© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » » Kerjasama PAS dan DAP : Satu Penjelasan

Kerjasama PAS dan DAP : Satu Penjelasan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday, 23 April 2013


Sejak kerjasama PAS dan DAP menjadi realiti, UMNO dan BN dilihat 'all out' menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang-orang Melayu untuk menanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.

UMNO dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat Melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan "sepanduk" mereka bahawa "PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan Melayu UMNO". Secara sentimennya, sebahagian masyarakat melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini.

Saya tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini, namun ia bukanlah faktor besar dan sebenar justeru unjuran undi sokong yang diperolehi oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihanraya kecil.

Saya sangat optimis, kiranya PAS diberi laluan serta kemudahan untuk akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana bagi menjelaskan segala kekeliruan yang tersimpul secara adil, PAS mampu memberi saingan sengit secara sihat kepada UMNO dan BN lalu memenangi pilihanraya secara gentleman. Malang demokrasi negara kita diurus secara pincang oleh UMNO dan BN selaku pemerintah, lalu memaksa kita bersaing tanpa peluang yang seimbang.

Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP, saya mulakan dengan mengajak seluruh rakyat khasnya umat Islam untuk mengkaji kebijakan Baginda Rasul S.A.W bertindak melalui seerah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekaligus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliyyah. Baginda Rasul telah bertindak sebagai Rahmatan Lil A'lamin (rahmat - naungan kasih buat seluruh alam).

Antara tindakan bestari Baginda Rasul S.A.W ialah Baginda telah mengadakan kerjasama sosial dan politik dengan golongan non-Muslim pada waktu itu untuk tujuan mempertahankan hak dan nenentang kezaliman :
  • Hilful Mutaiyyibin.
Nabi Muhammad S.A.W pernah menjelaskan mengenai Tahaaluf ini sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud, "Aku telah menyaksikan berlakunya perjanjian (tahaaluf) al mutayyibin dan aku tidak ingin memungkirinya walaupun diberi kepada aku unta berwarna merah yang terbaik sekali." (riwayatkan Imam Ahmad di dalam al Musnad Jil 1. hlmn 190-193)

Perjanjian atau kerjasama (tahaaluf) ini wujud apabila timbul persengketaan di kalangan kabilah dalam merebut kuasa pengawasan Kaabah, hak penyediaan makanan dan ketenteraan serta pengurusan air zam-zam. Lalu mereka berkumpul dan mengadakan perjanjian atau kerjasama (tahaaluf) untuk tidak merampas hak masing-masing.
  • Hilful Fudhul.
Urutan Perjanjian Mutayyibin, Perjanjian atau kerjasama "fudhul" dimateri untuk menghentikan kezaliman daripada berleluasa di Kota Makkah. Samada Kezaliman itu ke atas penduduk asal Makkah, juga kepada orang-orang asing yang berurusan di Kota Makkah. Mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud'an lantaran beliau seorang yang sangat dihormati dan yang paling tua dikalangan mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya, "Aku telah menyaksikan di Rumah Abdullah bin Jud'an, adanya satu perjanjian atau kerjasama - fudhul - yang aku tidak akan membatalkannya sekalipun aku diberikan seekor Unta Merah. Dan sekiranya perjanjian atau kerjasama itu diajak semula pada masa Islam, maka aku akan menyetujuinya."

Diriwayatkan oleh Ibnu Ishak dari Muhammad bin Zaid bin Muhajir. Hadis ini bertaraf Mursal namun tidak terjejas kerana tadlis Ibn Ishaq. Ibnu Ishaq tidak melakukan kecurangan (tadlis) di sini melainkan beliau telah menyebutkan sanadnya.

Al Imam Suhaili menyebut bahawa Hilful Fudhul adalah sebaik-baik perjanjian atau kerjasama yang pernah di dengar dan perjanjian yang paling mulia dikalangan bangsa Arab. Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al-Ashi bin Wai'l, seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya.

Mengenai kisah Hilful Fudhul ini, suka saya tarik perhatian semua kepada satu analogi :

Saya tinggal di kawasan taman perumahan. Suatu malam rumah saya diceroboh pencuri (waliyazubillah - sebagai contoh). Sejurus saya sedar, saya dapati wang saya hilang sebanyak RM 134.000. Pencurinya seorang perempuan tetapi lariannya ligat dan pantas, lalu saya berteriak, "Tolong! Tolong! Perempuan itu curi wang saya!" Tiba - tiba jiran - jiran saya yang terdiri orang India beragama Hindu namanya Balendran (sekadar contoh) dan juga orang Cina beragama Kristian namanya Vincent (sekadar contoh), malah ramai lagi jiran saya turut keluar mengejar pencuri tersebut sekalipun mereka terdiri dari pelbagai bangsa dan agama yang tidak serupa dengan saya.

Hasrat mereka mahu membantu saya untuk mengejar dan menangkap pencuri itu. Rupa-rupanya bulan lepas rumah mereka juga diceroboh oleh pencuri yang sama. Ada yang lesap RM 100.000 satu malam begitulah juga yang lain dengan jumlah yang tidak sedikit. Mereka sama-sama nekad mahu menangkap pencuri itu. Mereka berkumpul di hadapan rumah saya di Jalan Raja Laut (sekadar contoh), lalu mereka melafazkan ikrar untuk bekerjasama bagi mengejar dan menangkap pencuri tersebut demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Taman perumahan kami.

Kendati pun saya seorang Muslim dan mereka yang menghulur tangan untuk bekerjasama menangkap pencuri licik itu pula terdiri kalangan non-Muslim, Islam membenarkan saya memateri perjanjian kerjasama untuk menangkap pencuri profesional itu. Bodohlah saya yang baru kehilangan RM 134.000 dek kerana pencuri perempuan itu, tiba-tiba saya menolak kerjasama yang dihulurkan oleh non-Muslim yang juga mahu menangkap pencuri yang sama, semata-mata kerana mereka bberbangsa Cina, India dan pula tidak Islam. Saya tidak akan belajar sampai ke Mesir untuk jadi sebodoh itu.

Kenapa UMNO dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP? Bagaimana pula dengan UMNO sendiri yang berselimut TOTO dengan MCA dan MIC? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India? Atau ada yang lebih Cina dari MCA dan terlebih India dari MIC ? Perangai UMNO ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah arab yang diterjemahkan sebagai, "Dia pukul aku dia yang menangis, dia fitnah aku dia yang mengadu."

Begitu juga orang tua-tua pernah bisik pada saya, UMNO ini "Bagai paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih". Tetapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai UMNO ini. Kata mereka, "Paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga".

Siapa sebenarnya menjadi alat dan boneka? Bukankah UMNO menjadi alat dan binatang tunggangan dalam Barisan Nasional?

UMNO pernah menang besar dan memiliki majoriti kerusi berbanding parti Gerakan di Pulau Pinang satu ketika dahulu, tetapi malangnya UMNO menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti Gerakan. Bukankah UMNO menjadi alat dan boneka kepada pihak lain?


Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia