© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Ghazwah al-Fikri: Cabaran Pasca-Islamisme

Ghazwah al-Fikri: Cabaran Pasca-Islamisme

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 21 March 2016


Pertentangan antara Iman dan Kufur tidak pernah berakhir sehingga menjelang hari kiamat, malah ia berlaku bukan sahaja secara fizikal tetapi secara intelektual dan spiritual.

Firman Allah;
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ اللَّهِ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ وَلاَ يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati. Katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidilharam (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati) dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” (surah al-Baqarah ayat 217)

Di dalam ayat di atas Allah menyuruh umat Islam mengambil iktibar dari peristiwa Badar al-Sughra berhubung usaha golongan musyrikin Mekah untuk melakukan serangan pemikiran dan perang psikologi ke atas umat Islam berhubung dosa membunuh pada bulan haram. Kemudian Allah swt mengingatkan umat Islam bahawa mereka akan terus melakukan sedimikian kepada umat Islam sedaya kemampuan mereka. Jelas sekali, kestabilan akidah, hukum dan akhlak Islam akan terus digugat sehingga akhir zaman.

Serangan pemikiran dan perang psikologi seumpama itu telah berlangsung sepanjang sejarah umat Islam bermula dengan kemunculan aliran-aliran Jabbariyah, Qadariyah dan Mu’tazilah, kemudian diikuti dengan kemunculan aliran Mashaiyyun, Batiniyyah dan Shi’ah, sehinggalah di zaman moden yang menyaksikan kemunculan golongan modernism (al-Hadathah) dan sekularisme (al-‘Ilmaniyyah) dalam umat Islam. Setiap kali kemunculan aliran-aliran pemikiran seumpama ini, maka akan muncul pula para ulama Islam yang mempertahankan ketulenan ajaran Islam sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya sallallahua’laihi wasallam. Hari ini muncul pula gagasan Post-Modernism atau Pasca-Modernisme yang mempengaruhi perspektif umat Islam dalam melihat ajaran agama mereka sehingga membawa kepada kemunculan aliran pemikiran baru yang dikenali sebagai Post-Islamism atau Pasca-Islamisme.

Fitnah Kegelapan Di Akhir Zaman

Selepas wafat Rasulullah sallallahua’laihi wasallam, tiada satu jaminan golongan musuh Islam akan berhenti daripada mengeliru dan mengaburkan pegangan umat Islam. Sejarah telah membuktikan usaha tersebut telah bermula seawal pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu anhu dan berterusan sehingga ke hari ini. Jika generasi awal dari kalangan Para Sahabat telah menghadapinya, maka generasi yang semakin jauh dengan zaman Rasulullah sallallahua’laihi wasallam sudah pasti menghadapinya dengan lebih mencabar. Kekeliruan dan kekaburan umat Islam terhadap akidah, hukum dan akhlak Islam yang sebenar merupakan satu fitnah yang besar di akhir zaman, yang pernah disebut oleh Rasulullah sallallahua’laihi wasallam sebagai fitnah kegelapan. 

Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam daripada Abu Hurayrah radhiallahu anhu;
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا، يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا
“Bersegeralah dengan melakukan amalan-amalan soleh sebelum berlakunya fitnah seperti kepingan-kepingan malam yang gelap, (ketika itu) seorang lelaki beriman pada pagi harinya dan menjadi kufur pada petang harinya, dia beriman pada petang harinya dan menjadi kufur pada keesokan paginya, dia menjual agamanya dengan habuan dunia.” (riwayat Muslim dan al-Tirmizi)

Hadis di atas menunjukkan tentang satu jenis fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam di akhir zaman, iaitu fitnah kekeliruan dan kekaburan antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliyah atau antara hak dan batil. Situasi ini diburukkan lagi dengan adanya golongan (khususnya dari kalangan yang berilmu) yang menjual agama mereka untuk mencapai kepentingan dunia. Mereka akan menyebabkan masyarakat awam menjadi semakin keliru dan kabur, yang diibaratkan oleh hadis ini seumpama kepingan-kepingan malam yang gelap. Bila keadaan menjadi semakin buruk menyebabkan seseorang yang beriman boleh menjadi kufur dalam satu tempoh yang singkat. Demikianlah hadith tersebut menggambarkan betapa buruknya fitnah yang sedang dan bakal berlaku di akhir zaman.

Fitnah kekeliruan dan kekaburan seperti ini, diibaratkan dalam sebuah hadis yang lain sebagai Fitnah al-‘Umya’ (fitnah buta) sebagai hadith yang diriwayatkan oleh Abu Huzayfah al-Yamani;
فَقُلْتُ هَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ: نَعَمْ، فِتْنَةٌ عميَاءٌ، دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ نَعَمْ، قَوْمٌ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَاَ
“Aku (Abu Huzayfah) bertanya: Adakah selepas kebaikan itu akan datang pula keburukan: Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam: Ya, fitnah buta, penyeru kepada pintu-pintu api neraka. Sesiapa yang menyahut seruan mereka akan dicampakkan dalamnya. Kata Abu Huzayfah: Wahai Rasulullah, nyatakan sifat mereka kepada kami. Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam: Mereka dari kalangan bangsa kita dan bercakap menggunakan bahasa kita.” (Riwayat Abi Daud)

Sebahagian para ulama menyebut bahawa “fitnah buta” (dalam lafaz yang lain fitnah buta-tuli) sebagai seruan kepada permusuhan atau peperangan. Bagaimanapun, jika dilihat daripada lafaz hadis ini, secara jelas fitnah yang dimaksudkan ialah seruan-seruan kepada kesesatan dan kekufuran yang membawa kepada api neraka. Rasulullah sallallahua’laihi wasallam menggambarkan dalam hadis ini bahawa para penyeru kepada api neraka ini adalah dari kalangan yang dilihat menyerupai umat Islam dan menggunakan lidah (hujah) mereka.

Kedua-dua hadith di atas menjadi iktibar, bahawa umat Islam di akhir zaman akan menghadapi fitnah yang boleh menggugat pegangan akidah, hukum dan akhlak mereka. Fitnah itu datang melalui seruan-seruan yang mengeliru dan mengaburkan umat Islam, disebabkan seruan-seruan itu kelihatannya bersumberkan dari ilmuan Islam dan berdalilkan keilmuan Islam. Kekeliruan dan kekaburan umat Islam digambarkan seperti malam yang gelap gelita, sehingga seseorang yang beriman diwaktu pagi, tiba-tiba menjadi kafir pada waktu petangnya. Demikianlah keadaan kegelapan yang melanda umat Islam di akhir zaman, dan kemungkinan fitnah seumpama ini sudah mula menyelubungi umat Islam pada hari ini.

Gagasan Pasca-Modernisme

Menjelang akhir kurun ke-20 khususnya bermula pada dekad 1960-an, perkembangan intelek di dunia Barat memasuki satu fasa baru yang dikenali sebagai Pasca-Modernisme. Pasca-Modernisme merujuk kepada gagasan semasa yang menyanggahi pegangan yang terbentuk hasil pemikiran para failusuf semasa Zaman Pencerahan dan pemikiran-pemikiran yang diperkenalkan semasa zaman Modernisme. Ia juga dikenali sebagai sebuah gagasan pemikiran yang merujuk kepada anjakan baru kepada pemikiran humanisme dalam melihat hubungan antara budaya dan masyarakat secara lebih luas. Jelasnya, gagasan Pasca-Modernisme adalah merupakan gagasan anti tesis yang boleh ditanggapi sebagai yang menyanggahi sistem atau struktur ilmu, budaya dan moral yang dibentuk semasa era Modernisme.

Lazimnya, gagasan Pasca-Modernisme ini dilihat berdasarkan tiga pendekatan utama iaitu;
  1. Skeptisisme (Skepticism)
  2. Destruksionisme (Deconstructionism), dan;
  3. Pasca-Strukturalisme (Post-Structuralism)
Ketiga-tiga pendekatan inilah yang secara tidak disedari telah mencorak pemikiran, budaya dan nilai dalam sesebuah masyarakat.

(a). Skeptisisme

Skeptisisme ini adalah satu gagasan yang mengkritik kecenderungan ilmu untuk mencari kebenaran atau yang membawa kepada kepercayaan. Pendekatan skeptisisme ini lazimnya menekankan teori keraguan (theory of doubt) terhadap kebenaran sains, falsafah dan termasuklah agama. Dalam konteks Pasca-Modernisme ini, skeptisisme disuburkan sehingga melahirkan generasi baru yang bersikap skeptik.

(b). Dekonstruksionisme

Dekonstruksionisme pula adalah satu gagasan yang merombak sistem dan struktur ilmu, budaya dan moral yang sebelumnya diterima dalam sesebuah masyarakat ilmu atau masyarakat umum. Gagasan Dekonstruksionism ini dikenali dalam bahasa Arab sebagai “al-Tafkikiyah”. Dekonstruksionisme ini menafikan kemungkinan adanya sesuatu kebenaran mutlak termasuklah sesuatu ilmu yang bersumberkan pertimbangan metafizik.

(c). Pasca-Strukturalisme

Pasca-Strukturalisme adalah gagasan yang menekankan ketidakstabilan pengetahuan manusia, iaitu menyanggah struktur ilmu (termasuk budaya dan moral) yang boleh dikenali daripada dua nilai bertentangan seperti benar dan salah. Dengan erti kata yang lain, sesuatu kebenaran dan kebatilan itu adalah relatif. Gagasan Pasca-Strukturalisme juga dilihat sebagai gagasan yang anti-humanisme disebabkan penolakan terhadap pengaruh budaya.

Pengaruh Pasca-Modenisme Terhadap Islam

Gagasan Pasca-Mordenism ini bukan sahaja telah mempengaruhi perkembangan pemikiran, budaya dan nilai dalam masyarakat Barat, malah turut mempunyai kesan yang hampir sama terhadap umat Islam. Bagaimanapun, sebagaimana yang dijamin oleh Allah dan Rasulullah sallallahua’laihi wasallam, gagasan ini dan yang seumpamanya sebelum ini menghadapi rintangan yang kuat dari kalangan para ulama dan pendukung perjuangan Islam. Dengan perjuangan mereka, ajaran Islam yang sebenar akan terus terpelihara, meskipun kesannya tetap juga dirasai di kalangan segelintir kecil umat Islam. Kesan itu dapat diperhatikan dengan kemunculan aliran pemikiran “Muslim Progresif” dan aliran-aliran pemikiran seumpamanya.

Golongan Muslim Progresif ini kadangkala dikenali juga sebagai golongan Liberal Muslim, iaitu golongan yang mendakwa membawa pemikiran pertengahan antara golongan modernis dan golongan konservatif serta untuk menafsir serta merombak semula dasar dan amalan Islam yang sedia adasupaya sesuai dengan kurun ke-21. Kecenderungan golongan Muslim Progresif ini serupa dengan pendekatan Dekonstruksionisme, iaitu pendekatan menafsirkan Islam sebagai berada di ruang kelabu antara kebenaran dan kebatilan. Mereka cuba untuk membezakan pandangan mereka daripada golongan yang mereka dakwa sebagai konservatif dan modernis, dan mengambil jalan pertengahan untuk tidak terlalu konservatif dan tidak terlalu modernis.

Pendekatan Dekonstruk (merombak akar-umbi akidah, hukum dan akhlak) golongan ini sebenarnya tiada beza dengan seruan golongan Modernis, cuma mereka mendakwa masih berpegang kepada dasar-dasar ilmu dan nilai-nilai sejagat Islam seperti yang turut dipegang oleh golongan konservatif. Berbeza dengan golongan Modernis yang menolak sumber-sumber al-Quran dan al-Sunnah, golongan Muslim Progresif ini mendakwa masih berpegang kepada kedua-dua sumber itu, akan tetapi mereka menyeru kepada penafsiran baru dan rombakan semula. Demikian juga mereka mendakwa masih berpegang kepada nilai-nilai Islam yang mereka anggap sebagai sejagat sifatnya, seperti dosa dan pahala, malah pembalasan syurga dan neraka.

Bagaimanapun, sebenarnya golongan Modernis dan Muslim Progresif ini merupakan aliran pemikiran yang sama, yang berbeza ialah kemunculan mereka pada dua zaman yang berbeza. Golongan Modernis muncul ketika era zaman moden khususnya pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, manakala golongan Muslim Progresif ini muncul pada lewat kurun ke-20 dan awal kurun ke-21. Ramai penulis seperti Clinton Bennett, Lily Zubaidah Rahim dan Ugi Suharto menanggapi golongan Modernis dan golongan Muslim Progresif ini sebagai sama walaupun mungkin tidak serupa. Malah menurut Barton, golongan Muslim Progresif ini boleh dianggap sebagai golongan Neo-Modernis yang muncul semula pada era Pasca-Modernisme hari ini.Golongan Muslim Progresif ini boleh dikenali dengan melihat ciri-ciri berikut;
  1. Penekanan terhadap peranan akal dalam menafsir al-Quran dan al-Hadith.
  2. Penolakan terhadap autoritatif tradisi keilmuan Islam.
  3. Pandangan lebih kritis terhadap teks muktabar Islam.
  4. Penerimaan terhadap konsep pluralisme agama.
  5. Penekanan terhadap kesamarataan jantina termasuk dalam aspek ibadah.
  6. Penolakan terhadap shari’at Islam.
Kecelaruan Pasca-Islamisme

Kemunculan Pasca-Islamisme tidak dapat dipisahkan dengan pengaruh Pasca-Modernisme, atau lebih khusus lagi kemunculan golongan Muslim Progresif atau Neo-Mordenis dalam umat Islam. Dalam konteks ini, Pasca-Islamisme adalah respon golongan pendukung gerakan Islam atau “Islamist” terhadap pengaruh Pasca-Modernisme dan Muslim Progresif. Pada peringkat awal Pasca-Islamisme didefinisikan oleh Asef Bayat sebagai keadaan politik atau sosial umat Islam yang mendambakan pembaharuan setelah kegagalan usaha mereka untuk melaksanakan tata baru dunia Islam.Seterusnya beliau menyebut, bahawa Pasca-Islamisme ini bukan sekadar keadaan tetapi projek mengkonsepkan secara strategi agenda Islam yang dilakukan oleh pendukungnyauntuk mencapai matlamat mereka secara rasional dalam domain semasa.

Manakala di dalam buku “Failure of Political Islam” pula, Olivier Roy mengemukakan konsep Pasca-Islamisme yang lebih radikal, iaitu merujuk kepada wajah baru kebangkitan pendukung gerakan Islam atau Islamist yang menyanggahi Neo-Fundamentalist. Konsep Pasca-Islamisme yang dikemukakan oleh Roy ini lebih jelas menggambarkan pengaruh Pasca-Modernisme dan Muslim Progresif dalam gerakan Islam. Gagasan ini melibatkan usaha untuk merombak dasar dan amalan dalam gerakan Islam dengan satu dasar dan amalan yang lebih liberal untuk mencapai matlamat mereka, sebagaimana gagasan Dekonstruksionisme. Oleh sebab itu, gagasan Pasca-Islamisme melibatkan pendukung gerakan Islam itu sendiri atau lebih dikenali sebagai Islamist.

Para pendukung gerakan Islam yang terpalit secara langsung dan tidak langsung dengan gagasan Pasca-Islamisme ini boleh dibahagikan kepada tiga golongan : -
  1. Para pendukung gerakan Islam yang beralih kepada aliran pemikiran Muslim Progresif secara langsung, dengan meninggalkan aliran yang didakwa fundamentalis.
  2. Para pendukung gerakan Islam yang mengambil pendekatan apologetik untuk mengenengahkan agenda politik Islam bagi menghadapi cabaran semasa, sebagai usaha mencapai matlamat mereka.
  3. Para pendukung gerakan Islam yang menggunakan keanjalan Fiqh al-Haraki sehingga difahami oleh masyarakat umum bahawa Islam sememangnya sukar dan tidak perlu dilaksanakan pada masa kini.
Cabaran Pasca-Islamisme Kepada Gerakan Islam

Berdasarkan latar belakang kemunculan Pasca-Islamisme dan juga melihat kepada pengaruh pemikiran Pasca-Modernisme, maka dapat dirumuskan bahawa gagasan Pasca-Islamisme boleh membawa cabaran-cabaran yang besar kepada gerakan Islam dan pendukungnya sebagaimana berikut : -
  1. Dasar dan amalan yang menjadi tunjang terbentuknya gerakan Islam sebagai gerakan tajdid selepas keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah semakin terhakis.
  2. Kepimpinan oleh golongan ulama dan autoritatif ilmu tidak lagi dilihat satu ciri yang penting bagi gerakan Islam.
  3. Keterbukaan yang tiada had dan toleransi yang melampau sehingga menghilang kawaspadaan terhadap perencanaan musuh-musuh Islam.
  4. Pengagungan terhadap demokrasi dan hak asasi manusia sehingga mencairkan usaha untuk menegakkan shari’ah Islam dalam pemerintahan.
  5. Kecenderungan yang melampau untuk berkuasa dan memenangi hati massa sehingga mengabaikan al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahyu `an al-munkar.
  6. Mengutamakan urusan politik dan pilihanraya sehingga melupakan kepentingan tarbiyah dan dakwah.
Kesimpulan

Kemunculan Pasca-Modernisme sememangnya memberi kesan bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga kepada pendukung gerakan Islam sehingga mendorong kepada kemunculan aliran pemikiran baru dalam gerakan Islam. Aliran pemikiran baru yang dikenali sebagai Pasca-Islamisme mewarisi pendekatan Dekonstruk (merombak) dasar dan amalan gerakan Islam yang telah diperjuangkan sebelum ini. Hasilnya, bukan sahaja masyarakat umum Islam pula akan menjadi lebih keliru dan kabur, malah para pendukung gerakan Islam akan terbahagi dua. Situasi perpecahan dan kekeliruan inilah menepati dua jenis fitnah yang telah digambarkan oleh hadis-hadis Rasulullah sallallahua’laihi wasallam lebih awal, sebagai keadaan fitnah yang sedang berlaku di akhir zaman.

Biodata Penulis

Dr. Mohd Zuhdi bin Marzuki dilahirkan ada 26 Julai 1970 di Slim River Perak, bandar yang kecil tempat bersemaraknya kebangkitan pejuang Melayu Islam seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Di dalam gerakan Islam Parti Islam SeMalaysia (PAS), beliau merupakan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat (PPP). Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia. Bergiat dalam kegiatan akademik dan dakwah Islamiyah dalam usaha mewujudkan sebuah kehidupan dunia yang diredhai oleh Allah.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-