“Dan hendaklah ada
di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh
berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar;
dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” (Ali-Imran:
104)
Pendahuluan.
Dunia hari ini menyaksikan
kegagalan ideologi ciptaan manusia terhadap permasalahan negara dan rakyat,
menggunakan pelbagai teori dan jenama.
Lebih malang
situasi yang sama turut dialami oleh negara umat Islam, yang menumpang dasar
selain Islam kerana terpengaruh dengan negara besar yang pernah menjajahnya.
Ini ditambah pula dengan wujudnya aliran pemikiran baru yang memberi tafsiran
dan penjenamaan terhadap Islam dan syariatnya.
Kegagalan kerajaan
di negara umat Islam yang meneruskan dasar warisan penjajah menjadi bukti yang
nyata untuk beralih kepada penyelesaian Islam yang syumul. Di sinilah
pentingnya umat Islam memiliki pemimpin yang memenuhi sifat dan watak kepimpinan
Islam, baik dari segi aqidah, ilmu dan integriti, serta keupayaan menjaga
keharmonian kaum dan agama.
Dalam konteks
Malaysia, kita menyaksikan perubahan kepimpinan di peringkat kerajaan Persekutuan
dan beberapa Negeri dalam PRU14 yang lepas, disumbangkan oleh perubahan pola
sokongan di kalangan warga kota, rakan bukan-Islam dan generasi muda.
Perubahan
kepimpinan dan suasana politik Malaysia yang baharu ini menuntut kepada pentarbiahan
dan kebijaksanaan di kalangan ahli dan pimpinan PAS untuk memerhati, menilai, dan
mencerap perubahan lanskap politik negara yang dinamik, bagi memastikan
pendekatan dan halatuju PAS sentiasa terpelihara berpaksikan kepada dasar dan
matlamat perjuangannya.
Cabaran Semasa.
Penegasan yang
dikemukakan oleh Presiden PAS di dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS 2018 bertemakan
“ISLAM MEMIMPIN”, wajar diangkat sebagai ‘blueprint’ yang menggariskan cabaran
dan halatuju PAS dalam mendepani agenda memimpin politik matang dan sejahtera,
memimpin perubahan negara dan memimpin sokongan rakyat.
Secara umumnya, PAS berhadapan dengan cabaran yang datang
dari segenap penjuru, khususnya daripada penganut Islam yang tenggelam dalam
kejahilan beragama dan kalangan bukan Islam yang tenggelam dalam kekeliruan
‘Islamofobia’.
Masyarakat pula kini menjadikan aspek material dan duniawi
sebagai keutamaan hidup, kesan daripada kejahilan agama, cengkaman kos sara
hidup, serta penularan gejala sosial yang merebak di setiap lorong dan keluarga.
Di samping itu, kita berhadapan dengan gerakan yang semakin
berani mempersoalkan institusi Agama, Istana, hak Bumiputera, dan kedudukan Bahasa,
serta gerakan yang memperjuangkan fahaman liberal, LGBT, dan seumpamanya.
Lebih mencabar adalah perubahan kanvas politik di kalangan
generasi muda negara, yang mudah terpengaruh dengan media sosial dan terpesona
dengan pendekatan baharu pemimpin muda negara, serta mudah termakan janji
manifesto yang sukar untuk dilaksanakan.
Tambahan pula sekiranya Perlembagaan berjaya dipinda untuk menurunkan
had umur pengundi kepada 18 tahun, cabaran yang dipikul oleh Pemuda PAS adalah
lebih besar bagi mempersiapkan usaha untuk membentuk minda, fikrah dan
kesedaran politik di kalangan remaja bermula di bangku persekolahan.
Memimpin Politik
Matang dan Sejahtera.
Di dalam pembentangan kertas kerja berjudul “Konsep Ta’awun
Siyasi” pada Liqa Fikri PAS Pusat bertarikh 24 Februari 2018, Presiden PAS
menyatakan bahawa Allah SWT telah memberi petunjuk kepada umat Islam sejak
generasi pertama untuk menyelamatkan manusia seramai-ramainya bersama Islam.
Di antaranya melalui pendekatan Ta’awun (bertolong-menolong)
dalam perkara baik dan taqwa (mentaati Allah), serta terus beristiqamah di atas
dasar Islam dengan matlamatnya untuk menegakkan Islam. Objektifnya adalah untuk
memilih titik persamaan terlebih dahulu dan menangani perbezaan secara anjal
(fleksibel), serta menolak perpecahan yang merugikan, walaupun menunggu masa
yang lama.
Di samping itu, Rasulullah S.A.W menerima konsep Tahaluf
(bekerjasama) dengan pihak lain dalam menentang kezaliman, tanpa meninggalkan
prinsip aqidah dan syariat Islam. Tahaluf dibatalkan apabila tidak lagi
menghormati perkara asas tersebut, melakukan maksiat atau mencetuskan
permusuhan atau mengundang apa sahaja keburukan.
Berpandukan ijtihad semasa dalam hal ini, Presiden PAS
menegaskan bahawa PAS konsisten untuk memilih pendekatan BPMS dengan semua
pihak, iaitu dengan bersikap damai terhadap Kerajaan Persekutuan yang memegang
tampuk pemerintahan negara, dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik
dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.
Bagi menghadapi senario politik dan masyarakat yang berubah,
Presiden PAS menyarankan agar setiap pimpinan dan ahli PAS untuk menguasai
feqah Politik Islam, khususnya Fiqh Muwazanah (pertimbangan), Fiqh Waqie’
(setempat), Fiqh Aulawiyyat (keutamaan), dan Fiqh Ma’alat (implikasi hukum)
bagi memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan kebenaran.
Di sini letaknya kepentingan untuk setiap ahli dan pimpinan
Pemuda PAS membina keperibadian dengan Ta’lim dan Tarbiyah, membekalkan ilmu
kepada akalnya secara bertafaqquh, serta wajib melengkapkan diri dengan ilmu
Fardu Ain dan Fardu Kifayah mengikut kemampuan.
Tarbiah Pemangkin
Kejayaan.
Pemuda PAS
berperanan besar untuk merealisasikan tujuan penubuhan PAS yang termaktub di
dalam Perlembagaan PAS (Fasal 5), iaitu:
“Memperjuangkan
wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana
di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah;
dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”.
PAS telah
menawarkan model bernegara yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara
Sejahtera (WINS) sebagai kerangka penyelesaian masalah negara, berpandukan
acuan Allah daripada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Misi utama kita adalah
untuk “Memperkenalkan Penyelesaian Islam”, khususnya dalam aspek urustadbir
negara, keadilan undang-undang, keberkatan ekonomi, pembangunan insan dan
diplomasi antarabangsa.
Di samping itu,
Ketua Pemuda PAS telah menggariskan misi untuk “Melahirkan Generasi Tajdid”,
meliputi perubahan dan pembaharuan dalam aspek politik (tajdid siyasi), sumber
manusia (tajdid bina’ie), pengurusan (tajdid idari), kewangan (tajdid mali),
komunikasi (tajdid ittisali), masyarakat (tajdid ijtima’ie), dan pendidikan
(tajdid tarbawi).
Manakala suatu lagi
aspek penting dalam agenda pentarbiahan adalah misi untuk “Melahirkan Harun
kepada Musa”, mengambil ibrah daripada kisah Nabi Musa a.s. yang ditugaskan
untuk menyampaikan risalah Islam kepada Firaun.
Menyingkap peranan Nabi
Harun a.s. sebagai ‘wazir’ yang membantu Nabi Musa a.s. menunjukkan keperluan
agenda pentarbiahan dalam melahirkan generasi pendamping dan pelapis kepimpinan
yang memiliki aqidah, fikrah, kompetensi dan adab yang tinggi untuk menjayakan sesebuah
misi dakwah dan siyasah yang diambil oleh kepimpinan tertinggi Parti.
Justeru, ianya bukan lagi suatu pilihan tetapi menjadi
kewajipan yang mendesak untuk setiap Pemuda PAS mempersiapkan ilmu, kepakaran
dan kemahiran, sehingga kita berjaya menunjukkan kepada rakyat betapa ‘malaikat
yang tidak dikenali’ (the unknown angel) ini mampu untuk diberikan kepercayaan
memimpin negara.
Penutup.
Seluruh Pemuda PAS
wajar menghayati agenda "ISLAM MEMIMPIN” yang digagaskan oleh Presiden PAS,
seterusnya merangka perancangan dan tindakan melalui pendekatan BPMS dan
kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam perkara kebaikan, bagi
merealisasikan hasrat tersebut.
Secara khusus,
Presiden PAS menyarankan kepada Pemuda PAS agar “Sentiasa dinamik, melengkapkan
diri dengan ilmu Islam, dan bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan.
Pendekatan dakwah yang kreatif, penguasaan media sosial dan penglibatan di
lapangan anak muda mesti dimanfaatkan untuk membawa mesej Islam. Pemuda juga
perlu mendepani isu nasional dan antarabangsa, serta mampu mengemukakan solusi
terhadap permasalahan rakyat dan anak muda”.
Pemuda PAS juga perlu sentiasa diingatkan tentang
kepentingan bergantung kepada Allah dan meyakini bahawa kemenangan hanya datang
daripada Allah apabila dikehendakiNya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan
tiadalah pertolongan kecuali dari Allah”. (Al-Anfal: 126).
Justeru para Pemuda PAS perlu mengambil berat hakikat ini
agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam
dalam mengisi kemenangan, lahir daripada kekuatan aqidah dan fikrah yang terbina
di atas kelestarian tarbiah.
Oleh: Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM