Bai’ah: Mencari Dalil Untuk Menghalalkan Kesalahan atau Dalil Untuk Menjadi Panduan

Bai’ah: Mencari Dalil Untuk Menghalalkan Kesalahan atau Dalil Untuk Menjadi Panduan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday, 5 September 2015


Isu Bai’ah PAS sedang digembar-gemburkan oleh pihak berkait dengan jawatan parti yang dipegang sewaktu berada dalam PAS. Tanyalah kepada diri sendiri, apakah sebabnya aku memilih menjadi ahli PAS dahulu? Apakah tujuannya aku menjadi ahli PAS? Apakah perkara yang mendorong aku menjadi ahli PAS?

Jawapannya kita ahli semuanya tahu bahawa keberadaan kita dalam PAS dan kita fahaminya daripada ilmu yang disampaikan oleh para alim ulamak dan daripada amalan seluruh jamaah Islam di serata dunia bahawa ia adalah tuntutan agama. Lihatlah dalil-dalil dalam al-Quran yang sering kita baca dan ungkapkan yang menjadikan hujjah sumber kekuatan kita pada masa kita menjadi ahli jamaah PAS ini seperti berikut;
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (surah Aali-Imran: 104)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang dikasihi-Nya mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.” (surah al-Maidah: 54)
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۚ وَمَنْ يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
“Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (surah al-Nisa’: 74)
لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.” (surah al-Nisa’: 95)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu; Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.” (surah al-Tawbah: 38)

Semua dalil ayat al-Quran diatas adalah pegangan kita dengan pemahaman yang jelas hukumnya sewaktu mendaftar diri kita dengan jamaah ini. Bermakna bahawa pilihan kita sendiri untuk berada dalam jamaah PAS adalah disebabkan tuntutan kewajiban agama dan hukum Islam itu sendiri yang meletakkan kita berada dalam perjuangan Islam.

Kita memahami bahawa adalah dihukum wajib ke atas individu muslim dan orang beriman bersama dengan jamaah Islam untuk memperjuangkan Islam. Apatah lagi setelah kita mengikat diri dengan dengan bai’ah dalam jamaah ini iaitu kita tidak akan lari dari keberadaan kita bersama jamaah sama ada sewaktu kita memegang jawatan atau diberikan kedudukan atau amanah tertentu untuk dipikul sebagai hak jamaah agar kita sentiasa istiqamah dan tidak mudah tergelincir kerana diingatkan akan bai’ah mengikat kita.

Kita sebagai orang beriman setiap hari berbai’ah dengan Islam dan Allah Azza wa Jalla sewaktu kita melafazkan kalimah syahadah dalam tahiyyat solat, takbiratul ihram dan juga sewaktu kita menjawab laungan azan. Semua ucapan yang kita lafazkan pada masa itu adalah bai’ah kita dengan Allah dan dengan Islam yang kita dokongi dan anuti. Berulang-ulang kali dimestikan lafaz oleh kita adalah sebagai ingatan langsung kita dengan Islam.

Mereka yang hendak keluar daripada jamaah ini jangan pula melihat dan mencari dalil-dalil untuk menghalalkan tindakan mereka dan melupakan terus dalil-dalil yang meletakkan kewajiban ke atas mereka satu ketika dulu bersama Jamaah Islam khasnya PAS. Bai’ah dengan Islam dan perjuangannya adalah fitrah dalam proses memastikan komitmen dan istiqamah kesetiaan sebagaimana juga dibuat “Aku Janji” apabila bekerja dengan Jabatan Kerajaan dan Swasta. Walaupun ianya berbeza pada hukum dan istilahnya tetapi itulah kemestian kepada kita semua mengikat diri dengan sesuatu sebagai simbolik kesetian dan keluhuran budi dengan organisasi lebih-lebih lagi dengan Jamaah Islam yang memperjuangkan Islam atas sebab hukum Islam yang mewajibkan ke atas kita.

Jangan pula apabila diri ingin melepaskan daripada masalah yang diciptakannya sendiri, pandai pula berdalih di sebalik al-Quran dan al-Hadis untuk menghalalkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan mereka. Inilah kaedah Liberalisme iaitu menjadikan al-Quran untuk dihalalkan tindakannya atau mengikut kehendak dan perbuatannya sebaliknya bukannya dijadikan al-Quran sebagai ikutannya. Moga Allah memberi hidayah sebenar kepada mereka yang terkeliru atau membalas kejahatan atas kesombongan dan keangkuhan mereka.

Biodata Penulis

Ustaz Muhammad Najhan bin Halim, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia