Ketuanan dan kemenangan Islam adalah suatu yang pasti dan mesti diyakini oleh semua pihak. Meragui kemenangan Islam hanyalah menumbuhkan bibit-bibit putus asa, kecewa dan lemah jiwa dalam menghadapi gelombang perjuangan yang tentunya amat mencabar. Lihatlah bagaimana baginda Rasul sallallahualaihi wasallam mempunyai sikap yang sangat optimis terhadap masa depan perjuangannya.
Peristiwa Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam di Gua Thur
Peristiwa ini merakamkan bagaimana Baginda Nabi menenangkan sahabatnya Saidina Abu Bakar radhiallahu anhu yang kebimbangan terhadap nasib mereka sejurus mereka dikepong oleh orang kafir musyrikin (sewaktu mereka berada di dalam gua tersebut). Baginda saw dengan sikap yang sangat optimis terhadap pertolongan Allah telah menegaskan kepada sahabatnya bahawa “jangan bimbang sesungguhnya Allah bersama dengan kita”.
Peristiwa ini dirakam oleh Allah dalam al-Quran dengan firman-Nya (surah al-Taubah ayat 40);
إِلا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Peristiwa Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam diburu Suraqah
Sekali lagi Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam mempamerkan sikap optimisnya yang sangat kental apabila baginda mengemukakan tawaran yang sangat menakjubkan kepada Suraqah bin Malik apabila Suraqah ternyata tidak lagi berupaya untuk terus memburu Nabi. Rasulullah menawarkan dua gelang maharaja Parsi kepada Suraqah, sedang Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam masih lagi berada dalam perjalanan ke Madinah. Waktu itu Rasulullah tidak memiliki kerajaan dan tentera yang kuat untuk menumpaskan kerajaan Parsi. Sementara untuk mendapatkan dua gelang maharaja Parsi itu pula baginda saw. terlebih dahulu mestilah menewaskan Kisra bin Hurmuz dan kerajaannya, lantaran dua gelang maharaja Parsi itu adalah tanda kebesaran kerajaan Parsi.
Tawaran Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam jelas menunjukkan betapa Baginda begitu optimis terhadap masa depan Islam, di mana Islam pada suatu masa kelak akan berjaya mengalahkan Parsi (sang kuasa besar dunia ketika itu).
Akhirnya ia menjadi satu kenyataan di zaman Khalifah Umar al-Khattab apabila tentera Islam berjaya meruntuhkan empayar Parsi lantas memanggil Suraqah bin Malik untuk memakaikan gelang Kisra kepadanya seraya mengajar Suraqah agar berkata;
الحمْدُ ِللهِ الذي سَلَبَهُمَا كِسْرَى ْبنُ هُرْمُزْ الذي كانَ يَقُوْلُ اَناَ رَبُّ النَّاِس وَ اَلْبَسَهُمَا سُرَاقَةَ ْبنِ مَالِكِ
“Segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah merampaskan kedua-dua gelang Kisra bin Hurmuz yang pernah berkata, akulah tuhan kepada manusia dan kedua-dua gelangnya aku pakaikan kepada Suraqah bin Malik.”
Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam turut mengisytiharkan masa depan Islam yang gemilang melalui hadisnya yang diriwayatkan Abu Hurairah radhiallahu anhu. Sabda Rasulullah sallallahualaihi wasallam;
لا تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ المُسْلِمُوْنَ اْليَهُوْدَ فَيَقْتُلُهُمُ المُسْلِمُوْنَ حتى يَخْتَبِئَ اْليَهُوْدِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَ الشَّجَرِ فَيَقُوْلُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللهِ هَذَا يَهُوْدِيٌّ خَلْفِيْ فَتَعَاْلَ فَاْقْتُلْهُ ِإلا الْغَرْقَدْ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُوْدِ
“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-orang Islam memerangi orang-orang Yahudi sehingalah Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok maka berkatalah batu atau pokok; Wahai Muslim, Wahai Hamba Allah, Ini Yahudi sedang bersembunyi di belakangku maka datanglah lalu bunuhlah ia kecuali pokok Gharqad maka sesungguhnya ia adalah pokok Yahudi.” (riwayat Muslim)
Hadis ini jelas melakarkan wajah kemenangan Islam di masa depan. Sungguhpun hari ini Yahudi sedang bermaharajalela, tetapi tidak bermakna mereka kekal menguasai umat Islam. Berundurnya Yahudi dari Lubnan seketika dahulu sebagai satu petanda dalam sejarah moden bahawa Yahudi boleh dikalahkan.
Allah pasti sahaja menolong dan mengurniakan kemenangan kepada agama Islam dan penganutnya sekalipun di sana pelbagai usaha dari pihak musuh-musuh Allah yang gigih menghalang kebangkitan ummah.
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ رُسُلا إِلَى قَوْمِهِمْ فَجَاءُوهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَانتَقَمْنَا مِنْ الَّذِينَ أَجْرَمُوا وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (surah ar-Ruum : 47)
يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (surah al-Taubah : 32)
Kalah Bukan Salah
Islam yang kita bawa dan perjuangkan hari ini adalah Islam yang sama sebagaimana Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam dan Para Nabi terdahulu. Justeru, tidak ada sebab mengapa kita tidak yakin terhadap masa depan Islam yang gemilang sedang Baginda sangat-sangat yakin walaupun nyawa Baginda sentiasa terancam.
Nabi Allah Ibrahim alaihissalam berjaya menumpaskan regim Namrud, raja yang memerintah dunia ketika itu. Nabi Musa alaihissalam berjaya menewaskan regim Firaun, raja yang mengaku dirinya tuhan. Sementara Nabi kita Muhammad sallallahualaihi wasallam pula berjaya mengalahkan kuffar musyrikin yang dibantu oleh Yahudi dan Nasara.
Maka, apalah sangat sukarnya untuk kita menundukkan musuh Islam hari ini. Tanda-tanda kejatuhan empayar mereka tampak jelas sebagaimana jelasnya tanda-tanda kemenangan untuk menjulang panji perjuangan suci.
Namun begitu, suatu kedudukan yang mesti difahami dan diinsafi oleh setiap individu pejuang, bahawa kalah - menang dalam pilihanraya dan gagal – jaya dalam usaha dakwah bukanlah menjadi hitungan akhir kita, sebaliknya perjuangan diteruskan sehingga Allah menentukan saatnya.
أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
“Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah ( kemenangan ) amat hampir.” (surah al-Baqarah : 214)
Kekalahan dalam pilihanraya tidak bermakna Islam itu kalah dan salah, malah Islam adalah cara hidup yang wajib dilaksanakan. Sungguhpun konspirasi musuh kian sengit dan getir, Allah tidak lalai dari menyelamatkan agama-Nya.
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
“Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.” (surah al-Anfaal : 30)
Apa yang penting ialah anggota, kepimpinan dan jentera kita sewajarnya terus beristiqamah dan memberi komitmen kepada syarat-syarat kemenangan seperti ikhlas, dengar dan taat, pengorbanan yang tinggi, kombinasi tenaga yang utuh, taqarrub kepada Allah, pertahankan prinsip serta ketulenan manhaj perjuangan dan seterusnya bermunajat kepada Allah.