© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Jangan Gopoh Memburu Kemenangan Islam

Jangan Gopoh Memburu Kemenangan Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 23 April 2013


Daripada Abi Abdullah Khabbab bin al Arat beliau berkata, "Kami telah mengadu kepada Baginda S.A.W sedang Rasulullah pada ketika itu sedang berbaring di bawah naungan Kaabah beralaskan serban. Maka kami bertanya; Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?"

Maka berkatalah Rasulullah S.A.W, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruh daging dan tulang-belulangnya, namun demikian mereka tidak memalingkan daripada agama. Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam) sehinggalah permusafiran dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi ditakuti melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kalian adalah golongan yang gopoh." (Riwayat Bukhari)

Keghairahan untuk meraih kemenangan perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita Muhammad S.A.W tentang bagaimana Baginda S.A.W membina kemenangan.

Hadis yang saya bawakan adalah sebagai renungan kita. Ia memaparkan bagaimana sikap Nabi S.A.W di saat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal, apabila para sahabat sering diseksa dengan dahsyat oleh kaum kuffar musyrikin.

Antara mereka ialah Khabbab al Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyeksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh kepada diri Khabbab. Satu ketika Khabbab inilah yang pergi bertemu Nabi S.A.W, ketika Baginda sedang beristerehat di tepian Kaabah lantas bertanya, "Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?"

Sahabat Pemuda sekalian!

Yang bertanya ialah insan yang berjuang malah menghadapi penyeksaan dahsyat oleh musuh-musuh Allah dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba-tiba nilai perjuangannya dijawab oleh Baginda Rasulullah bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyeksaan dari musuh-musuh Allah sehingga ada yang digergaji kepalanya, sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai-berai daging daripada tulangnya, namun mereka tetap mempertahankan agama.

Kemudian Baginda Rasulullah melanjutkan teguran, kamu yang datang meminta-minta agar di doakan kemenangan, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah Taala.

Menghayati Sifat Kemenangan

Kemenangan adalah suatu yang dianugerahkan oleh Allah Taala. Ianya (kemenangan) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah. Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.

Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali-kali tidak kita memetik buah yang belum masak.

Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkerang telur sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini.

Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut, mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang untuk menetas dan akhirnya hidup membesar seperti warga ayam yang lain. Andai kata anak ayam tersebut tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telurnya dari dalam dengan paruhnya yang masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.

Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telur itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluar berderailah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang baginya hidup. Anak ayam itu akan mati angkara sikap gopoh ibunya.

Memahami Syarat Kemenangan

Saya kira demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah Taala setelah kita berjaya mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik dan berkesan.

Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita;
  1. - Gigih berjuang.
  2. Ikhtiar melepasi segala cabaran.
  3. Ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan.
  4. Tabah mendepani ujian serta halangan dan;
  5. Berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.
PRU-13 yang sedang hangat menjadi bual bicara kita saat ini, saya tegaskan bahawa pemenang PRU yang sebenar adalah yang yakini Islam, yang ikut jalan Rasul dan yang ikhlas kepada Allah. Selainnya adalah tewas walau mara ke Putrajaya. Ayuh luruskan langkah.

Syukurlah, PAS berjuang dengan meyakini Islam, bertekad mendaulatkan pemerintahan yang digariskan oleh Allah dan al Rasul dan sentiasa mengingatkan para pejuangnya agar sentiasa membina keikhlasan kepada Allah.

Syukurlah, PAS tidak nasionalis, tidak sekularis, tidak materialis dan tidak berjuang untuk dunia semata-mata.

Mari bersyukur kepada Allah, kita dianugerah berjuang bersama PAS. Itu nikmat tak terperi daripada-Nya. Mari berusaha meyakinkan umat Islam tanpa kenal putus asa agar menerima Islam sebagai cara hidup pilihan terbaik masa kini. Kepimpinan adalah amanah agama yang besar.

UNDILAH PAS



Biodata Penulis


Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz dilahirkan pada 22 Mac 1970. Pernah menerima pendidikan di Madrasah Darul Anuar, Maahad Muhammadi lil Banin, Jami'ah Nadwatul Ulama (Luknow, India), Darul Uloom (Deoband) dan Universiti Al Azhar (Kaherah, Mesir). Di dalam PAS menyandang jawatan tertinggi di dalam pemuda sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-