Headlines Articles :
Home » , » Kisah Khalifah Adil Umar al-Khattab Membuka Kota al-Quds

Kisah Khalifah Adil Umar al-Khattab Membuka Kota al-Quds

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 31 January 2013


Peperangan Yarmouk adalah pertempuran yang berlaku antara tentera Islam dan tentera Rom. Ketika itu, 41’000 tentera Islam berjaya menewaskan 70’000 tentera Rom. Kekalahan tentera Rom di Yarmouk menjadikan peluang penguasaan umat Islam terhadap Bait al-Maqdis terbuka luas. Rom ingin menamatkan penguasaan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan kota al-Quds kepada umat Islam. Bagaimanapun, rakyat Iliya’ (Iliya’, nama Jerusalem ketika itu) yang diketuai Patriarch Sophronius, seorang bishop yang mempertahankan Jerusalem, enggan menyerahkan Bait al-Maqdis kepada umat Islam kecuali kepada mereka yang memiliki sifat-sifat khusus seperti yang terkandung di dalam kitab kepercayaan mereka.

Ditakdirkan Allah swt, sifat-sifat khusus tersebut dimiliki oleh Khalifah Umar al-Khattab ra. Justeru rakyat Iliya’ menuntut khalifah sendiri mengambil kunci al-Quds dari tangan mereka. Mereka berandaian, khalifah umat Islam akan menolak syarat tersebut dan melakukan penjarahan terhadap Kota al-Quds sebagaimana empayar-empayar yang pernah wujud sebelum Islam, seperti Parsi dan Rom. Ternyata jangkaan mereka meleset. Ada riwayat lain mengatakan bahawa rakyat Iliya’ tidak meminta Khalifah Umar pergi ke al-Quds, kerana perjalanan yang jauh dari Madinah ke al-Quds mengambil masa 40 hari. Riwayat tersebut mengatakan Abu Ubaidah, ketua panglima Islam sebagai orang yang layak mengambil kunci al-Quds selain Umar.

Bagaimanapun riwayat yang mahsyur mengatakan, Abu Ubaidah bin Jarrah ra yang ketika itu telah menguasai Syam menjemput sendiri Khalifah Umar agar hadir ke Kota Jerusalem dan memenuhi permintaan rakyat Iliya’. Pada ketika itu Abu Ubaidah telahpun membahagikan wilayah-wilayah Syam kepada empat bahagian:
  1. Wilayah Dimashq dikepalai oleh Yazid bin Abi Sufyan ra.
  2. Wilayah Palestin dikepalai oleh Amru ibn al-Ash ra.
  3. Wilayah Jordan dikepalai oleh Syurahbil bin Hasanah ra.
  4. Wilayah Homs dikepalai oleh beliau sendiri (Abu Ubaidah) di samping melantik Khalid al-Walid ra sebagai pembantunya (selepas dipecat oleh Umar al-Khattab ra).
Sebelum Khalifah Umar berangkat menuju ke Jerusalem, beliau telah bermusyawarah bersama para sahabatnya tentang permintaan khusus rakyat Iliya’. Uthman ibn Affan ra mencegah Umar pergi ke al-Quds, tetapi Saidina Ali bin Abi Talib mengusulkan cadangan lain yang kemudiannya diterima oleh Umar; iaitu melakukan rapat umum bersama rakyat Iliya’. Sementara pemergian Umar ke Jerusalem, beliau telah melantik Saidina Ali bin Abi Talib menggantikan tugas kekhalifahannya untuk menjaga penduduk-penduduk Islam di Madinah. Lantikan tersebut merupakan usulan Uthman kepada Umar.

Di sinilah hikayat gemilang kisah agung pembukaan Kota al Quds yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah Islam ke-2 yang pernah mendapat gelaran al-Faruq ini, dipuji Baginda saw sebagaimana sabdanya:
إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ الْحَقَّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ
“Sesungguhnya Allah Taala menempatkan kebenaran pada ucapan Umar dan hatinya.” (riwayat al-Tirmizi)

Khalifah Umar al-Khattab tidak pergi ke Bait al-Maqdis dengan ketumbukan tentera, bukan juga dengan pakaian yang mewah-mewah dan kehebatan kerajaannya. Tetapi beliau datang dengan hanya menaiki seekor unta, dan ditemani pembantunya sahaja. Bagaimanapun riwayat yang mengatakan Umar pergi bersama pembantunya adalah riwayat yang lemah sekalipun mahsyur disebut di dalam kitab-kitab tarikh termasuklah Tarikh Ibnu Kathir. Riwayat tersebut mengatakan bahawa Umar dan pembantunya bergilir-gilir menaiki unta. Ketika Umar menaiki unta, pembantunya berjalan sambil memandu pedati unta tersebut. Manakala ketika pembantunya naik unta, Umar pula yang akan berjalan memandu pedati untanya itu. Giliran dilakukan dengan cara menghabiskan bacaan ayat-ayat al-Quran daripada surah Yassin. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan pembantunya sehingga sampai ke kota al-Quds. Wallahua’lam.

Di dalam riwayat lain, sejarah pembukaan al-Quds yang dinyatakan oleh Ibnu al-Jauziy, tidak pula dinyatakan pemergian Umar ke al-Quds ditemani oleh seorang pembantu. Apa yang paling utama tauladan daripada pemergian Umar ke al-Quds adalah dengan cara yang sungguh menginsafkan.

Sebelum sampai ke al-Quds, Umar telah melalui khemah tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah ra di Jabiya. Abu Ubaidah merupakan salah seorang Sahabat Nabi yang termasuk dalam senarai 10 orang yang mendapat jaminan syurga. Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar berdebu dan calar-balar akibat perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan kepada Umar untuk mengapitnya sehingga ke gerbang utama al-Quds, “Wahai Amir al-Mukminin, jika kamu memerintahkan agar kami memapah (memandu perjalananmu) nescaya kami akan lakukan. Mereka (penduduk al-Quds) tentu melihat kemegahan kamu sebagai khalifah.”

Umar merenung Abu Ubaidah, dengan wajah yang sangat tegas terbitlah kata-kata Umar yang mahsyur kepadanya:
أولو غيرك يقولها يا أبا عبيدة، إنكم كنتم أذل الناس، وأحقر الناس، وأقل الناس، فأعزكم الله بالإسلام، فمهما تبتغون العزة في غيره، أذلكم الله
Kalaulah bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah (nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran). Sesungguhnya kita semua ini adalah sehina-hina manusia, adapun kamu semua dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah.

Di Jabiya Umar al-Khattab ra menyampaikan khutbahnya kepada tentera-tentera Islam:
أيها الناس أصلحوا سرائركم تصلح علانيتكم، واعملوا لآخرتكم تُكْفَوْا أَمْرَ دنياكم؛ فمن أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة فإن الشيطان مع الواحد، وهو من الاثنين أبعد؛ ولا يخلون أحدكم بامرأة فإن الشيطان ثالثهما
“Wahai jamaah manusia, perbaikilah hal-hal yang tersembunyi dalam diri kalian nescaya akan baik yang zahir dari diri kalian, bekerjalah untuk akhirat maka urusan dunia akan sentiasa mencukupi; sesiapa yang menginginkan syurga hendaklah bersama jamaah, sesungguhnya syaitan bersama orang  yang sendirian, dan ia menjauh orang yang berdua; tetapi jangan pula kalian berdua-duan dengan kaum perempuan, kerana syaitan menjadi teman yang ketiganya.”

Umar al-Khattab ra meneruskan perjalanan meninggalkan perkhemahan tentera Islam di Jabiya. Seorang lelaki Yahudi tiba-tiba menyapa Umar dan berkata:
يا أمير المؤمنين، إنك لا ترجع إلى بلادك حتى يفتح الله عليك إيلياء
Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya engkau tidak akan kembali ke negerimu (Madinah) sehinggalah Allah membukakan kepadamu kemenangan di Iliya’.

Umar menghentikan untanya apabila tiba di hadapan gerbang Jerusalem. Kemudian beliau berjalan menemui rakyat Iliya’. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin umat yang tidak pernah dilihat di sepanjang sejarah empayar-empayar besar Rom dan Parsi. Mereka menyangka Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar dan sejumlah kebanggaan di raja seperti emas, mahkota, permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya. Tetapi Umar, datang dengan baju yang sudah lusuh dan berdebu, manakala kedua-dua kakinya calar-balar akibat perjalanan yang jauh. Rakyat Iliya’ merasakan perbezaan yang sangat jelas antara peribadi Umar al-Khattab ra dengan semua raja-raja yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini.

Khalifah Umar menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi daripada rakyat Iliya’. Kemudian Umar melakukan kesepakatan tentang jaminan keamanan dan kebebasan beribadah di sana. Perjanjian itu dikenali sebagai al-‘Uhdah al-Umariyah (The Umariyyah Covenant).
بسم الله الرحمن الرحيم، هذا ما أعطى عبد الله عمر أمير المؤمنين أهل إيلياء من الأمان -وإيلياء هي القدس- أعطاهم أمانا لأنفسهم وأموالهم، ولكنائسهم وصلبانهم، وسقيمها وبريئها وسائر ملتها، أنه لا تسكن كنائسهم ولا تهدم، ولا ينتقص منها ولا من حيزها، ولا من صليبهم، ولا من شيء من أموالهم، ولا يكرهون على دينهم، ولا يُضَارّ أحدٌ منهم، ولا يسكن بإيلياء معهم أحد من اليهود
“Dengan nama Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Inilah jaminan keamanan yang diberikan oleh hamba Allah, Umar Amir al-Mukminin, terhadap penduduk Iliya’ (al-Quds), aku memberikan jaminan keamanan bagi jiwa raga dan harta benda mereka. Termasuklah gereja-gereja serta perkakas kepercayaan mereka, sama ada yang rosak atau elok, serta seluruh tradisi kepercayaan mereka. Gereja-gereja mereka tidak akan dihuni (dirampas) atau dihancurkan, tidak akan dikurangi ataupun diubah. Tidak akan dirampas salib dan harta benda mereka, walaupun sedikit. Mareka tidak akan dimusuhi kerana keyakinan agama, mereka tidak akan diganggu atau diancam walau seorangpun dari mereka. Tidak diizinkan bangsa Yahudi untuk tinggal bersama mereka di Iliya’, meskipun hanya satu orang.”

* Bangsa Yahudi tidak dibenarkan tinggal di al-Quds kerana persengketaan yang sengit mereka dengan rakyat Iliya’, dan itulah sebagaimana yang dikehendaki oleh masyarakat awam di al-Quds. Seterusnya;
وعلى أهل إيلياء أن يعطوا الجزية كما يعطي أهل المدائن، وعليهم أن يخرجوا منها الروم، ومن أحب من أهل إيلياء أن يسير بنفسه وماله مع الروم ويخلي بيعهم وصلبهم فإنهم آمنون على أنفسهم حتى يبلغوا أمنهم، ومن أقام منهم فعليه مثل ما على أهل إيلياء
“Kepada penduduk  Iliya’, mereka diwajibkan membayar jizyah, sebagaimana yang pernah diberikan oleh penduduk kota-kota yang lain. Menjadi kemestian kepada mereka untuk mengusir bangsa Rom (atau mana-mana kaum yang menjajah). Siapa di antara kalian yang lebih suka beredar dari al-Quds bersama bangsa Rom, mereka dijamin keselamatannya, nyawa serta hartanya, sehingga mereka mencapai tempat yang aman. Siapa yang mahu tetap tinggal di al-Quds mereka mestilah membayar jizyah sebagaimana yang diwajibkan terhadap rakyat Iliya’.”
وعلى ما في هذا الكتاب عهد الله وذمة رسوله وذمة الخلفاء وذمة المؤمنين إذا أعطوا الذي عليهم من الجزية، شهد على ذلك خالد بن الوليد، وعمرو بن العاص، وعبد الرحمن بن عوف، ومعاوية بن أبي سفيان وكتب وحضر سنة خمس عشرة
“Apa yang tertulis di dalam perjanjian ini dilindungi oleh Allah, jaminan Rasul-Nya, jaminan para khulafa, serta jaminan kaum Mukminin, jika mereka memberikan jizyah yang diwajibkan ke atas mereka. Perjanjian ini disaksikan oleh Khalid bin al-Walid, ‘Amru bin al-‘Ash, Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan serta perjanjian ini ditulis pada tahun 15 Hijriyah.”

Inilah jaminan hak dan keselamatan umat Islam kepada rakyat Iliya’. Rakyat Iliya’ diwajibkan membayar jizyah, manakala yang telah memeluk Islam pula wajib membayar zakat. Al-Quds kemudiannya menjadi tanggungjawab kepada umat Islam untuk memeliharanya daripada ancaman dan pencerobohan musuh. Setelah persepakatan itu dipersetujui oleh rakyat Iliya’, Khalifah Umar berangkat menuju ke Bait al-Maqdis, salah satu tempat yang menjadi wasiat Rasulullah saw kepada umat Islam agar menziarahinya. Rakyat Iliya’ mempelawa Umar melaksanakan solat di Holy Sepulchure / Gereja al-Qiamah (tempat maqam suci Jesus yang didakwa oleh penganut Kristian). Tetapi ajakan itu ditolak Umar, khuatir perbuatannya akan menjadi hujjah generasi Islam untuk mengubah gereja menjadi masjid. Umar meninjau-ninjau kawasan Gereja al-Qiamah dan berjalan sepanjang 500 meter menuju ke selatan, lalu beliau melakukan solat di tempat perhentiannya. Kawasan tersebut kini dikenali dengan nama Masjid Umar dan pernah dibakar oleh Yahudi dalam pada 21 Ogos 1969.

Genap 10 hari Khalifah Umar al-Khattab bersama tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al-Quds dengan aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan amal ibadah dan kesyukuran kepada Allah swt. Salah seorang tentera Islam melihat Umar menangis, Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?

Jawab Umar:
نعم ذكرت حديث رسول الله صلى الله عليه وسلم؛ والله ما الفقر أخشى عليكم ولكن أخشى أن تبسط عليكم الدنيا كما بسطت على الذين من قبلكم فتنافسوها كما تنافسوها الذين من قبلكم فتهلككم كما أهلكتهم
“Iya (aku menangisi kemenangan ini), aku teringat Rasulullah saw pernah bersabda; demi Allah, bukanlah kekurangan (harta benda) yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada diri kalian sebagaimana yang diperolehi oleh umat-umat sebelum kalian. Lalu (akibatnya) kalian saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia