© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Bayangan Ahzab Dalam Liku Perjuangan PAS

Bayangan Ahzab Dalam Liku Perjuangan PAS

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 1 August 2015


Cita-cita kemenangan dan usaha memartabatkan janji-janji Allah ini adalah perjuangan untuk meninggikan syiar kebenaran. Ia harus dilakukan bersama-sama dalam saff yang padu, yakni secara berjamaah, tidak boleh dilakukan secara individu tanpa koordinasi yang mantap antara satu sama lain, bukan juga menerusi organisasi yang meletakkan harapan yang tinggi kepada unsur-unsur materialisme semata-mata. Allah memerintahkan kepada kita, mesti ada sekelompok manusia di kalangan umat Islam itu menyeru kepada Islam dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman-Nya;
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh perkara makruf dan mencegah kemungkaran; merekalah orang-orang yang beruntung.” (surah Aali-Imran, ayat 104)

Mereka yang berjihad di jalan Allah, membenarkan risalah Nabi sehingga golongan umat Islam ini diredhai-Nya dan dibantu pula oleh seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi.
إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا 
“Iaitu bila datang kepada kamu bala tentera yakni tentera Ahzab. Lalu Kami utuskan kepada mereka angin yang kuat dan tentera-tentera yang tidak dapat dilihat oleh kamu. Dan adalah Allah, Tuhan yang Maha melihat akan apa yang kamu lakukan.” (surah al-Ahzab, ayat 9)

Ayat ini mengingatkan kita kembali kepada peristiwa al-Ahzab, satu perkataan yang diulang-ulang dalam takbir raya, iaitu;
صَدَقَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ
“Allah yang telah membenarkan janji-Nya, menolong hamba-Nya dan menghancurkan tentera al-Ahzab dengan ke-Esaan-Nya.”

Sempena merai bulan kemenangan dan Syawal yang mulia ini, marilah kita bersama-sama mengimbau kembali sirah Rasulullah ini dalam peristiwa peperangan al-Ahzab tersebut. Berlakunya Perang Ahzab pada tarikh 7 Syawal, tahun ke-5 Hijrah, tentera kuffar dari kalangan kabilah-kabilah Quraish, kabilah Ghatafan dan Bani Sa’id disokong oleh kabilah-kabilah Yahudi yang khianat terhadap perjanjian mereka dengan Rasulullah saw di Madinah. Pasukan musuh yang digelar al-Azhab oleh Allah ini, mengambil kesempatan kekalahan umat Islam di Uhud untuk mengepung kota Madinah, tujuannya adalah untuk menghapuskan Nabi Muhammad saw, jamaah para sahabat dan pengikutnya, serta meruntuhkan satu-satunya Kerajaan Islam yang mendaulatkan syariat Allah di muka bumi ini.

Dengan jumlah bala tentera yang besar melebihi 10 000 orang, menentang kaum Muslimin di Madinah yang jumlahnya tidak ramai, apatah lagi di dalamnya juga terdapat puak munafik yang mencari-cari kesempatan untuk melemahkan keyakinan umat Islam. Tetapi kuasa Allah lebih besar, Allah Taala mengalahkan bala tentera al-Ahzab dengan bala Allah yang berupa angin kencang yang kuat sehingga berupaya mencabut khemah-khemah yang dipasang oleh puak-puak kuffar. Pada masa yang sama Allah mencampakkan rasa takut dan gerun di dalam diri mereka sehingga masing-masing lari bertempiaran. Para sahabat Nabi tetap istiqamah sekalipun musuh yang mengepung mereka melebihi daripada jumlah penduduk di kota Madinah. Hassan bin Thabit pula menyalakan semangat umat Islam, agar mereka tetap istiqamah sehingga kemenangan menerusi syairnya;
اَلّلهُمَّ لَوْلَا أَنْتَ مَا اهْتَدَيْنَا، وَلَا تَصَدَّقْنَا وَلَا صَلَّيْنَا، فَأَنْزِلَنْ سَكِينَةً عَلَيْنَا، وَثَبِّت الأَقْدَامَ إِنْ لاَقِيْنَا. إِنَّ الْأَعْداَءَ قَدْ بَغَوا عَلَيْنَا، إِذَا أَرَادُوا فِتْنَةً أَبَيْنَا
“Ya Allah, Tuhan kami. Andai tiadanya Engkau pastilah kami tidak mendapat hidayah. Tidak juga kami bersedekah dan solat. Maka kurniakanlah sebenar-benar ketenangan pada hati kami (terus istiqamah). Jika kita bertemu, tetapkanlah kaki kami. Sungguh orang-orang kafir itu telah menganiaya kami (dengan melakukan kepungan yang lama agar di antara kami ada yang berpaling tadah). Jika mereka ingin membuat fitnah maka kami pun akan mengabaikannya.”

Rasulullah saw mengulang-ulang rangkap syair yang terakhir itu dengan mengungkapkan;
أَبَيْنَا! أَبَيْنَا
“Kami mengabaikannya! Kami mengabaikannya!”

Sejarah yang sangat besar ini diingati oleh umat Islam di sepanjang zaman. Ketika orang-orang beriman melaungkan takbir di Hari Raya, padahal ia mengenangkan kembali peristiwa al-Ahzab yang sudah berlaku lebih daripada 1 400 tahun dahulu. Kenapa tidak dilaungkan takbir memperingati peristiwa Badar? Peristiwa Uhud? Pembukaan Kota Makkah? Tetapi dilaungkan dalam takbir mengingatkan kita kepada peristiwa al-Ahzab.

Sirah Rasulullah saw adalah merupakan sebahagian daripada panduan Allah, bukan semata-mata cerita yang sedap didengar, bukan semata-mata cerita yang enak dibaca dan dilihat di dalam kaca televisyen. Tetapi ia adalah petunjuk daripada Allah, bahawa segala yang berlaku ke atas Nabi Muhammad saw, tentang serangan tentera Ahzab adalah satu perkara yang akan berulang di sepanjang zaman sehinggalah dunia ini ditamatkan oleh Allah Taala. Selagi ada mereka yang meneruskan perjuangan Rasulullah saw, selagi itulah mereka berdepan dengan bala tentera Ahzab yang bersatu-padu menentang Islam.

PAS sebagai sebuah parti Islam, bersama-sama dengan rakan-rakan lain dalam gerakan Islam di dunia berdepan dengan tentera al-Ahzab moden. Zionis Yahudi, Amerika Syarikat dan konco-konconya menyerang para pejuang Islam, menindas undang-undang Islam, menuduh Islam sebagai agama yang ganas, melabel umat Islam sebagai tidak bertamadun, barbarian, mereka yang berjuang dilabel ekstremis dan terroris. Termasuklah saudara-saudara kita di bumi Palestin yang berjuang mempertahankan tanah air dan memperjuangkan bumi Bait al-Maqdis yang mulia itu turut dituduh sebagai pengganas. Akan tetapi, lebih besar daripada itu lagi yang umat Islam perlulah peka dan faham, pasukan al-Ahzab moden ini boleh melakukan pelbagai perancangan menghalang umat Islam dalam pelbagai bentuk bukan sahaja senjata yang membunuh nyawa, tetapi lebih daripada itu senjata ideologi, yakni serangan pemikiran yang boleh membunuh aqidah, akhlak dan moral umat Islam, termasuklah penjajahan ekonomi.

1
Penjajahan Ekonomi

Perjanjian Persahabatan Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) antara Putrajaya dan Washington sangat membimbangkan kita selaku warga negara kerana ketiadaan ketelusan kerajaan dalam mendedahkan rundingan ini lebih-lebih lagi dalam perkara yang berkaitan dengan perdagangan yang amat menyentuh persoalan kedaulatan negara dan kos hidup rakyat. Rundingan TPPA ini sangat berisiko tinggi untuk Malaysia kerana klausa yang terkandung di dalamnya boleh merangkumi hampir semua industri dan mewujudkan persaingan yang akan merugikan ekonomi tempatan. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan korporat asing mengatasi kebajikan dan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.

Kita seharusnya sedar bahawa TPPA ini adalah suatu bentuk penjajahan baru Barat dari sudut perdagangan dan ekonomi, jika dahulu mereka menjajah tanah air umat Islam, hasil mahsul bumi dikebas atas nama undang-undang, dirompak atas nama peraturan, kemudian mereka kaut dan bawa ke negara-negara mereka. Tetapi hari ini penjajahan berlaku dalam bentuk baru, mereka tekan negara-negara umat Islam termasuklah Malaysia dengan perjanjian sebegini. Lebih mengecewakan lagi apabila ia diselindungkan dari pengetahuan rakyat. Sedangkan kesannya sangat besar terhadap kehidupan mereka antaranya dari sudut cukai import akan dikurangkan. Apabila cukai import dikurangkan, tentulah barang-barang buatan negara kita tidak dapat bersaing dengan barang-barang buatan luar.

Hal ini akan menyukarkan lagi rakyat negara kita yang dihimpit dengan pelbagai krisis yang dilakukan oleh Umno BN. Usahawan-usahawan, petani-petani dan nelayan-nelayan dari kalangan rakyat Malaysia sengsara apabila barang-barang luar dibawa masuk dengan bebas, ia akan menyukarkan lagi kehidupan rakyat terutamanya yang bergantung kepada urusan ekonomi. Sebab itu Kerajaan Malaysia sepatutnya tidak menyertai perjanjian TPPA ini yang hakikatnya merupakan suatu bentuk penjajahan baru ke atas umat Islam.

Rakyat telah lama dihimpit dengan pelbagai isu dan krisis ekonomi yang mencapah. Krisis ini menjadi lebih getir dan parah apabila perjanjian TPPA ditandatangani oleh negara kita. Posisi rakyat semakin derita, tertekan dan merana tanpa mengetahui sebab musabab akibat daripada perjanjian TPPA ini. Lihat sahaja isu 1MDB yang sehingga ke hari ia dibicarakan di dalam media-media tempatan, bahkan turut didedahkan dan dimalukan di media-media antarabangasa. Salah guna wang rakyat oleh pemimpin Malaysia ditelanjangkan kepada masyarakat antarabangsa, ini sangat memalukan dan menjatuhkan maruah negara. Salah guna wang itu berlaku kerana kepercayaan yang diserahkan rakyat tidak diurus secara tidak amanah, tiada tanggungjawab, tiada rasa takut kepada Allah. Bilangannya bukan satu ribu, dua ribu, tiga ratus ribu! Bahkan mencecah ribuan juta ringgit! Jumlah itu adalah jumlah yang sepatutnya dimanfaatkan dan diagih untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia, tetapi didedahkan oleh media antarabangsa ia masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Benar, isu ini masih dalam siasatan walaupun bermacam-macam spekulasi dibuat barangkali ia tidak betul, atau barangkali ia tidak tepat, tunggu dan lihat. Tetapi sesungguhnya sedikit sebanyak ada betul dan benarnya memandangkan krisis ekonomi yang kian meruncing, salah guna kuasa dan rasuah yang didedahkan sebelum ini. Ia tidak didedahkan oleh media antarabangsa, bukan juga media pro-pembangkang, tetapi yang mendedahkannya adalah Laporan Audit Negara yang dilantik oleh pihak kerajaan pimpinan Umno-BN. Lihat dalam Laporan Audit Negara yang dikeluarkan pada tahun 2012, tahun 2013 dan tahun-tahun berikut serta sebelumnya, bermacam-macam penyelewengan salah guna kuasa berlaku kepada wang rakyat, walaupun acapkali kita mendengar isu-isu sebelum daripada ini.

Antara contoh yang didedahkan di dalam Laporan Jabatan Audit Negara tahun 2012 ialah isu jam dinding RTM. Bagaimanakah harga jam dinding yang dibeli oleh RTM di bawah Kementerian Penerangan sepatutnya bernilai RM 100.00 sebuah, tiba-tiba ia dibeli dengan harga RM3810.00 sebuah! RTM membeli 20 buah jam dinding tersebut dan jumlah keseluruhannya berharga RM76 200! Bayangkan berapa kali ganda harga asal jam itu melonjak, ke manakah lebihan wang ringgit itu disalurkan? Adakah ke dalam poket para menteri atau mereka yang berkepentingan dalam parti Umno-BN? Sementara itu, Jabatan Audit Negara 2012 turut melaporkan Kementerian Belia dan Sukan sanggup membayar RM 1.6 juta kepada artis K-Pop sempena Himpunan Jutaan Belia yang diadakan di Putrajaya.

Rakyat menanggung bahana kerugiannya, kerana wang yang dibelanjakan itu bukan wang pak-pak menteri tetapi wang ringgit kita semua yang sewajarnya dimanfaatkan untuk pembangunan dan pendidikan. Jelas 1MDB ini tidak betul, malangnya penyelewengan yang didedahkan sendiri oleh Jabatan Audit Negara terus berulang dan berulang sehingga menyebabkan kerajaan muflis! Papa kedana! Tidak ada duit. Lalu diambilnya wang itu daripada rakyat, sesuailah slogan “Rakyat Didahulukan”. Bila kehabisan duit kerana boros, ketirisan dan salah guna kuasa oleh kerajaan, maka rakyat dibebankan.

Tidak cukup dengan cukai-cukai lain yang diambil daripada rakyat, isu pelaksanaan GST pula, ditambah lagi dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel, tol, cukai kenderaan, cukai orang-orang berniaga, siaran televisyen berbayar, sekarang semua rakyat dikenakan GST. Nelayan, pekebun, petani, cikgu, penggangur pun beli barang turut dikenakan GST, alasannya kerana kerajaan tidak ada duit untuk dibelanja. Di sinilah rakyat mesti mempersoalkan Kerajaan Umno-BN kenapa tidak ada duit? Jawapannya kerana pembaziran, ketirisan, penyelewengan, rasuah dan seumpamanya.

2
Kesedaran Rakyat

Rakyat seharusnya semakin hari semakin sedar, khususnya di kalangan anak muda yang celik IT, mereka tidak mengambil lagi maklumat dari media arus perdana sama ada surat khabar ataupun televisyen. Mereka ambil maklumat yang dikongsi, dibahas dan dibincangkan bersama di dalam Facebook, Twitter dan Blogger. Hingga keputusan PRU lepas menyaksikan Umno-BN sudahpun ditolak oleh rakyat. Undi popular Umno-BN sudah tidak relevan, tetapi sistem amalan yang diterima pakai dalam negara ini tidak menerima pakai undi popular. Negara ini mengambil kira dari sudut jumlah kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihan raya, membolehkan Umno-BN boleh terus memerintah.

Suasana sekarang sangat menarik, jika sebelum ini PAS dan parti-parti pembangkang yang lain mengadakan ceramah, forum, wacana, penulisan artikel, kenyataan akhbar dan sebagainya mendedahkan salah guna kuasa dan penyelewengan yang dilakukan pimpinan Umno-BN, tetapi hari ini bekas pimpinan Umno sendiri yang mendedahkan salah laku mereka. Yang membongkar salah laku tersebut, bukan calang-calang orang tetapi bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau telah menulis di dalam blognya mengenai penyelewengan kerajaan pimpinan Najib Tun Razak, bukan satu dua artikel, tetapi pelbagai versi dan jenis artikel yang dikaitkan dengan korupsi berlaku dalam kerajaan. Beliau menyebut, jika Umno-BN tidak berubah nescaya mereka akan ditolak pada PRU akan datang. Sehingga kini Umno-BN masih lagi tidak berubah, kalaulah krisis ini terkena kepada negara-negara lain, Perdana Menteri terus meletakkan jawatan kerana maruah dan rasa tanggung jawab, tetapi di Malaysia walaupun krisis berlanjutan dan berpanjangan PM terus memerintah, atas dasar apa? Di Korea Selatan, bila berlaku feri tenggelam Perdana Menteri letak jawatan. Begitulah juga berlaku di negara lain, di Thailand bila belakunya krisis salah laku, Perdana Menteri letak jawatan. Tetapi di negara kita Perdana Menteri terus memerintah.

3
Konsistensi PAS

PAS sebagai parti Islam yang konsisten dengan perjuangan Islam. Hari ini orang bercakap soal masalah dalaman PAS dan seumpamanya. Golongan ulama’, professional, ada yang berkata PAS akan hancur, PAS akan berkecai, PAS menuju ke belakang. Kita kata tidak! PAS akan terus hidup selagi matlamat perjuangan PAS adalah Islam. PAS memperjuangkan Islam daripada awal hingga ke hari ini. Inilah unsur yang akan menjadikan PAS terus hidup walau di mana sahaja sama ada seorang diri, dalam kerajaan, bersama-sama rakan-rakan dalam tahaaluf siyasi, PAS tetap dengan prinsip Islam yang diperjuangkan.

Timbul juga isu baiah, dipersoalkan PAS berbaiah, sama ada betul atau tidak, ikut Islam atau tidak. Inilah salah satu ciri-ciri parti Islam iaitu baiah kerana mengikut Sunnah Nabi, sebagai rujukan PAS yang kedua selepas al-Quran. Dalam Sunnah Nabi saw, baginda berbaiah; Baiah Aqabah Pertama, Baiah Aqabah Kedua, Baiat al-Ridhwan, Nabi Muhammad saw ada berbaiah dengan kumpulan-kumpulan seperti golongan Aus dan Khazraj, ada juga baiah khusus dengan sahabat-sahabat yang lain. Para sahabat mengikut tradisi baiah yang diwarisi daripada amalan baginda Nabi, antaranya Umar al-Khattab ra berbaiah dengan penduduk-penduduk al-Quds, berbaiah dengan gabenor-gabenor yang dilantik agar menjalankan khidmat dengan amanah. Baiah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sama ada baiah umum, baiah khusus dan itulah juga yang dilakukan dalam PAS menuruti Sunnah-nya.

Mengapa baiah PAS dibesar-besarkan, tetapi baiah (agreement) TPPA antara Putrajaya dan Washington disenyapkan?! Sebenarnya setiap ahli PAS yang mengisi borang PAS, maka secara tidak langsung dia berbaiah (agreement) dengan PAS. Inilah hakikatnya, apabila kita menjadi ahli PAS bermakna kita bersedia memberikan komitmen untuk memperjuangkan Islam dan matlamatnya. Inilah contoh baiah umum yang pernah dilakukan Nabi Muhammad saw dan Sahabat-sahabatnya. Ada baiah khusus dalam peristiwa Baiat al-Ridhwan, Nabi minta sahabat-sahabat untuk berbaiah, antaranya menyebut, “tidak akan lari dari perjuangan Islam”, sebahagiannya pula, “...akan hidup dan mati bersama Rasulullah untuk mempertahankan Islam.”. Diriwayatkan Salamah bin al-Akwa’ berbaiah sebanyak tiga kali untuk berjuang mempertahankan Islam. Setiap orang sahabat berbaiah dengan Nabi dengan cara berjabat tangan, sahabiyyat di kalangan wanita pula mencelupkan tangan di dalam bejana air, dan Nabi Muhammad saw juga mencelupkan tangan di dalam bejana air tersebut untuk menunjukkan kesungguhan dalam proses baiah terlaksana bahawa mereka sanggup untuk hidup dan mati untuk Islam. Hal itu semua tercatat di dalam kitab-kitab hadis dan sirah antaranya al-Maghazi Ibn Ishak.

Soal baiah talak tiga, perkara itu telahpun dijelaskan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama’, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh bahawa perkara itu bukan atas kelulusan Majlis Syura Ulama’. Majlis Syura Ulama’ hanya meluluskan baiah khusus yang dilakukan oleh calon-calon PAS dalam pilihan raya. Bahawa penama berkenaan “tidak boleh khianat kepada perjuangan Islam, jika khianat maka dia akan dilaknat oleh Allah, Malaikat dan segala makhluk Allah”. Tetapi Majlis Syura Ulama’ meluluskan berasaskan kepada keperluan negeri-negeri untuk menambah baiah mengikut kesesuaian. Sebab itulah ada negeri yang menambah lafaz baiah sampai boleh talak tiga kalau langgar perjanjian. Ada orang tanya, bagaimana PAS boleh buat baiah sebegini? Bukankah PAS parti Islam? Antara talak tiga dengan khianat kepada perjuangan Islam dan kepercayaan rakyat, manakah yang lebih besar mafsadahnya!!?

Baiah talak tiga ini jika dilihat dalam sejarah perjuangan PAS ia hanya dilakukan ketika Kerajaan Negeri Kelantan berada di saat-saat kritikal. Pada tahun 2004, PAS kalah mengekalkan Terengganu, di negeri Kelantan pula PAS hanya menang satu kerusi majoriti dengan beza hanya dua undi. Umno-BN pula berura-ura hendak beli Adun-adun PAS, agar Kelantan jatuh dari tangan PAS. Di sinilah kebijaksanaan al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz r.hm mengelakkan situasi tidak elok berlaku pada masa akan datang kepada negeri Kelantan. Beliau memanggil Adun-adun PAS supaya mengadakan baiah agar tidak meninggalkan perjuangan Islam dan tidak mengkhianati kepercayaan rakyat. Kerajaan Islam Negeri Kelantan berada di dalam situasi serius waktu itu, kalau tinggal perjuangan Islam, isteri boleh tertalak. Kerana hendak menjaga maslahah yang lebih besar dan lebih utama daripada maslahah isteri. Maslahah yang lebih besar hendak mempertahankan Kerajaan Islam Negeri Kelantan. Ini yang dilakukan PAS, sebab itulah perlu ahli PAS dilatih menjaga agama Allah ini melebihi kepentingan-kepentingan yang lain, pasti Allah Taala akan jaga dan pelihara. Inilah juga wasiat Nabi kepada seorang budak agar menjaga Islam (agama Allah Taala yang diredhai-Nya)!!
احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ اْلأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ  يَنْفَعُوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ اْلأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ
“Jagalah Allah! nescaya Dia akan menjaga kamu. Jagalah Allah! nescaya kamu akan mendapati Dia di hadapanmu (mendahuluimu). Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. Jika kamu meminta tolong, mintalah tolong kepada Allah. Ketahuilah, sekiranya semua umat berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu perolehi selain dari apa yang sudah Allah tetapkan untuk kamu. Sekiranya mereka berkumpul untuk melakukan sesuatu yang membahayakan kamu, nescaya sedikitpun tidak akan membahayakan kamu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk kamu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (matan Arbain al-Nawawiyah)

Di kalangan ahli-ahli PAS sangat risau dengan perkembangan dalaman yang berlaku dalam parti. Perkara yang berlaku adalah suatu sunnatullah, dengan harapan rakan-rakan berkenaan kembali ke pangkuan jamaah Islam. Yakinlah dengan Islam. Dalam masa yang sama perkara yang berlaku dalam PAS ini sedang dinilai oleh rakyat. PAS ada prinsip, PAS ada dasar yang mesti diperjuangkan dan dipertahankan.

Majlis Syura Ulama’ memutuskan hubungan dengan DAP kerana PAS tidak berkompromi dalam masalah syariah. PAS boleh bertolak ansur dalam perkara-perkara lain, boleh berbincang dalam perkara membangunkan negara. Walaupun putus hubungan, tetapi di sana ada ruang-ruang lain untuk bekerjasama. PAS sudah putus dengan DAP tetapi boleh mengadakan kerjasama dengan parti-parti dan organisasi-organisasi yang lain. Contohnya pada tahun 2004, wujud Barisan Alternatif (BA) melibatkan kerjasama PAS dengan Parti Keadilan. DAP tidak sertai BA, tetapi PAS secara tidak langsung bekerjasama dengan DAP pada waktu itu. Sehinggalah pada tahun 2008, DAP masuk menyertai Pakatan Rakyat, ia juga adalah kerjasama. Tetapi dalam masalah yang berkait dengan dasar dan Syariah, PAS akan tetap mempertahankannya. DAP kata PAS tidak boleh laksanakan hudud di Kelantan. PAS kata isu hudud sudah lama, telah diterangkan dan dijelaskan sejak tahun 1990-an lagi. Perbincangan dalaman berkali-kali diadakan, tinjauan berkait dengan hudud dan qisas, forum dengan masyarakat bukan Islam berpuluh-puluh kali diwacanakan, dijelaskan dan dibentangkan. Namun, apabila dakwah telah dijalankan, tetap ia ditolak dan dicabar secara emosional kerana kepentingan sokongan, justeru prinsip kami;
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (surah al-Kafirun, ayat 6)

4
Sekilas Mengenai EKJS

PAS membahaskan isu hudud kepada dua jenis perbezaan, iaitu di antara mentaqninkan Enakmen Jenayah Syariah, hudud dan qisas dengan mentatbiqkan (melaksanakan) Enakmen Jenayah Syariah, hudud dan qisas. Media mendakwa PAS hendak laksana hudud semata-mata. Padahal bukan begitu, prosesnya masih panjang dan perlukan tadarruj (gradual). Usaha Kerajaan Negeri Kelantan yang dilakukan hari ini ialah mentaqninkan Enakmen Jenayah Syariah meliputi hudud dan qisas. Ertinya, secara gradual PAS berusaha menjadikan hudud dan qisas ini sebagai satu qanun yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan. Justeru PAS lakukan mengikut saluran demokrasi, bukannya hentam kromo, PAS bukannya tidak tahu undang-undang dan kerangka peraturan negara. Malangnya pelbagai pihak melakukan provokasi kepada PAS. Sedangkan, apa yang dilakukan PAS adalah sejajar dengan peraturan konvensionalnya, sehinggalah EKJS ini diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, tetapi tidak boleh dilaksanakan kerana kesalahan-kesalahan jenayah seperti mencuri, merompak, membunuh, mencedera dan sebagainya yang terkandung dalam hudud dan qisas terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code). EKJS hudud dan qisas ini tertangguh kerana PAS mestilah merungkaikan peraturan-peraturan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Di sinilah timbulnya isu PAS perlukan sokongan ahli-ahli parlimen seramai 132 orang untuk meluluskan pindaan Seksyen 2 Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Pada masa ini, Seksyen 2 Akta 355 hanya memperuntukan hukuman takzir iaitu tiga tahun penjara, denda 5 000 ringgit atau 6 kali sebatan. Ia perlu dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan seperti kesalahan mencuri, merompak, zina, qazaf, minum arak, dan murtad. Tetapi sehingga kini ia sukar terlaksana kerana Umno menerima kemerdekaan negara daripada penjajah British. Brunei walaupun mencapai kemerdekaan lewat daripada Malaysia, tetapi kemerdekaan yang dicapainya bersifat itu mutlak. Sebab itulah Brunei mampu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah, hudud dan qisas dengan mudah. Malaysia tidak, bila hendak capai kemerdekaan, Umno menjadi “pak sanggup” British iaitu me“mandul”kan Enakmen Jenayah Syariah. Hanya 3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan denda 5 000 ringgit sahaja yang boleh dilakukan oleh Mahkamah Syariah. Mana-mana Kerajaan Negeri yang mahu melaksanakan undang-undang Islam, perlu mewujudkan jawatankuasa teknikal terlebih dahulu untuk merungkai Seksyen 2 Akta 355 di peringkat Persekutuan.

Sebab itu, Kerajaan Kelantan bawa isu EJKS ke Parlimen untuk merungkai akta ini dengan majoriti sokongan ahli-ahli sidang parlimen. Jika Seksyen 2 Akta 355 berjaya dirungkai, bukan sahaja di negeri Kelantan boleh melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah, bahkan semua Mahkamah Syariah di Negeri-negeri lain boleh melaksanakannya. Undang-undang itu bukan untuk warga bukan Islam, tetapi warga Malaysia yang beragama Islam. Pun begitu prosesnya masih panjang, perlukan kesabaran dan sokongan, tetapi malangnya yang menjadi rakan PAS dalam Pakatan Rakyat begitu bersungguh memusuhi usaha menegakkan Syariah Islam, DAP mendesak PAS tolak hudud dan qisas serta memberi amaran kepada PAS, menggugut PAS, memfitnah PAS, mendakwa PAS bekerjasama dengan Umno, mencaci hina pimpinan-pimpinan PAS yang istiqamah dengan perjuangan Islam. Maka, Majlis Syura Ulama’ membuat keputusan untuk memutuskan hubungan tahaaluf siasi dengan DAP, walaupun dari sudut maslahah politik penting untuk PAS menang dalam pilihan raya dengan kerjasama tersebut. Tetapi maslahah mempertahankan syariat Islam lebih penting kepada PAS.

5
Keyakinan dan Istiqamah

Perkembangan yang berlaku pada hari ini akan memberikan satu nafas baru kepada PAS. Walaupun dari sifir politik, PAS rugi kerana memutuskan hubungan politik dengan DAP walaupun kekal dalam Pakatan Rakyat bersama-sama dengan PKR. Rakyat sedang menilai Umno. Rakyat menafsir dan rakyat melihat, hanya Islam yang boleh menyelamatkan negara. Ini menjadi tanggungjawab ahli-ahli PAS untuk membawa mesej Islam ke dalam jiwa masyarakat. Percayalah, Islam mampu menyelesaikan krisis-krisis ini. Ada orang kata mana buktinya? Lihatlah negeri Kelantan sejak tahun 1990 PAS mentadbirnya, yang memerintahnya al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, perjuangannya disambung oleh Dato’ Menteri Besar Haji Ahmad Yaakob, tiada rasuah walaupun orang mengatakan di Kelantan tidak ada pembangunan. Walaupun dengan wang ringgit yang terhad di Kelantan, royalti disekat, pembangunan tetap berjalan. Hutang Negeri kepada Kerajaan Pusat boleh dikatakan sangat sedikit berbanding negeri-negeri yang lain. Di sini menunjukkan PAS ada bukti memerintah kerana PAS boleh melakukannya di negeri Kelantan, termasuklah Kedah satu ketika dahulu, serta di Negeri Selangor bersama rakan-rakan Pakatan yang lain.

PAS yakin boleh menyelamatkan Malaysia yang dicintai dan disayangi ini supaya selamat daripada terjerumus ke lembah kehancuran negara yang dilakukan oleh Umno-BN. Firman Allah;
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dari-Ku. Barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (surah al-Nur, ayat 55)

Ingatlah bahawa janji kemenangan ini hanya diberikan Allah orang-orang yang beriman, yang meneruskan perjuangan para Nabi dan Rasul iaitu memartabatkan agama-Nya. Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُم
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (surah Muhammad, ayat 7).

Biarpun PAS dihina, diperlekeh, diejek mahupun dibengapkan oleh kata-kata nista pembencinya, Islam tetap akan tegak menjulang tinggi kalimahnya di seluruh muka bumi sebagaimana sabdaan baginda Rasulullah saw;
لاَ يَبْقَى عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ بَيْتُ مَدَرٍ وَلاَ وَبِرٍ إِلاَّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ كَلِمَةَ الإِسْلاَمِ إِمَّا بِعِزِّ عَزِيزٍ وَإِمَّا بِذُلِّ ذَلِيلٍ إِمَّا يُعِزُّهُمُ اللَّهُ فَيَجْعَلُهُمْ مِنْ أَهْلِهِ فَيَعِزُّوا بِهِ وَإِمَّا يُذِلُّهُمْ فَيَدِينُونَ لَهُ
“Tiada yang tertinggal walau satu rumahpun di atas bumi ini, baik di bandar mahupun di desa,  melainkan Allah akan memasukkan kalimah Islam dengan kemuliaan orang yang mulia mahupun dengan kehinaan orang yang hina. Allah akan memuliakan mereka sehingga dijadikan mereka sebagai pemeluk Islam, mahupun Allah menghina mereka sehingga terpaksa tunduk kepada Islam,” (sunan al-Baihaqi dan Musnad Ibn Hanbal)

Catatan dan Suntingan

Ucapan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ini disampaikan dalam slot Ceramah Perdana di Zon Mawar, Sungai Lalang Merbok pada 24 Julai 2015. Dicatat oleh Izwan Abdul Halim dan disunting oleh Mohd Azmir bin Maideen
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-