© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Hati dan Tarbiyah Insaniyah

Hati dan Tarbiyah Insaniyah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 13 May 2013


Tidak ada manusia yang dilahirkan di dalam keadaan yang bebas daripada cengkaman kejahilan. Manusia lahir dalam keadaan tidak mengerti apa-apa sebagaimana firman Allah;


"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu  dengan keadaan  tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan untuk kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (aqal fikiran) supaya kamu bersyukur." (An Nahl:78)

Mereka bertatih untuk mengetahui segenap penjuru kehidupan. Kemudian, dalam kekalutan dan kepenatan membina kehidupan itulah mereka mula tersentak dan tergerak untuk mengenal dan mencari-cari matlamat sebenar kehidupan ini. Tidak mudah untuk keluar dari kepompong jahiliah ini, kecuali bagi mereka yang berusaha dan mencuba dengan segenap daya dan upaya untuk menjadi manusia yang tahu nilai serta hakikat tujuan kehidupan ini.

Ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam diutus oleh Allah untuk mentarbiah manusia ke arah jalan yang sebenar kehidupan ini. Baginda dikurniakan Al Quran untuk dibacakan kepada manusia agar ia mampu memandu dan menunjuki ke arah jalan kebenaran. Segala kasih sayang Allah dijelmakan melalui pengutusan dan penurunan ini kepada manusia. Tanpa Rasul dan Al Quran, sudah pasti manusia gagal mengenal erti kehidupan, apatah mengenal Allah dan alam ghaib. Justeru ia adalah tanda kasih sayang Allah yang tiada taranya kepada manusia.

Kita pun tahu bahawa proses kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah ini cukup unik, dicipta bukannya seperti malaikat dan juga bukannya seperti syaitan. Di antara kedua kejadian inilah diciptanya manusia, yang mempunyai sikap dan akhlak sekiranya diasuh dengan Al Quran dan aqal yang waras maka terbentuk insan yang soleh. Sebaliknya jika dibiarkan kepada nafsu dan syahwat maka terjerumuslah manusia kearah kehinaan dan kesesatan.

Sementelahan pula pandangan Allah tidak tertumpu kepada jasad luaran manusia, bahkan Allah memandang hati manusia dan amalan yang di kerjakan oleh manusia. Walau bagaimana cantik rupa parasnya, mancung hidungnya, mengurai lembut rambutnya, ia tidak memberi setitik kesan pun di sisi Allah untuk menaikkan darjatnya. Hatinyalah menjadi keutamaan. Maka manusia yang mengenal diri akan dapat memperakui apa yang diajar oleh agama bahawa hatilah pusat dan benteng kekuatan manusia menghadapi ancaman kehidupan yang ganas ujiannya.

Hati manusia sentiasa menjadi tumpuan para Malaikat Allah dan juga  syaitan yang sentiasa berusaha untuk mengerumuninya agar mereka mampu menguasainya. Kita pula diberi oleh Allah aqal yang waras untuk memilih dan membuka ruang yang luas ini samada untuk syaitan atau untuk para malaikat. Ini sebagaimana Yang dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya;

"Maka Dia mengilhamkannya kepada kejahatan diri dan kepada ketaqwaannya." (As Syams:8)

Justeru terpulanglah kepada manusia sendiri untuk memilihnya. Ini adalah gambaran ujian dan cabaran yang besar. Berbahagialah mereka yang memahami dan menyahut hikmat kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Sebaliknya, alangkah besarnya kecelakaan yang bakal menimpa diri di hari pembalasan bagi mereka yang lalai dan melupakan tanggung jawab mereka yang hakiki di dunia ini.

Bagi mereka yang hatinya hidup, sudah tentu ia tidak akan membiarkan perjalanan yang panjang ini menjadi sempit dan kusut dengan membiarkan hatinya di kuasai oleh syaitan yang sentiasa berusaha untuk memperdayakan manusia. Inilah janji Iblis kepada Allah dalam firman-Nya;

"Iblis berkata; Oleh kerana Engkau (ya Allah) menyebabkan daku tersesat, demi sesungguhnya aku akan menghalangi manusia dari menjalani jalan-Mu yang lurus."

"Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dari kanan mereka dan kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka menjadi orang yang bersyukur." (Al A'raf:16-17)

Jelas, ujian kehidupan sungguh berat. Halangan dan rintangan sengaja diciptakan Allah untuk memperteguhkan maksud ujian dan penapisan orang-orang benar daripada orang-orang yang menolak dan membohongi tujuan sebenar hidup ini. Setiap insan terlalu bergantung kepada rahmat dan kasih sayang Tuhannya sendiri. Pertarungan dengan Syaitan sahaja sudah cukup menggambarkan bagaimana manusia, dan bila-bila masa sahaja mereka boleh tewas di tangan makhluk Tuhan yang melihat mereka, sedang mereka tidak pula mampu melihatnya.

Justeru tarbiyah diri, atau latihan yang berterusan sangat diperlukan untuk menghadapi kesukaran ini. Manusia hidup bagai tentera sepanjang masa, berlatih sebagai tentera dan bekerja dan bertugas sepanjang masa sebagai tentera buat menghadapi serangan musuh.

Hatilah sasaran tarbiyah. Ia mesti dibina sekukuhnya buat menjadi benteng iman dan ubudiyah kepada Allah. Ia ibarat kota yang dipenuhi  ciri-ciri keselamatan dalam segenap segi. Bukankah musuh hanya akan berhenti sesudah kota digempur dan ditawan?

Proses  tarbiyyah ini bukan bersifat sementara dan semasa sahaja bahkan ia bersifat keperluan yang berterusan dalam kehidupan seorang hamba. Sebagaimana perlunya kita terhadap makan dan minum, tidur dan bangun, air serta udara untuk kehidupan, maka kita juga perlu untuk ditarbiyah dan dididik dalam kehidupan ini. Betapa ramai di kalangan manusia yang sibuk menjaga jasad luaran yang akan hancur tetapi sayangnya ia tidak sibuk menjaga dalaman jiwanya yang akan dipertontonkan di hadapan Allah nanti. Marilah kita memulakannya.

Biodata Penulis


Ustaz Ahmad Dusuki bin Abdul Rani merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam bidang Syariah Islamiyah dan Undang-Undang. Beliau merupakan pengasas Kompleks Darul Thibbun Nabawi, Penasihat Kompleks Ilmu Al-Azhari, Timbalan Presiden Gabungan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), salah seorang anggota Muslim Care dan juga merupakan salah seorang seleberiti "Tanyalah Ustaz" di rancangan televisyen TV9. 
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-