Matlamat tugas Rasulullah ﷺ adalah untuk menubuhkan Daulah Islamiyah untuk menjalankan sistem hidup yang diwahyukan oleh Allah. Sirah memaparkan cara Rasulullah ﷺ mendukung Islam dalam segenap segi. Peranan Islam dan pemudanya ialah memimpin perubahan. Penegasan ini dapat dilihat dalam lembaran sirah Rasulullah dan Para Sahabat melalui ucapan Ruba’ei bin Amir kepada panglima Rustam;
إِنَّ اللهَ ابْتَعَثَناَ لِنُخْرِجَ مَنْ شَاْءَ مِنْ عِباَدَةِ الْعِباَدِ إِلىَ عِباَدَةِ رَبِّ الْعِباَدِ وَ مِنْ جَوْرِ اْلأَدْياَنِ إِلىَ اْلعَدْلِ اْلإِسْلاَمِ وَ مِنْ ضِيْقِ اْلدُّنْياَ إِلىَ سِعَتِهاَ وَ اْلآخِرَةِ
“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia mahu dari perhambaan sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Tuhan, dari kezaliman ideologi ciptaan manusia kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Inilah tiga program utama bagi proses perubahan yang dibawa oleh Nabi ﷺ kerana sebelum itu manusia terperangkap dalam period jahiliyyah yang;
- Mengabdi diri sesama mereka
- Menganut agama ciptaan mereka sendiri
- Terbelenggu dalam fikrah madiyyah
Nabi Muhammad ﷺ sendiri ada menegaskan;
أُمِرْتُ أَنْ أُقاَتِلَ اْلناَّسَ حَتَّى يَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ الله ُوَ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ وَ يُقِيْمُوا اْلصَّلاَةَ وَ يُؤْتوُا الزَّكاَةَ فَإِذاَ فَعَلُوْا ذَلِكَ عَصَمُوْا مِنيِّ دِماَءَهُمْ وَ أَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ اْلإِسْلاَمِ وَ حِساَبُهُمْ عَلى اللهِ تعالى
“Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammmad adalah pesuruh Allah, mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Apabila mereka menunaikan yang sedemikian itu, maka terpeliharalah darah dan harta mereka daripadaku kecuali apa yang telah menjadi hak bagi agama Islam sementara persoalan hati mereka terserah kepada Allah Taala”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Orientasi dakwah dan perjuangan Nabi ﷺ adalah memerangi dan merubah manusia;
- Dari syirik kepada Tauhid (syahadah)
- Mengabdikan diri kepada Allah (solat)
- Membina hubungan sesama manusia (zakat)
Nabi Muhammad ﷺ diutuskan oleh Allah membawa kebenaran kepada manusia supaya manusia semuanya mendapat panduan di dalam kehidupannya. Bukan sekadar kebenaran berupa al-Quran dan Sunnah yang dibawa olehnya sahaja yang menjadi panduan kepada manusia bahkan perutusan itu sendiri di tengah masyarakat jahiliyyah dan sifat serta peribadi Baginda ﷺ juga menjadi panduan untuk mencapai kejayaan di dalam kehidupan. Inilah yang disimpulkan oleh sebahagian mufassir ketika mentafsirkan ayat:
إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا
“Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) membawa kebenaran, sebagai pemberi berita gembira dan pengancam.” (surah al-Baqarah, ayat 119)
Tiga perkara yang terdapat di dalam ayat ini adalah merupakan berita gembira kepada sesiapa yang menjadikannya sebagai panduan di dalam kehidupannya dan sebagai pengancam bagi sesiapa yang membelakangkannya. Tiga perkara tersebut adalah pengutusan Nabi ﷺ itu sendiri, kedua akhlak serta peribadi Baginda ﷺ yang mana kedua-duanya terangkum di dalam firman-Nya ‘أَرْسَلْنَاكَ’ (Kami telah
mengutusmu) dan ketiga kebenaran iaitu al-Quran dan Sunnah yang dibawa olehnya.
Dalam menjayakan risalah nabawi ini, pemuda menjadi “Top Agent” terhadap perubahan-perubahan tersebut. Pemuda adalah asset ummah dan ia merupakan institusi utama untuk menggerakkan ummah ke arah melaksanakan aspirasi perubahan tersebut. Kekuatan tenaga, kecerdasan minda dan ketinggian semangat meletakkan pemuda di saff hadapan perjuangan (di bawah kepimpinan ulama). Memprogramkan pemuda antara agenda baginda Rasul s.a.w dalam menggerakkan dakwah dan mengibar panji Islam di muka bumi Allah ini.
Generasi awal yang telah berkorban tenaga dan nyawa untuk mengemudi misi dan visi risalah samawiyah juga terdiri dari golongan pemuda. Malah Rasulullah ﷺ sendiri ketika ditabal sebagai seorang Rasul akhir zaman adalah seorang pemuda yang berusia 40 tahun (suatu usia yang sempurna sebagai seorang pemuda). Sabda Rasulullah ﷺ;
أُوْصِيْكُمْ بِالشَّباَبِ خَيْراً فَإِنَّهُمْ أَرِقُّ أَفْئِدَةً لَقَدْ بَعَثَنِيَ الله ُبِالْحَنِيْفِيَّةِ السَّمْحَةِ فَحَاْلَفَنِي الشَّباَبُ وَ خَاْلَفَنِي الشُّيُوْخُ
“Aku berwasiat kepada kamu supaya menanggapi pemuda dengan sebaik mungkin kerana sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk (lembut dan unik). Sesungguhnya Allah telah mengutusiku dengan agama yang lurus lagi toleransi lalu aku telah dibantu kukuh oleh para pemuda sedang orang-orang tua menyanggahiku”.
Pemuda mesti menjadi arkitek mengawal proses perubahan yang berlaku kerana kita tidak mahu meruntuhkan jahiliyyah dan menegakkan jahiliyyah yang baru. Kita juga tidak mahu slogan taghyir (perubahan) hanya tinggal laungan dan slogan yang hampa. Perubahan yang dilakukan bukanlah asas rekaan dan kajian tetapi mengikut acuan wahyu dan sunnah Rasulullah ﷺ. Justeru, langkahan awal mestilah merubah persepsi umum masyarakat terhadap keupayaan Islam untuk memerintah di era sains dan teknologi.
Bentuk perubahan sedemikian boleh dilangsungkan dengan mengambil kaedah muwajjahah silmiyyah (pendekatan aman) dan mempelbagaikan wasilah serta metodologi dakwah melalui usaha memanafaatkan semua ruang yang wujud dengan mencipta suasana untuk menguasai keadaan. Sebagai contoh, di negara kita, kita mengambil pendekatan pilihanraya sebagai salah satu bentuk perubahan. Kita mempunyai hasil melalui pendekatan ini namun begitu kita tidak pernah beriman dengan pilihanraya.
Pemuda juga mestilah membawa satu bentuk perubahan yang mantap dan bersedia untuk mengambil alih ketuanan pentadbiran/ pemerintahan negara dengan memikir dan mengkaji secara serius dari masa ke semasa untuk memenuhi keperluan semasa.