© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Bagaimana Allah dan Para Malaikat bersalawat ke atas Nabi?

Bagaimana Allah dan Para Malaikat bersalawat ke atas Nabi?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 15 February 2013


Setiap kali kita menunaikan Solat Jumaat, kita akan sama-sama mendengar seruan bilal ditugas mengingatkan para makmum sebelum khatib berkhutbah dengan pelbagai ingatan. Antaranya yang kerap dituturkan ialah bacaan firman Allah Taala yang berbunyi;
إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad sallallahualaihi wasallam); wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (surah al-Ahzab ayat 56)

Ayat di atas adalah ayat al-Quran, ayat itulah kebanyakan bilal di masjid seluruh Malaysia membacakannya. Akan tetapi makna salawat yang sebenarnya dalam ayat tersebut, berbeza daripada satu ke satu yang lainnya. Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad, tidak seperti salawat Para Malaikat. Dan salawat Para Malaikat ke atas Nabi sallallahualaihi wasallam, tidak sama seperti salawat umat Muhammad ke atas Nabi mereka. Semuanya berlainan walaupun istilah asalnya masing-masing adalah “salawat”.

Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad bukan dengan kata-kata seperti yang kita menyebutnya dalam ungkapan salawat yang terkenal. Salawat Allah ke atasnya bermaksud Allah sentiasa memberikan kepadanya kebaikan dan kerahmatan daripada hidupnya sehingga wafatnya dan sehingga pada hari-hari Baginda hidup dalam alam barzakh sehinggalah ke Hari Kiamat.

Inilah yang disebutkan dalam kitab Imam al-Qurtubi di dalam Tafsirnya;
إن معنى ذلك: أن الله يرحم النبي، وتدعو له ملائكته ويستغفرون، وذلك أن الصلاة في كلام العرب من غير الله إنما هو دعاء
“Sesunggunya makna tersebut (salawat Allah dan Malaikat kepada Nabi) bermaksud bahawasanya Allah Taala merahmati Nabi (turunnya rahmat Allah dan keredhaan-Nya kepada Nabi sepanjang masa) didoakan Para Malaikat agar diampunkan-Nya. Itulah makna al-Solat dalam konotasi Arab selain Allah bermaksud doa.”

Perkataan salawat berasal daripada perkataan bahasa Arab: (الصلوات)‎, yang diambil daripada perkataan solat (الصلاة‎) yang bererti doa ataupun pujian.

Ada juga yang menafsirkan dengan maksud taufik yakni petunjuk dari Allah untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya;
هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا
“Dialah yang bersalawat kepadamu (wahai manusia) dan Malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.” (surah al-Ahzab ayat 43)

Para Malaikat sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebaikan dan keampunan Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam sepanjang zaman. Ada pun salawat umat (kita) Muhammad kepada Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam adalah dengan menyebut salawat yang terkenal itu, yang di dalamnya mengandungi doa kepada Allah, agar Allah menurunkan rahmat dan kesejahteraan-Nya kepada Baginda. Kita juga memohon agar Allah membesarkan dan memuliakan Nabi Muhammad sepanjang masa. Contoh salawat yang diajarkan Nabi kepada umatnya seperti salawat al-Ibrahimiyah, salawat yang sering kita bacakan ketika bacaan tahiyyat sewaktu sembahyang;
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمِ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ

Sesungguhnya istilah salawat begitu unik. Ia boleh dipakai untuk tiga situasi yang berbeza. (1). Allah; (2). Malaikat, dan; (3). Umat manusia. Yang penting kita menghayati dan memahami bahawa Rasulullah sallallahualaihi wasallam itu makhluk istimewa pilihan Allah, yang Allah sendiri menjanjikan bahawa Dia sentiasa mencurahkan rahmat kepada Baginda, hari hidupnya, ke alam kuburnya sehinggalah ke Hari Akhirat.

Malah Para Malaikat sentiasa memohon kepada Allah Taala agar dilimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Di hujung ayat tersebut, selepas Allah dan Malaikat bersalawat ke atas Nabi Muhammad, maka Allah menyeru kita, orang-orang beriman supaya mengucapkan salawat dan salam yang makruf.

Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda;
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Sesiapa yang bersalawat ke atasku satu salawat, maka Allah merahmatinya dengan 10 rahmat.(riwayat Muslim)

Dalam hadis lain mengukuhkan;
 مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً؛ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
Siapa yang bersalawat kepadaku satu kali, maka Allah akan bersalawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)-nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat (di syurga-Nya kelak).(riwayat al-Nasaie & Ahmad)

Dalam hadis yang lain lagi disebutkan sebagai pengukuhannya;
 لا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا، وَلا تَجْعَلُوا قَبْرِي عِيدًا، وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلاتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ
“Janganlah kamu menjadikan rumah-rumahmu sebagai kuburan, dan janganlah kamu menjadikan kuburanku sebagai persidangan hari raya. Bersalawatlah kepadaku, kerana salawatmu sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada.(riwayat Abi Daud)

Oleh kerana itu, para ulama dalam memperhalusi persoalan selawat ke atas Nabi Muhammad itu wajib atau sunat, tidak berlaku khilaf (perselisihan) daripada kalangan ulama, bahawa salawat ke atas Nabi Muhammad itu adalah wajib, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam hidup seharian, bersalawat adalah sunat muakkad.

Dalam sebuah hadis yang dinyatakan oleh Ibnu Mardawaih bahawa beliau mengkhabarkan;
صَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلاتَكُمْ عَلَيَّ زَكَاةٌ لَكُمْ
“Bersalawatlah kamu kepadaku, karena salawatmu itu menjadi zakat (pembersih dosa) untukmu.”

Bahkan Rasulullah sallallahualaihi wasallam mengajarkan umatnya berdoa secara tertib iaitu memulakan puji-pujian kepada Allah kemudian salawat ke atas Nabi sallallahualaihi wasallam;
إذَا صَلَّى أحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ اللهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيهِ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ، ثُمَّ لِيَدْعُ بَعْدُ بِمَا شَاءَ
“Bilamana salah seorang di antara kalian solat (berdoa) maka hendaklah ia memulainya dengan pujian dan sanjungan kepada Allah lalu bersalawat untuk Nabi, kemudian berdoa setelah itu dengan apa saja yang ia inginkan.” (riwayat Abi Daud, al-Tirmizi, Ahmad dan Hakim dalam Mustadrak)

Kemudian Anas bin Malik radhiallahu anhu meriwayatkan bahwa Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda:
كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوبٌ حَتَّى يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ
“Semua doa akan terhalang sehinggalah dibacakan salawat kepada Nabi Muhammad.”

Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda;
اَلْبَخِيْلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ
“Orang yang bakhil itu adalah orang yang ketika disebut namaku dia enggan bersalawat.” (riwayat al-Tirmidzi).

Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda lagi;
رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ
“Jatuhlah kehinaan bagi seseorang yang bila namaku disebut dekatnya, namun dia tidak bersalawat kepadaku.” (riwayat al-Tirmidzi)

Umar al-Khattab radhiallahu anhu berkata bahawa Nabi bersabda;  
إِنَّ الدُّعَاءَ مَوْقُوفٌ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ لا يَصْعَدُ مِنْهُ شَيْءٌ حَتَّى تُصَلِّيَ عَلَى نَبِيِّكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم 
“Sesungguhnya doa itu tertahan-tahan di antara langit dan bumi, dan tidak ada yang boleh menaikkannya, sehinggalah dibacakan salawat untuk Nabi kamu sallallahualaihi wasallam.” (riwayat al-Tirmidzi)

Biodata Penulis

Prof. Dato Dr. Haron Din merupakan Naib Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cemerlang daripada Universiti Darul Ulum Kaherah (1972-1974). Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-