Ramai di antara kita yang menilai konflik Timur Tengah berpandukan pendekatan golongan realist atau sekadar penilaian zahir semata-mata. Pastinya ukuran tersebut berdasarkan penilaian kebendaan (material) dan kepentingan-kepentingan yang bersifat duniawi semata-mata. Adapun hal-hal yang dikaitkan dengan agama atau Islam, hanya sebagai faktor yang sentimental dan nilai tambahan sahaja.
Islam menyediakan pandangan syumul kepada umatnya dalam memahami segala konflik yang berlaku kepada umat manusia termasuklah isu-isu yang berlaku di Timur Tengah. Apa yang berlaku telah digambarkan dalam al-Quran al-Karim secara tersurat dan tersirat. Maka, ada baiknya umat yang mencari penyelesaian, atau sekurang-kurangnya memahami konflik yang berlaku dengan melihat daripada sumber Islam itu sendiri.
Israel, Yahudi dan Zionisme
Al-Quran dan Sirah Nabi Muhammad ﷺ telah menunjukkan bakal cabaran kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Sebelum Baginda ﷺ berhijrah ke Yathrib dan membuka Madinatul Munawwarah, Nabi ﷺ diwahyukan dua surah cukup terkenal iaitu surah al-Isra’ (Bani Israel) yang menunjukkan peristiwa Isra’ Mikraj dan juga surah al-Kahfi sebagai surah yang panduan menghadapi fitnah akhir zaman kepada Umat Nabi Muhammad ﷺ.
Kedua-dua surah ini, memberikan gambaran cabaran yang akan dihadapi oleh umat Nabi Muhammad ﷺ berkenaan dengan golongan yang mendakwa diri mereka keturunan Bani Israel, Ahli Kitab dan akhirnya dilabel oleh Allah Ta’ala sebagai golongan Yahudi (Judaisme) dan Nasara kerana kesyirikan mereka dan amalan-amalan mereka yang banyak menyalahi ajaran-ajaran Israel dan Ahli Kitab mereka sendiri. Malah, tentang Bani Israel, Allah menjelaskan bahawa mereka akan melakukan dua kerosakan di bumi iaitu pada ayat berikut:
وَقَضَيْنَا إِلَى بَنِي إسْرائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا
“Telah kami tentukan takdir kepada Bani Israel di dalam al-Kitab, bahawa mereka akan melakukan kerosakan di bumi dua kali dan bertindak melampaui batas dengan dengan kesombongan yang cukup besar.” (Surah al-Isra’, ayat 4)
Antara ulama’ tafsir yang mengupas ayat ini seperti Syeikh As’ad Bayudh al-Tamimi menerangkan bahawa Bani Israel akan melakukan kerosakan dalam sejarah mereka sebanyak dua kali, dan selepas mereka melakukan perkara tersebut, mereka akan dihina oleh Allah. Ulama’ berselisih pendapat tentang bila yang pertama kali berlaku, adakah dalam peristiwa Nebuchadnezzar dari Babylon menjarah Palestin 2000 tahun dahulu, ataupun ketika pengistiharan al-Hasyr tentang pengusiran Yahudi dari peperangan Bani Nadhir di zaman Nabi Muhammad ﷺ. Tokoh ilmuan seperti Syeikh Imran Hosein, turut mengupas tentang nasib Bani Israel dari sudut penafsiran ayat ini.
Penghinaan kedua kepada Bani Israel yang melakukan kerosakan selepas diberi kuasa, pastinya berlaku pada akhir zaman apabila mereka semua yang tidak beriman akan diburu oleh hamba-hamba Allah setelah bangkitnya Imam Mahdi dan Nabi Isa yang banyak disebut dalam riwayat hadis-hadis Nabi ﷺ tentang peristiwa akhir zaman.
Al-Quran menyebut tentang hakikat bahawa puak Nasrani dan Yahudi tidak akan redha kepada umat yang beriman kepada Allah. Disebut dalam ayat ke-120 surah al-Baqarah dan juga larangan mengambil mereka sandaran dan penolong dalam ayat ke-51 surah al-Ma’idah. Soalnya, apakah hakikat sebenar Yahudi dan Nasara dalam kehidupan kita mutaakhir ini? Apakah Allah melarang mu’amalat dengan Yahudi, sedangkan Nabi ﷺ juga menjalinkan hubungan dengan mereka? Apakah Allah melarang hubungan dengan Nasara sedangkan Nabi juga menjalinkan hubungan dengan mereka? Maka, perlunya mengenal Nasara dan Yahudi dari sisi panduan al-Quran.
Golongan Yahudi dan Nasrani Bergandingan Memusuhi Islam
Dalam al-Quran, masalah berhubung penganut Yahudi hanya disebutkan dalam ayat-ayat madaniyah. Seluruh konteks penceritaan mengenai Yahudi berlatarbelakangkan kederhakaan mereka terhadap perintah Allah Ta’ala, manakala konteks Bani Israel pula disentuh dari sudut yang berbeza. Hal ini mengisyaratkan, peralihan istilah Bani Israel dan Yahudi di dalam al-Quran merupakan perbandingan yang mustahak diperhatikan iaitu setelah berlaku penyelewengan ajaran Taurat kepada Talmud.
Allah memberitahu kepada orang beriman tentang sikap Yahudi Dan Nasrani terhadap mereka pada ayat ke-120 surah al-Baqarah:
وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنْ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنْ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah; Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”
Pada ayat 51 surah al-Ma’idah pula, Allah melarang umat Islam mengambil golongan kafir ini daripada menjadi pendokong, penasihat dan tempat bergantung:
۞ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pelindung-pelindung(mu); sebahagian mereka adalah pelindung sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”
Dapatlah difahami daripada dua ayat ini adalah larangan dan peringatan Allah kepada umat beriman berkenaan dengan pakatan Yahudi dan Nasrani untuk memerangi Islam. Maka, atas sebab itu untuk hal-hal kehidupan biasa, tiada masalah bermu’amalat bersama salah-satunya dalam urusan kehidupan. Namun, sekiranya mereka berpakat dan berpadu untuk mengancam Islam, maka umat Islam perlu ingat kembali peringatan Allah Ta’ala ini.
Golongan Yahudi dan Nasrani Tidak Pernah Bergandingan Secara Kuasa Sebelum Lahirnya Zionis
Sejarah yang terakam sejak Kerasulan Musa alaihissalam membuktikan kaum Yahudi sering ditindas oleh kaum-kaum lain termasuk kaum Nasrani. Kaum Yahudi pernah meminta perlindungan di Andalus, dan pemimpin-pemimpin Islam di Andalus pada waktu itu memberikan perlindungan politik kepada Yahudi sebagai satu cara untuk berdakwah kepada mereka. Namun, panas yang disangka sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Nikmat perlindungan daripada pemimpin Islam tidak lama apabila penganut-penganut Kristian berjaya menundukkan kuasa Islam di Andalus.
Sekali lagi pada waktu itu penyembelihan orang-orang Yahudi berlaku secara beramai-ramai oleh masyarakat Krisitian. Mereka dihalau keluar dari bandar-bandar seperti Balensia, Qordova, Gibraltar, Barcelona dan juga dari tempat-tempat lain di Sepanyol. Seorang paderi besar Katholik di situ yang bernama Hernando Martins telah menyampaikan ucapan anti Yahudi dan mengarahkan agar unsur-unsur Yahudi termasuk penganutnya dihapuskan.
Apa yang jelas, dalam sejarah tamadun manusia selepas zaman Nabi Muhammad ﷺ sehingga zaman-zaman Kerajaan Islam memerintah belum pernah wujud pakatan kerajaan antara Yahudi dan Nasrani kecuali apabila wujudnya gerakan Zionis pada tahun 1897 di Basel, Switzerland. Pada waktu itu Theodor Hertzl telah dilantik sebagai pemimpin mereka. Theodor Herzl yang telah membuat dasar-dasar umum pembentukan rejim Zionis sehingga lahir sebuah negara khusus untuk orang-orang Yahudi.
Selepas 50 tahun Zionis ditubuhkan, lahirlah negara haram Israel pada tahun 1948. Sejak munculnya negara haram Israel, kita melihat kerjasama yang erat antara Yahudi dan Nasrani yang kita kenali pergerakan mereka hari ini sebagai Zionis. Sama ada mereka Zionis Yahudi atau Zionis Kristian yang melibatkan gerakan Evangelical Kristian yang ada di Amerika di bawah payung Kristian Protestant dan fundamentalisnya, masing-masing memainkan peranan yang sama mahu memastikan umat Islam sentiasa lemah dan tertindas.
Ternyata ayat 51 surah al-Ma’idah tersebut adalah mukjizat untuk zaman ini. Allah melarang orang beriman mengambil Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin, tetapi di zaman Nabi ﷺ dan para sahabat ia tidak berlaku dalam soal politik Islam melainkan sebahagian kecil penyusupan Yahudi yang melakukan kerosakan seperti Abdullah bin Saba’ yang memecahkan umat Islam melalui kesesatan Syi’ah al-Saba’iyah yang digerakkannya.
Keadaan yang diingatkan Allah, berlaku di zaman kita ini. Tindakan pemimpin-pemimpin Arab memberi kepercayaan kepada Yahudi dan Nasrani dalam kepentingan negara-negara mereka telah bermula sejak rancangan meruntukan Kerajaan Uthmaniyyah yang dikenali sebagai “The Sick Man of Europe”.
Sykes Picot dan Pemetaan Timur Tengah
Perjanjian Sykes Picot yang dimeterai secara rahsia oleh Britsih dan Perancis pada tahun 1915 menunjukkan era bermulanya umat Islam di Timur Tengah memasuki perangkap fitnah Zionis. Maka, ketika itu, umat Islam mula pecah dengan sengketa mazhab, bangsa dan juga sempadan negara. Orang Arab melakukan revolusi pertama dengan bendera yang direka oleh Sir Sykes, Menteri Luar British yang berketurunan Yahudi. Akhirnya, Palestin dirampas dari penguasaan Turki dan dijaga meneru mandat British dan The League Of Nation.
Selepas Revolusi Arab 1917 yang tercetus memecahkan Empayar Islam, orang-orang Arab yang terlibat seperti keturunan Sharif al-Hussain dan puteranya Faisal, Abdul Aziz ibn al-Saud dan yang lain diberikan kedudukan masing-masing di tempat-tempat yang telah dipetakan oleh Perjanjian Sykes Picot. Maka lahirlah, Jordan, Arab Saudi, Syria, Iraq, Qatar, Bahrain, Oman, Yaman yang kita kenali pada hari ini. Kejayaan ini adalah hasil pakatan Yahudi dan Nasrani.
Natijah daripada Revolusi Arab itu, Jeneral Edmund Allenby telah berhasil mengambil Bait al-Maqdis pada tahun 1917 sambil mengejek orang Islam pada waktu dengan mengatakan, “...Pada hari ini engkau tidak menyerahkan kunci Jerusalem kepada Umar (al-Khattab) dan Salahuddin (al-Ayyubi, tetapi kepada Allenby”. Manakala Henri Gouraud, salah seorang panglima perang Perancis ketika itu telah menjejakkan kaki ke Syria pada tahun 1920 dan pergi ke Makam Sultan Salahuddin al-Ayyubi di Dimashq sambil menendang-menendang kawasan permakamannya, katanya:
“The Crusades have ended now! Awake Saladin, we have returned! My presence here consecrates the victory of the Cross over the Crescent.”
Peliknya, pemimpin-pemimpin Arab ini seperti tidak merasakan apa-apa tentang perancangan Zionis tersebut. Malah, mereka lebih selesa bertelingkah sesama sendiri seperti Raja Jordan dan Raja Saudi. Namun ketika perlu penyelesaian, mereka sama-sama duduk di meja rundingan yang melibatkan British dan Amerika untuk menyelesaikan masalah mereka. Hingga detik ini, Kerajaan Arab Saudi walaupun Makkah al-Mukaramah dan Madinah al-Munawwarah berada di dalam wilayahnya, mereka tetap menjadi sekutu paling rapat Amerika.
Nah, inilah yang mereka lupa tentang ayat 51 Surah al-Ma’idah. Akhirnya mereka menjadi sebahagian daripada kumpulan Zionis yang bertopengkan pemimpin Islam untuk memastikan kebangkitan Islam gagal.
Gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin dan HAMAS Turut Terkeliru?
Pemetaaan dan penguasaan Yahudi Zionis yang bekerjasama dengan Zionis Kristian ini terus berlaku. Selepas perang Mesir Israel 1973 di Yom kippur, Gerakan Islam seperti Ikhwan al-Muslimin melalui beberapa fasa pertembungan. Hasil serangan bertalu-talu, penangkapan pemimpin dan penyusupan agen-agen, gerakan Islam berhadapan dengan pelbagai mehnah akhirnya berlaku perpecahan.
Kesan awal daripada perpecahan ini berlaku apabila persilisihan dalam gerakan Islam dI Syria, mereka memutuskan sama ada mahu menggunakan penentangan bersenjata menentang regim Hafez al-Assad atau sebaliknya. Akhirnya, sebahagian mengambil pendirian bersenjata seperti yang dilakukan oleh al-Syahid Syeikh Marwan Hadid dan pasukannya dalam menentang regim Hafez al-Assad. Manakala sebahagian lain tidak mengambil pendekatan yang serupa.
Perpecahan turut juga berlaku di Mesir apabila Presiden Anwar Sadat memeterai Perjanjian Camp David bagi menghentikan Perang Mesir-Israel yang banyak dibantu oleh gerakan Islam. Perkara tersebut seolah-olah menjadi suatu ejekan kepada gerakan Islam yang dipermainkan sehingga berlaku lagi perpecahan kepada gerakan Islam di Mesir. Perpecahan menyebabkan masing-masing melakukan pendekatan-pendekatan berbeza dan ada yang mendapatkan perlindungan di Eropah dan Amerika.
Evolusi gerakan Islam di Luar Arab ini ditanggapi Barat dengan cermat. Tidak hairan jika ada yang terperangkap dalam usaha mereka memperjuangkan Islam tanpa berwaspada kepada permainan halus pecah dan perintah Pakatan Yahudi-Nasrani (Zionisme). Perbezaan pendekatan terhadap “Revolusi Arab Spring” dan keinginan menumbangkan regim-regim zalim telah dieksploitasi dengan mudah. Maka, di sinilah kita akan melihat peranan negara-negara Arab yang berkonflik pada hari ini. Bagaimana Qatar yang mengamalkan dasar polisi luar yang terbuka melindungi beberapa pemimpin Ikhwan al-Muslimin dan HAMAS, tetapi dalam waktu yang sama juga Qatar menyediakan pangkalan terbesar untuk Amerika di negara teluk.
Apakah Penyelesaian Untuk Kita di Zaman Ini?
Keadaan konflik yang rumit di zaman kita ini tetap ada penyelesaian bagi yang beriman kepada Allah Ta’ala. Soalnya, sanggup atau tidak kembali kepada Islam secara menyeluruh. Mengambil panduan sepenuhnya dari al-Quran dan berpegang kuat pada panduan ayat 51 surah al-Ma’idah. Pemimpin-pemimpin dunia Islam perlu terus berwaspada kepada ayat Allah yang melarang mengambil dokongan, sokongan, bantuan dari Yahudi dan Nasrani di zaman kita ini.
Jika ini yang kita laksanakan iaitu dengan kembali kepada ajaran Allah secara menyeluruh, sudah kita pasti dapat menggagalkan cita-cita Yahudi menindas masyarakat dunia buat seperti yang dinyatakan oleh Allah Ta’ala di dalam ayat 4 surah al-Isra’. Yakinlah bahawa mereka ini akan kembali umat yang hina seperti yang telah dijanjikan oleh Allah menerusi ayat 167 surah al-A’raf:
إِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكَ لَيَبْعَثَنَّ عَلَيْهِمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَن يَسُومُهُمْ سُوءَ الْعَذَابِ إِنَّ رَبَّكَ لَسَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada mereka (kaum Yahudi) itu, (terus-menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Janji Allah Ta’ala akan sampai bagi memastikan Islam akan tinggi semula dan musuh-musuh Islam terutamanya Yahudi akan mengucilkan diri seperti keadaan asal mereka.