© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Memperkukuhkan Sistem Nilai Masyarakat Malaysia

Memperkukuhkan Sistem Nilai Masyarakat Malaysia

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 15 May 2017


Setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, adalah sesuatu yang amat malang apabila kita masih tercari-cari jati diri sebenar rakyat Malaysia. Tidak perlu kita membuka lembaran lebih jauh untuk berbicara tentang rupa-bentuk bangsa Malaysia sebagai asas pembinaan negara bangsa, sekiranya persoalan yang lebih kecil berkaitan dengan jati diri yang sepatutnya dimiliki secara sepunya oleh rakyat masih belum selesai. Rakyat Malaysia seperti dibiarkan untuk memiliki jati diri mengikut cita rasa masing-masing tanpa ditunjuki oleh pihak yang berkuasa. Situasi seperti ini sekiranya tidak dikawal akan mewujudkan konflik yang serius di dalam masyarakat.

Lazimnya sistem nilai dikaitkan dengan kepercayaan yang dipegang oleh seseorang atau sesebuah masyarakat. Bagaimanapun bagi mereka yang tidak menerima sistem nilai sebagai sesuatu yang bersifat supernatural seperti golongan naturalisme atau realisme, sistem nilai seseorang atau sesebuah masyarakat diasaskan kepada banyak faktor termasuk pemikiran, dan budaya sesebuah masyarakat. Maka lahirlah berbagai sistem nilai yang tidak berasaskan agama seperti utilitarianisme, hedonisme dan sebagainya. Biar apapun sistem nilai yang dipegang, perlu ada nilai-nilai sepunya sehingga sesuatu yang baik diterima bersama sebagai baik dan sesuatu yang buruk diterima bersama sebagai buruk.

Betapa celaru sesebuah masyarakat bila tiada nilai-nilai sepunya yang diterima secara bersama oleh mereka. Dengan erti kata lain setiap individu atau kelompok kecil dalam sesebuah masyarakat itu mempunyai sistem nilai yang pelbagai sehingga sesuatu yang baik dianggap buruk oleh kelompok yang lain dan sesuatu yang buruk dianggap baik oleh kelompok yang lain. Konflik nilai yang seperti ini akan menyebabkan sesebuah masyarakat menjadi kacau-bilau malah boleh membawa kepada pertelingkahan. Lebih daripada itu, sekiranya situasi ini wujud maka perundangan dan peraturan dalam sesebuah negara tidak lagi bermakna.

Menyedari hakikat tersebut, sangatlah membimbangkan apabila wujud kumpulan-kumpulan yang menggelarkan diri mereka masyarakat sivil cuba mempertikaikan nilai-nilai sepunya masyarakat Malaysia yang sudah berdiri sekian lama sehingga menjadi faktor terpenting pembinaan jatidiri. Kumpulan-kumpulan ini mempertikaikan tindakan pihak berkuasa terhadap perlakuan tidak bermoral yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu hanya dengan beralasankan hak asasi. Gagasan untuk mempertikai sesuatu yang baik itu baik dan sesuatu yang buruk itu buruk sebagaimana yang telah diterima oleh masyarakat Malaysia secara turun temurun hanyalah mencetuskan konflik nilai seperti yang telah dinyatakan.

Masyarakat Malaysia yang menganut agama masing-masing sudah mewarisi nilai-nilai sepunya yang telah membina jati diri rakyat Malaysia. Sebagai contoh perlakuan tidak senonoh seperti berkelakuan lucah di khalayak ramai merupakan sesuatu buruk di sisi semua agama lebih-lebih lagi agama Islam. Begitu juga bersekedudukan dan perzinaan merupakan sesuatu yang keji di sisi setiap agama yang dianuti oleh masyarakat Malaysia. Boleh dikatakan perkara-perkara seumpama ini diterima sebagai suatu prinsip nilai yang sejagat walaupun diamalkan secara berbeza bagi setiap kaum. Warisan seperti inilah yang telah membina jati diri masyarakat Malaysia selaras dengan hakikat ‘sejarah yang membina bangsa dan negara’.

Pandangan Islam Terhadap Nilai-nilai Sejagat

Sebagai sebuah agama yang bersifat sejagat, Islam menerima kewujudan nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama oleh semua manusia. Malah Islam tidak hanya membataskan kesejagatan dalam persoalan nilai semata-mata, sebaliknya sehingga ke peringkat kesejagatan akidah tauhid. Menurut al-Quran fitrah atau naluri untuk memperakui keesaan Allah diterima secara sejagat oleh manusia, Cuma ada di kalangan manusia yang tidak menurutinya sehingga mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Firman Allah:
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ
“Dan demi sesungguhnya jika engkau wahai Muhammad bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi nescaya mereka menjawab yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Mengetahui.” (al-Zukhruf, ayat 9)

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ
“Dan demi sesungguhnya jika engkau wahai Muhammad bertanya kepada mereka siapakah yang menjadikan mereka nescaya mereka menjawab Allah. Maka bagaimana mereka rela dipesongkan daripada menyembah dan mengesakan Allah.” (al-Zukhruf, ayat 87)

Sekiranya dalam persoalan akidah Islam mengemukakan akidah tauhid yang sejagat sifatnya, apalagi dalam persoalan akhlak yang lebih banyak titik-titik pertemuan dengan penganut-penganut agama lain. Islam mempunyai prinsip-prinsip yang tersendiri berkaitan dengan baik dan buruk yang berasaskan kepada akidah tauhid. Bagaimanapun terdapat prinsip-prinsip tentang baik dan buruk yang dikongsi bersama oleh masyarakat manusia sejagat. Sebagai contoh persoalan berbuat baik kepada ibu-bapa telah disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran dalam bentuk nilai manusia yang sejagat sebagaimana Firman Allah:
وَوَصَّيْنَا الإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu-bapanya, ibu yang telah mengandungkannya dengan segala susah payah dan melahirkan dengan segala susah payah…” (al-Ahqaf, ayat 15)

وَوَصَّيْنَا الإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-ibu-bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan dan tempoh menyusukannya dalam masa dua tahun, dengan demikian bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu-bapamu dan ingatlah aku jua tempat kembali.” (Luqman, ayat 14)

Dalam surah al-An’aam ayat ke-15 dan ke-16, Allah mengajar Rasulullah ﷺ supaya mengajak golongan yang tidak beriman kepada prinsip-prinsip sejagat bermula dengan tidak mempersekutukan Allah, berbuat baik kepada ibu-bapa, tidak membunuh anak-anak kerana takut kepapaan, tidak menghampiran zina, tidak melakukan pembunuhan, tidak memakan harta anak yatim, tidak menipu dalam perniagaan dan berlaku adil. Sebahagian ayat-ayat al-Quran di atas memadai untuk menunjukkan betapa Islam sebagai agama sejagat mengajak manusia kepada menghayati nilai-nilai sejagat bermula dengan menerima akidah tauhid. Bagi mereka yang tidak menerima seruan akidah tauhid tersebut, mereka diajak pula supaya mengamalkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang turut diajar oleh agama mereka masing-masing.

Selain daripada itu, terlalu banyak hadith-hadith Rasulullah ﷺ menyentuh tentang nilai-nilai baik yang bersifat sejagat antaranya sebuah hadith yang menjelaskan tentang dosa-dosa besar:
ألا أنبئكم بأكبرِ الكبائر؟ ثلاثًا: الإشراك بالله، وعقوق الوالدين، وشهادة الزور، أو قول الزور
“Mahukah kamu dikhabarkan antara dosa besar di antara dosa-dosa yang besar? Ada tiga iaitu menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, menderhakai (tidak berlaku baik) kepada kedua ibu-bapa, dan membuat persaksian palsu atau kenyataan palsu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas merupakan salah daripada hadith yang menjelaskan tentang nilai-nilai baik yang sejagat sifatnya sebagai menjelaskan penyataan-penyataan yang terdapat dalam al-Quran. Oleh kerana itu, suruhan-suruhan dalam Islam terutama yang berkaitan dengan persoalan moral adalah merupakan nilai-nilai sejagat yang tidak bertentangan dengan naluri semulajadi manusia.

Peranan Pemerintah Terhadap Moral

Golongan yang mendukung fahaman bahawa nilai baik dan buruk ditentukan oleh diri seseorang, selalunya berpegang kepada pepatah Protagoras “a man is the measure of all things” yang meletakkan seseorang individu sebagai neraca segala-galanya. Dasar moral seperti ini telah disanggah oleh ramai ahli falsafah sama ada pada zaman klasik ataupun zaman moden. Seorang ahli falsafah moden Thomas Hobbes menyatakan bahawa sekiranya nilai moral bergantung kepada kepentingan peribadi, maka kepentingan keperibadi boleh mendorong kepada konflik dan kemuncaknya peperangan. Oleh sebab itu beliau menegaskan betapa perlunya kawalan moral oleh pemerintah yang berwibawa.

Dalam bidang kajian etika, terdapat golongan yang menyatakan bahawa nilai baik dan buruk tidak sejagat sifatnya sebaliknya tertakluk kepada budaya dan situasi sosial sesebuah komuniti. Fahaman ini disebut sebagai cultural relativism atau boleh juga disebut moral ethnocentrism. Walaupun golongan ini dilihat tidak menerima kesejagatan nilai, tetapi mereka masih memperakui betapa komuniti atau masyarakatlah yang menjadi neraca dalam menentukan sesuatu itu baik atau buruk. Bagi golongan berfahaman seperti ini, perlakuan seseorang tertakluk kepada nilai-nilai baik dan buruk yang diterima secara bersama oleh sesebuah komuniti atau masyarakat.

Menyedari hakikat tersebut, sistem nilai dalam sesebuah masyarakat bukanlah berasaskan kepada kehendak individu sebagaimana tuntutan golongan egoism sebaliknya keperluan bersama (common needs) dalam masyarakat. Menurut Jacques Rousseau, keperluan bersama dalam sesebuah masyarakat inilah yang akan akhirnya mewujudkan kontrak sosial. Sesebuah negara yang harmoni tertegak di atas perkongsian nilai-nilai sepunya bagi memenuhi keperluan bersama, bukannya nilai-nilai yang diasaskan atas kepentingan individu. Oleh sebab itu, kawalan moral oleh pemerintah tidak dapat dielakkan demi mempertahankan nilai-nilai sepunya masyarakat daripada terhakis.

Mempertahankan nilai-nilai sepunya dalam masyarakat juga begitu penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang. Sebenarnya moral atau nilai tidak boleh dipisahkan daripada perundangan. Dengan pengertian lain perundangan bukan sekadar berkaitan dengan fakta sosial yang berdasarkan pengalaman empirikal tetapi turut berkaitan dengan sesuatu yang dipercayai baik atau buruk dalam sesebuah masyarakat. Meskipun golongan positivism cuba memisahkan nilai dan perundangan, namun mereka tetap memperakui perkara yang salah disisi perundangan merupakan perkara yang terbukti tidak baik menurut fakta empirikal. Hakikatnya, mereka bukanlah memisahkan nilai dan perundangan, tetapi menentukan nilai yang bagaimana seharusnya dikaitkan dengan perundangan.

Bagaimanakah gambaran sesebuah masyarakat apabila sesuatu yang salah di sisi perundangan negara dilihat secara berbeza dari segi nilainya oleh setiap individu masyarakat. Sebagai contoh penyalahgunaan dadah, merupakan sesuatu yang salah di sisi perundangan, tetapi masyarakat mempunyai persepsi nilai yang berbeza terhadapnya. Sebahagian masyarakat melihatnya buruk sama sekali, mungkin sebahagian yang lain melihatnya buruk sekiranya ia mencabul hak orang lain dan selebihnya menganggapnya baik. Dalam situasi seperti ini bagaimanakah akan tertegaknya undang-undang?

Kawalan Moral Di Dalam Islam

Menurut ajaran Islam, kawalan moral adalah tanggungjawab semua lapisan masyarakat bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan pemerintah dalam sesebuah negara. Dengan sebab itu konsep pertanggungjawaban dalam Islam begitu holistik meliputi kesemua lapisan masyarakat. Dalam konteks kawalan moral semua pihak bertanggungjawab terhadap perlakuan seseorang melalui peranan masing-masing yang berbeza. Hakikat inilah yang digambarkan oleh hadith Rasulullah ﷺ:
كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته، فالإمام الأعظم الذي على الناس راع وهو مسؤول عن رعيته، والرجل راع على أهل بيته وهو مسؤول عن رعيته، والمرأة راعية على أهل بيت زوجها وولده وهي مسؤولة عنهم، وعبد الرجل راع على مال سيده وهو مسؤول عنه، ألا فكلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته
“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya, pemerintah (dalam sesebuah negara) adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan, seorang lelaki (suami) adalah penjaga bagi rumahtangganya dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya, Seorang wanita (isteri) adalah penjaga kepada rumah suaminya serta anak-anak, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjwabkan. Seorang hamba adalah penjaga kepada harta tuannya dan dia dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Maka setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap tanggungjawabnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Setiap lapisan masyarakat menurut Islam mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam mengawal moral. Tanggungjawab tersebut bergantung kepada keupayaan yang ada pada diri seseorang. Sekiranya seseorang itu diberi kuasa mentadbir sebuah negara, maka salah satu tanggungjawabnya ialah memelihara perlakuan moral rakyatnya. Bagi seorang bapa yang berkuasa ke atas ahli keluarganya, maka mengawal moral ahli keluarganya adalah merupakan salah satu tanggungjawabnya. Sekiranya seseorang itu tiada mempunyai kuasa terhadap seseorang, tanggungjawab untuk mengawal moral masih tidak terlepas. Dia masih bertanggungjawab menegur salah laku moral yang berlaku paling kurang tidak merestui di dalam hatinya.

Konsep amar maaruf dan nahi munkar merupakan satu mekanisme yang holistik dianjurkan oleh Islam dalam mengawal moral manusia. Peranan melaksanakan tugas tersebut erpikul kepada setiap orang. Mekanisme amar maaruf dan nahi munkar kelihatan seperti satu bentuk kawalan moral masyarakat ke atas individu kerana melibatkan suruhan dan cegahan. Namun konsep ini sebenarnya turut berkaitan dengan kawalan moral terhadap diri sendiri kerana suruhan melakukan maaruf dan cegahan melakukan munkar turut boleh dilakukan terhadap diri masing-masing. Di dalam surah al-Baqarah ayat 44, Allah berfirman:
أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ
“Patutkah kamu menyuruh manusia melakukan maaruf sedangkan kamu lupa diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab Allah, tidak kamu berakal.”

Demikianlah juga dalam mencegah munkar, Rasulullah ﷺ menyuruh kita paling tidak menanam kebencian terhadap munkar di dalam hati masing-masing, sekiranya kita tidak berupaya mencegahnya secara perbuatan dan perkataan.

Kesimpulan

Pembinaan sebuah masyarakat yang mempunyai jati diri mulia tidak mungkin tercapai sekiranya tiada wujud prinsip-prinsip nilai yang boleh diterima secara bersama. Sistem nilai yang berasaskan kepentingan diri individu tidak mungkin berupaya membina sebuah masyarakat yang hidup harmoni. Bagaimanapun penerimaan prinsip-prinsip nilai secara bersama perlu diperkukuhkan dengan mekanisme kawalan moral bermula dari individu sehinggalah tanggungjawab pemerintah. Malangnya perkara seumpama ini semakin tidak diberi perhatian dalam masyarakat kita, malah wujud pula tangan-tangan kotor yang berusaha meruntuhkannya.

Biodata Penulis

Dr. Mohd Zuhdi bin Marzuki dilahirkan ada 26 Julai 1970 di Slim River Perak, bandar yang kecil tempat bersemaraknya kebangkitan pejuang Melayu Islam seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Di dalam gerakan Islam Parti Islam SeMalaysia (PAS), beliau merupakan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat (PPP). Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia. Bergiat dalam kegiatan akademik dan dakwah Islamiyah dalam usaha mewujudkan sebuah kehidupan dunia yang diredhai oleh Allah.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-