© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Ketegasan Mursi Menggerunkan Kumpulan Samseng (Baltoji)

Ketegasan Mursi Menggerunkan Kumpulan Samseng (Baltoji)

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 27 March 2013


Ketika merasmikan Persidangan Wanita Mesir petang 24 Mac lalu, Presiden Dr.Mursi dilihat berucap dengan nada yang tegas terhadap kumpulan yang cuba menimbulkan suasana huru-hara di Mesir.

Ucapan beliau itu menyusul selepas peristiwa tragis yang berlaku di hadapan Pejabat Induk Ikhwan Muslimin di Muqattam, Kaherah pada Jumaat 23 Mac lalu. Himpunan yang dianjurkan oleh 23 buah parti politik dengan nama "Jumaat Mengembalikan Kemuliaan" itu bertukar menjadi ganas selepas kumpulan samseng menyerang pasukan polis dan menceroboh beberapa buah masjid di sekitar pejabat Ikhwan tersebut. Para pemuda dan sukarelawan Ikhwan Muslimin sejak awal pagi telah membentuk "unit keselamatan" dan menjaga kawasan pejabat yang berharga lebih LE30 juta itu. Selepas kejatuhan rejim Mubarak pada Februari 2011, Ikhwan Muslimin telah membeli sebuah bangunan di kawasan Muqattam yang mempunyai 9 aras untuk dijadikan pusat operasi. Kedudukannya di puncak bukit Muqattam dan berhadapan dengan kubu Salahuddin Al-Ayyubi menggambarkan perancangan tersusun Ikhwan yang bersedia untuk menjadi pemerintah negara itu.

Malangnya, semenjak kemenangan bergaya calon gerakan Islam itu dalam Pilihanraya Presiden Jun tahun lalu, ia semakin dimusuhi oleh beberapa kumpulan dan parti beraliran sekular di Mesir. Paling jelas permusuhan mereka ketika Mesir hangat membincangkan draf perlembagaan baru sehingga saat-saat akhir pungutan suara dilakukan yang memaksa Ikhwan mempersembahkan 11 orang pemuda mereka sebagai korban di hadapan Istana Ittihadiyah yang menjadi pejabat kepada Mursi sebagai benteng bagi mempertahankan Mursi yang dipilih secara sah melalui pilihanraya yang adil dan telus.

Sebelum pungutan suara berlangsung, Mursi berjanji bahawa Mesir akan kembali aman selepas pungutan suara tersebut dan krisis ciptaan yang direka oleh musuh Mursi seperti krisis petrol dan diesel akan kembali pulih.

Setelah gagal melalui propaganda dan dakyah mereka, musuh Ikhwan Muslimin yang menamakan mereka sebagai "kumpulan elit" dari Barisan Penyelamat (baca Barisan Perosak) telah melontarkan cadangan baru agar Pilihanraya Presiden perlu diawalkan. Dakwa mereka, jika Mursi hari ini benar-benar memperoleh sokongan kuat rakyat, Mursi perlu berani meletakkan jawatan dan mengadakan Pilihanraya Presiden yang baru. Hanya belum sampai tempoh setahun?

Sedangkan dalam perlembagaan baru, Mursi akan memegang jawatan satu penggal memakan masa empat tahun dan penggal pertamanya hanya akan berakhir pada tahun 2016. Berdasarkan perlembagaan, Mursi berhak untuk bertanding satu penggal lagi dan maksimum tempoh seseorang itu menjadi Presiden hanya dua penggal atau lapan tahun sahaja.

Rakyat sekali lagi menolak dakyah mereka ini sebaliknya rakyat mahukan Pilihanraya Parlimen terlebih dahulu kerana hampir setahun, Parlimen Mesir kosong setelah diarah bubar oleh Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mei 2012.

Kumpulan pembangkang sama sekali tidak mahu Pilihanraya Parlimen diadakan sekalipun Mursi telah menetapkan akhir April depan akan bermula Pilihanraya Parlimen. Malangnya, mahkamah yang masih dikuasai saki-baki rejim menangguhkan keputusan Presiden.

Kumpulan Barisan Perosak ini sama sekali tidak ingin diadakan Pilihanraya Parlimen kerana dapat menjangkakan kekalahan teruk parti-parti dalam barisan mereka. Sayap politik Ikhwan, FJP awal-awal lagi telah mengumumkan akan bertanding di semua 546 kerusi dan menjangkakan kemenangan 70 peratus dalam keadaan tidak akan membentuk pakatan bersama parti-parti lain. Ini kerana Ikhwan amat yakin mereka mempunyai kekuatan sendiri yang tidak perlu menumpang kekuatan parti lain.

Adapun berkaitan calon Presiden, kumpulan pembangkang melihat mereka boleh mencari seorang calon dari kalangan mereka yang disepakati dan akan membantu memenangkan calon mereka.

Maka, setelah gagal dengan propaganda mereka, taktik lain yang digunakan ialah menggunakan kumpulan samseng bagi membuat kekacauan. Sejak lebih sebulan yang lalu, kumpulan ini dilihat bertempur dengan pasukan keselamatan di Tahrir, jambatan Qasr Aini dan Jalan Kornish di Kaherah.

Paling ganas, mereka cuba beralih lokasi dari berhimpun di kawasan Tahrir ke hadapan Pejabat Ikhwan Muslimin di Muqattam pada Jumaat 23 Mac lalu. Tetapi, zahirnya dinamakan himpunan aman tetapi bagaimana dalam internet terdapat pemilik Facebook dan blogger-blogger pro-sekular ini sampai tahap menggalakkan Pejabat Ikhwan itu dibakar dan dimusnahkan? Terdapat dikalangan mereka yang menyebarkan gambar Pejabat Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) di Tahrir dibakar sewaktu hari-hari Revolusi 25 Januari dan mengandaikan kalau tindakan yang sama dapat dilakukan ke atas pejabat Ikhwan.

Maka pada hari kejadian, kita dapat saksikan bagaimana kumpulan samseng bertindak ganas menyerang pemuda Ikhwan yang berkawal di pejabat mereka. Lebih malang apabila beberapa buah masjid dikepung dan dicerobohi mereka. Seorang imam masjid, Syeikh Farouq salah seorang anggota Ikhwan juga dibelasah. Sesiapa juga yang didapati mempunyai tanda orang Ikhwan atau salafi, maka akan dipukul. Ambulans pula dihalang dari membawa mangsa yang cedera untuk mendapatkan rawatan. Jalan ke Muqattam sama ada dari Sayyidah Aisyah atau dari Madinah Nasr disekat dan kumpulan samseng ini bertindak memecahkan cermin kenderaan yang terdapat di kiri kanan jalan. Empat buah bas milik Ikhwan juga dibakar.

Presiden Parti Wasat, Ir.Abul 'Ela El-Madhi dalam satu ceramah umum parti tersebut pada 24 Mac lalu mededahkan bahawa Presiden Mesir Dr.Mursi pernah memberitahu beliau terdapat rangkaian organisasi yang begitu tersusun terdiri dari kumpulan samseng berjumlah 300,000 orang hanya di wilayah Kaherah sahaja, tidak termasuk wilayah-wilayah lain.

Parti Wasat sebuah parti politik Mesir beraliran Islam dan pecahan dari Ikhwan Muslimin.

Samseng-samseng ini digunakan sepenuhnya untuk kepentingan orang-orang politik khasnya bagi mewujudkan suasana kacau-bilau di dalam negara.

Kita masih ingat seorang ketua rangkaian kumpulan samseng terbesar di wilayah Iskandariah diberkas akhir Ogos 2012. Pejabat Peguam Negara Mesir hari ini telah membawa kes Ketua Samseng Mesir, Sabri Nakhnukh untuk dibicarakan di mahkamah jenayah atas pelbagai kes jenayah berat.

Sewaktu tangkapan dilakukan di rumahnya di Iskandariah, pihak keselamatan telah menemui pelbagai senjata automatik selain lima ekor singa, beberapa ekor harimau dan ular yang berbisa. Kekayaan luar biasa dan kekuasaan yang dimiliki Nakhnukh itu telah menyebabkan akhbar melabelkannya sebagai "Presiden Republik bertaraf samseng".

Di bawah Nakhnukh, dia menguasai 150,000 orang samseng di Iskandariah yang mampu digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan.

Nakhnukh 'dipelihara' sebelum ini oleh beberapa orang kenamaan "fulul Mubarak" walaupun namanya telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Pada zaman Mubarak, Nakhnukh dipelihara oleh Menteri Dalam Negeri masa itu, Habib Adli yang menggunakan kumpulan samseng bagi menjaga kepentingannya dan parti Mubarak. Calon-calon dari parti Mubarak yang bertanding dalam Pilihanraya Parlimen kebanyakkannya menggunakan 'khidmat' Nakhnukh bagi memenangkan mereka dengan bayaran sebanyak LE2 juta bagi memastikan mereka berjaya memasuki Parlimen dan bergelar YB.

Maka rakyat Malaysia jangan tertipu sebarang himpunan yang berakhir dengan keganasan kerana Mursi dan kerajaan Mesir hari ini berulang kali menyatakan rakyat bebas untuk berhimpun secara aman di mana-mana tempat pada bila-bila masa tetapi bukan mengganggu lalulintas, merosakkan harta awam dan ganas. Jawapan kepada siri peristiwa berdarah yang mengorbankan banyak nyawa rakyat sebelum ini telah diketahui. Kita sedia maklum, semua peristiwa berdarah sama ada di Tahrir, Port Said atau di mana-mana didalangi oleh puak samseng tetapi persoalannya siapa mereka dan kenapa aktiviti mereka belum dapat dibasmikan sepenuhnya. Atau adakah mungkin mereka dilindungi oleh individu kenamaan sehingga menyukarkan pihak berkuasa bertindak lebih agresif?



Biodata Penulis

M.Abdul Malik bin Abdul Karim mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Bahasa Arab, Kaherah. Banyak menulis esei berkaitan isu-isu hangat di Timur Tengah, antara buku tulisan beliau bertajuk Mesir Sebelum Dan Selepas Dr.Mursi, Travelog Luka Air Mata Syria dan banyak lagi. Anak kelahiran Kelantan Darul Naim ini memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-