© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Apa Tuntutan Mustahak Dari Kalimah Allah?

Apa Tuntutan Mustahak Dari Kalimah Allah?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 31 January 2013


Dua tahun lalu (2010), isu kalimah Allah pernah menjadi isu yang paling hangat diperkatakan sehingga berlaku tindakan-tindakan agresif seperti perbuatan membakar gereja, menghina kemurnian masjid dan surau dengan cara meletakkan kepala babi dan sebagainya. Saiduna Umar al Khattab radiAllahu anhu pernah bertanya kepada salah seorang Sahabat, “Tahukah kamu perkara yang boleh membinasakan Islam?”. Mereka menjawab, “Tidak wahai Umar”. Lalu Umar berkata, “Islam dibinasakan dengan ketergelinciran intelek (ilmuan yang mulutnya mendahului akalnya), perdebatan orang munafik terhadap al Quran, dan undang-undang pemerintah yang menyesatkan” - Riwayat ad Dailami

Kerana citra yang merosakkan itu berawal dari kefahaman dan cara berfikir seseorang, maka Allah memberi amaran bahawa soal hukum-hakam bukanlah perkara yang sewenang-wenangnya diputuskan hanya melalui sangkaan, agak-agak, rasa-rasa ataupun sokongan politik penguasa. Firman Allah Taala :

"Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya." (An Nahl:116)

Polemik Kalimah Allah Adalah Perkara Ijtihadiyyah

Sabda Rasulullah S.A.W, "Sesiapa yang berijtihad, lalu ijtihadnya benar akan dapat dua pahala, Sesiapa yang berijtihad, lalu ijtihadnya salah akan dapat satu pahala." - Riwayat Muslim

Polemik kalimah Allah yang berlaku pada tahun ini memasuki fasa kedua dan apa yang mustahak perlu kita ketahui ialah isu kalimah Allah adalah isu "ijtihadiyyah". - Ijtihadiyyah - iaitu perkara baru, yang tiada nas mengharamkan pada masa turunnya wahyu (yakni sebelum kewafatan Rasulullah S.A.W). Maka ulama Islam hari ini, ada di antaranya yang mengambil jalan - saddu az zarai’e - (menutup kemudharatan), ada juga yang bersifat terbuka dengan matlamat kepentingan dakwah sejagat. Ini kerana, risalah Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi S.A.W itu sifatnya universal, bukannya selektif!

Pendekatan ini disuarakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang saya rekodkan pada tahun 2010, "Kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh diizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan  bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, seterusnya dikira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah Allah di hadapan umat Islam..."

Mungkin di antara kita ada yang tidak bersetuju malah mungkin ramai yang sinikal sebelum ini dengan kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Begitupun apa yang disuarakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang punya nilai keabsahannya, berbeza dengan sikap sebahagian individu yang menyemai kelakuan berdasarkan pepatah, ‘berpatah arang berkerat rotan’, ‘membujur lalu melintang patah’!

Dengan mengambil renungan dan iktibar dari apa yang pernah ditunjukkan oleh para Sahabat kepada Nabi S.A.W, iaitu peristiwa Baginda bersetuju memberikan kerjasama kepada Kafir Quraish dalam proses ‘Sulh Hudaibiyyah’. Umum melihat antara isi penting peristiwa itu ialah usaha Nabi S.A.W untuk mencapai - "apa yang paling diperlukan oleh dakwah" - , iaitu masyarakat yang tenteram dan aman dari peperangan. Baginda sanggup kehilangan beberapa sub-maslahah demi maslahah yang paling utama iaitu keharmonian masyarakat berbilang kabilah.

Islam mengajarkan umatnya BUKAN UNTUK BERPERANG terhadap sesuatu kaum KERANA perbezaan agama, ataupun kerana berbeza pendapat dan cara, tetapi umat Islam berperang apabila mereka dimusuhi, dizalimi dan diperangi, ataupun ada sesuatu kaum yang mengisytiharkan pendirian untuk memerangi Islam, baharulah waktu itu tiada lagi bahasa yang lunak kecuali kita semua wajib mengangkat senjata.

Islam menuntut umatnya membela bangsa lain yang dianiaya, dizalimi sekalipun bangsa tersebut tidak beragama Islam. Sebagai bukti Amru bin Al 'As di utuskan Saiduna Umar al Khattab agar membebaskan Mesir dari kezaliman Rom, sekalipun rakyat Mesir ketika itu tidak memeluk Islam bahkan majoritinya mereka beragama Nasrani - Kristian -. Maka, kita tidak dituntut oleh Islam untuk memusuhi agama lain disebabkan berbeza anutan.

Baginda S.A.W menyenaraikan golongan rahib sebagai golongan yang tidak diperangi dan aman dari pedang-pedang tentera Islam, bahkan Baginda turut melarang tentera Islam memusnahkan tempat-tempat peribadatan mereka. Islam tetap memelihara nyawa mereka sekalipun mereka tidak beriman kepada Allah. Oleh kerana itu, jika kekufuran itu punca mereka diperangi, sudah tentu golongan tersebut juga diperangi atas arahan Rasulullah S.A.W. Justeru, semasa keamanan Makkah-Madinah berlangsung, Baginda S.A.W memanfaatkan usaha menyampaikan dakwah, melakukan out-reach kepada kabilah-kabilah non-Muslim Arab dan juga kepada ketua-ketua empayar non-Muslim di sekitar Semenanjung Tanah Arab.

Soalnya pada hari ini, apakah kita telah bertemu dengan - ‘bahasa’ - yang paling tepat apabila bertemu dengan masalah ‘kalimah Allah’ di hadapan masyarakat non-Muslim? Jika salah langkah, maka banyak darah yang dihalalkan di atas nama-Nya.

Rasulullah S.A.W Mengajar Sebutan Allah Kepada Orang Nasrani

Kita tidak menafikan bahawa ada perbezaan pandangan di kalangan para ulama tentang hal ini. Ia bukan perkara yang pelik, tetapi adalah perkara yang lazim berlaku dalam dunia akademik sejak zaman berzaman. Tetapi, perbalahan yang berlaku seharusnya ditimbang menurut akal yang waras, akhlak dan adab, hati yang lapang serta menjauhkan sikap merendah-rendahkan individu seperti menuduh konservatif, jumud, "ulamak kepala lutut" dan sebagainya.

Jelasnya, tiada nas yang tepat menghukum tegahan ke atas masyarakat non-Muslim menyebut nama Allah, adapun teguran wahyu terhadap mereka (non-Muslim) ialah kerana kesalahan dari sudut "makna" dan - tuntutan - bukannya sebutan!

Ketika Rasulullah S.A.W dalam keadaan sedih kerana dakwahnya di-pulaukan oleh masyarakat Taif, Baginda telah dijamu buah anggur hasil pemberian seorang hamba beragama Nasrani (Kristian) yang kasihan melihat nasib Baginda di sebuah dusun. Sebelum menjamahnya, Baginda membaca ‘basmAllah’ di hadapan hamba tersebut, "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang". Lantas hamba itu memandang tepat ke wajah Rasulullah S.A.W dan berkata, "Perkataan ini – ucapan bismiLlah... – tidak disebut oleh penduduk daerah ini..."

Lalu Rasulullah S.A.W bertanya, "Saudara ini dari negeri mana, dan apa agama pegangan saudara?"

Jawabnya, "Saya beragama Kristian, dari kampung Neynawa (salah satu daerah di Utara Iraq)."

Rasulullah menyambung soalan, "Adakah dari sebuah daerah lelaki soleh yang bernama Yunus bin Mataa?"

Maka dia menjawab, "Apa yang kamu tahu tentang Yunus bin Mataa?"

Baginda S.A.W menjawab, "Beliau adalah saudara saya, beliau adalah Nabi dan saya adalah Nabi."

Lantas lelaki Nasrani itu pun memeluk erat Rasulullah serta mencium kepala, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki Baginda. – Rujuk Sirah Ibn Hisyam:2/421.

Maka, tuntutan yang paling mustahak perlu diperjuangkan oleh umat Islam, ialah membenarkan sebutan dan tuntutan maknanya walau di tengah-tengah masyarakat non-Muslim. Kerana ketika Allah Taala berfirman :

"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri" (al Zumar:38)

Maka, umat mana yang paling layak menerangkan apa yang mereka (orang musyrik) fikirkan dari sebutan tersebut? Tidak lain tidak bukan, umat Islam-lah (umat Nabi Muhammad S.A.W) yang paling berhak menerangkannya kepada orang musyrik dengan cara menunaikan tanggungjawab dakwah secara berterusan - matang dan berani, bukannya menutup mulut mereka, membelenggu tangan-tangan mereka dan mengatakan kepada mereka, "Allah itu hanya aku yang punya..."

Sekalipun begini artikel ini ditulis, ia bukanlah satu isyarat setuju agar non-Muslim menggunakan kalimah Allah pada cetakan awam dalam edisi - terjemahan - "god", kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di khalayak ramai. Sebagai contoh dalam edisi bible - chapter 32:Genesis (Safar Takwin) - ada satu topik yang menceritakan "Jacob Wrestles With God", kalaulah ia diterjemahkan sebagai "Yaakob bergusti dengan Allah..." bukankah ia satu kekeliruan?? Bagaimana seorang Nabi boleh bergusti dengan Allah?!!

WAllahua'lam
Mohd Azmir bin Maideen merupakan Pegawai Pembangunan Dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-