© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Realiti dan Hakikat Kebangkitan Rakyat di Asia Barat

Realiti dan Hakikat Kebangkitan Rakyat di Asia Barat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 21 May 2013


Musuh-musuh Islam sentiasa merancang dengan sepenuh-penuh perancangan untuk menyekat Islam dan segala pergerakan yang cuba membangkitkannya. Padahal mereka tidak menyedari bahawa Allah Taala juga mempunyai perancangan di sisi-Nya untuk mengagalkan segala tipu daya mereka, biarpun rencana yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah itu boleh menghancurkan bukit-bukau dan gunung-ganang. Allah sama sekali tidak memungkiri janji Para Rasul-Nya, bahawa Dia akan memberikan kemenangan kepada Islam. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa, lagi keras hukumanNya terhadap mereka yang zalim dan melampau.

Situasi di Asia Barat dan Malaysia berbeza, begitupun insya Allah saya akan mengutarakan beberapa maklumat yang saya himpunkan, hasil dari dua wacana antarabangsa yang saya hadiri memfokuskan kepada ketegangan yang berlaku di Asia Barat. Pertama sekali wacana yang diadakan di Tehran, Iran yang bertemakan "Kebangkitan Islam Dan Apakah Peranannya Di Dunia Arab", manakala wacana yang kedua pula diadakan di Istanbul, Turki yang dianjurkan oleh parti-parti Islam seluruh dunia, membincangkan tajuk "Kebangkitan Dunia Arab, Peranan Gerakan Islam Dan Apakah Cabarannya".

Saya ingin menegaskan bahawa apa yang berlaku di negara Arab adalah ketentuan Allah Taala. Ia merupakan kebangkitan yang di luar dugaan pemikir-pemikir politik, tidak mampu dikesan oleh mana-mana alat pengesan yang canggih.

Apa yang berlaku menandakan kebesaran Allah Taala yang diulangi oleh umat Islam setiap kali mereka berwirid setelah solat;

"Katakanlah wahai Tuhanku yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Ali Imran:26)

Sebagaimana yang kita semua sedari, Timur Tengah atau Asia Barat merupakan lokasi yang menjadi pilihan Allah mengutus Para Rasul-Nya ke seluruh alam. Ini kerana kawasan tersebut menemukan kita kepada tiga benua, iaitu benua Asia, Afrika dan Eropah. Lalu, apabila Allah mentaqdirkan kejayaan kepada Islam menjadi kuasa besar dunia sehingga berjaya menumbangkan Parsi dan Rom, Islam turut berhasil mengadakan hubungan-hubungan diplomatik dengan negara-negara lain ketika zaman kegemilangannya.

Islam telah membawa perubahan kepada dunia dengan nilai ketamadunan yang sebenar, memberikan keadilan kepada seluruh umat manusia, malah Islam dikenali sebagai sebuah empayar pemerintahan yang tidak menindas rakyatnya. Ketelusan pemerintahan Islam mentadbir demi kesejahteraan rakyatnya tidak seperti kuasa-kuasa empayar imperialis yang suka mengerah kudrat rakyat dan mengangkut hasil-mahsul buminya di mana-mana wilayah yang dijajah. Sebaliknya Islam mengamalkan konsep berkebajikan kepada rakyat, yakni "Adil Untuk Semua", hasil-hasil negeri tidak boleh sewenang-wenangnya dipunggah menjadi milik federal selagi masalah yang dihadapi di dalam wilayah yang mengeluarkan hasil bumi berkenaan tidak diselesaikan.

Namun, dunia Islam turut mengalami peringkat kelemahan pemimpinnya seperti tamadun-tamadun yang lain, sebagaimana umur manusia yang awalnya bertenaga dan akhirnya lemah disebabkan lanjutnya usia. Ini kerana, Allah telah menetapkan kerajaan di dunia adalah milik manusia agar mereka mengurus dan mentadbirnya, bukannya kerajaan Tuhan yang rakyatnya terdiri dari seluruh cakerawala yang ada di muka bumi ini.

Allah Taala mencipta dan mentadbir langit dengan sempurna, bertukarnya peralihan malam dan siang mengikut peraturan-Nya (sunnatuLlah) tanpa sifat kederhakaan kepada Pencipta. Berbeza dengan manusia yang mencipta sendiri sistem pentadbiran mereka, kemudian mereka sendiri yang mengingkarinya.

Allah menetapkan bahawa pemerintahan negara adalah amanah yang besar;

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila melaksanakan hukuman (dalam semua urusan) di antara manusia supaya kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat." (An Nisa':58)

Apabila amanah itu disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Itulah hakikat yang berlaku kepada umat Islam di saat berakhirnya pemerintahan khilafah Islamiyah.

Seorang orientalis pernah mengatakan, "Ada dua batu pejal yang tidak mampu dipecahkan oleh kuasa Barat, dan batu pejal ini menjadi benteng kepada umat Islam sekalipun Barat berjaya menakluk negeri-negeri mereka, menguasai urusan mereka, dan memecahkan kesatuan mereka, serta melaga-lagakan mereka. Batu pejal tersebut adalah Al Quran dan Makkatul Mukarramah."

Intipati yang diucapkan oleh orientalis ini telah dimanfaatkan oleh kuasa-kuasa imperialis dunia. Ketika umat Islam mengalami tempoh kelemahannya, wilayah-wilayah mereka telah ditakluk dan dijajah oleh kuasa Barat. Setelah dijajah, para penjajah memberikan pula kemerdekaan. Mereka memberikan kemerdekaan kepada negara-negara umat Islam, tetapi dalam pada masa yang sama mereka turut merancang menjadikan negara-negara Islam ini dipimpin oleh boneka yang akan meneruskan idealogi penjajahan mereka. Kemerdekaan diberikan dengan syarat pemerintahan tersebut tidak bercirikan perundangan Islam yang sebenar.

Ketika Lord Crommer menjadi gabenor di Mesir dan Sudan, beliau pernah menyatakan sesuatu di dalam tulisannya, "Kalau kita mahu mengekalkan pengaruh dan kepentingan kita di bumi Islam, kita hendaklah beri kemerdekaan kepada negara-negara Islam, kita berikan kemerdekaan kepada mereka. Memang kita tidak boleh tunggu lama. Mereka pasti menghalau kita, mereka tentu menentang kita. Tetapi kita hendaklah menghadapi mereka dengan cara baharu, iaitu dengan cara kita berikan kemerdekaan kepada negara-negara Islam dan kita serahkan kemerdekaan itu kepada mereka yang terdiri daripada anak-anak murid kita, yang terdiri daripada mereka yang menerima ideologi kita, yang menerima pandangan kita, yang menerima undang-undang kita, yang menerima dasar kita."

Musuh-musuh Islam ini sanggup berkompromi dengan mana-mana ideologi samada komunis, sosialis, mahupun kapitalis, asalkan idealogi tersebut tidak berteraskan pendaulatan Islam. Buktinya, British pernah memberikan perlepasan kepada rejim aliran komunis menguasai Yaman Selatan. Begitu juga Soviet Union yang memberikan kemerdekaan kepada umat Islam di Asia Tengah setelah pemimpin negara yang terlibat sudi mengikut telunjuk penjajah.

Hal yang sama turut berlaku di negara Arab, walaupun para penjajah terdiri daripada mereka yang kononnya mendokong demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi mereka sama sekali tidak mengizinkan kebangkitan Islam di wilayah tersebut.

Hasil dari tekanan dan permainan jahat kuasa besar dunia, suatu ledakan kebangkitan rakyat tiba-tiba berlaku untuk menjatuhkan rejim-rejim zalim dan jahat. Kebangkitan ini bermula di Iran walaupun mereka bermazhab Syiah - mereka berjaya menumbangkan Syah Iran, seorang pro-Barat. Syah ketika itu didokong oleh tentera-tentera Barat yang lengkap dengan peralatan canggih, tetapi mereka tidak mampu menangani kekuatan yang tidak dapat diduga iaitu kebangkitan rakyatnya sendiri.

Kebangkitan rakyat seperti ini berlaku disebabkan kezaliman yang memuncak hasil dari idealogi-idealogi terpesong, sama ada sosialis, liberalis, mahupun kapitalis. Sistem yang tidak berteraskan kepada aqidah dan roh manusia menemui kegagalan. Kezaliman yang dilakukan menyebabkan para penjajah tidak mampu mendominasi negara-negara Arab untuk tempoh yang lama.

Itulah sunnatuLlah, pemimpin datang dan pemimpin juga pergi. Tetapi, yang menjadi amanah kepada kita semua adalah mewariskan kuasa pemerintahan ini kepada mereka yang benar-benar layak menggalasnya.

Apa yang menarik berlaku di Asia Barat, menyaksikan bahawa semua kebangkitan rakyat memerlukan roh Islam sebagaimana lazimnya sejarah penentangan yang berlaku terhadap penjajah dimulakan oleh mereka yang beragama Islam dan mentauhidkan Allah Taala. Namun, apabila kemerdekaan dapat dicapai, golongan lain pula mengambil alih. Kita teraba-raba mencari ikutan sehingga dengan hina menghadapkan wajah ke arah Barat mahupun Timur. Sedangkan di tangan umat Islam sendiri, Al Quran adalah panduan yang jelas lagi terang.

Apabila berlakunya kegagalan sistem Barat, akhirnya ia turut membawa kebangkitan di Mesir, Tunisia, Yaman, Libya, Syria, kebangkitan rakyat mereka bermula di masjid dan slogan Allah Maha Besar, "Allahu Akbar". Di Mesir, rakyat mereka ada yang melakukan solat jumaat di jalan raya, ini menunjukkan unsur Islam merupakan unsur yang dominan dalam kebangkitan dunia Arab.

Tetapi, zaman ini tidak akan menjadi zaman Islam yang hanya sekadar kata-kata dan bual bicara semata-mata. Zaman kegemilangan Islam hanya akan menjadi kenyataan, setelah kita mengubah sikap dengan menolak segala teori dan amali yang dilahirkan oleh fahaman yang tidak berteraskan Islam. Allah Taala berfirman;
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (menjadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnian-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya." (Al Maidah:54)

Maka, kebangkitan ini menimbulkan tanda tanya, apakah selepas berlakunya revolusi rakyat? Adakah keadaan ini menjadi kesempatan terbaik Islam berdaulat ataupun terdapat pihak lain yang akan mengeruhkan matlamat asal kebangkitan ini?

Inilah persoalan yang perlu kita galas bersama, lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin gerakan Islam di seluruh dunia. Adakah kita kembali kepada Islam? Atau berbalik kepada unsur yang lain setelah puluhan tahun umat Islam menderita di bawah penjajahan idealogi-idealogi yang asing dari Islam.

Kita perlu sedari bahawa negara-negara Islam menghadapi cabaran dari dalam, dan cabaran dari luar. Cabaran dari dalam ialah cabaran yang datang dari umat Islam sendiri, bukan sahaja perpecahan mazhab yang dilatar-belakangi perbezaan mazhab Sunni, Syiah, Khawarij dan sebagainya, tetapi masalah dalaman yang berpunca dari sikap kita sendiri.

Mengikat persaudaraan merupakan tanda kesempurnaan iman. Penyatuan umat telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W di Madinah, di mana Baginda mempersaudarakan Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansar menjadi satu saudara, di samping turut mematerikan perjanjian kerakyatan dengan orang-orang bukan Islam. Di antara isi kandungan perjanjian tersebut berbunyi, "Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapat pertolongan dan pimpinan dengan tidak dizalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka".

Kepimpinan nubuwwah telah berjaya menjalinkah persaudaraan Islam dan hubungan kemanusiaan sekalipun berbeza pegangan dan kepercayaan.

Menurut Ibnu Khaldun di dalam "Muqaddimah"-nya bahawa, mana-mana kebangkitan politik mestilah dikuasai oleh golongan yang majoritinya umat Islam, sebagaimana perlantikan khalifah selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W ialah Abu Bakar yang berbangsa Quraish kerana kabilah Quraish pada waktu itu merupakan kumpulan yang paling berpengaruh di kalangan kabilah-kabilah Arab. Begitulah juga kebangkitan dunia Islam, ia mestilah dipelopori oleh golongan yang yang berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.

Berdasarkan hakikat sejarah ini, maka tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa mereka yang Sunni mesti mendominasi kebangkitan dan perubahan masyarakat di dunia kerana mazhab mereka adalah mazhab yang paling berpengaruh.

Oleh kerana itu, apabila Iran meletakkan mazhab Syiah dalam revolusi mereka, di sana terdapat kesempitan dalam menyebar-luaskan pengaruh revolusi ke seluruh dunia. Tiada negara yang berminat untuk melakukan revolusi seperti Iran sekalipun di sana terdapat ramai umat Islam yang mengkagumi kebangkitan yang berlaku kepada rakyat Iran pada ketika itu. Di sinilah silapnya Iran apabila meletakkan mazhab Syiah sebagai satu-satunya mazhab yang diiktiraf dalam negara mereka. Maka isu mazhab menjadi isu yang memisahkan Iran dengan negara-negara jiran yang lain.

Ketika wacana perbahasan di Iran, saya dengan tegas mengatakan kepada pemimpin-pemimpin agama di sana bahawa menggunakan revolusi untuk menyebarkan mazhab adalah satu kesilapan yang besar kepada revolusi Iran. Ia membawa kesan yang negatif kepada revolusi itu sendiri dan kepada kebangkitan umat Islam.

Tidak dapat dinafikan bahawa unsur mazhab merupakan unsur yang penting memacu kebangkitan Islam, tetapi aliran mazhab yang kita perlukan untuk memandu kebangkitan ini adalah aliran yang memiliki pengamatan feqah yang luas dari pelbagai sudut, bukannya pandangan feqah yang sempit, bukannya pandangan feqah yang hanya melihat kepada ketokohan imam alirannya sahaja. Kefahaman feqah yang melihat keseluruhan pandangan mazhab sangat mustahak dipadukan dalam kebangkitan Islam untuk menyelesaikan masalah semasa, kerana dalam masalah politik yang melibatkan isu-isu kontemporari, kita tidak boleh hanya terikat dengan pandangan satu mazhab sahaja.

Apabila Iran meletakkan Syiah sebagai satu-satunya mazhab yang diiktiraf negara, hal ini sekaligus mengongkong kemampuan ulama mereka berijtihad dan bersikap lebih terbuka. Akibatnya, ulama-ulama Iran hanya melihat mazhab Syiah sebagai sumber dan kaedah hukum dalam menyelesaikan masalah. Inilah kelemahan yang berlaku dalam negara Iran, dan kita mestilah mengambil iktibar serta menyedari hakikat kelemahan dan kesilapan yang dilakukan oleh Iran.

Oleh kerana itu, pentingnya peranan Persatuan Ulama Islam Sedunia dan Majma' Taqrib Bayna Mazahib (institusi dialog yang menghubungkan Sunni dan Syi'e) mengupas isu ini. Hal ini disebabkan, perkara-perkara yang melibatkan ijtihad adakalanya jalan penyelesaian tersebut ada pada amalan mazhab-mazhab lain dan tiada dalam mazhab kita amalkan.

Sepatutnya, kita memperkayakan feqah Islam berdasarkan kepada ijtihad-ijtihad yang ada dalam semua mazhab, bukannya secara fanatik menghentam antara satu sama lain. Alhamdulillah, dalam masalah ini Dr.Yusuf Al Qardhawi adalah antara ulama yang memulakan makna pemurniaan ini, di mana beliau telah menulis sebuah kitab berjudul "Feqhul Jihad" yang meneliti seluruh pandangan mazhab, dan ini dilihat sebagai satu permulaan pendekatan yang sangat baik.

Fahamilah pensyariatan jihad di dalam Islam, sebagai gerakan Islam mereka mesti terlebih dahulu mengambil muwajahah silmiyyah (pendekatan damai) sebelum bertempur secara peperangan. Selagi ada ruang demokrasi, kita tidak boleh mengabaikan ruang tersebut atau mengambil cara yang keras.

Inilah pendekatan yang sepatutnya dilakukan oleh gerakan Islam apabila berhadapan dengan kumpulan sekular yang tidak memahami Islam secara sahih, bukannya dengan cara mengangkat senjata sebagaimana yang berlaku di Somalia dan negara-negara lain yang terlibat dengan kegiatan seumpamanya. Gerakan Islam mestilah tetap mengambil pendekatan damai berhadapan dengan saudara-saudara seIslam yang tenggelam di dalam kejahilan, sekalipun berlaku pilihan raya penuh penipuan dalam ruang demokrasi yang diamalkan.

(Olahan dari Wacana Asia Barat yang disampaikan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Shah Alam 2012)
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-