© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Bagaimana Berakhirnya Revolusi di Libya?

Bagaimana Berakhirnya Revolusi di Libya?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 30 January 2013


Pada tanggal 21 Ogos 2012, masyarakat Islam menyaksikan kejatuhan rejim Kolonel Mu’ammar al-Gaddafi selepas revolusi yang memakan masa selama berbulan-bulan lamanya yang mula tercetus pada 16 Februari 2011. Revolusi rakyat yang melanda secara berganti-ganti menurut teori “domino” di negara bahagian Afrika Utara dan Asia Barat ketika itu turut menyaksikan campur tangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO - North Atlantic Treaty Organization), suatu tindakan yang membezakan wajah revolusi yang dilalui di Libya dengan negara-negara lain seperti Tunisia dan Mesir.

Negara Syria juga melalui nasib yang sama seperti Libya apabila NATO turut mula menggasak untuk campur tangan dalam konflik di negara tersebut sehingga telah mengorbankan banyak nyawa. Negara yang indah itu kini menjadi “padang jarak padang tekukur”. Campur tangan NATO itu dilakukan kononnya dibangkitkan atas doktrin “tanggungjawab untuk melindungi” (responsibility to protect) dengan sokongan Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Itali. Dalam masa sama, Liga Arab turut meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) campur tangan untuk mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh.

Gaddafi, Pembunuh dan Dibunuh

Gaddafi benarlah bukan pemimpin Islam yang baik, bahkan celaru, gemar meraih populariti peribadi, tetapi tidak seharusnya hal itu membuat kita tidak peduli “peranan gelap” yang dilakukan oleh “NATO”. Gaddafi yang telah memerintah “a state of the masses” iaitu Libya selama lebih 42 tahun dikatakan pernah menaja beberapa kumpulan pembebasan termasuk Gerakan Moro di Selatan Filipina dan kumpulan Houthi di Yaman. Ketika revolusi rakyatnya meningkat akibat fenomena “Arab Spring”, Gaddafi menyatakan dirinya bersama para penyokong dan akan bangkit mengembalikan halatuju pemerintahan untuk rakyat. Namun, Gaddafi terus ditekan rakyatnya sendiri yang menuntut sistem pemerintahan demokratik.

Gaddafi dikenali rakyatnya sebagai diktator yang gemar menggunakan retorik-retorik agama untuk meyakinkan penyokong mengenai perjuangannya dan menyatakan jihad menentang pemberontak. Beliau pernah menerbitkan buku rasmi berkenaan hal ehwal dan panduan politik Libya berjudul “Kitab al-Akhdar” (Green Book). Gaddafi juga menegaskan bahawa setiap tindakan politik yang diambil terhadap rakyatnya adalah dibenarkan dalam Islam, namun hal ini berbeza dengan apa yang disuarakan oleh Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi yang memfatwakan “sang thaghut” Gaddafi halal dibunuh (klik di sini) kerana dosa membunuh rakyatnya sendiri.

Dalam masa yang sama, Majlis Peralihan Antarabangsa (NTC - “National Transitional Council”) mahu Gaddafi dihadapkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa agar dihukum atas kesalahan menyalahgunakan aset negara dan membunuh rakyatnya dalam Revolusi Libya. NTC dalam satu kenyataan media di Benghazi pada Ogos 2012 menawarkan ganjaran sebanyak AS $1.67 juta bagi sesiapa yang berjaya menangkap Gaddafi sama ada hidup atau mati. Sebuah tawaran yang dinilai akan mengulang semula tragedi yang pernah menimpa Mantan Presiden Iraq, Saddam Hussein. Jumlah itu adalah tawaran yang boleh membangunkan sebuah sekolah.

NTC juga mendakwa sebagai kuasa pemerintah yang sah dan berdaulat sejak Gaddafi diburu rakyatnya. Sikap NTC seolah-olah menghalalkan perbuatan campur tangan dalam negara orang lain sehingga menyebabkan Libya ibarat mempunyai dua pemerintah yang saling bersaing antara satu sama lain. Penglibatan NTC dalam konflik politik Libya telah mengakibatkan fasa baru kerusuhan sivil di negara tersebut menjadi medan perang berskala nasional. Akhirnya, Gaddafi yang dituduh NTC membunuh rakyat telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri. Siapa yang paling mendapat manfaat dari krisis ini?

Apa Yang Dunia Islam Harapkan Dari NATO?

Sekalipun kekejaman Gaddafi sukar diterima dan dibantah oleh penduduk di negaranya, namun campur tangan NTC dan NATO (Kuasa Barat) dilihat lebih lagi sukar diterima oleh beberapa tokoh ulama’ antarabangsa antaranya seperti Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika membicarakan pergolakan politik Asia Barat di Shah Alam (1 Nov 2011) menghalakan kecaman kepada NATO atas kebiadaban menceroboh kedaulatan negara umat Islam sambil mengibaratkan tindakan tersebut sebagai keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya.

Kata Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ‘Wacana Asia Barat’ di Shah Alam 2013:

“Kejatuhan Gaddafi berbeza dengan nasib yang dialami oleh Zain al-Ebidin (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir). Kedua-dua diktator ini ditumbangkan oleh kebangkitan revolusi rakyat, manakala Libya pula berakhir dengan perang sivil, di mana rakyat Libya yang memberontak dibantu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara - Negara Eropah (NATO). Hakikatnya, kerjasama yang dihulurkan NATO kepada rakyat Libya lebih memberikan ancaman berbanding sebuah janji dan harapan...”

Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan lagi:

Campur tangan NATO ke atas mana-mana negara bergolak di Asia Barat tidak akan menghasilkan penyelesaian yang baik, malah akan menambahkan lagi kekacauan bagi negara yang ditanganinya. Contohnya dalam konflik di Libya, kemungkinan kejatuhan Gaddafi akan digantikan dengan kepimpinan baharu yang sama zalimnya. Pertubuhan NATO merupakan satu-satunya gerakan imperialis Barat yang masih wujud sehingga ke hari ini...

Kelentong NATO

Maka, campur tangan NATO tersebut disoroti sebagai peralihan baru sebuah negara Libya yang anti-Barat kepada sebuah negara yang bakal dicatur agar lebih mesra kepada Barat. Ia sekaligus mampu memelihara survival Israel dengan lebih lama apabila negara-negara Islam berkiblatkan telunjuk Barat. NATO turut mempertahankan tindakan campur tangannya dalam konflik di Libya atas alasan untuk memelihara nyawa penduduk awam. NATO turut mendakwa bahawa serangan-serangan udara yang pernah dilakukannya mengikut Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1970 dan 1973. Bahkan menurut NATO, ia tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung untuk membantu kumpulan pemberontak di Libya, sedangkan metode yang digunakan antara kedua-dua pihak ini adalah serupa.

Alasan NATO ini pernah diutarakan juga oleh Profesor Perundangan dari Universiti Kebangsaan Australia (ANU - Australian National University), Don Rothwell yang mengatakan campur tangan itu selaras dengan doktrin “tanggungjawab untuk melindungi” (responsibility to protect). Doktrin tersebut diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2005 dan sering dijaja untuk menghalalkan penjajahan NATO ke atas negara-negara umat Islam. Walaupun tujuan campur tangan luar itu untuk memelihara penduduk asal dari pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah kemanusiaan atau kekejaman perang yang dilancarkan oleh kerajaaan negara tersebut tetapi ia sebenarnya adalah alasan untuk “cuci tangan”.

Manakala Jeff Sparrow, Penulis Jurnal Overland membantah campurtangan NATO secara terang-terangan. Dengan sinis beliau mengaitkan doktrin ‘campur tangan kemanusiaan’ (humanitarian intervention) dan ‘tanggungjawab untuk melindungi’ sebagai alasan lapuk yang penuh basa-basi semata-mata. Bagi menguatkan dakwaannya, Sparrow turut mengaitkan sejarah beberapa tindakan kuasa imperialis yang datang menjajah negara-negara lain atas doktrin “beban orang putih(white man’s burden) yang kononnya untuk memberikan manfaat kepada penduduk tempatan. Pendapat Sparrow turut disokong oleh Giedon Boas, Bekas Pegawai Undang-undang Tribunal Jenayah Antarabangsa yang berpandangan lebih banyak bahaya akan terjadi dengan campur tangan NATO dalam konflik Libya dengan kemungkinan kejatuhan Gaddafi akan digantikan dengan kepimpinan baru yang sama zalimnya.

Ada Apa Dengan Libya?

Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah mengatakan bahawa memang ada pihak antarabangsa yang sanggup mencetuskan perang dan pergolakan politik semata-mata untuk mengaut keuntungan ekonomi. Libya merupakan negara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC - Organization of the Petroleum Exporting Countries) yang pernah menerima kehadiran syarikat-syarikat besar seperti BP (British Petroleum) dan Shell. Libya mempunyai profil sebagai ahli OPEC dan pengeluar minyak terbesar di Afrika dan ke-12 di dunia. Hasil emas hitam yang dimiliki Libya dianggarkan melebihi separuh daripada Keluaran Negara Kasar (KNK).

Kemungkinan besar profil Libya yang kukuh dari sudut ekonomi inilah yang menjadikannya sebagai punca campur tangan NATO dan menjanjikan doktrin penguasaan yang berterusan di negara tersebut. Kerana, jikalah alasan bahawa Libya anti-Amerika pun sukar untuk disahkan, kerana kalaupun Gaddafi keras menentang Amerika, namun semua itu hanya “lip service” belaka. Libya pernah menerima tekanan ekonomi oleh Amerika selama 37 tahun dengan alasan “Libya mendukung terorisme” kerana dituduh menjadi dalang pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 di Lockerbie, Scotland pada tahun 1988. Tragedi itu tidak dinafikan kerana Gaddafi memang suka mengangkat dirinya agar disanjung sebagai ikon pemimpin Islam yang berani.

Pada tahun 2001 Gaddafi mula beralih sikap untuk meraih sokongan Amerika dengan menyatakan kecamannya pada aksi keganasan 9/11. Gaddafi menyatakan dokongannya kepada operasi ketenteraan Amerika berslogankan “war againts terrorisme” di Afghanistan dan Iraq. Pada tahun 2003 pula, Gaddafi menyerahkan simpanan senjata nuklearnya kepada Amerika. Lalu pada tahun 2004, Amerika menghentikan tekanan ekonominya dan kembali membuka hubungan diplomatiknya di Tripoli. Saat itu Bush dengan gaya “cowboy” memuji kepimpinan Gaddafi di Libya, sebagai negara yang harus ditiru negara-negara pemilik nuklear lain seperti Iran dan Korea Utara.

Tabiat politik Gaddafi memang sukar difahami. Barangkali kerana terikut-ikut dengan “trend” simpati masyarakat dunia ketika itu terhadap Amerika. Apabila jatuhnya WTC (World Trade Center), Bush dengan penuh benci, bengis dan angkuh memberi kata-dua kepada masyarakat dunia, “...Either you are with us, or you are with the terrorists...”. Dunia ketika itu masih kurang mengerti sama ada “US” itu maksudnya “United States” atau agenda menentang keganasan” itu sendiri. Jawapannya agak nyata sekarang ini, kalau dilihat dari sudut bilangan pemimpin-pemimpin negara Islam yang berduyun-duyun pergi menghadap sembah serta memberi bai’ah kepada Amerika.

Sebenarnya imperialisme Barat terhadap bekalan minyak di Libya mempunyai kecenderungan besar untuk diyakini berlaku, apatah lagi melihat sikap liberal NTC terhadap penyertaan Amerika, British dan Perancis dalam konflik di Libya. Perlu juga difahami bahawa tujuan NTC ditubuhkan adalah untuk menyediakan pangkalan ketenteraan dan politik, menyusun perkhidmatan asas dan mewakili rakyat Libya yang berada di luar negara. NTC juga seperti yang didakwa, bukan sebuah kerajaan tetapi pengemudi Libya dalam fasa pasca-Gaddafi dan seterusnya memimpin negara untuk melaksanakan pilihan raya yang bebas dan membentuk perlembagaan baru untuk Libya.

Artikel ini bukan untuk membela atau membenarkan tindakan non-demokratik Gaddafi, tetapi kita jangan cepat bermegah dengan kemenangan revolusi yang diraih jika hasilnya kelak hanya akan dinikmati oleh pihak lain yang berkepentingan. Secara mudahnya, campur tangan NATO ke atas Libya boleh dijangka lebih awal lagi dengan meletakkan minyak yang berkualiti sebagai faktornya. Menurut analisis Rachel Shabi yang merupakan wartawan pakar dalam hal ehwal Asia Barat, sebelum kejatuhan Tripoli ke tangan pemberontak, awal-awal lagi Barat sudah bersiap siaga untuk menikmati manfaat dari campur tangan NATO.

Minyak dan Politik Antarabangsa

Robert Dreyfuss pula dalam artikelnya “Obama’s NATO War for Oil in Libya” turut mengaitkan serangan aka campurtangan NATO di Libya berorientasikan faktor ekonomi (minyak). Dreyfuss berpendapat slogan kebebasan yang digunakan untuk menghalalkan serangan udara NATO di Libya hanyalah helah semata-mata bagi mendapatkan sokongan rakyat Libya dan dunia. Tindakan ketenteraan ini juga turut dibantu oleh kelompok kleptokratis termasuklah Arab Saudi, Qatar dan Emirates Arab Bersatu (UAE) yang menggesa Liga Arab untuk mendokong serangan ke atas Libya.

Martin Iqbal menjelaskan agenda imperialisme tersebut melalui artikelnya yang berjudul “Bringing Libya under the globalist umbrella : Libya Working Group discusses deregulation, theft of oil”. Artikel tersebut yang menyentuh mengenai pertemuan “Libya Working Group” di Chatham House pada 18 Ogos 2012. Pertemuan itu bertujuan membincangkan pilihan polisi untuk peralihan telah dihadiri oleh beberapa syarikat multi-nasional yang berasaskan minyak yang mempunyai kepentingan besar sekiranya berlaku peralihan rejim Gaddafi nanti.

Martin juga secara simplistik mengaitkan tujuan pertemuan itu untuk melobi dan memanipulasi polisi domestik dan luar di samping mempunyai hubungan langsung dengan para penaja Zionis. Selain itu, beberapa penggubalan polisi baru juga akan membolehkan syarikat multi-nasional untuk membawa Libya di bawah doktrin ekonomi neo-liberal yang bakal menyaksikan penswastaan yang berleluasa berlaku sekaligus akan menindas rakyat di dalam negara yang dalam proses pembangunan semula negara itu.

Sementelahan pula negara-negara Barat dengan bantuan NATO membekukan aset Gaddafi, seolah-olah sedang menyelamatkan harta Gaddafi demi rakyat Libya. Padahal nanti, ketika Gaddafi jatuh, pemerintah baru Libya bakal menempuh proses pengadilan dan penstabilan yang sangat mahal dan berbelit-belit untuk menuntut harta tersebut. Soalnya, siapa yang dapat memanfaatkan aset-aset itu sampai pemerintahan “Daulah Libya al-Jadidah” berhasil menuntutnya? Ke mana akhirnya riwayat negara Libya ini? Kepada rakyat atau pihak asing?

Campur tangan Barat di Libya jelas merupakan satu usaha untuk mereka bertapak dalam revolusi yang melanda negara Afrika Utara dan Asia Barat demi membentuk negara bekas rejim tersebut yang patuh dan bergantung kepada kemahuan Barat dari sudut ketenteraan dan ekonomi. Kuasa Barat dalam soal ini mahukan agar rejim tersebut menjadi pangkalan ketenteraannya dan turut memberi sokongan politik dan ekonomi khususnya dalam meneruskan survival Zionis Israel di Palestin. 

Mencari Jalan Penyelesaian

Walaupun rejim Gaddafi telah berjaya ditumbangkan, hal itu tidak menyebabkan Libya serta-merta selamat daripada zaman gelapnya. Sewajarnya Dunia Islam jujur menilai hala tuju sebenar revolusi yang melanda kini. Sekalipun revolusi terbabit bertujuan untuk menumbangkan pemerintahan diktator namun adakah ia bermaksud kebangkitan rakyat yang timbul kerana mahukan pemerintahan Islam? Kecuaian dan tiada pelan jangka panjang tersusun untuk memimpin negara pasca-revolusi berkemungkinan besar akan membuka ruang untuk oportunis berkepentingan Barat meraih keuntungan yang sebanyak-banyaknya melalui agenda imperialisme. Apatah lagi setelah kita meneliti demografi di Asia Barat dan Afrika Utara, ternyata minyak dan survival Israel menjadi faktor paling ditekankan oleh mereka.

Kerjasama antara pertubuhan serantau dan Dunia Islam juga seharusnya dipergiatkan dengan menolak segala agenda untuk kepentingan peribadi. Usah bazirkan tenaga yang rakyat curahkan untuk meraih revolusi dan jangan cepat bermegah dengan kemenangan yang diraih seperti kumpulan “pom-pom girls” jika hasilnya kelak hanya akan dinikmati oleh pihak lain yang berkepentingan. Bak kata pepatah, “menang sorak, kampung tergadai”. Lebih malang lagi selepas itu umat Islam kembali diheret kembali kepada konflik mazhab ibarat “lembu yang dicucuk hidung” dengan isu Syiah “versus” Sunnah dan seumpamanya.

Sabda Rasulullah ﷺ:
 إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَلَكِنْ فِي التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ
“Sesungguhnya syaitan telah merasa bosan (putus asa) untuk menjadikan mereka disembah di Tanah Arab, tetapi syaitan akan mengadu-domba (memecah-belahkan) di antara mereka.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan:
 التحريش بينهم بالخصومات والشحناء والحروب والفتن وغيرها
“Berpecah-belah sesama mereka kerana sikap perselisihan, rasa benci, perang-memerangi, fitnah-memfitnah dan seumpamanya.”

Sabda Rasulullah ﷺ lagi:
 إِنَّ تَفَرُّقَكُمْ فِي هَذِهِ الشِّعَابِ وَالْأَوْدِيَةِ إِنَّمَا ذَلِكُمْ مِنْ الشَّيْطَانِ
“Sesungguhnya berpecahnya kalian pada lorong-lorong dan lembah seperti ini sebenarnya adalah dari perbuatan syaitan.” (Riwayat Abi Daud)

Sabda Rasulullah ﷺ lagi:
 إِيَّاكُم وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكذَبُ الحَدِيثِ، وَلا تَحَسَّسُوا وَلا تَجَسَّسُوا، وَلا تَنَافَسُوا وَلا تَحَاسَدُوا، وَلا تَبَاغَضُوا وَلا تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخوَانًا
“Jauhilah berprasangka (menuduh sesuatu yang tidak pasti kebenarannya), kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan yang paling dusta. Janganlah kalian saling mengintip kesilapan orang lain dan janganlah kalian saling mencari kesalahan orang lain, dan jangan saling berhasad dengki, dan janganlan saling membenci dan janganlah saling belakang-membelakangi (tidak hormat antara satu sama lain). Tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat al-Bukhari)

Sepatutnya langkah yang perlu dilakukan oleh Dunia Islam ialah bangkit dan bersatu menghalakan perjuangan untuk menumbangkan hegemoni global yang dicaturkan oleh Barat untuk kepentingan Israel. Perlu diingat bahawa Revolusi Libya belumlah selesai. Jatuhnya Gaddafi hanyalah merupakan babak pertama senario sebuah kejatuhan rejim. Babak kedua pula ia telah dimulai tindakan pelbagai pihak berkepentingan yang sekarang ini bermain di belakang layar, cuba mendapatkan “ghanimah” hasil perancangan mereka dalam memanipulasi revolusi ini.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-