Media baharu dengan aneka aplikasinya adalah anugerah Allah Taala buat umat manusia. Bijak dan betul cara mengendalikannya adalah satu rahmat yang besar. Sebaliknya gagal mengekang fitnah dan adab melayarinya, mengundang celaka dan sengketa sesama manusia.
Tidak syak lagi, medium ini pada hari ini adalah aplikasi yang sangat berkesan untuk menyebarkan informasi dan maklumat serta menyimpan pelbagai bentuk data. Sebagaimana ia juga menjadi “senjata” pemusnah bagi skuad pembunuh karektor dan penyambung lidah syaitan.
Terpulang kepada penggunanya. Media baharu hanya alat dan teknologi yang kesannya tergantung kepada insan yang mengurus dan menyelia. Bahasa mudah, media baru ini boleh menjadi “mesin” untuk menghasilkan pahala sebanyak yang dikehendaki sebagaimana ia juga boleh menjadi “kilang” memproses dosa yang tidak terkira besar dan beratnya.
Sebagai anggota Parti Islam Se-Malaysia (PAS), media baharu sayugianya diurus kendali dengan adab, akhlak Islami dan penuh tanggungjawab. Mengambil kira faktor dosa dan pahala serta syurga dan neraka. Meskipun beraksi di “cybernet” dan alam digital, kita tetap tidak terlepas dari pemantauan “Raqib” dan “Atid” yang tidak pernah cuai menjalankan tanggungjawab mengekori perlakuan umat manusia. Bahkan Allah Taala, sifat-Nya adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui setiap apa yang tersembunyi dalam hati manusia.
Justeru itu, wajarnya media baharu dimanfaatkan sepenuhnya untuk:
- Menyebarkan risalah perjuangan Islam
- Menangkis fitnah terhadap Islam
- Memberi pencerahan ke atas apa jua bentuk kekeliruan terhadap Islam dan perjuangannya dan sebagainya.
Menggunakan media baharu untuk saling mendedahkan keaiban peribadi sesama sendiri, melondehkan isu dalaman kekeluargaan yang melibatkan krisis suami isteri dan anak-anak, “copy” dan “paste” maklumat yang tidak pasti, “create” dan “share” perkara yang tidak benar adalah sama sekali terluar daripada skema akhlak Islam yang jitu dan murni.
Malah tindakan sedemikian bukan pedoman dan peribadi yang sepatutnya bagi anggota Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Meskipun mereka mendakwa sebagai ahli PAS atau mewakili mana-mana agensi PAS, ketahuilah bahawa dakwaan mereka adalah palsu dan PAS tidak boleh memperakui mereka yang memanjangkan lidah syaitan di media kontemporari ini.
Kita semua sedar, medan media serba canggih ini terdedah kepada “fake account” dan “nick name” yang terlalu banyak. Sebahagian mereka mendakwa sebagai ahli dan mewakili PAS, tetapi membuat “status” dan “posting” yang bukan sahaja tidak menguntungkan PAS tetapi memulangkan persepsi negatif kepada PAS.
Semua ahli PAS dan warga netizen yang menyokong serta bersimpati dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS disarankan agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan taktik “perang saraf” yang dilancarkan oleh musuh Islam dan juga musuh PAS.
Kita harus menyedari, penggunaan bahasa-bahasa fitnah di media baharu ini adalah senjata paling murah dan mudah tapi sangat berkesan untuk membunuh karektor seseorang, terutama pada zaman digital hari ini. Musuh-musuh PAS sentiasa mereka-reka fitnah dengan penuh licik dan teliti sehingga sukar dibezakan antara fitnah dan kebenaran.
Akibatnya masyarakat mati hidup percayakan fitnah tersebut. Meskipun penafian diulang siar, tiada siapa yang mahu peduli dan mempercayai penafian tersebut lantaran fitnah itu dianggap lebih meyakinkan seolah-olah bertaraf “sahih” pada zatnya.
Mendepani fitnah begini, tiada apa yang boleh PAS lakukan kecuali mestilah banyak berserah kepada Allah, di samping ikhtiar memberikan penjelasan kepada khalayak. Tentu sahaja, mereka yang derita sebagai mangsa fitnah kena banyak bersabar. Mohon pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Inilah yang diajar oleh Allah kepada umat Islam:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat sedang sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang merendah diri kepada Allah.” (Surah al-Baqarah : 45)
Fitnah-fitnah yang dicetuskan untuk menyerang PAS ini lahir dari kebankrapan hujjah dan isu, juga hasil daripada runtuhnya nilai akhlak dan peribadi. Pengamal fitnah ini mewarisi “saka iblis” yang liar dan buas. Mereka tidak boleh melihat Islam berkembang dengan pesat, Syariat Islam diperkasakan, pasti mereka akan meronta lalu merencana fitnah lantas menyebarkan ke seluruh pelusuk dan penjuru ufuk melalui kecanggihan digital.
Mereka yang merencana fitnah seperti ini sebenarnya berdepan dengan ancaman azab dari Allah Taala. Sabda Nabi ﷺ :
وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِى أَتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ ـ أي يقطع ـ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَمَنْخِرُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الْكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ
“Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.” (Riwayat al-Bukhari)
Sasaran Budaya Politik Matang dan Sejahtera ialah menghapuskan politik fitnah. Meskipun sukar, ia antara tugasan wajib dan jihad Islami yang mesti digalas oleh para pejuang Islam dengan gigih dan tekun. “Ranking” fitnah yang paling tinggi ialah kesyirikan kepada Allah dalam ideologi dan pegangan hidup.
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
“Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah agama itu semata-mata milik Allah, jika mereka berhenti maka tiadalah permusuhan melainkan terhadap orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah : 193)
Pengamal dan penyebar tegar fitnah ini tidak akan berjaya di dunia dan akhirat. Justeru, anggota jamaah Islam jangan sekali-kali pernah terjebak dalam kancah penyebaran fitnah, apatah lagi mencipta fitnah. Amalkan konsep “tabaayun” sebelum sebar sebarang maklumat.
“Sejahtera Bersama Islam”