© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Sombong Bukan Akhlak Ahli PAS

Sombong Bukan Akhlak Ahli PAS

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 21 July 2015


Sombong, bongkak, angkuh, atau takabbur mempunyai satu kategori yang sama, iaitu tergolong dari sifat mazmumah (sifat-sifat tercela atau keji). Sifat ini, walaupun jika terdapat unsurnya yang sedikit sekalipun ia akan mendatangkan kebencian dan kemurkaan Allah Taala, malah sifat mazmumah tersebut boleh menghalang kita mendapat Syurga dan menghapuskan segala amal kebajikan kita. 

Firman Allah Taala :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Dan Tuhan kamu berfirman; Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankannya. Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina-dina.” (surah al-Ghafir: 60).

1
Pengenalan

Di dalam Ihya’ Ulum al-Din, sifat sombong atau takabbur boleh dibahagikan kepada dua bahagian:-
  1. Takabbur Zahir dan;
  2. Takabbur Batin.
Takabbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam menghina orang yang dianggap level-nya lebih rendah daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan seperti tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan releven sepanjang masa, serta tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat yang baik. Dalam kitab Ri’ayat al-Himmah, Ahmad Rifa’ie menyebutkan bahawa takabbur merupakan penyakit hati yang boleh mengakibatkan dosa besar. Di antara perbuatan takabbur itu ialah menghina orang-orang soleh, alim ulama’ atau orang-orang yang dijadikan sebagai tauladan menghayati agama. sabda Rasulullah saw;
الْكِبْرَ مَنْ بَطِرَ الْحَقَّ وَغَمَطَ النَّاسَ
“Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk.” (sunan Abi Daud)

Allah telah melarang bahkan juga membenci sifat takabbur sebagaimana firman-Nya;
وَلاَ تَمْشِ فِي الأَرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولاً. كُلُّ ذَلِكَ كَانَ سَيِّئُهُ عِندَ رَبِّكَ مَكْرُوهًا
“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan setinggi gunung. Semua itu kejahatan yang amat dibenci di sisi Tuhan.” (al-Isra’: 37-38)

Takabbur batin ialah membesarkan diri dalam hati. Inilah maksiat hati yang sangat dibenci dan dicela, layak tempatnya di dalam neraka. Contohnya iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam as. Lalu dengan angkuhnya dia enggan tunduk kepada Nabi Adam as sehingga menyebabkan Allah melaknat Iblis dan seluruh pengikut-pengikutnya. Oleh kerana itu, sifat mazmumah ini adalah sifat yang paling bahaya jika ia dimiliki oleh manusia, kerana sifat ini merupakan sifat warisan Iblis yang akhirnya menempah neraka buat selama-lamanya.

Sombong adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pemimpin jamaah terutamanya. Ditakuti melalui tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut buruk. Sifat ini boleh membawa kebinasaan kepada petugas dan pemimpin jamaah. Kerana sifat takbur ia menjadi benteng penghalang masyarakat untuk rapat dengan dia dan jamaah.

Orang yang takbur mereka lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis qudis yang diriwayatkan Imam Muslim;
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ، يَقُولُ: الْكِبْرِيَاءُ رِدَائِي، وَالْعَظَمَةُ إِزَارِي، فَمَنْ نَازَعَنِي وَاحِدًا مِنْهُمَا أَدْخَلْتُهُ النَّارَ
Allah berfirman; Kesombongan selendang-Ku, Keangkuhan pakaian-Ku. Sesiapa yang merampas salah satu dari keduanya maka Aku akan menyeksanya di neraka.

2
Tanda-Tanda Sifat Takabbur
  • Tidak mahu bergaul dengan orang yang tidak popular sebaliknya suka memandang berat kepada golongan terkenal dan orang kenamaan. Yakni memilih-milih untuk berkawan dengan orang yang satu ‘level’ atau sama taraf dengannya. Dia suka dengan orang yang mahu mendengar dan mentaati kata-katanya. Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk sama atau semajlis dengannya.
  • Mengambil berat secara berlebihan dalam penampilan dan berpakaian.
  • Tidak mahu berucap melainkan dalam perhimpunan yang dihadiri ramai orang.
  • Menggunakan bahasa yang payah dan berbunga-bunga dengan berlebihan sehingga sukar difahami. Inilah yang diperingakant oleh Rasulullah saw;
إنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُبْغِضُ الْبَلِيغَ مِنْ الرِّجَالِ الَّذِي يَتَخَلَّلُ بِلِسَانِهِ كَمَا تَتَخَلَّلُ الْبَقَرُ بِلِسَانِهَا
Sesungguhnya Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang memilih (kata-kata) dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih (rumput) dengan lidahnya, - riwayat Abi Daud dan al-Tirmizi
  • Kagum dengan ilmu sendiri, memuji diri sendiri, suka bercerita tentang travelog kelebihan dirinya yang dan selalu puas dengan kelebihannya agar dikagumi oleh orang lain. Sebaliknya apabila mendengar pendapat orang lain ia mudah marah dan emosional. Bila berlaku perbincangan dua hala, cepat tersinggung, tidak beradab dan membodohkan orang lain.
  • Suka membesar-besarkan kesalahan orang lain. Menjatuhkan air muka mereka dengan cara menjaja kesalahan-kesalahan mereka supaya semua orang tahu kelemahan sahabatnya di mata orang lain.
  • Suka dihormati. Tersinggung jika tidak dihormati. Tetapi dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain. 
  • Suka memutuskan hubungan silaturrahim dengan cara tidak menghargai pemberian orang lain seperti mematahkan kad ahli PAS dan mengoyak bukti keahlian PAS di media sosial.
3
Cara Mengubat Wabak Takabbur

Untuk mengatasi penyakit ini kita mesti bersifat tawaddhu’. Orang yang  tawaddhu’ dia hidup dengan semua kategori manusia dan bersedia menyambut semua orang, bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan mengasihi semua orang. Dia memberi khidmatnya kepada seluruh jenis manusia tanpa mengira tinggi atau rendah pangkatnya. Dia sentiasa berhubung dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka.

Sebagai ahli PAS, kita hendaklah mesti bersikap rendah diri sama ada sesama anggota atau dengan orang lain lebih-lebih lagi yang bertaraf pemimpin. Rai-kanlah seluruh ahli PAS kerana bukan wang yang mereka minta. Mereka hanya perlukan senyuman, teguran dan sentuhan daripada pemimpin. Mereka tidak minta upah semasa mereka memenangkan kita sebagai wakil rakyat. Mereka meninggalkan kerja harian, untuk bertugas kepada calon yang bertanding, walaupun keluarga mereka memerlukan perbelanjaan harian. Mereka tidak pernah merungut dan mengeluh terhadap curahan tenaga mereka yang tidak pernah dibayar.

Walaupun kita bijak macam mana sekalipun, dia  perlu membuang sifat ego daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu jamaah Islam, bukan badan kerajaan atau swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja secara sukarela bukan ada gaji. Apabila ini dapat dibuktikan dalam jamaah, ia akan merancakkan kerja jamaah dan dapat melebarkan pengaruh PAS kepada orang luar. Sekiranya  ahli dan pemimpin PAS dengan sifat ego dan merasakan dirinya pandai dan bijak maka ia tidak akan boleh membawa parti ke arah yang lebih cemerlang. Orang ego dan sombong tidak boleh kekal lama dalam PAS dan memajukan jamaah dengan lebih cemerlang. Malahan akan memalapkan usaha dan perancangan jamaah.

Abdullah Ibn Mas’ud ra ada menyebut dua perkara yang membinasakan manusia iaitu sikap berputus asa dan rasa bangga diri;
الهلاك في اثنتين، القنوط والعجب

Sifat tawaddhu’ akan membuka hati mad’u untuk tertarik dengan apa yang dibawa oleh PAS. Apabila bertemu dengan orang ramai, dia yang memulakan salam dengan semua orang yang ditemuinya, bersikap  sederhana ketika berkumpul dengan orang-orang fakir dalam satu majlis, makan dengan apa yang dihidangkan kepadanya, dan berjalan di atas muka bumi dengan rasa rendah hati. 

Firman Allah Taala :
وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلامًا
“Dan hamba Allah yang baik (yang diredhai-Nya); ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan (kesejahteraan).” (al-Furqan: 63)

Rasulullah saw bersabda;
إِنَّ اللَّهَ أَوْحَى إِلَيَّ أَنْ تَوَاضَعُوا، حَتَّى لَا يَفْخُرَ أَحَدٌ عَلَى أَحَدٍ
“Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawaddhu' sehingga seorang tidak merasa megah terhadap seorang yang lain, dan juga tidak bersikap melampau di antara seseorang dengan seorang yang lain.” - riwayat Muslim dan Abi Daud

Imam Ghazali r.hm telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya. Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Biodata Penulis

Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad merupakan Exco PAS Pusat. Beliau pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Fakulti Pengajian Islam (FPI) dalam pengajian sarjana dan menjadi pensyarah di sana. Pendakwah sepenuh masa dalam lapangan tarbiyah dan siyasah. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-