Allah Ta’ala meletakkan tanda aras yang sangat tinggi berkaitan informasi dan berita. Ia menjadi tanggungjawab iman seseorang Muslim supaya tidak bertindak atas kejahilan atau termasuk golongan yang jahil.
Jahil itu bukan sekadar jahil ilmu, tetapi ia lebih kepada sikap dan sifat seseorang yang meletakkan dirinya di situasi menjauhi kebenaran Islam. Ini kerana kejahilan itu sama ada pada ilmu pengetahuan, atau pada akidah pegangan dan pada akhlak serta moral.
Kemungkinan sesuatu kumpulan manusia itu hebat pada ilmu dan teknologi, namun jahil pada akhlak dan akidah. Sebab itulah al-Quran menceritakan kebanyakan Para Nabi diutuskan kepada umatnya yang sudah memiliki ketamadunan ilmu yang tinggi tetapi masih jahil dari sudut akidah dan akhlak.
Nabi Musa, Nabi Salleh dan Nabi Hud alaihim al-salam diutuskan kepada bangsa yang dipimpin para pembesar yang mempunyai ketamadunan yang unggul seperti Firaun, Kaum Tsamud dan Kaum ‘Aad. Mereka semua memiliki ketinggian ilmu dan kecanggihan teknologi tetapi dianggap jahil pada sisi Allah kerana tidak beriman dan tidak berakhlak.
Dalam al-Quran terdapat dua ayat yang menerangkan bagaimana terjadinya manusia menempatkan diri mereka dalam kejahilan. Pertama; Surah al-Ma’idah ayat 50 yang berbunyi:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum (sistem) jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”
Kedua; Surah al-Hujurat ayat 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Kedua-dua ayat di atas adalah satu bentuk pedoman daripada Allah kepada orang beriman agar tidak meletakkan diri dalam keadaan yang disebut sebagai kejahilan.
Ayat Surah al-Ma’idah disebut secara jelas menyatakan bahawa orang beriman tidak seharusnya menolak sistem daripada Allah dengan menerima selainnya. Manusia sebahagian besarnya mengakui keesaan dan kewujudan Allah sebagai pencipta alam, pentadbir, pemberi nikmat rezeki dan sebagainya.
Akan tetapi ada di kalangan mereka tidak mahu menerima konsep ubudiyyah (kepatuhan) secara syumul kepada sistem Allah. Mereka menolak Islam dalam perundangan, menolak sistem pemerintahan Islam dan ekonomi Islam.
Mereka lebih meredhai sistem ciptaan manusia seperti sekularisme, kapitalisme, sosialisme, nasionalisme sempit serta pragmatisme daripada menerima petunjuk Allah dan Nabi Muhammad ﷺ. Dengan sebab itu, Allah meletakkan mereka sebagai golongan yang jahil.
Ayat ke-6 daripada surah al-Hujurat pula, al-Quran menggambarkan ada sebahagian manusia yang terkena virus jahiliyyah. Ini kerana sikap mereka yang tidak memiliki akhlak dalam melibatkan penerimaan dan penyebaran maklumat.
Perkataan fasiq dalam ayat bermaksud orang yang tiada integriti dalam nilai dosa pahala pada tindakan sebaran dan penerimaan berita dan maklumat. Tidak kira sekalipun di kalangan mereka yang terpelajar, mahupun tidak sama ada pemimpin dan juga rakyat.
Setiap maklumat yang diterima adalah berkewajiban diselidiki terlebih dahulu asal usul sumbernya, dan bukannya diterima bulat-bulat. Apatah lagi menyebarkannya pula tanpa usul periksa dan mengenal pasti kesahihahnnya. Sikap begini tidak seharusnya ada pada orang beriman, kerana itu dimulai ayat seruan itu dengan, “...Wahai Orang Yang Beriman...”
Justeru, bagaimana menangani kelakuan dan sikap kejahilan ini? Para ulama berdasarkan pengamatan mereka terhadap al-Quran telah membahagikan umat yang jahil kepada empat jenis keadaan dan cara mengatasinya, iaitu:
- Jahil yang diberikan penerangan agar mereka memahami dan menerimanya
- Jahil yang perlu dihadapi dengan prinsip yang jelas
- Mohon perlindungan kepada Allah daripada sikap golongan jahil
- Jahil yang tidak perlu dihiraukan sikap mereka dan tindakan mereka. Tanggungjawab umat Islam ialah meneruskan kerja dan perjuangan.
Pendekatan pertama yang dinyatakan di atas adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-A’araf ayat 199:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”
Seterusnya pendekatan kedua ialah sebagaimana ayat 64, Surah al-Zumar:
قُلْ أَفَغَيْرَ اللَّهِ تَأْمُرُونِّي أَعْبُدُ أَيُّهَا الْجَاهِلُونَ
“Katakanlah, wahai Muhammad ﷺ, apakah patut kamu menyuruh aku sembah selain daripada Allah (setelah jelas bukti Ke-Esaan-Nya) wahai orang yang jahil?”
Pendekatan ketiga pula ialah memohon perlindungan Allah daripada sikap golongan-golongan yang jahil. Firman Allah di dalam, Surah al-Baqarah ayat 67:
وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُواْ بَقَرَةً قَالُواْ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina. Mereka berkata: Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? Nabi Musa menjawab: Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut).”
Pendekatan keempat, ialah membiarkan golongan-golongan jahil dan jangan dihiraukan sikap mereka dan tindakan mereka. Firman Allah dalam ayat 63, Surah al-Furqan:
وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلامًا
“Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”
Oleh itu, wahai umat Islam, jauhilah diri daripada sikap yang dicela oleh Allah sebagaimana dalam al-Quran. PRU 14, adalah medan memerlukan kita membentengi diri dengan nilai Iman dan Islam yang selama ini menghiasi diri kita. Jadikanlah ia sebagai penyelamat daripada kemurkaan Allah.
“Malaysia Sejahtera”