© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » "Wajib Menderma Untuk Rakyat Syria" - Dr. Solah Sultan

"Wajib Menderma Untuk Rakyat Syria" - Dr. Solah Sultan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 24 March 2013


Saya ingin berkongsi satu program Himpunan dan Solat Hajat Perdana Semarak Syria yang telah berlangsung di Dataran Hayyul 'Asyir, Kaherah di bawah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Program yang dihadiri lebih 300 mahasiswa dan mahasiswi ini telah menampilkan dua tetamu jemputan iaitu Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam di Mesir, Dr. Solah Sultan yang juga Ketua Lajnah Al-Quds di bawah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh ulamak terkenal Prof.Dr.Yusuf Qardhawi. Seorang lagi tetamu iaitu Timbalan Penyelaras Umum Revolusi Syria di Mesir, Dr.Muhammad Khairullah Abdul Hadi yang mewakili rakyat Syria.

Dr. Solah dalam ucapannya mengingatkan bahawa sumbangan dan apa jua bentuk bantuan kepada umat Islam di Syria waktu ini, "...bukan lagi untuk mendapatkan pahala sedekah tetapi telah menjadi kewajipan atas setiap individu muslim".

Beliau sendiri melancarkan tabung bantuan rakyat Syria dan dilihat memasukkan sejumlah wang ke dalam tabung bertujuan menggalakkan mereka yang hadir menderma.

Sebelum beredar, beliau kembali berada di hadapan mikrofon seraya menyeru sumbangan untuk Syria. "Demi Allah, saya bersumpah, tiada dikalangan kalian yang hadir meninggalkan majlis ini kecuali telah menderma sesuatu untuk tabung ini."

Dr. Solah juga mengembalikan cenderahati yang dihadiahkan oleh pihak penganjur kepada beliau untuk dijual dan sumbangannya didermakan kepada tabung Syria. Cenderahati yang berupa hiasan ayat suci Al-Quran itu ditandatangani beliau sebelum meninggalkan majlis dan dibida oleh seorang aktivis PMRAM dari Perak dengan harga tertinggi iaitu LE 6,400.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Dr.Solah berpesan kepada seluruh umat Islam agar memperbanyakkan doa sebagai senjata yang ampuh semoga terdekat ini rejim Syria yang zalim tersungkur menyembah bumi.

"Doa merupakan 'senjata utama' kita. Ia lebih kuat dari roket, peluru berpandu dan semua senjata lain."

Dalam mukadimah ucapan, beliau yang juga Ketua Lajnah Al-Quds Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang diketuai oleh ulamak terkenal, Syeikh Dr.Yusuf Al-Qardhawi itu mengimbau saat-saat kejatuhan rejim Husni Mubarak ketika beliau diminta menyampaikan khutbah Jumaat di Dataran Tahrir pada 11 Februari 2011, iaitu hari Mubarak meletakkan jawatan di hadapan lebih 3 juta rakyat yang keluar hari itu.

"Saya sempat melihat wajah-wajah mereka yang ikhlas, saya memandang ke arah himpunan tersebut lalu saya mendongak ke langit dan saya berbisik di dalam hati dengan penuh yakin bahawa rejim yang berusia 30 tahun itu akan tumbang. Lalu saya berdoa penuh yakin di akhir khutbah maka petang itu juga Mubarak meletakkan jawatan."

Beliau kemudian meneruskan ucapan menjelaskan pemerintah Syria hari ini merupakan golongan 'Alawiyyin iaitu mereka yang mendewakan Saidina Ali.

"Mereka telah menganggap Saidina Ali sebagai Tuhan dan sifat ketuhanan tersebut telah menjelma kepada anak serta keturunan beliau. Lebih malang, mereka juga menganggap Basyar itu sebagai Tuhan dan jelmaan sifat Tuhan berada dalam diri Basyar serta keluarganya."

"Kedua, Basyar dan pembantu-pembantunya adalah zalim dan memerintah penuh dengan kuku besi."

Beliau turut menyanggah angka rasmi korban rakyat Syria yang dikatakan hingga kini berjumlah 60,000 orang.

"Hakikatnya, jumlah korban melebihi 100,000 apabila mereka yang dibunuh termasuk tahanan-tahanan politik yang berada di dalam penjara rejim sebelum ini. Jumlah mereka secara tepat tidak diketahui. Kemungkinan ratusan ribu orang."

Beliau turut mengingatkan apa yang berlaku di Syria adalah masalah bersama kerana Islam mengajar setiap muslim merupakan saudara.

Beliau memberikan perumpaan, jika sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri serta anak-anak menaiki kenderaan, lalu terlibat dalam kemalangan. Walaupun ditimpa kecederaan yang berlainan dan dirawat di hospital yang berlainan namun rawatan mereka semua akan ditanggung bersama.

"(Umat Islam di) Mesir adalah 'ibu' kita, Palestin merupakan 'ayah' kita, Somalia merupakan 'adik' kita, Myanmar merupakan 'abang' kita. Kita semua dari satu keluarga," ujar beliau dengan nada yang tegas.
Dunia Memandang Hina Kebangkitan Rakyat di Syria

Timbalan Penyelaras Umum Revolusi Syria di Mesir, Dr.Muhammad Khairullah Abdul Hadi yang berucap mewakili rakyat Syria berkata, umat Islam di Syria telah dihalau dari tanah air mereka semenjak tahun 80-an lagi apabila rejim Hafiz Al-Asad ketika itu menggubal undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara bahawa mereka yang didapati terlibat dengan gerakan Ikhwan Muslimin akan dihukum mati sama ada lelaki atau wanita, muda atau tua, membawa senjata atau tidak.

Akibat undang-undang kejam yang diluluskan itu, rejim Syria telah melakukan operasi ketenteraan di wilayah Hama pada tahun 1982 yang membunuh lebih 47,000 penduduk dan diikuti operasi-operasi yang lain.

Beliau turut mendedahkan pengkhianatan Iran dan Hizbullah yang membantu sepenuhnya rejim Syria hari ini.

"Iran sejak 1983, seperti yang diumumkan pemimpin tertinggi mereka ketika itu, Ayatullah Khomeini untuk mewujudkan sebuah empayar kekuasaan bermula dari Algeria hingga Azerbijan."
Beliau mendedahkan kenyataan seorang pegawai tertinggi tentera Amerika, kenapakah Iran dan Iraq diserahkan kepada golongan Syiah, jelasnya kerana Syiah tidak mahu membebaskan Al-Aqsa sementara Sunni bercita-cita demikian.

Beliau turut mendedahkan pendirian dunia yang menyebelahi rejim khasnya pemimpin-pemimpin negara umat Islam yang memandang kebangkitan rakyat Syria sesuatu yang menghinakan.

"Ini kerana mereka semua mempunyai kepentingan masing-masing." Ujar beliau yang begitu yakin saat kejatuhan rejim Basyar kian hampir.

Suatu yang memilukan apabila kami berbicara tentang "syabih" atau tali barut upahan rejim. Memang tepat seperti maklumat yang saya perolehi, mereka diupah untuk berada di setiap lapisan masyarakat bahkan di kalangan ulamak juga diupah bagi memberikan maklumat kepada kerajaan sebarang aktiviti yang 'mengancam rejim'.

Tetapi, Basyar telah menggunakan "syabih" ini untuk membunuh. Beliau menyamakan tugas "syabih" dengan "baltojiyah" atau kumpulan samseng di Mesir. Tetapi bezanya, samseng di Mesir dari kalangan rakyat sendiri sementara Syria, mereka datang dari luar dan berfahaman 'Alawiyyin Syiah khasnya dari Iraq (Tentera Al-Mehdi) dan negara Azerbaijan.

Beliau menceritakan peristiwa yang menyayat hati dilakukan golongan "syabih" di Syria, "Mereka akan melakukan operasi menyembelih. Kalau mereka masuk dalam sebuah rumah, terdapat sepasang suami isteri dan 7 orang anak. Lalu "syabih" ini akan meminta suami isteri ini memilih salah seorang daripada 7 anak mereka untuk disembelih. Ibu bapa mereka tiada pilihan kecuali memilih dan anak itu disembelih di hadapan mereka. "Syabih" kemudian meminta suami isteri itu memilih salah seorang daripada baki 6 anak mereka untuk disembelih lagi, lalu setelah dibuat pilihan maka disembelih melalui cara yang sama sehingga dibunuh kesemua 7 anak mereka."

Lalu si isteri pula disembelih di hadapan suami dan akhirnya suami juga dibunuh, demikian sebuah keluarga dibunuh tanpa belas kasihan.


Biodata Penulis

M.Abdul Malik bin Abdul Karim mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Bahasa Arab, Kaherah. Banyak menulis esei berkaitan isu-isu hangat di Timur Tengah, antara buku tulisan beliau bertajuk Mesir Sebelum Dan Selepas Dr.Mursi, Travelog Luka Air Mata Syria dan banyak lagi. Anak kelahiran Kelantan Darul Naim ini memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-